"BANYAK juga haiwan yang saya jumpa sepanjang perjalanan saya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entalau Lubok Antu.

"Antaranya, harimau kumbang, tenggiling, ular, burung enggang dan banyak lagi. Mula-mula, memang rasa takut, tapi lama-kelamaan ia bagaikan satu kebiasaan buat saya bila berada di sini.

Itu kata Cikgu Muhammad Zahiruddin Kusini, seorang guru yang telah mengajar di sekolah tersebut selama enam tahun.

Kata guru ini, pelbagai cabaran lagi telah dilalui sepanjang menjadi pendidik di sini.

"Ia pasti akan menjadi momen-momen indah buat saya...bila sudah tidak mengajar di SK Nanga Entalau Lubok Antu lagi," katanya.

Ikuti pengalaman hidup Cikgu Muhammad Zahiruddin...yang mungkin tidak pernah dilalui oleh guru-guru lain, menerusi perkongsian di facebook Cikgu Emmet Menulis.

**********

Getir di Nanga Entalau - Cabaran Cikgu Zahir

Cikgu Muhammad Zahiruddin Kusini, mula berkhidmat di SK Nanga Entalau, Lubok Antu sejak April 2014. Hampir enam tahun beliau di sini dan sekolah berkenaan dikategorikan sebagai sekolah Pedalaman 3 kerana jarak yang sangat jauh dengan pekan.

Terdapat tiga cara untuk mengakses ke sekolah iaitu;

1) Jalan 1: Sri Aman ke Pengkalan Murat 70km + Pengkalan Murat ke sekolah jalan sungai (menggunakan perahu panjang selama 2 jam) sehala.

2) Jalan 2: Sri Aman ke Pengkalan Murat 70km + Pengkalan Murat ke sekolah 26km kenderaan motor atau 4x4 jalan balak selama 1 jam sehala.

3) Jalan 3: Sri Aman ke Simpang Sebeliau 50km + Simpang Sebeliau ke sekolah 46km (menggunakan jalan balak 2 jam) sehala.

Beliau biasanya pulang ke sekolah secara berkala sama ada seminggu atau dua minggu sekali, keluar hari Jumaat kembali ke sekolah hari Ahad. Cuti panjang sahaja baru mudah untuk pulang ke semenanjung bertemu isteri dan anak.

Dahulu beliau menunggang dengan ramai rakan- rakan guru dan staf, namun sekarang ramai rakan dari semenanjung sudah berpindah disebabkan beliau seorang sahaja yang tinggal untuk menggunakan jalan ini. Beliau satu satunya guru semenanjung di sini.

Beliau menunggang honda wave 110s sahaja untuk ke sekolah. Bila ditanya kenapa tidak menggunakan Scrambler yang lebih lasak? Beliau menjawab

“Saya tidak beli motor scrambler kerana saya mengikut pesan cikgu terdahulu yang memakai motor kapcai jenis sama. Tayar sahaja diubah dengan jenis 205.

"Saya menunggang motor secara berseorangan sahaja dan kerana Jalan 2 iaitu dari Pengkalan Murat ke sekolah telah putus lama dan tidak dibaiki. Oleh itu, selama dua tahun ini saya terpaksa menggunakan Jalan 3 iaitu dari simpang Sebeliau ke sekolah berseorangan," katanya.

Bila ditanya cabaran dan peristiwa getir yang ditempuhi, Cikgu Zahir menyenaraikan beberapa peristiwa antaranya ialah...

Jalan putus, menunggang sewaktu malam, pernah sesat di hutan dan di selamatkan, pernah balik pukul 1 pagi baru sampai rumah sewa dari sekolah kerana jalan dibaiki juga pernah.

Pengalaman berjumpa pelbagai haiwan seperti khinzir hutan, harimau kumbang, tenggiling, burung enggang, ular dan pelbagai jenis serangga bersaiz lebih besar juga sudah menjadi kebiasaan.

Cikgu Zahir merupakan seorang guru ICT dan guru data. Sekolah juga tiada capaian rangkaian internet yang baik dan talian telefon. Segala urusan membabitkan online perlu menggunakan 1 Bestari atau semasa keluar dari sekolah sahaja baru dapat diselesaikan.

Pelbagai perkara yang di kecapi sepanjang enam tahun di sini. Kesemuanya memori indah yang telah dilalui dan tidak dapat lupakan sepanjang hayat. Setiap perjalanan ada kesukaran dan ada pengakhiran. Perit dan jerih untuk berkhidmat di sekolah ini senantiasa beliau sematkan di dalam sanubari demi anak bangsa.

Cikgu Zahir juga begitu rapat dengan masyarakat Iban di Ng Entalau. Mereka adalah kaum yang lembut hati dan mudah menerima guru-guru luar seperti saya. Saya sangat tertarik dengan budaya dan adat Iban di sini. Malah murid-murid Iban di sini boleh dikategorikan sebagai murid yang rajin berusaha.

Pelbagai pengalaman suka dan duka sepanjang saya berada di sini. Beliau berharap dapat kembali berkhidmat di Selangor semula kerana merindui isteri dan anak yang masih kecil.

Terima kasih Cikgu Zahir...budi dan bakti cikgu tetap disanjung tinggi.

Sumber: Facebook Cikgu Emmet Menulis

Artikel Menarik:

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

“Semoga ustaz sihat dan masuk syurga”- Ustaz ini sanggup menari demi murid Pendidikan Khas

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya