Bahagian 2

SETELAH beberapa ketika, Makcik Timah telah sampai di hadapan saya. Sedangkan pada ketika itu saya masih lagi bergelut untuk melepaskan diri dari Ayu.

Leher saya juga merasa sakit kerana dicengkam oleh Ayu tadi walaupun pada hakikatnya jari jemari Ayu jauh lebih kecil dari jari saya.

Saya cuba untuk memegang tangan Ayu yang sedang mencengkam leher saya. Keras tangan Ayu pada ketika itu lebih kurang sekeras kayu belian.

Kemudian saya menyerah diri sepenuhnya kepada Allah lalu membaca doa dari ayat al-Quran;

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya.” (Surah Saba’: 10)

Selepas itu barulah saya dapat rasakan yang genggaman Ayu mula berkurangan dan tidak sekeras tadi. Peluang ini saya ambil dengan sebaik-baiknya.

Tangan Ayu saya tangkis dan akhirnya genggaman tangan Ayu pada leher saya akhirnya terlerai.

Ketika baru sahaja berjaya melepaskan diri dari Ayu, tiba-tiba Makcik Timah telah sampai di hadapan saya.

Wajah bengisnya menampakkan kebencian yang mendalam terhadap diri saya. Dan dengan tidak semena-mena, tiba-tiba Makcik Leha menampar wajah saya sekuat-kuatnya.

Saya sempat terpaku. Agak bercelaru juga fikiran saya pada ketika itu. Mungkin kerana kesan dari penampar sulung Makcik Ayu yang menyebabkan saya menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali.

Peningnya tidak dapat untuk saya gambarkan. Pening-pening lalat juga saya dibuatnya.

Tetapi mungkin kerana terlalu terkejut, lalu secara spontan saya membalas kembali tamparan Makcik Timah, malah tamparan saya rasanya lebih kuat lagi dari tamparan Makcik Timah yang sedang kerasukan.

Sehinggakan Makcik Timah yang sedang kerasukan itu tergamam dan terdiam. Mungkin kerana terlalu terkejut agaknya.

Suasana hening seketika. Masakan tidak. Selepas menampar Makcik Timah, Makcik Timah terkejut dan terpaku. Saya juga terpaku. Yang menghairankan saya, Ayu juga terpaku. Kami bertiga masing-masing memandang sesama sendiri.

Saya juga tidak pasti kenapa kami bertiga diam pada ketika itu. Mungkin jin yang merasuk Makcik Leha dan Ayu tidak menyangka yang saya akan bertindak sedemikian.

Atau risau juga kalau-kalau ditampar sekali lagi. Lawak juga rasanya apabila mengenang kembali peristiwa pada malam tersebut.

Selepas beberapa ketika, Ayu dan Makcik Timah kembali menyerang saya. Saya cuba untuk menepis tangan Ayu yang cuba untuk terus menerus mencekik saya.

Begitu juga Makcik Timah. Makcik Timah menjadikan belakang badan saya sebagai sasaran penumbuknya.

Keris pusaka yang tadinya berada di genggaman saya, saya masukkan ke dalam baju saya. Alhamdulillah, nasib baik keris tersebut masih lagi di dalam sarungnya. Tidaklah tercucuk di perut saya kalau keris tersebut tidak bersarung.

Saya cuba untuk melepaskan diri dari mereka. Tetapi keadaan agak gelap dan ruang biliknya agak sempit. Lalu saya mengambil kesempatan untuk berlari menuju ke katil Ayu dan melompat di atasnya.

Tiba-tiba kaki pada katil Ayu patah sehingga terasa juga gegaran di dalam bilik Ayu. Dan untuk kali yang kedua kami bertiga terkejut dan terpaku.

Untuk sementara kami bertiga diam sejenak. Mungkin jin di dalam badan Ayu dan Makcik Timah pening memikirkan apa yang hendak saya lakukan sebenarnya.

Selepas itu mereka berdua kembali untuk cuba menyerang saya. Kedua-dua mereka bergerak perlahan-lahan menuju ke arah saya.

Dalam keadaan kelam kabut seperti itu, saya bacakan salah satu ayat al-Quran berkenaan dengan azab api neraka;

“Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.” (Surah Shaad: 85)

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah Al Anfal: 9)

Selepas itu Makcik Timah dan Ayu menghentikan langkah mereka. Kedua-duanya mula menutup telinga masing-masing. Mungkin bacaan dari ayat-ayat al-Quran tadi mula memberi kesan. Semuanya atas pertolongan Allah.

Makcik Timah dan Ayu mengundurkan diri secara perlahan-lahan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi bacaan ayat-ayat al-Quran tadi.

