Malam Anugerah Adiwira PAK21

Sekalung penghargaan buat Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) atas inisiatif memartabatkan golongan pendidik dengan menganjurkan pertandingan pedagogi PAK21 seterusnya meraikan pemenang dengan penuh penghormatan.

PADU - Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan atau Education Performance and Delivery Unit ditubuhkan pada tahun 2013.

PADU menggabungkan fungsi Pejabat Pelaksanaan Pendidikan iaitu unit yang memantau pelaksanaan inisiatif di bawah Program Transformasi Kerajaan, (GTP) Program Transformasi Ekonomi, (ETP) dan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) iaitu unit yang membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

PADU berperanan untuk memacu pelaksanaan semua inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Kementerian dan di sekolah.

Seiring dengan visi, Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera; PADU menjadi rakan strategik KPM untuk memacu transformasi sistem pendidikan negara dengan menjejak kemajuan semua inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 dan memastikan kejayaan transformasi pendidikan negara.

Pertandingan Adiwira PAK 21 merupakan satu anjakan paradigma dalam mengenengahkan amalan terbaik pedagogi.

Saya mengikut rapat perkembangan pertandingan ini sejak mula sementelah turut bersama ketika majlis Pelancaran Kempen Pembelajaran Guru Abad Ke-21 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia; YB Dr Maszlee tanggal 20.12.2018.

Sebagai seorang senior dalam dunia pendidikan, saya berasa amat teruja melihat para guru diberi penghargaan dan penghormatan. Ini satu senario yang dapat menyuntik semangat guru untuk terus berinovatif dan berkreatif agar proses pembelajaran menjadi lebih bermakna.

Seiring dengan perubahan zaman, gaya pembelajaran hari ini menuntut warga pendidik untuk mempelbagaikan gaya pengajaran bagi meningkatkan tahap keberkesanan.   

Tahniah diucapkan kepada 1063 orang guru yang menyahut cabaran untuk menyertai, seterusnya tersenarai sebagai terbaik 100, 50, 30 dan finalis 10.

1. Muhammad Nazmi

SK Long Sukang, Sarawak - Bahasa Inggeris

2. Norhailmi Abdul Mutalib

SMK Jerlun, Kedah - Sains

3. Emira Nabila

SMK Pasir Gudang, Johor - Bahasa Inggeris

 

*bukan dalam susunan

- Stefanus Lucas

SK Pendidikan Khas Tuaran, Sabah - Muzik

- Halizah Ahmad

SMK Bandar Kota Tinggi, Johor - Pendidikan Khas (Matematik)

- Stephen Isaac

Methodist Boys School, KL - Sains

- Mohd Asrulnizam

SMK Jerlun, Kedah - Pendidikan Islam

- Samuel Isaiah

SK Runchang, Pahang - Bahasa Inggeris

- Mohd Afiffi

SMK(P) Sultan Abu Bakar, Johor - Fizik

- Louis Pulong

SK Kerupang, Labuan - Sejarah

 

Seorang guru adalah seorang guru. Walau apapun bangsa, agama, latar belakang, adat & budaya, guru adalah insan yang berkongsi satu misi yang sama.

Pendidikan adalah hak setiap insan dan sangat signifikan dengan pembangunan kemanusiaan.

Dengan kapasiti yang kalian ada sekarang saya percaya kalian mampu menghimpun pelbagai keupayaan dan kepakaran bagi membina jaringan dan jalinan seterusnya menginterpretasi ilmu dan kemahiran agar boleh dinikmati segenap lapisan.

Kepada Cikgu Norhailmi, saya pasti cikgu sedang menikmati kegembiraan berganda kerana dapat mengheret sahabat PLC Cikgu berada di pentas kejayaan.

Ini satu semangat mulia yang harus diteladani.

Terima kasih PADU.

Tahniah sekali lagi kepada semua yang mengambil bahagian dan menyahut cabaran.

Kalian manifestasi sistem pendidikan negara berjaya menghasilkan guru yang berinisisatif, berdedikasi, berdaya saing dan bersemangat demi memajukan pendidikan.   

Penulis adalah Puan Noorjahan Sultan yang dinobatkan sebagai Pencetus Inspirasi semasa Laporan Tahunan PPPM 2018.