Jika sebelum ini Guru Bahasa Melayu STPM, SMK Merbau Miri, Sarawak, Cikgu Nancy Thomas, tular di media sosial apabila mengenakan pelbagai gaya ketika PdPR, kini seorang guru dari Arau, Perlis pula menarik perhatian ramai dengan kreativitinya ketika mengajar.

Guru subjek Sains Tahun Tiga hingga Enam, Cikgu Ku Liana Farhany Ku Abdul Halim dari SK Kubang Gajah, Arau Perlis tampil berbeza, demi menarik minat murid mengikuti kelas PdPR, beliau bertukar watak mengikut topik yang diajar.

“Sebenarnya idea ni tercetus ketika selepas PKP 1 dahulu. Bila saya tanya anak murid, sejauh mana murid faham topik-topik yang diajar, saya dapat membuat kesimpulan, sebagai guru kita perlu lakukan sesuatu agar mereka faham topik yang kita ajar.

“Saya tidak boleh biarkan anak murid terus dalam keadaan demikian, jadi saya perlu lebih kreatif agar mereka tertarik dengan topik yang sedang mereka pelajari,” katanya.

Jelas beliau tanpa  interaksi secara langsung dengan guru, dan mengharapkan mereka akses sendiri tanpa penerangan, akan membuatkan murid gagal memahami tajuk setiap kali PdPR.

Justeru, guru asal Perlis ini tidak terus berdiam diri, sebelum melaksanakan idea tersebut, beliau telah mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa terlebih dahulu.

“Untuk PdPR menerusi Google Meet, sudah tentulah kita memerlukan bantuan daripada ibu bapa. Jadi sebelum ia dijalankan saya minta pandangan mereka, waktu bilakah yang paling sesuai. Kebanyakannya menyarankan saya membuat kelas tersebut pada waktu malam.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh memantau pembelajaran anak-anak ada waktu itu. Manakala sebelah siangnya pula, saya hanya memberikan tugasan dan nota tambahan melalui Google Classroom.

"Bagi saya cara itu lebih baik untuk saya menyemak jawapan pada soalan yang diberikan,” katanya.

Bercakap mengenai penampilan dan idea kreatif beliau, terang Cikgu Liana,  untuk menarik minat murid-murid sekolah rendah ini, seseorang itu haruslah kreatif dengan beberapa idea yang unik.

Penampilan dan karektor yang beliau bawa adalah salah satu cara untuk memudahkan murid mengingati topik yang dipelajari pada masa tersebut.

“Penyediaan bahan mengajar, selalunya saya akan sediakan satu atau dua hari sebelum kelas. Manakala untuk mekap dan berhias, tidak mengambil masa yang lama pun.

“Slide untuk Google Meet saya memang dah sediakan terlebih awal, lagu-lagu pun saya cari di YouTube sahaja,”jelasnya.