Biarlah Allah yang menentukan bentuk penyeksaan kepada mereka sedangkan saya cuma membaca ayat-ayat al-Quran tadi sebagai usaha meminta pertolongan dari Allah.

Sebab itulah ketika merawat pesakit, saya pernah ditanya adakah ayat al-Quran yang saya baca itu menyebabkan jin tersiksa di dalam tubuh badan pesakit. Saya menjawab sekali-kali tidak.

Ini kerana saya membacakan al-Quran semata-mata sebagai ikhtiar meminta pertolongan Allah selepas saya melafazkan doa. Kemudian Allahlah yang membantu dengan mengazab jin-jin tadi.

Kenapa perlu saya mengaku bahawa bacaan sayalah yang menyebabkan jin tersebut tersiksa, sedangkan Allahlah yang mengatur dan penyebab segala-alanya.

Takut-takut akhirnya nanti saya merasa sombong dan riak kerana dengan bacaan al-Quran sayalah yang menyebabkan jin-jin tadi tersiksa.

Akhirnya pada lain kesempatan apabila saya bacakan al-Quran lagi kepada pesakit yang kerasukan, jin-jin yang merasuk akan berlakon yang mereka sedang tersiksa kerana bacaan al-Quran saya supaya kesombongan pada diri saya semakin menebal.

Bahkan saya lupa bahawa yang pada ketika itu sebenarnya tiada pertolongan yang datang dari Allah untuk membantu saya.

Semuanya adalah tipu daya syaitan sahaja. Lalu akhirnya hanyutlah saya di dalam kesesatan yang saya ciptakan sendiri. Na’udzubillah.

Menjerit

Pada ketika Makcik Timah dan Ayu sedang menjerit sambil menutup telinga mereka, saya mula menyasarkan Makcik Timah terlebih dahulu.

Ini kerana Makcik Timah mula berjalan terhuyung-hayang lalu melanggar dinding bilik Ayu beberapa kali sebelum jatuh terlentang lalu tidak sedarkan diri.

Sedangkan Ayu pula pada ketika itu terus memandang saya sambil cuba untuk bergerak secara berundur perlahan ke belakang menuju ke pintu bilik untuk keluar.

Ayu juga sudah tidak menjerit seperti tadi lagi. Cuma Ayu masih lagi menutup telinganya dengan kuat sambil kedua belah matanya tetap memandang saya.

Tanpa membuang masa saya terus mengambil kain selimut di atas katil Ayu yang roboh tadi lalu berlari ke arah Makcik Timah. Kemudian saya membaca sebuah ayat al-Quran sambil memegang dahi Makcik Timah dengan selimut tadi;

“Inilah dua golongan (golongan mukmin dan golongan kafir) yang bertengkar, mereka saling bertengkar mengenai Tuhan mereka. Maka orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian dari api neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka.” (Surah Al Hajj: 19)

Selepas membaca ayat tadi berulang-ulang kali, Makcik Timah akhirnya berteriak sambil menjerit sekuat-kuat hati.

Matanya yang terbeliak kemerahan dan berair memandang saya dengan pandangan yang menakutkan. Riak wajahnya juga menyebabkan degupan jantung saya berdetak kencang.

“Sudah...Sudah...Aku katakan sudah. Hentikan bacaan kamu. Atau kami tetap akan menyiksa perempuan ini dan anaknya.”

“Tidak. Aku tidak akan hentikan bacaan aku. Melainkan sehingga kamu keluar dari badan perempuan ini tanpa kembali lagi mengganggu mereka sekeluarga atau engkau akan mati di sini dalam keadaan hina, sehina-hinanya.”

“Hahahaha...Apa kamu tidak tahu. Hahaha...Apa perlu aku jelaskan kepada kamu...Hahaha...”

“Aku tidak perlu mendengar kebohongan yang kamu sampaikan.”

“Hahaha...Kamu salah dalam menilai aku. Kamu juga lupa akan sesuatu. Bukan aku sebenarnya yang engkau cari. Engkau berhajat untuk bertemu penjaga keris itukan?”

“Tidak. Sesiapa saja yang mengganggu keluarga ini adalah musuh Allah. Mereka sendiri yang akan berhadapan dengan tentera-tentera Allah nanti. Aku tidak mempunyai apa-apa kekuatan sekalipun.”

“Baiklah. Aku akan keluar. Sudah puas aku menyiksa keluarga ini. Sekarang aku mahu pulang.”

“Keluarlah engkau. Semoga laknat Allah menemani engkau di man-mana sahaja engkau berada. Ukhruj ya ‘aduwallah. Ukhruj ya syaitan. Keluarlah musuh Allah. Keluarlah syaitan.”

