Perkongsian seorang Guru Adiwira tentang majlis perkahwinannya yang berlangsung sekitar tahun 2017 menjadi tular di media massa. Tindakan guru tersebut berkongsi kembali kisah bahagia raja seharinya bersama 100 anak orang asli telah mendapat reaksi pelbagai.

Rata-rata memuji guru bahasa Inggeris asal Kuantan, Pahang ini kerana kegigihan, kasih sayang, pengorbanan dan keluhuran hatinya terhadap anak murid orang asli yang dididiknya.

Siapa yang tidak kenal dengan Guru Adiwira, Cikgu Samuel Isaiah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sam dalam kalangan muridnya.

Cikgu Samuel bersama isteri, Dr. Shanti Mugunen

Keluhuran hati, berserta usaha dan pendekatannya dalam kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris kepada anak orang asli Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang, wajar dipuji.

Disebabkan kejujuran dan keluhuran itulah, Cikgu Samuel menjadi kesayangan ramai di sekolahnya.

“Anak-anak murid saya merupakan orang terpenting dan menjadi sebahagian dalam kehidupan saya. Bila dapat tahu saya bakal mendirikan rumah tangga, mereka teruja.  Sehinggakan mereka sendiri telah merancang mahu datang, bercerita mengenai makanan yang bakal ada, dan apa pakaian yang mereka mahu pakai.

Kumpulan tarian Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang

“Waktu tu saya tahu, ianya cuma angan-angan sahaja. Kerana realitinya, adalah cukup sukar pada ketika itu untuk mereka hadir. Namun disebabkan kasih sayang saya kepada mereka, saya putuskan untuk menjadikannya satu realiti, demi kegembiraan mereka,”katanya.

Tambah Cikgu Samuel, kad jemputan perkahwinan untuk warga pendidik SK Runchang, Muadzam Shah Pahang diseliakan sepenuhnya oleh anak muridnya sendiri.

Sesuai dengan Cikgu Samuel yang mengajar subjek bahasa Inggeris, beliau gunakan peluang itu sebagai pendidikan tambahan penguasaan bahasa Inggeris.

Murid orang asli Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang, menunjukkan bakat

“Saya gunakanya sebagai satu peluang untuk mereka mengunakan bahasa Inggeris, jadi semua jemputan harus ditutur dalam bahasa Inggeris,”katanya.

Menurut Cikgu Samuel, selain murid, ibu bapa dan penduduk kampung juga antara yang gembira mendengar perkhabaran itu.

“Ibu bapa juga seronok apabila mengetahui saya bakal berkahwin. Ramai yang mahu turut serta, tetapi sukar kerana kekangan pengangkutan. Apabila saya memberikan surat dan borang pelepasan, mereka dengan  rela hati menghantar anak-anak mereka. Di samping itu, ramai ibu bapa juga memberikan hadiah kepada saya. Kebanyakannya ringkas, tetapi cukup bermakna bagi saya. Ya, ini mungkin satu penghargaan buat mereka. Bagi saya, anak-anak orang Asli saya adalah lebih daripada murid saya, mereka adalah keluarga saya,”katanya.

Antara aksi menarik oleh murid Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang

Ditanya tentang persiapan tarian dan persembahan, Cikgu Samuel berkata, Cikgu Faizal dan Cikgu Noraziema adalah tulang belakang di sebalik pasukan tarian tersebut.

“Tujuan mereka adalah, supaya anak-anak orang asli kami menghargai asal usul budaya mereka, disamping meningkatkan kebolehan dan keyakinan mereka.

“Pakaian kulit kayu penari disediakan oleh Cikgu Noraziema, yang juga berbangsa Orang asli. Rentak dan pergerakan penari pula banyak diketengahkan oleh Cikgu Faizal, yang cuba sedaya upaya untuk mengetengahkan budaya masyarakat,”katanya.

Kejutan buat Cikgu Samuel dan isteri

Ikuti perkongsian Cikgu Samuel

“Sebelum berkahwin, isteri saya Dr. Shanti Mugunen, sudah mengetahui, keakraban antara saya dengan anak murid saya. Malah, isteri juga tahu, anak-anak Orang asli ini sudah saya anggap seperti anak-anak sendiri.

“Isteri saya seorang yang memahami dan menjadi penyokong kuat dalam apa sahaja keputusan yang saya lakukan.

Ketika sedang membuat persiapan perkahwinan, anak-anak murid saya menjadi antara orang yang paling gembira dan teruja.

Anak murid perempuan saya juga mula bertanya banyak soalan, di mana lokasi, berapa orang yang akan hadir, dan tema warna, termasuklah pakaian apakah yang akan saya dan isteri pakai nanti.

