Setiap orang pasti ada kisah hidup yang penuh dengan kenangan manis dan pahit ketika zaman persekolahannya.

Begitu juga dengan Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang pernah bersekolah di SK Sg Korok Baru, Alor Star, Maktab Mahmud dan Kolej Islam Klang.

Setiap satunya, ada cerita dan manisnya yang tersendiri sehingga membuatkan beliau terus mengingatinya sehingga sekarang.

Mari ikuti kisah hidup Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang kini Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie.

Semangat juang, sentiasa berusaha dan tidak pernah berputus asa dalam diri beliau boleh dijadikan contoh dan inspirasi untuk semua.      

 

 

**********

 

 

ANAK DESA KE PERSADA ANTARABANGSA

Saya dilahirkan pada 5 Mac 1964 dalam satu keluarga yang sederhana.

Tempat kelahiran ialah Jalan Lumpur, Alor Setar, Kedah. Saya masih ingat rumah tempat kelahiran saya walaupun sudah tiada.

Saya anak keempat tapi kakak sulung saya telah meninggal dunia semasa beliau berumur 10 tahun. Sudah pasti beliau berada di syurga sekarang.

Ayah saya seorang peniaga ikan di pasar besar Alor Setar dan pendapatannya adalah mencukupi walaupun tidak banyak.

Namun segala kesederhanaan dan kecukupan hidup sekelip mata berubah apabila emak saya diceraikan waktu umur saya baru 10 bulan.

Emak saya (Ain Noor Ain) terpaksa mencari pelbagai pekerjaan sampingan hanya untuk menyediakan sedikit makanan supaya tidak kelaparan.

Keluarga dan masyarakat malangnya suka memandang rendah kepada janda. Mereka belum mengetahui betapa tinggi semangat dan daya juang serta sikap kehidupan emak saya ini.

Di saat itulah, seorang jejaka muda yang bernama Mohd Jamil Abdullah tampil untuk melamar emak saya sebagai isteri beliau dan juga ayah kepada saya yang masih kecil.

Dengan rasa keberatan, emak saya telah menerima lamaran beliau kerana mengetahui keluarga suaminya yang baru ini akan terus memandang hina dan rendah kepada janda anak empat. Betul dan tepat. Abah saya (dialah sebenarnya berlian dalam kehidupan dan pembelajaran saya) telah dipinggirkan oleh keluarganya.

Kami bertiga telah meninggalkan bandar Alor Star ke satu bandar kecil bernama Bedung berdekatan Sg Petani kalau anda tidak pernah mendengar nama tempat ini.

Pekerjaan abah sepenuh masa adalah pencari kayu api di hutan pokok getah. Saya adalah pembantu utamanya semasa berumur 5-6 tahun.

Kerjaya emak? Membasuh dan mengosok baju orang dan juga memasak bila ada permintaan. Pengajaran hidup: apabila ada halangan dalam kehidupan, Allah pasti akan buka banyak lagi pintu-pintu kehidupan. Burung yang terbang di awal pagi tidak tahu di mana dan bagaimana mendapat rezekinya.

Semasa saya berumur hampir 7 tahun, kami berpindah balik ke Alor Star. Kami menyewa di Simpang Kuala iaitu jalan ke Kuala Kedah.

Abah dapat kerja baru: pembantu di kantin di sekolah Maktab Mahmud. Gaji RM20 sebulan. Anugerah hebat. Pendapatan tetap. Alhamdulillah.

Emak saya menjadi guru al-Quran kampung. Di zaman mudanya, beliau sempat belajar al-Quran dengan guru yang sama dengan Ustaz Ismail Hashim johan qari antarabangsa beberapa kali. Namun terpaksa berhenti belajar kerana desakan kerja dan kemiskinan.

Emak saya adalah guru al-Quran untuk seluruh kawasan 2-3 kilomoter radius. Pembantu beliau adalah saya. Itu berita baik.

Berita kurang enak bagi saya di zaman kanak-kanak, saya tidak mempunyai masa bermain yang banyak kerana terpaksa menunggu sehingga semua habis mengaji. Geram. Perasaan seorang budak kampung yang banyak aktiviti permainan. Saya cukup gembira belajar al-Quran - Kalam Allah yang Suci - daripada emak sendiri dan juga mengajar al-Quran kepada rakan-rakan kampung iaitu abang2, kakak2, rakan sebaya dan adik2.

Resume saya bermula sebagai pembantu pencari kayu api dan pembantu guru al-Quran sebelum saya menjadi pensyarah dan juga penasihat dan usahawan Syariah global.

Nasib kita dalam pendidikan tidak sama. Ada yang berkesempatan belajar dan ada yang tidak. Bersyukurlah kepada Allah kalau anda tergolong dalam golongan pertama.

Emak saya, walaupun celik al-Quran, tidak berpeluang kerana faktor kemiskinan. Emak saya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang guru tapi tak kesampaian.

Bagi diri saya, saya mulai dengan mengaji al-Quran dengan emak sendiri.

Sekolah pertama saya adalah Sekolah Kebangsaan Sg Korok Baru di Alor Star yang terletak sejauh lebih kurang 2 km dari rumah. Terpaksa berjalan ke sekolah setiap hari.

Saya amat suka pergi sekolah kerana dapat belajar sesuatu yang baru dan juga kerana cikgu-cikgunya yang dedikasi dan penyayang. Saya tak suka ponteng sekolah. Suka sangat-sangat.

Cikgu Ibrahim adalah mentor dan idola saya yang pertama.

Beliau mengajar dan juga mendidik serta memberi inspirasi. Beliau mengamanahkan saya memeriksa jawapan dalam latihan ilmu hisab atau Matematik semasa saya darjah 5 dan 6.

Saya jadi popular sebagai pembantu guru walaupun bukan sepandai Victor Frenkestein atau al-Jabri atau al-Khawarizmi. Saya kena datang awal pagi dalam pukul 6.45 pagi untuk membantu cikgu dan lebih penting lagi, tanpa saya sedari, membina keperibadian saya seawal umur 11 -12 tahun.

Gelombang tsunami pertama berlaku apabila tamat darjah 6. Ramai rakan-rakan telah memilih sekolah menengah arus perdana.

Abah dan emak nak masukkan saya ke sekolah agama Maktab Mahmud. “Sekolah Arab” itulah nama diberi oleh masyarakat. Negatif sangat.

Kata masyarakat, “Peluang pekerjaan kepada budak sekolah Arab adalah ustaz, imam, bilal dan penganggur”. Tambahan lagi saya terpaksa masuk kelas peralihan bahasa Arab selama setahun. “Not fair” kata orang sekarang. Ini tidak patut berbanding rakan-rakan saya.

Saya adalah pelajar terbaik penilaian darjah 5 (iaitu UPSR di zaman sekarang). Mana mungkin pelajar terbaik sekolah hanya berakhir di sekolah Arab? Pemikiran negatif. Bukan masyarakat sahaja yang negatif, saya pun terpengaruh dengan prasangka hitam masyarakat. Saya mencuba nasib di MRSM tapi gagal dalam ujian IQ. Minda saintifik saya lemah. Akhirnya, terpaksa akur dengan kemampuan sendiri dan juga harapan abah dan emak untuk saya belajar agama.

Hari pertama di Maktab Mahmud amat luar biasa sekali. Seolah-olah ada perancangan Allah yang tersimpan untuk saya.

Hari pertama terus jatuh cinta dan minat belajar bahasa Arab dan agama. Jangan benci sesuatu takut dalamnya ada kebaikan dan sebaliknya. Itulah mesej al-Quran.

Saya rasa bangga kerana dapat belajar bahasa asing pada umur 13 tahun berbanding rakan2 saya di sekolah biasa.

Dengan izin Allah, saya mendapat kejayaan paling cemerlang dalam kelas peralihan dan terus lompat ke tingkatan 2.

Maktab Mahmud menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Hebat sekali. Skil bahasa Arab saya berputik di sini. Pengajian Nahu dan Saraf di tingkatan 2 bersama Ustaz Ghani Ibrahim membuka minda Nahu dan Saraf atau morfologi saya sehingga hari ini. Bagi saya, beliau adalah guru Nahu terbaik di dunia.

Selepas SRP atau PMR, saya ditawarkan belajar di Kolej Islam Klang (KIK). Sekolah impian kepada semua pelajar agama dan bahasa Arab di Malaysia pada masa itu. Satu-satunya sekolah asrama penuh untuk aliran agama.

KIK mengajar saya disiplin belajar dan skil kepimpinan. Ia juga menjadikan saya celik apa erti beragama dalam konteks kehidupan. Tasawwur Islam yang jelas dan mengerakkan untuk beramal.

Sebelum sempat menduduki peperiksaan STP di Tingkatan Enam Atas, saya mendapat tawaran belajar di Universiti Kuwait dengan biasiswa penuh kerajaan Kuwait.

Bak kata pepatah “pucuk di cita ulam mendatang” (moga-moga peribahasa ini betul diungkap), saya terus menerima tawaran ini. Siapa yang akan menolak tawaran sebegini?

Gelombang tsunami kedua berlaku. Ramai ‘penasihat-penasihat’ abah di kampung ‘menasihati’ abah jangan benarkan saya belajar tinggi di luar negara hanya kerana saya adalah anak tiri dan mungkin lupa daratan..seperti kacang lupakan kulit.

Mereka prasangka buruk terhadap saya dan mereka belum mengenali hati budi saya. Emak saya telah melaluinya sebelum ini dan sekarang giliran saya.

Saya perlukan wang tunai untuk membeli tiket penerbangan dan sedikit pakaian baru berjumlah RM1200. Abah datang ke Kuala Lumpur untuk memujuk supaya saya tolak tawaran. Kami berjumpa di Masjid Negara. Tiada wang yang dibawa. Dunia macam nak runtuh. Kiamat. Menyerah kalah? Tidak sekali-kali. Saya berkata kepada abah bahawa saya akan cuba cari wang sendiri.

“Abah jangan bimbang. Akan diusahakan nanti. Kalau ada rezeki, Daud boleh pergi ke Kuwait. Kalau tidak, memang tiada rezeki kita”, itulah kata-kata saya sewaktu menghantarnya di stesen bas Pudu Raya untuk balik ke Alor Star.

Pengajian saya di Kuwait adalah peluang terbaik kerana pelajar2 Malaysia di sana tidak ramai.

Saya adalah pelajar Malaysia yang pertama di bidang Syariah. Bahasa Arab dapat dikuasai dengan baik, lancar, yakin, mempesona dan anggun.

Saya selalu mendapat pujian akademik setiap semester atau Dean’s List dalam bahasa moden. Satu lagi aspek, saya sempat bekerja di Kuwait secara separuh masa waktu tengah belajar dan juga sepenuh masa setelah tamat. Ini kelebihan yang ramai rakan2 saya tidak ada.

Seterusnya, pada tahun 1990 saya mendapat biasiswa JPA dan UIA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di St Andrews, UK.

Bidang kajian usul fekah dengan rujukan khusus kepada fenomena ikhtikaf ulamak dan instrumen tarjih. Saya lebih suka melihat diri saya sebagai peribadi usul fekah lebih daripada kewangan Islam. Itu ilmu teras saya. Gandingan antara tradisi ilmu di negara Arab dan UK adalah jelas dalam membentuk keperibadian saya.

Saya pulang ke Malaysia pada tahun 1994 dengan PhD.

Pada tahun 1996, saya telah mendaftar sebagai pelajar kursus undang-undang jurisprudens (program eksternal) di Universiti Malaysia.

Selepas 6 tahun, saya berjaya menamatkannya. CGPA....jangan tanya. Rahsia. Hujung minggu saya selama 6 tahun habis di kelas-kelas hujung minggu. Perit tapi apakan daya. Walaupun rezeki burung dah ada dalam kitab Ilahi, Allah tak akan meletak makanan burung dalam paruhnya.

Kemungkinan besar saya adalah satu-satunya sarjana Syariah di Malaysia yang mempunyai dua ijazah Syariah dan Undang-undang dalam tempoh pengajian 10 tahun sebagai ijazah utama. Saya rasa puas sebab saya ada kedua-dua aspek undang-undang sepertimana saya juga puas dengan menguasai dua bahasa iaitu Arab dan Inggeris.

Saya tahu cerita ini agak panjang sikit. Maklumlah cerita 23 tahun.

Kalaulah boleh saya kembali ke zaman lampau, saya menginginkan dua perkara.

Pertama saya akan menjauhi setiap maksiat yang telah dilakukan di masa lepas terhadap Allah dan kesalahan terhadap manusia dan yang kedua untuk belajar semula.

Belajar adalah mudah dan menyeronokkan. Anda ada guru-guru hebat di hadapan anda. Tanyalah mereka ilmu dan skil kehidupan sebab mereka adalah gudang ilmu dan inspirasi. Berinteraksilah dengan mereka. Ambillah ilmu dan hikmah sebanyak mungkin. Jangan jadi pelajar yang kosong ruh dan jiwanya (soul-less). Kaku dan membisu. Ada seperti tiada.

Semoga Allah merahmati guru-guru kita yang masih hidup atau telah meninggalkan kita. Diri kita adalah apa yang dipelajari dari mereka. Jangan sombong dan bongkak dengan diri sendiri sebab semua orang kena belajar dari orang lain.

(Semoga anak2 kita, anak2 saudara kita dan masyarakat kita rajin dan SUKA belajar).

 

MDB

 

- Datuk Dr Mohd Daud Bakar merupakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie.

Amanie Advisors, salah sebuah syarikat utama Kumpulan Amanie yang kini menabur khidmat di beberapa bandar utama dunia.

- Juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan. Seterusnya sebagai ahli Badan Penasihat Syariah pelbagai institusi kewangan global, antaranya National Bank of Oman (Oman), Amundi Asset Management (Perancis), Morgan Stanley (Dubai), Bank of London and Middle East (London), BNP Paribas (Bahrain), Dow Jones Islamic Market Index (New York) dan First Abu Dhabi Bank (UAE).

- Turut menganggotai Lembaga Pengarah Sime Darby Property Berhad, selain berperanan sebagai ahli Jawatankuasa Pelaburan PNB.

- Pelantikan terbaru sebagai Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Beliau juga penyandang ketiga Kerusi Perbankan dan Kewangan Islam Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI) PNB di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

- Menerima Anugerah Kecemerlangan bagi Sumbangan Ulung bagi Kepimpinan dan Khidmat Nasihat Syariah' di Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Sukuk London dan Anugerah Penasihat Syariah di Majlis Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A.

- Sebelum itu, pada 2014, dianugerahkan gelaran Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2014 oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lima guru SMK Jerlun terpilih SISC+..mereka kongsi Amalan Terbaik

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana minat dengan subjek Kimia..bekas pelajar ini digelar Wan Kimia

ARTIKEL BERKAITAN: Kutip barang terpakai kat tong sampah..Ijat sanggup buat semua ini untuk masuk asrama