Tanyalah pada mana-mana guru, adakah mereka rindu atau tidak dengan suasana sekolah.

GPS Bestari yakin, jawapan yang diberikan oleh mereka ini adalah

“Ya, kami rindu, rindu sangat.

“Rindu nak jumpa murid-murid, rakan sekerja, kakitangan sekolah, pengawal keselamatan dan ramai lagi. Namun, apakan daya, kerana Covid-19, kami tidak dapat menikmati alam persekolahan seperti sebelum ini.

Guru Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah berkata, suasana belajar sekarang, tidak lagi seperti dulu.

“Saya nak jumpa anak-anak didik saya.

“Nak mengajar secara bersemuka. Nak dengar mereka berceloteh dan berkongsi kisah-kisah menarik. Tapi, bilakah masanya,” ujarnya sedih.

Mari kita ikuti, luahan hati Cikgu Ahmad Safarman terhadap murid-muridnya di sekolah berkenaan.

Harapnya suatu hari nanti, sekolah akan dibuka dan kerinduan guru ini akan terubat jua.

*****

Saya rindu sangat. Rindu dan teringat karenah anak murid dalam kelas.

Ingat lagi, bila masuk sahaja dalam kelas, semua berdiri dan bagi salam.

Selepas itu, sesi pengajaran pun mula berjalan dengan lancar.

Tengah mengajar, macam-macam murid tanya. Ada juga yang suka bersembang dan mengganggu kawan-kawan lain.

Tak kurang juga, angkat tangan dan memberitahu yang buku dan pensil mereka hilang.

Bagi cikgu-cikgu pula, macam-macam teknik mengajar digunakan. Ada yang mengetengahkan Teknik Ulat Beluncas Hijau, Teknik Peribahasa SEMUT, Teknik Putaran Waktu, Teknik Plat Nombor Guru dan pelbagai lagi.

Tak kurang juga, guru-guru menggunakan peta minda, peta konsep, pembentangan berkumpulan dan sebagainya untuk mengajar. Murid-murid sangat seronok dan memang teruja. Sampaikan ada murid tak bagi cikgu keluar dari kelas, semata-mata terlalu sukakan apa yang cikgu itu ajar.

Kalau waktu NILAM pula, satu kelas beratur pergi pusat sumber.

Terujanya mereka masuk pusat sumber apatah lagi pusat sumber sekolah sangat cantik dan tenang. Murid dapat membaca pelbagai jenis buku.

Masuk makmal komputer pula, cikgu-cikgu tayang slaid atau video pengajaran untuk murid-murid. Ada juga yang buat pembentengan berkumpulan. Malah, di makmal Sains pula, ada sahaja ekperimen yang menarik hati lebih-lebih lagi ada eksperimen buat jeruk dan pizza.

Di surau pula, penuh dengan anak-anak murid bila tibanya azan Zohor. Lucu kekadang ternampak guru mengejar dan mencari murid yang liat sembahyang.

Aktiviti kokurikulum pula, cukup memeriahkan waktu petang. Semua membuat pertandingan. Ganjaran hadiah dan sijil itulah menjadi rebutan.

Cikgu-cikgu pula boleh buat jamuan ‘pock luck’ dibilik guru. Macam-macam hidangan disediakan. Bahkan turut meraikan guru baru dan guru yang berpindah. Gembira sangat waktu itu.

Paling diingati dan terlekat di hati adalah murid-murid Tahun Enam. Berjuang untuk UPSR. Macam-macam perancangan yang dilakukan. Boleh bayangkan muka-muka yang akan masuk ke dalam dewan peperiksaan.

Akhir sekali bayangkan tangisan mereka apabila mendapat keputusan UPSR. Aduh, memang drama air mata dibuatnya.

Namun itu dulu. Kini, murid-murid terpaksa patuh SOP dengan belajar di rumah. Tiada lagi kedengaran jeritan cikgu di pagi hari. Tiada lagi kedengaran ucapan salam. Jauh sekali melihat murid-murid berlegar di persekitaran sekolah.

Kelas pula sudah berhabuk dan berdebu. Bangku kosong semata-mata. Tiada kata tiada suara.

Untuk murid-murid, teruskan belajar di rumah wahai pewaris masa hadapan.

Ingatlah pesanan Imam Syafi’i…

“Barangsiapa belum pernah merasakan pahitnya menuntut ilmu walau sesaat, ia akan menelan hinanya kebodohan sepanjang hidupnya.”

Artikel menarik

Hendak belajar namun rasa sangat malas? Ikuti 5 tip menarik perkongsian Cikgu Farhan

SJKT Bayan Lepas jual beg boleh guna, keuntungan digunakan beli tablet untuk murid