GURU ini pernah dipindahkan ke pedalaman secara tiba-tiba. Namun beliau tak pernah patah semangat. Beliau terus mengangkat martabat sekolah hingga cemerlang. Malah menerima Anugerah Inovatif Kebangsaan. Tahniah Cikgu Shahril Othman!

Mari kita ikuti perkongsian daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas, Perak ini.

+++

Semuanya salah abah dan arwah mak kerana memaksa aku jadi cikgu. Tu yang aku keluh apabila keluar daripada MPSAH (IPG Sultan Abdul Halim).. 'posting' ke SK Jengka 21, Pahang.

Gaji aku hanya RM475 pada masa tu. Sikit sangat! Sebelum aku masuk maktab, aku adalah pekerja kilang di Bayan Baru, Pulau Pinang dengan gaji yang cukup lumayan pada masa tu. Memang menyesal masa masuk maktab tu.

Tetapi semuanya mula berubah apabila 1997 berlaku kemelesetan ekonomi negara dan ramai rakan-rakan aku di kilang mula diberhentikan kerja. Aku tersentak dan terfikir, jika aku masih bekerja kilang masa tu, aku juga kemungkinan akan menjadi mangsa seperti rakan-rakanku yang lain.

Selepas itu, baru aku sedar bahawa paksaan abah dan arwah mak supaya aku menjadi seorang guru ada hikmahnya.

Baru aku sedar Allah yang pilih aku untuk menjalankan amanah ini. Tugas aku adalah menjadi salah seorang pendakwah iaitu memanusiakan manusia.

Sejak itu, aku mula redha dan bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab dan lebih ikhlas.

Aku mula rasa seronok menjadi seorang guru. Alhamdulillah, baru empat tahun berkhidmat nama aku telah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) (melintang) pada masa tu.

Aku rasa serba salah kerana rasa belum layak untuk menerima anugerah yang besar seperti itu.

Aku jumpa guru besar dan menolak dengan alasan belum cukup layak dan meminta supaya diberikan pada guru lain yang lebih layak. Aku lega.. permintaan aku diterima.

Namun tahun berikutnya aku sekali lagi dicalonkan dan aku tak boleh menolak kali ini atas permintaan guru besar. Alhamdulillah 2001 aku terima APC kali pertama.

Pada 2002 aku dikejutkan kerana diarahkan bertukar ke SK Serengkam iaitu antara sekolah yang paling teruk prestasi dan dikatakan sekolah buangan iaitu tempat guru-guru yang bermasalah di daerah Maran pada ketika anak muridku hampir untuk hadapi UPSR.

Aku betul-betul kecewa dan terasa seperti hilang semangat. Terasa seperti dianiaya. Hampir dalam tempoh enam bulan jika bertemu dengan rakan-rakan, soalan yang sering ditanya…"awak ada buat salah apa?".

Bayangkan apa perasaan aku masa tu.

Tapi… setiap sesuatu kejadian aku yakin ada hikmahnya. Aku cuba mencari keseronokan bekerja dengan cara membina hubungan baik dengan rakan guru serta masyarakat kampung.

Alhamdulillah, kami dapat membina kerjasama yang sangat baik dan akhirnya SK Serengkam telah meningkat dalam pencapaian UPSR serta menjadi yang terbaik dalam Daerah Maran serta pernah berada pada kedudukan terbaik dalam negeri Pahang.

Di SK Serengkam, aku telah mula berinovasi mencipta inovasi ‘123 Box’ dan akhirnya pada 2010 aku telah berjaya menjadi Johan Guru Inovatif Negeri Pahang dan Johan Peringkat Kebangsaan.

Pada 2011 aku ditukarkan ke SK Maran. Aku redha dengan setiap pertukaran kerana tahu ada hikmahnya.

Prinsip aku..di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Pada tahun tersebut aku sekali lagi dianugerahkan APC bagi kali kedua.

Sesuatu yang tak aku sangka sama sekali. Alhamdulillah rezeki yang Allah beri padaku.

Aku suka berinovasi.. dan pada 2012 aku dan rakan mencipta Inovasi ‘Miracle Fingers’ dan sekali lagi telah dipilih sebagai Johan Guru Inovatif Pahang (Kumpulan) dan mendapat Naib Johan Guru Inovatif Kebangsaan.

Pada tahun 2015, aku mendapat surat arahan pertukaran ke Perak sebagai Guru Besar tanpa memohon apa-apa pertukaran…ke SK Ldg Huntly dalam Daerah Manjung iaitu daerah aku sendiri.

Alhamdulillah rezeki aku tanpa diduga. Aku tinggal dengan abah dan mak di kampung. Tapi isteri dan anak-anak masih di Pahang.

Selama setahun aku berulang alik antara Perak dan Pahang setiap minggu. Namun seperti biasa…aku tahu ada hikmah.

Oktober 2015, kami adik beradik kehilangan mak yang disayangi utk selamanya. Sedih sangat atas kehilangan ini.

Tapi aku bersyukur dan sangat berpuas hati, pada 10 bulan terakhir aku dapat berkhidmat untuk arwah mak.. bantu meniaga di gerai makan, urut kaki mak tiap kali mak mengeluh lenguh kaki dan memenuhi kehendak mak yang tidak dapat aku buat ketika jauh di Pahang.

 

Pada Oktober 2015 juga aku ditukarkan ke SK Beruas. Aku tetap aku…redha dan mencari hikmah atas setiap kejadian serta berpegang pada prinsip.

Sepanjang berkhidmat aku tidak pernah mohon bertukar sekolah.

Aku cuba buat sesuatu melalui kekuatan yang ada iaitu PIBG dan guru-guru yang berkaliber. Hasilnya, aku direzekikan untuk dapat APC pada tahun 2017 untuk kali ke 3.

Allahuakbar…baru tiga tahun jadi GB dah dapat APC? Serba salah aku dibuatnya…terus terang aku tak pergi ke majlis anugerah yang diadakan.

Maafkan saya tuan PPD…bukan saya tak hargai atas pemilihan tuan tapi rasa belum layak untuk terima.

Aku tidak pernah impikan atau berhajat terhadap APC sepanjang perkhidmatan. Pada aku jika aku mengharap pada sesuatu, andai tak dapat aku akan kecewa dan hilang keikhlasan bekerja.

 

Aku tahu rezeki adalah ketentuan Allah. Apapun..terima kasih tuan PPD kerana melihat kerja buat saya.

Aku terus laksanakan tugas dan berinovasi sepertimana minat aku.

Alhamdulillah pada 2018 aku diiktiraf sebagai Johan Kepimpinan TMK Negeri Perak dan pada 2019 telah berjaya menjadi Johan Kepimpinan TMK Kebangsaan.

Alhamdulillah…rezeki Allah. Aku bersyukur dapat bawa nama SK Beruas, PPD Manjung dan Perak ke peringkat Kebangsaan.

Terima kasih abah dan mak yang disayangi. Kalian berdua telah mengubah segalanya. Sekarang, GURU ADALAH HIDUPKU..

Nukilanku ketika Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2019 di SPICE Pulau Pinang.

SHAHRIL OTHMAN
GURU BESAR
SK BERUAS
PERAK

Artikel lain:

Melta saran KPM sedia sistem penilaian khas, bukan MUET

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan