TERTARIK membaca coretan salah seorang guru dalam group EGtukar di mana beliau berjaya dalam permohonan perpindahannya.

Kejayaan diperolehi selepas memohon beberapa kali pada tahun-tahun sebelumnya. Rupanya kegagalan permohonan beliau selepas beberapa kali merayu menyebabkan beliau mula muhasabah diri. Mungkin ada kekurangan pada diri sendiri. Maka untuk permohonan ke sekian kalinya beliau memperbaiki ibadah solat, membuat amal kebajikan dan mengharapkan redha Allah. Akhirnya permohonan seterusnya beliau mendapat khabar gembira.

Kesimpulannya, doa itu adalah senjata kejayaan. Jangan putus berdoa pada Allah. Hatta derapan semut di tanah di dengar Allah apatah lagi bisikan doa kita semasa bersujud pasti didengar oleh Nya.

Mari kita baca coretan Cikgu Ad Deenul Haq dalam hantaran beliau di facebook EGtukar. Semoga ada manfaat dan memberi kekuatan baharu untuk guru-guru nanti.

**********

Sedikit coretan buat sahabat EGtukar yang belum berjaya. Saya bukanlah sesiapa tapi saya mahu kongsi pengalaman saya sepanjang mohon EGtukar. Saya juga guru duka lara. Isteri di Kelantan saya di Selangor. Macam-macam cara saya cuba untuk berpindah.

Tiap-tiap tahun saya gagal. Saya dah cuba minta tolong sana sini namun tetap gagal. Pergi KPM, JPN dan PPD. Merayu, menangis namun tetap gagal.

Tahun ni saya nekad saya tidak mahu minta tolong sesiapa dah. Sebab bila keputusan keluar saya akan kecewa. Tahun ni saya nak minta tolong dengan Allah sahaja. Saya ubah cara saya beramal. Sebelum ni saya lalai. Mengharapkan manusia tanpa kembali kepada pencipta. Maka kali ini saya sedar kesilapan saya dan saya berubah.

Saya ubah cara solat saya. Saya ubah cara doa saya. Selesai solat saya tidak lagi berdoa untuk dapat pindah tapi saya berdoa minta Allah berikan TEMPAT untuk saya jalankan amanah sebagai guru, sebagai seorang suami dan seorang bapa.

Tiap-tiap malam saya akan bangun tahajud. Selesai tahajud saya mengaji baca Yasin sampai ke Subuh. Ya. Betul masa tidur saya berkurang tapi saya tenang. Mengajar di sekolah dengan rasa gembira dan bersemangat. Alhamdulillah saya tidak mengantuk.

Bila orang bertanya pasal EGtukar, saya jawab saya redha. Dapat atau tidak mungkin ada hikmah. Saya redha seredhanya.

Alhamdulillah berkat bersangka baik dengan Allah dan perubahan yang saya lakukan bila keputusan EG tukar dua tiga hari lepas saya semak dan Allah dah makbulkan doa saya. Sujud syukur yang tak terhingga.

Benarlah bila kita kembali kepada pencipta kita semua urusan menjadi mudah. Saya doakan sahabat yang belum berjaya akan berjaya pindah juga selepas ni.

Demikianlah coretan Cikgu Ad Deenul Haq. Semoga kita semua bersangka baik dengan Allah dalam segala urusan. Semuanya ada HIKMAH di sebalik kejadian.

Sumber: Blog Cikgu Emmet Menulis

ARTIKEL BERKAITAN:

Surat rayuan pertukaran EGTukar cara Cikgu Hailmi

ARTIKEL MENARIK:

Pernah dirotan dan ditampar guru...kini siapa sangka Firdauz dah jadi 'orang kuat' di sekolah

Orang luar seronok naik bot, tapi kami di sini sengsara' - Ini luahan Orang Asli

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan

Cikgu, pelajar... isikan 10 malam terakhir dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah dan doa

Nak elak pembentangan hambar dalam kelas...ini 6 tip penting untuk rujukan guru