Kerana lapar, dia sanggup makan kertas dan pemadam di dalam kelas.

Kerana itu juga, dia dirujuk kepada kaunselor sekolah dek perangai peliknya itu.

Abdul Muiez Ruslee yang memuat naik status tersebut di laman Facebook tahun lalu, berkongsi kisah benar apa sebenarnya yang berlaku terhadap 'dia'.

"Berkolam air mata saya. Saya fikir, kisah seperti ini hanya hikayat di dalam novel dan drama. Rupa-rupanya masih berlaku di negara yang serba kaya ini."

Ikuti kisah menyentuh hati ini yang pastinya akan membuatkan semua sebak.

 

**********

 

“Zana. Cuba Zana senaraikan apa makanan yang Zana teringiiiiiiiiin sangat dan dah lama tak makan?”

Zana hanya berdiam diri. Selepas didesak, dengan suara antara dengar dan tidak, dia menjawab, “saya teringiiiiin sangat nak makan Twisties dan Super Ring.”

Aduh. Sebak saya mendengar kisah rakan kaunselor mengenai klien dia yang seorang ini. Di saat anak-anak kita merengek untuk menikmati makanan yang lazat dan mewah, ada juga pelajar yang hanya ingin melunaskan hajat dengan menikmati makanan murah itu ekoran kemiskinan.

Abangnya yang berada di tingkatan 3 juga pernah dirujuk kepada kaunselor kerana makan kertas dan pemadam di dalam kelas lantaran kelaparan yang teramat.

Sekali lagi saya sebak.

Hal ini berlaku akibat penceraian ibu bapa. Si bapa hilang tanpa berita manakala si ibu yang uzur hanya mampu berada di rumah.

Siapa yang menyara keluarga?

Abang sulung adik beradik ini yang sepatutnya mengambil SPM November nanti, sanggup berkorban dengan berhenti sekolah dan membanting tulang di kilang ais untuk memastikan tembolok mereka sekeluarga terisi. Sekurang-kurangnya untuk satu hari lagi.

Berkolam air mata saya. Saya fikir, kisah seperti ini hanya hikayat di dalam novel dan drama. Rupa-rupanya masih berlaku di negara yang serba kaya ini.

Hari ini si abang mengadu lagi. Katanya esok dia tiada wang untuk berbelanja.

Kami di sekolah ada menyediakan kupon belanja untuk pelajar-pelajar yang memerlukan. Kupon ini diletakkan di bawah Unit Kebajikan dan dibantu urus oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling. Kupon ini boleh di belanja di kantin sahaja.

Setakat ini, hanya itu yang termampu untuk kami sumbangkan agar pelajar-pelajar tidak kelaparan.

#CeritaAMR

 

Sumber: Facebook Abdul Muiez Ruslee

Beliau merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Besar

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarkan duit seringgit dari dalam dompetnya.. Guru sebak lihat kegigihan mak ayah selesaikan yuran

ARTIKEL BERKAITAN: Diberi peluang tidur di rumah kecil bekas pelajar..Pegawai PPD ini kongsi apa yang dirasai

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal kuasai subjek Matematik..rupa-rupanya ini faktor sebenar pelajar lemah dan corot subjek itu