KISAH Aiman yang pernah tular sebelum ini menerusi artikel ‘Sikap Aiman hanya satu dalam seribu’ - Guru luah rasa sebak bila Aiman buat ini padanya...cukup menyentuh hati ramai pengguna laman sosial.

Aiman, sepertimana yang diceritakan oleh guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di daerah Muadzam Shah, Pahang, Cikgu Ropizam San merupakan pelajar biasa dalam bidang akademik.

"Tetapi nilai-nilai murni yang ada pada dirinya, buat ramai sayang,” kata beliau.

Kerana sayangnya pada Aiman, Cikgu Ropizam berkongsi sekali lagi berkenaan Aiman menerusi facebook Klinik Terapeutik Ropizam San.

Baru sahaja memuat naik hantaran (posting) dua jam yang lalu, luahan hati cikgu ini tentang Aiman, membuatkan ramai tersentuh.

Ikuti perkongsian sebak Cikgu Ropizam mengenai Aiman.

**********

Dua hari sebelum sesi persekolahan 2019 tamat baru-baru ini, Aiman ada berjumpa saya.

Kata Aiman;

“Cikgu, saya dah tamat sekolah. Lepas ni dah tak jumpa cikgu dah. Ayah saya pun tak lama lagi pencen dah kerja sini (Pejabat Felda). Kami sekeluarga akan pindah ke kampung tak lama lagi."

“Bukan sekadar berpisah dengan cikgu-cikgu di sini, tapi keluarga saya pun akan pindah dah dari sini."

Sambung Aiman...

"Mohon cikgu doakan saya ya, walaupun saya ni pelajar biasa je cikgu, saya ni bukan pun pandai sangat..."

Sebak saya rasa. Sebak bersulam kasih.

“Takpa Man, ingat pesan cikgu, yang selalu cikgu sebut dalam kelas, dalam program, ketika berselisih di tangga, di padang dan sebagainya...iaitu, siapa pun kita, apa pun kerja yang kita buat pastikan kita jadi ‘Orang Baik’. Insya-Allah man (Aiman), jika kita jadi orang baik, Allah SWT akan bersama kita, hidup kita akan dipermudahkan walaupun kita kerja biasa-biasa ja, takpa Man...Bila kita jadi orang baik, hidup kita akan bahagia dunia, bahagia akhirat, Insya-Allah”.

Semoga Aiman dan kawan-kawannya dipermudahkan segala urusan. Cikgu-cikgu kasihkan kamu semua.

Cikgu Ropizam akhiri dengan kata-kata ini.

"Sudah pasti saya amat gembira, berterima kasih dan bersyukur pada Allah SWT andai ramai warga masyarakat yang sudi mendoakan anak-anak didik saya. Begitu juga dengan semua anak-anak muda diluar sana.

"Pada saya, semua mereka ada 'chances' untuk berjaya. Cuma adakalanya mereka diuji melalui pengalaman yang pelbagai, ada yang masih belum matang, ada yang masih kabur soal masa depan. Maka, para pendidik lah perlu memainkan peranan sebaik mungkin sebagai salah satu ikhtiar 'menipiskan tahap ketebalan kekaburan' yang sedang mereka alami. Kita hanya jalankan ikhtiar (usaha), hasil adalah sepenuhnya 100% milik Allah SWT. Hasil mungkin cepat, adakalanya lambat, dan boleh jadi juga ditunda untuk satu tempoh yang menjadi rahsia," ujarnya.

Sumber: Facebook Klinik Terapeutik Ropizam San

Artikel Menarik:

'Sikap Aiman hanya satu dalam seribu' - Guru luah rasa sebak bila Aiman buat ini padanya

Selain Raatchasi, ini 20 filem menarik berkait dunia guru dan pendidikan