"MAK, nanti mak datang sekolah ye, tengok Uda naik pentas ambik hadiah. Uda teringin mak datang tengok Uda.

Mak jawab

“Biarlah abah je datang tengok kau.”

Itulah antara baris-baris ayat yang pastinya membuatkan ramai sebak.

Cikgu Pe Chey atau nama sebenarnya Nor Faisal Ishak menerusi posting ' Kalaulah mak hidup lagi' berkongsi kisah tentang ibunya, Noriah @ Hadiya binti Loran.

Rasa sedih Cikgu Pe Chey terhadap ibunya diterjemahkan menerusi artikel ini.

Ikuti perkongsian beliau.

**********

Kalaulah mak hidup lagi.

Sejak kecik lagi, aku memang rapat dengan mak. Aku tak tahu kenapa tuhan aturkan sebegitu. Bukanlah aku ni anak yang baik sangat pun, namun kisah aku sebegitulah.

Banyak impian aku pada mak, yang tak terlaksana atau mudah katanya, apa yang aku impikan, tak pernahlah aku rasakan.

Masa aku darjah 1 (tahun 1981), aku pernah dapat nombor 2 dalam kelas peperiksaan akhir tahun. Aku dapat hadiah nanti masa hari penyampaian hadiah.

"Mak, nanti mak datang sekolah ye, tengok uda naik pentas ambik hadiah. Uda teringin mak datang tengok uda.”

Aku pujuk mak. Pujuk budak darjah 1.

Mak balas,

“Biarlah abah je datang tengok kau.”

Mak tak datang. Adalah sebab-sebabnya.

Aku, macam biasa, menahan rasa.

Masa aku dapat 4A 1B penilaian darjah 5 (tahun 1985), mak macam biasa tak datang. Abah je yang ada, itu pun bila loceng balik sekolah berbunyi. Abah peluk aku. Aku hiba.

Sampai di rumah, baru aku tunjukkan kat mak, keputusan aku. Mak senyum. Tawar. Tapi aku tau, mak bangga. Aku dah pecahkan “tradisi" keputusan penilaian darjah 5 itu di kalangan abang dan kakak-kakakku.

Aku tetap nantikan saat impian aku, mak datang tengok aku dapat anugerah.

Masa SPM (tahun 1991), aku pelajar terbaik mata pelajaran Bahasa Malaysia. Aku dapat A1. Aku bagi tahu mak lagi masa tu,

“Mak, Uda dapat anugerah pelajar terbaik ni. Tun Ahmad Sarji akan bagi anugerah ni mak. Mak datang ye tengok Uda. Uda teringinlah tengok mak datang masa tu nanti.”

“Tak payahlah. Biarlah abah je datang tengok. Mak seganlah, mak tak de baju. Biarlah mak tunggu kau balik. Mak masak lauk kau suka.”

Mak masih berdalih. Begitulah mak. Aku faham akan tahap keyakinan mak. Dia mana pernah tengok kejayaan anak-anaknya terima anugerah. Sedihkan? Inilah kisah benar.

1998.

Aku berkonvo maktab. Aku terpaksa terbang jauh ke Tuaran, Sabah. Aku pergi seorang diri. Aku dah tak harap mak datang. Aku tau mak takkan datang sebab dia, naik kereta pun muntah, inikan pulak nak naik kapal terbang.

“Mak, Uda pergi dulu ye. Uda pergi konvo maktab. Uda dapat CGPA 3.42 mak. Sikit je lagi nak cemerlang. Mak doakan Uda selamat ye. Selamat pergi, selamat balik, jumpa mak.”

Mak senyum.

“Elok-elok. Jaga diri tu. Barang tu jaga. Tak payah beli apa-apa untuk mak. Kau tu bukan berduit pun. Janii kau selamat balik.”

Aku dah mula faham, aku takkan dapat apa yang aku impikan. Pada usia 24 tahun, aku redha yang mak, bukanlah macam mak kawan lain. Dia memang mak yang lain dari yang lain.

Aku lap air mata. Tak pernah orang nampak aku mengalirkan air mata bila aku rasa begini.

Tahun 2015, dewan PWTC, Kuala Lumpur.

Usia dah menjangkau 41 tahun. Aku akan terima ijazah. Universiti Terbuka Malaysia.

Aku ajak mak, saat akhir aku tamat peperiksaan tersebut, di hujung tahun 2014. Aku kata pada mak waktu itu,

“Mak, kali ni Uda harap sangat mak datang tengok Uda konvo ye mak. Uda dah habis degree mak, Uda akan dapat ijazah. Biarlah dulu, Uda tak dapat masuk USM lepas STPM, tuhan bagi Uda pada umur tua dah mak. Alhamdulillah. Uda merasa juga akhirnya mak.”

Mak senyum. Saat itu, kesihatannya dah tak berapa baik. Dia duduk atas kerusi roda.

“Kalau mak sihat, mak pergi ye Da. Mak bangga dengan kau. Kau gigih Uda, mak nampak tu. Biar pun dulu kau pernah kecewa tak masuk universiti, kau tetap usaha juga biar pun umur makin tua. Mak bangga dengan kau.”

Aku pegang tangan mak masa tu. Airmata aku mengalir. Akhirnya, keluar dari mulut mak, ayat sangat bermakna yang aku harapkan selama ini. Adegan di depan rumah di Slim River ni takkan aku lupakan sepanjang hayat.

Mak meninggal dunia pada 9 Januari 2015, sedangkan aku berkonvo pada bulan Julai tahun tersebut. Rupanya, skrol ijazah itu, aku tunjukkan kat mak, di pusaranya sahaja.

“Mak, Uda dah konvo mak. Ini ijazah Uda. Uda ada ijazah dah mak. Sayangnya, mak tak dapat tengok kejayaan Uda mak. Sedih Uda mak.”

Andai, hari ini aku dikenali ramai, nama Pe Chey itu masyhur di mana-mana, ia sedikit pun tidak dapat memadamkan kekecewaan aku sepanjang hayat, inginkan mak ada dengan aku, di saat aku berjaya dan mengharumkan namanya, bahawa yang aku ini anak Noriah @ Hadiya binti Loran.

Sumber: Facebook Pe Chey

Artikel menarik:

Tiga guru hebat yang jadi sebutan ramai tahun ini. Jom kenal dengan lebih dekat

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka

'Saya takkan lupa tanggal 17 Mac!’- Pengetua kongsi pengalaman, disahkan hidap kanser dan Covid-19