“Hahaha...Aku sudah puas mempermainkan keluarga ini. Aku tidak punya apa-apa keperluan lagi kepada mereka. Kerana selama ini mereka telah berjaya aku sesatkan. Kalau sembuh sekalipun gangguan pada diri mereka sekeluarga, maka akan ada syaitan-syaitan lain lagi yang akan datang mengganggu mereka. Hahahaha...Tunggulah...”

Tanpa membuang masa saya bacakan ayat al-Quran;

“Katakanlah: Ya Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Engkau berikan kekuasaan kepada barang siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari barang siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan barang siapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Kuasa. Engkau masukkan malam kepada siang dan Engkau masukkan siang kepada malam, dan Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau memberi rezeki siapa yang Engkau kehendaki dengan tidak berkira.” (Surah Ali Imran: 26-27)

Selepas itu Makcik Timah kembali tertawa. Lalu disusuli dengan suara tangisan dan jeritan sehingga boleh terdengar seisi rumah.

Suara rintihan tangisan menyeramkan juga bergema di dalam bilik Ayu. Lalu saya memandang sekeliling kalau-kalau ada mata-mata lain yang memerhati.

Tiba-tiba saya terkejut dan tersentak apabila mata saya terarah kepada Ayu yang sudah berada di luar pintu biliknya. Badannya menghadap arah bilik Makcik Timah dan bilik arwah nenek Ayu sambil kepalanya menghadap ke arah saya.

Tersenyum

Ayu tersenyum memandang saya sambil kepalanya bergerak ke kiri. Semakin lama semakin condong ke kiri.

Sehinggalah saya beristighfar kerana dalam keadaan samar-samar tersebut saya melihat bahagian dagu Ayu lebih tinggi dari kepalanya. Seolah-olah kepala Ayu berputar sehingga 135 darjah.

Selepas itu Ayu bergerak perlahan-lahan ke hadapan sambil matanya terus memandang tepat ke arah saya hingga jelingan yang terakhir sebelum dinding bilik Ayu menghalang saya dari memerhati dengan lebih jelas ke mana arah pergerakan Ayu seterusnya.

Saya cuma beristighfar di dalam hati. Untuk melangkah menuju ke pintu sambil mencari di mana jejak Ayu saya tidak berani. Apa lagi dalam keadaan lorong menuju ke bilik Makcik Timah dan arwah nenek Ayu gelap dan menyeramkan.

Dalam ketakutan yang mencengkam, saya cuma mendengar suara dari luar bilik Ayu. Seolah-olah kedengaran bunyi suara perempuan tua yang diselangi dengan suara perempuan muda. Betul-betul di sebalik dinding bahagian luar.

“Hehehehehe...Mana ibu perempuan ini?”

“Ada di dalam. Apa yang perlu kita lakukan sekarang? Apa perlu untuk kita mempermainkan mereka lagi?”

“Hehehehe...Ya. begitulah sebaiknya. Cuma kawan-kawan kita ada yang sudah lari dari badan perempuan itu.”

“Jadi, bagaimana sekarang?”

“Masih ramai lagi yang menunggu untuk mengganggu mereka di luar. Kau juga lihat tadikan berapa ramai mereka sudah menunggu di luar rumah, berterbangan mengelilingi rumah ini dan juga yang menunggu dari bawah tanah. Iaitu tepatnya di bawah tapak rumah ini. Itu tidak termasuk penunggu di rumah ini. Juga kawan-kawan kita.”

“Ya. Bahkan aku sempat mengalu-alukan kehadiran mereka tadi.”

“Kalau begitu untuk sementara biar engkau dan aku saja dulu yang mempermainkan mereka. Kan mereka cuma bertiga. Perempuan tua itu sudah lemah. Tenaganya telah kita perah tadi sehabis mungkin. Selain itu masih ada dua lagi. Perempuan yang engkau rasuki sekarang dan juga lelaki bodoh dan penakut itu. Hehehehe...”

“Baiklah. Aku faham.”

“Kita tetap akan berusaha untuk pertahankan keturunan mereka ini dari terus diperhambakan oleh kita. Atas nama keturunan. Ya. Saka keturunan yang sengaja kita ciptakan dari dulu. Dari keturunan moyang mereka. Yang memulakan perjanjian ini. Kita sesatkan mereka sejauh mungkin. Selagi keris perjanjian keturunan itu masih ada dan masih belum dimusnahkan maka selagi itulah mereka tetap bertuhankan kita dan kita permainkan mereka dengan meyakini jiwa mereka bahawa merekalah yang menjadi tuan kita. Agar mereka terus tersesat. Hehehe...

“Jadi bagaimana lelaki di dalam bilik itu?”

“Apa kamu lupa? Orang penakutlah yang senang untuk kita permainkan. Jadi aku serah kepadamu semuanya. Aku serahkan dia kepada kamu. Hahahaha...”

Saya mengucap panjang. Ketakutan semakin mencengkam. Saya cuba untuk menutup telinga. Sudah cukup gelisah rasanya bila mana mendengar perbualan tanpa jejak bayangan dan suara tadi.

Sudahlah berapa kali mereka maksudkan diri saya walaupun tidak menyebut nama saya dengan jelas.

Selepas itu suasana kembali sunyi. Tiada lagi gelak tawa dan perbualan yang menyeramkan dari arah luar bilik Ayu.

Yang ada cuma deruan angin sepoi-sepoi bahasa yang masuk melalui arah tingkap lalu menghadirkan bunyi seperti siulan yang menyeramkan.

Saya memandang ke arah tingkap. Sesekali saya menjeling juga ke arah pintu bilik Ayu. Manalah tahu kalau-kalau Ayu tiba-tiba menjenguk kepalanya ke dalam bilik sambil bertanya khabar.

Selepas itu barulah saya memandang ke arah Makcik Timah yang sedang terbaring di atas lantai.

Dengan tidak semena-mena saya terkejut dan melompat separas pinggang lalu berlari ke arah tingkap. Masakan tidak. Ternyata mata Makcik Timah terbuka dan memandang saya.

Manalah tahu kalau-kalau ada peluang untuk terjun menyelamatkan diri jika diserang Makcik Timah. Kalau saya berlari keluar bilik pula entah-entah saya terserempak dengan Ayu yang entah di mana.

Selepas itu Makcik Timah tiba-tiba duduk sambil memandang saya. Saya mengambil kesempatan untuk membaca Surah Kursi berulang kali dengan suara yang kuat.

Tetapi Makcik Timah tetap memandang saya. Bahkan kali ni Makcik Timah mula tersenyum.

Kembali diganggu

“Keluarlah engkau syaitan sebelum dengan izin Allah engkau akan terbakar bila mana ayat al-Quran ini akan menjadi penyebab untuk Allah mengazab kamu.”

“Cikgu kenapa? Saya nampak macam syaitan ke?”

Saya terdiam sejenak. Mungkin Makcik Timah telah tersedar dari kerasukan.

“Haah. Tadi...”

“Apa cikgu?”

“Tak ada apa-apa makcik. Makcik dah sedar ke? Ke makcik masih belum sedar lagi?”

“Apa yang cikgu cakapkan ni. Saya tak faham. Mana hantu perempuan tua tadi cikgu?”

“Hantu perempuan tua? Mana saya tau makcik. Tapi setahu saya makciklah yang bertukar menjadi hantu perempuan tu tadi.”

“Apa cikgu?”

“Tak ada apa-apalah makcik. Apa yang berlaku tadi makcik?”

Makcik Timah terdiam. Dia seperti memikirkan sesuatu. Lama juga Makcik Timah terdiam. Sebelum kembali memandang saya.

“Semasa cikgu keluar dari bilik Ayu ni tadi, saya duduk di sebelah Ayu. Memandang wajah Ayu sambil mengelap air mata dan bekas luka kering seperti tusukan kuku pada tepi lehernya dan Ayu juga memandang saya. Tiba-tiba wajah Ayu berubah. Mata Ayu terbeliak sambil berusaha untuk memeluk saya. Tiba-tiba Ayu menjerit.”

“Lepas tu makcik?”

Makcik Timah kembali diam. Kerut di dahinya cukup menjelaskan kepada saya bagaimana Makcik Timah berusaha untuk memikirkan kembali apa yang berlaku. Makcik Timah masih lagi teringat satu-persatu akan peristiwa yang terjadi tadi.

“Ayu...Ayu...Kamu kenapa? Bawa istighfar Ayu...Cikgu...Cikgu...Tolong cikgu. Ayu diganggu lagi. Cikgu.”

“Mak, ada hantu di belakang mak. Ayu takut mak.”

“Hantu. Allah... Mana Ayu?”

“Ada di belakang mak sekarang. Rambutnya panjang, giginya juga panjang, matanya besar dan kemerahan, lidahnya panjang dan berulat. Ulat-ulat tu jatuh atas kepala mak. Tangannya sedang memegang bahu mak. Mak...Ayu takut mak. Ayu takut...”

Selepas itu ketakutan yang teramat mula menguasai diri Makcik Timah. Makcik Timah juga tiba-tiba merasa pening yang teramat sangat. Matanya mula kabur dan tiba-tiba lemah.

Makcik Timah mula merasa seperti di awang-awangan. Tetapi tengkuknya mula terasa sakit dan badannya terasa berat. Pada bayangan matanya muncul seorang perempuan tua yang mendekatinya secara perlahan-lahan.

Makcik Timah juga merasakan seperti ada seseorang lain yang hadir di dalam badannya. Berkongsi pada jasad yang sama.

Dalam keadaan genting seperti itu, tiba-tiba Ayu terdiam lalu mula ketawa kecil lalu berkata;

“Sekarang giliran kamu pula akan kami rasuki lagi. Dan kami akan jadikan ketakutan kamu ini sebagai punca kekuatan kami. Hahaha...Selagi keris pusaka itu masih ada, maka selagi itulah kami akan menjaga keturunan ini. Selama kami menjaga keturunan ini maka selagi itulah keturunan ini tidak akan pernah bahagia dan sentiasa akan mewarisi masalah yang tidak pernah akan putus. Hahaha...”

Makcik Timah sudah tidak dapat untuk berfikir secara normal. Jiwanya tak tenteram, dengusan nafasnya naik turun berulang kali.

Dan akhirnya Makcik Tidak dapat mengawal dirinya sendiri. Seluruh sendinya terasa lemah. Lalu akhirnya Makcik Timah jatuh terhumban ke lantai.

“Cikgu, ya. Saya ingat lagi. Tadi saya dan Ayu diganggu masa cikgu keluar dari bilik ni. Berulang kali juga saya menjerit memanggil nama cikgu tapi tiada jawapan dari cikgu.”

“Saya tak dengar langsung suara Makcik memanggil-manggil nama saya. Tapi saya ada jugak memanggil-manggil nama makcik dan Ayu masa kat luar bilik ni tadi.”

“Entahlah cikgu. Saya tak berani nak hadapi lagi pengalaman macam ni. Saya takut cikgu. Hampir gila saya dibuatnya nanti kalau benda ni datang lagi.”

“Makcik, kan tadi saya ada tanya makcik percaya tak dengan kekuatan doa seorang ibu?”

“Ingat cikgu.”

Kekuatan doa

“Makcik, masa ni Ayu memerlukan pertolongan kita. Selain dari usaha, kita perlu berdoa sebagai tawakal kepada Allah selepas semua usaha-usaha telah kita lakukan. Apa lagi doa dari seorang ibu kepada anaknya. Atau doa dari makcik kepada Ayu.”

“Ya cikgu, apa-apa pun saya sanggup lakukan demi Ayu cikgu. Dialah satu-satunya anak makcik.”

Selepas itu Makcik Timah memandang ke arah sekeliling bilik Ayu. Matanya meliar memandang pada semua sudut dan ruang bilik.

“Ayu...Ayu mana cikgu? Ayu mana? Cikgu...”

“Saya tak tau makcik. Mungkin dia pergi ke bilik makcik atau bilik arwah neneknya.”

“Kenapa cikgu tak tahan Ayu tadi?”

“Saya tak mampu makcik. Tadi selepas saya dapatkan keris dari bilik arwah nenek Ayu, saya terus masuk ke bilik Ayu. Tiba-tiba saya tengok makcik terbaring kat lantai. Sedangkan Ayu pula berdiri pada sudut bilik, memandang ke arah lantai sambil rambutnya terurai ke hadapan. Lepas tu Ayu dan makcik menyerang saya.”

“Selepas saya laungkan beberapa ayat al-Quran, makcik mula menjerit dan Ayu pula berundur perlahan-lahan menuju ke pintu bilik. Saya perlu merawat salah seorang dulu. Makcik atau Ayu. Apabila saya rasakan syaitan di dalam badan Makcik mungkin sedang kesakitan, saya mula merawat makcik dulu. Selepas saya bacakan ayat-ayat azab tadi, makcik mula berjalan terhoyong-hayang lalu melanggar dinding bilik Ayu beberapa kali sebelum jatuh terlentang lalu tidak sedarkan diri.”

 

Makcik Timah terdiam. Mungkin dia tidak menyangka yang dia juga akan kerasukan seperti Ayu. Suasana kembali sunyi seketika. Saya sempat juga terdengar bunyi tapak kaki manusia mundar mandir perlahan-lahan di luar bilik.

Juga suara orang berbisik-bisik sambil ketawa walaupun bunyinya taklah sekuat mana. Tetapi cukup untuk merimaskan jiwa penakut saya.