Sementara yang lelaki pula lebih teruja kepada makanan yang bakal dihidang pada majlis tersebut.

Boleh bayangkan semua anak murid saya ini datang ke majlis perkahwinan saya sendiri? Ia menggusarkan hati saya. Walaupun jauh di sudut hati saya memang mahukan mereka ada di sisi saya ketika di majlis besar saya itu.

Meraikan pengantin baru dengan persembahan khas dari Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang

- Jarak 200km, perjalanan termasuk pergi dan balik.

- Saya tidak mampu membawa kesemua mereka ke majlis saya, dan ia cukup membuatkan hati saya sedih dan sebak.

-Adakah ibu bapa mereka setuju?

- Kosnya pula bagaimana?

-Apa yang penting, adakah isteri saya menerimanya? Hahahaha

Sejujurnya saya akan lakukannya, saya tidak mahu mengecewakan mereka…

Antara murid yang hadir bersama pengantin

Sebelum majlis perkahwinan, anak murid saya turut membantu saya mengedarkan kad jemputan kepada guru-guru di sekolah.

Ketika anak murid saya yang berusia 10 hingga 11 tahun mengedarkan kad jemputan, mereka turut menyampaikan jemputan bagi pihak saya,“Jangan lupa datang ke majlis perkahwinan Cikgu Sam, terima kasih.”

Melihat keterujaan mereka yang begitu teringin menjadi sebahagian orang penting dalam majlis perkahwinannya saya.,

Saya membuat keputusan untuk menyewa sebuah bas yang hanya mampu memuatkan penumpang sebanyak 50 orang sahaja, dengan kos sewaan berjumlah RM1,000.

Mujurlah seorang sahabat, Cikgu Affendi memberikan pengurangan sebanyak RM300. Menjadikan kos sewa itu hanyalah RM700 sahaja.

Beberapa hari sebelum majlis berlangsung, beberapa orang murid menemui saya dan mengatakan mereka ingin turut sama dalam majlis tersebut.

Hati saya semakin sebak… saya perlukan mereka tapi bas yang disewa hanya boleh untuk 50 penumpang sahaja. Sukar untuk saya nyatakan TIDAK BOLEH, dan dalam masa sama, saya juga tidak mampu untuk sewa sebuah bas lagi.

Kenangan manis pengantin bersama murid Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang

Setiap masa saya berdoa, moga diberikan jalan dan mereka dapat bersama saya pada hari bahagia itu nanti.

Saya bersyukur, akhirnya saya berjaya menyewa sebuah bas lebih besar yang mampu menempatkan 60 anak murid dengan dua orang guru. Terima kasih Cikgu Fauziah dan Cikgu Ju. Sementara pasukan ragbi dan tarian pula datang bersama Cikgu Faiz dan Cikgu Affendi.

Manakala anak murid saya yang sudah bersekolah menengah pula, mereka menaiki bas dengan membayar tambang sendiri ke majlis perkahwinan saya.

Tidak dapat saya bayangkan betapa gembiranya saya dan isteri. Kami rasa betul-betul sebak apabila melihat semua anak murid saya ada bersama.

Mereka betul-betul gembira dan melihat isteri saya bagaikan seorang puteri.

Pasukan rugbi Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah Pahang

Di sebalik keramaian itu, tetamu tertumpu ke arah sekumpulan anak orang asli yang bersemangat memukul tongkat buluh mereka diiringi alunan muzik yang dimainkan.

Saya dan isteri betul-betul terkejut. Rupanya mereka sudah berkerja keras dan gigih berlatih untuk menghadiahkan kami persembahan tarian kebudayaan orang Asli.

Persembahan tarian mereka sangat menajubkan. Persembahan mereka menarik perhatian ramai  sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada para tetamu.

Reaksi keluarga dan semua pengunjung yang hadir cukup menggembirakan hati saya. Mereka bukan sahaja melayan karenah anak-anak orang asli saya, tetapi juga memberi sokongan padu semasa persembahan.

Anak-anak saya menjadi seperti selebriti pada hari itu, kerana bakat dan kesungguhan mereka membuat persembahan tarian.

Majlis perkahwinan saya menjadi begitu unik, seolah-olah mengubah konsep pernikahan kepada perayaan tarian kebudayaan!

Saya berasa amat bangga dan tidak akan melupakan anak-anak ini seumur hidup saya. Mereka adalah wira yang telah mengubah kehidupan saya. Saya juga bersyukur kerana telah bertemu mereka. Terima kasih, anak-anak. Saya sayang kamu semua.