Kempen Kembali ke Sekolah 2021 Sekolah Kebangsaan Serom 6, Tangkak, Johor diserikan lagi dengan suasana ceria dan berwarna-warni.

Guru Besarnya, Mohd Ali Hadoon @ Adon berkata, usaha itu  merupakan tarikan terbaharu murid-murid untuk hadir ke sekolah, selain mewujudkan keceriaan di sekolah.

Katanya, pihak sekolah memperuntukkan RM8,000 bagi proses mengecat dan baik pulih keseluruhan sekolah.

Menurutnya, proses mengecat dan baik  pulih juga dilakukan sendiri oleh pihak sekolah, guru-guru,  ibu bapa dan juga masyarakat setempat.

“Kami mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan masyarakat setempat.  Malah, hasil kerjasama erat itu juga, tajaan dana yang diperlukan berjaya diperoleh daripada bantuan pelbagai pihak, termasuk persendirian, dan usahawan-usahawan berjaya sekitar Tangkak.

“Selain Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang terdiri daripada kerani dan pembantu prasekolah  (PPM)  yang banyak menguruskan permohonan sumbangan,  Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) , Abdul Rahman Abdul Rahim dan juga Ketua Kampung Serom 6, Ruslani Ali juga banyak membantu mencari penaja dan penyumbang cat sekolah,”katanya.

Mohd Ali berkata, biarpun sekolahnya sering digelar sekolah kampung, namun ia sedikitpun tidak meninggalkan kesan di hati pendidik asal Labis, Segamat  ini.

Malah usahanya itu turut mendapat sokongan kuat Pengerusi Penyelaras Khas Dun Serom, Datuk Abdull Rahim Talib.

“Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) lalu adalah permulaan segala perubahan. Warga pendidik, ibu bapa, ketua kampung dan juga masyarakat setempat berpakat untuk mencantikkan sekolah.

“Kami lakukannya secara berperingkat, sehinggalah ke sekarang ini. Mujurlah saya mempunyai barisan guru yang sangat komited, berbakat, rajin dan kreatif. Bukan sahaja mengecat, ada di antaranya mengambil tugas melukis mural di dinding-dinding sekolah,” katanya.

Tambah beliau, idea untuk mengecat bangunan sekolah itu timbul setelah mengunjungi Universiti Malaya yang turut menggunakan konsep berwarna warni.

Katanya, walaupun SK Serom 6 adalah sekolah gred SKM (sekolah kurang murid)  dan terletak di kawasan kampung berhampiran dengan pekan Bukit Gambir, Tangkak Johor, namun ia bukanlah penghalang untuk beliau lakukan sesuatu yang di luar pemikiran sebagai pendidik.

Kelainan dan perubahan perlu dilakukan untuk menarik minda masyarakat dan membuktikan bahawa sekolah seperti SK Serom 6 itu juga boleh berubah walaupun negara kini sedang diuji pandemik Covid-19.

 “Keutamaan saya  sekarang ini adalah  murid. Saya selalu memikirkan bagaimana saya ingin melihat murid saya berjaya di sekolah dan  menjadi insan terbaik .

“Untuk berjaya dalam akademik, murid perlu hadir ke sekolah dan suasana kondusif sekolah juga perlulah mantap. Jika sekolah dalam keadaan daif dan tidak ceria, bagaimana mereka nak hadir ke sekolah,” katanya.

Tambah beliau, selain  menceriakan setiap sudut di sekolah dengan mengecat dan melukis mural, banner  yang lengkap dengan kata-kata hikmah juga turut digantung.

“Setiap sudut seperti kantin, susur tangga, lorong pejalan kaki dan dinding bangunan, akan dihiasi dengan peribahasa, dan simpulan bahasa. Ia secara tidak langsung dapat menambahkan perbendaharaan kata dalam kalangan murid,” jelasnya.