Sesekali saya memandang juga pada pintu bilik Ayu. Dalam samar-samar kelihatan seperti ada kepala manusia yang sedang memandang kami dengan senyuman.

Cepat-cepat saya mengalihkan pandangan saya. Saya cuma berharap apa yang saya lihat tadi cumalah khayalan saya sahaja. Selepas itu saya dengar Makcik Timah mengeluh kesakitan.

“Kenapa makcik?”

“Badan makcik penat cikgu. Sakit-sakit rasanya semua sendi. Pipi makcik juga sakit. Tebal je rasanya. Macam terkena penampar. Kenapa dengan pipi makcik cikgu?”

Saya mula tersentak. Adakah Makcik Timah tahu kalau-kalau sayalah yang menampar dia tadi. Kalau Makcik Timah tahu habislah saya.

Entah-entah kali ini benar-benar Makcik Timah kerasukan dan menyerang saya kalau-kalau dia tahu saya yang menamparnya.

Kisah Makcik Timah ini sampai sekarang saya rahsiakan dari sesiapa. Ini kali pertama saya ceritakan kepada pembaca semua.

Biarlah ia menjadi rahsia umum. Rahsia di antara kita sahaja. Tolong jangan ceritakan kepada Makcik Timah ya.

Saya kembali memandang ke arah Makcik Timah. Ingin juga rasanya saya ceritakan apa yang berlaku. Tetapi memandangkan masa dan suasananya tidak sesuai, jadi saya tangguhkan dulu.

“Mungkin tadi masa kena rasuk makcik beberapa kali melanggar dinding bilik ni sebelum jatuh terlentang lalu tidak sedarkan diri. Mungkin kesan dari terhempas ke lantai makcik.”

“Mungkin jugak cikgu.”

Saya terpaksa jua untuk berdalih. Bukan niat untuk berbohong. Tetapi risau kalau-kalau akan menyebabkan pergaduhan di antara kami nanti. Saya teringat akan hadis Rasulullah yang berbunyi;

Ummu Kultsum binti ‘Uqbah bin ‘Abi Mu’aythin, dia di antara para wanita yang berhijrah pertama kali yang telah membaiat Nabi SAW. Ia mengabarkan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak disebut pembohong jika bertujuan untuk mendamaikan dia antara pihak yang berselisih di mana ia berkata yang baik atau mengatakan yang baik (demi mendamaikan pihak yang berselisih.”

Ibnu Syihab berkata, “Aku tidaklah mendengar sesuatu yang diberi keringanan untuk berdusta di dalamnya kecuali pada tiga perkara, “Peperangan, mendamaikan yang berselisih, dan perkataan suami pada istri atau istri pada suami (dengan tujuan untuk membawa kebaikan rumah tangga).” (HR. Bukhari no. 2692 dan Muslim no. 2605, lafaz Muslim).

Saya mengharapkan akan adanya perkaitan masalah saya dengan Makcik Timah ini berdasarkan hadis-hadis tadi. Dan semoga Allah juga akan mengampuni dosa saya dan Makcik Timah atas permasalahan ini. Amin.

Selepas itu kami diam sejenak. Tiba-tiba saya teringat akan keris yang saya sembunyikan di dalam baju Iron Maiden, Legacy Of The Beast saya.

Baju bundle yang saya beli dengan harga RM3, di gerai bundle di hadapan dewan sewaktu mengadakan program ziarah kepada sahabat-sahabat dari Persatuan Perubatan Islam Ruqyah Syar’iyyah Sabah cawangan Semporna Sabah.

Baju itu sudah tiada lagi. Rasanya baju Iron Maiden itu telah saya jual kepada kawan saya. RM350. Banyak juga jasa baju tersebut kepada saya. modal RM3 dan jual RM350. Jadi saya untung RM347.

Mencari jejak ayu

“Makcik, jom kita cari Ayu...”

“A...Apa cikgu? Cari Ayu? Kat mana cikgu?”

“Kat luar. Kat bilik makcik dan bilik arwah nenek Ayu.”

“Saya takut cikgu.”

“Saya pun takut jugak makcik.”

“Saya takut perempuan tua tu menjelma balik.”

“Kalau perempuan tu datang balik kita lari makcik.”

“Janji cikgu...”

“Janji...”

Itu sahaja yang boleh saya lakukan untuk sementara waktu. Saya tak boleh nak biarkan Makcik Timah keseorangan di dalam bilik Ayu.

Takut-takut diganggu dan dirasuk lagi seperti tadi. Sedangkan jejak Ayu sendiri kami masih belum temui.

“Jom makcik. Makcik kat depan. Saya kat belakang.”

“Ish...Ape puak makcik kat depan. Cikgulah kat depan.”

“Baik makcik...”

Cadangan saya supaya Makcik Timah tidak berjaya. Kami sama-sama takut.

Dan akhir sekali saya terpaksa berada di hadapan dan Makcik Timah pula berada di belakang sambil memegang tali beg sandang Nike hitam yang saya letak di bahu.

Kami mulakan dengan langkah yang perlahan. Langkah terasa sangat berat. Untuk sampai ke pintu bilik Ayu cuma beberapa langkah sahaja.

Tetapi suasana gelap yang menyelubungi membuatkan saya risau dengan apa yang bakal kami hadapi.

Suasana sangat sunyi pada ketika itu sehinggakan bunyi tapak kaki memijak lantai jelas terdengar.

“Krek...Krek...Krek...”

Bunyi langkah kami mula terdengar pada lubang telinga. Setiap langkah saya lafazkan takbir kepada Allah kerana cuma Allah sahaja yang Maha Besar.

“Krek...Krek...Krek...’

Kami meneruskan langkah kami perlahan-lahan kerana pada ketika itu tiada siapa yang ingin sampai dulu di muka pintu bilik Ayu walau apa sahaja hadiah yang ditawarkan. Tetapi tidak lama kemudian;

“Krek...Krek...Krek...”

“Cikgu...”

“Ya makcik...”

“Cikgu dengar bunyi tu...?

“Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek... Krek...Krek...Krek...”

“Itu bunyi tapak kaki kita melangkah makcik.”

“Tapikan kitakan dah sampai depan pintu ni. Mana ada kita melangkah lagi. Kita tengah berhenti berjalan dah...”

“Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek... Krek...Krek...Krek...”

“Adoi makcik. Kenapa makcik tegur.”

“Kenapa cikgu? Tak boleh ke?”

“Saya pun tak tahu boleh ke tak makcik.”

“Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek... Krek...Krek...Krek...”

“Bunyi tu macam dalam bilik ni je cikgu.”

“Kita lari ke luar makcik. Saya tak berani. Kita lari makcik. Lari...”

“Tunggu saya cikgu...”

“Lari...”

Akhirnya saya dan Makcik Timah berlari ke luar. Apa yang penting adalah menyelamatkan nyawa kami terlebih dahulu.

Semasa sedang berlari keluar dan melepasi pintu bilik Ayu, saya mengambil langkah untuk pergi ke sebelah kiri. Tempat bilik Makcik Timah dan arwah nenek Ayu.

Saya sendiri tidak pasti kenapa saya memilih untuk lari di situ sedangkan di bahagian itulah saya cuba untuk elak sejauh mungkin.

Atau mungkin juga terlalu takut sehingga saya tidak mampu untuk berfikir dengan sedikit waras.

Sedangkan Makcik Timah memilih untuk pergi ke sebelah kanan iaitu menuju ke ruang tamu. Semasa kami mula mengambil arah masing-masing, tiba-tiba saya terjatuh terlentang.

Leher saya seakan tercekik. Ternyata Makcik Timah masih lagi memegang beg saya dan menggenggamnya dengan kukuh.

Makcik Timah juga tidak sedar yang dia sedang menarik saya dengan beg saya tadi menuju ke ruang tamu. Saya tidak mampu menjerit kerana leher saya tercekik.

Dalam keadaan terlentang seperti itu saya sempat melihat pada penghujung lorong di hadapan saya.

Dalam samar-samar saya melihat seperti bentuk tubuh badan Ayu sedang bersandar di dinding dengan rambutnya terhurai ke hadapan.

Ayu dan perempuan tua

Saya tidak dapat melihat dengan jelas wajahnya kerana ditutupi oleh rambutnya.

Selepas itu saya tersentak apabila tiba-tiba muncul kepala dan wajah seorang perempuan yang menakutkan sedang memandang kami dari bilik arwah nenek Ayu.

Wajahnya agak gelap dan pucat. Tersenyum memandang saya.

Sambil secara perlahan-lahan keluar dari bilik lalu menampakkan badannya. Kemudian kedua belah tangannya diangkat seperti memanggil-manggil saya.

Oleh kerana terlalu takut. Saya berusaha untuk berdiri secepat mungkin. Tali beg di leher saya tidak saya hiraukan.

Setelah itu saya berlari lebih pantas dari Makcik Timah dan akhirnya Makcik Timah pula yang jatuh tersungkur.

Dan akhirnya saya pula yang terpaksa menarik Makcik Timah dengan beg saya dan Makcik Timah mula menutup kedua matanya kerana dia terpandang sesosok perempuan seperti Ayu dan juga seorang perempuan yang menakutkan tadi.

Saya sempat juga berfikir pada ketika itu kenapa Makcik Timah tidak mahu melepaskan saja beg hitam saya dan saya sendiri sampai sekarang tidak faham kenapa saya tetap mahu menarik beg saya tersebut sedangkan boleh saja saya minta Makcik Timah untuk berdiri dan selepas itu kami lari bersama-sama.

Dan akhirnya kami sampai juga di ruang tamu rumah Makcik Timah. Saya merasa sesak nafas. Dada saya juga berombak-ombak untuk menarik bekalan udara supaya masuk ke dalam paru-paru saya. Makcik Timah juga begitu.

Dia berdiri sambil menyapu-nyapu punggung dengan kedua belah tangannya. Selepas itu Makcik Timah memegang lehernya.

Wajahnya menampakkan kesakitan yang terpaksa dia tanggung. Begitu juga saya. Saya mula memeriksa leher saya dengan memegangnya dengan kedua belah tangan.

“Makcik ok ke...?”

“Ada hantu cikgu. Saya nampak ada dua ekor. Yang seekor tu tadi sedang berjalan ke arah kita. Seekor lagi sedang cuma berdiri memandang kita.”

“Itu mungkin Ayu makcik.”

“Yang seekor tu lagi?”

“Itu saya tak tahu makcik.”

“Macam mana ni cikgu?”

Makcik Timah mula tidak dapat mengawal perasaannya. Dia menangis semahu-mahunya sambil memandang ke arah kiri dan kanan dan kedua belah tangannya dirapatkan di dada. Saya cuma mampu untuk diam sahaja.

“Ayu cikgu. Anak saya Ayu...”

“Ya makcik. Lepas ni kita akan cari Ayu. Kita tak dapat terus menerus macam ni makcik. Kita kena cari juga Ayu.”

“Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek... Krek...Krek...Krek...”

“Cikgu...”

“Saya dengar makcik.”

“Bunyi tapak kaki. Bunyinya semakin dekat cikgu..”

“Jangan dilayan bunyi tu makcik...”

“Cikgu...”

“Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek...Krek... Krek...Krek...Krek...”

Akhirnya bunyi tapak kaki tersebut hilang. Betul-betul di dalam ruang tamu.

“Hehehehehe...Akhirnya kita bersua lagi...”

“Cikgu, ada suara ketawa cikgu...”

“Makcik diam saja...”

“Cikgu, saya takut...”

Tiba-tiba lampu di sekeliling rumah Makcik Timah terpadam. Suasana semakin sunyi dan mendebarkan.

Tiba-tiba kami melihat seperti bayangan perempuan muncul di rung tamu berdekatan dengan lorong untuk masuk ke bilik tadi.

Saya tidak dapat melihat apa-apa. Semuanya kelam dan sunyi. Cuma terdengar bunyi suara perempuan ketawa perlahan-lahan dan bunyi tersebut semakin dekat dengan kami. Cuma dari arah mana saya sendiri tidak tahu.

Makcik Timah terus merapatkan badannya ke arah saya. Beg sandang hitam saya tadi digenggam sekuat-kuatnya oleh Makcik Timah.

Bayang perempuan tadi mula menjelma di hadapan kami. Bergerak perlahan dan perlahan.

Degup gantung saya semakin kencang. Tiba-tiba bayang perempuan tadi hilang. Dan secara tiba-tiba saya mula merasakan seperti ada seseorang sedang menyentuh bahu saya di sebelah kanan.

Sedangkan Makcik Timah yang berdiri di sebelah kiri saya tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Hehehehe...Inilah saat-saat yang aku tunggu selama ini. Kamu berdua telah berada di dalam genggaman aku. Hahahaha...”

Saya seperti kelemasan. Nafas saya semakin pendek. Langkah kaki juga terasa lemah. Dan sekarang saya dapat merasakan yang kedua belah tangan perempuan tadi mula menyentuh kedua belah bahu saya.

Dengusan nafasnya juga menyentuh tengkuk saya berulang kali. Cuma baunya seperti bau bangkai haiwan yang mula reput.

“Hehehehehe. Sekarang cuma kita sahaja yang ada di sini. Kamu berdua tidak akan dapat melarikan diri lagi. Hahahaha...”

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

Artikel berkaitan:

Ustaz Malik dari SK Kampung Jepak kembali lagi! Kali ini mengenai misteri sebilah keris pusaka (Bahagian 1)

'Bukan mudah nak rawat mereka yang mengalami gangguan seperti ini' - Ustaz Malik, SK Kampung Jepak (Bahagian akhir)