Tiada siapa pun yang mahu kehilangan ayah mahupun mak.

Namun, jika sudah sampai ajalnya, siapa kita untuk menghalang semua ini.

Bagi pelajar SMK Sungai Layar, kematian mak dan ayah cukup menyedihkan dan akan diingati hingga hujung nyawa.

Kisah menyayat hati adik Muhammad Farhan Roslee telah dikongsi oleh Natipah Abu di facebook beliau.

Natipah yang merupakan Penolong Setiausaha Rumah Anak Yatim Kampung Che Bema, Sungai Petani, Kedah itu mesra dengan panggilan 'Mak' dalam kalangan penghuni Rumah Anak Yatim Kampung Che Bema.

Mari ikuti kisah anak yatim piatu ini yang baru sahaja menerima Anugerah Khas Penolong Kanan oleh SMK Sungai Layar.

**

ANUGERAH KHAS PENOLONG KANAN

Muhammad Farhan Roslee, 16 tahun

SMK Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah

Jiwanya kosong, sekosong-kosongnya. Kehilangan ayah pada usia 5 tahun telah merubah jalan hidupnya. Emak yang berniaga kuih dan nasi lemak kecil-kecilan akhirnya jatuh sakit. Memaksa dia berhenti sekolah ketika darjah enam.

Di saat rakan-rakan sebaya sedang menikmati keindahan alam remaja di bangku sekolah, dia sudah bersengkang mata dan menyarung seragam sebagai pengawal keselamatan di KTM Sg Petani selama lebih setahun dengan gaji RM40 sehari. Dia menyara kehidupan. Emak yang diserang stroke tidak mampu lagi bekerja seperti dulu kerana selalu saja tidak sihat.

Suatu hari dia dikejarkan ke hospital akibat apendiks dan doktor memutuskan dia harus menjalani pembedahan kecemasan.

Di masa yang sama, emaknya dimasukkan ke wad kerana masalah kesihatan yang makin meruncing.

Emak di wad tingkat atas dan dia pula di wad tingkat bawah. Bangunan yang sama. 4 hari di wad, akhirnya emak pergi mengadap Ilahi.

Dalam usianya 14 tahun, dia, abang, kakak dan adik perempuannya pun ternobat yatim piatu.

Lebih menyayat hati, saat emak menghembuskan nafas terakhir dia tiada di sisi kerana tidak sedarkan diri akibat pembedahan kali kedua. Bahkan dia bukan saja tidak sempat menyaksikan perjalanan terakhir emak ke liang lahad, memberikan kucupan terakhir untuk emak pun tidak sempat kerana dia masih belum sedar.

Sebaik dia sedar dan dimaklumkan emak telah pergi, hanya Allah saja yang tahu betapa pilu dan hancurnya hati.

Sejak itu, saban malam dia menangis di wad. Menangis kesedihan mengenangkan emak yang telah pergi dan menangis menanggung kesakitan akibat pembedahan.

Dia dirujuk kepada Kak Pah. Kak Pah menziarahi dia di wad. Menceritakan pada dia tentang kehidupan di rumah anak yatim. Hanya satu soalannya ...

“Kalau saya duduk rumah anak yatim, bolehkah saya sekolah semula? Saya nak sekolah.."

Keluar wad, kakaknya menghubungi Kak Pah. Memaklumkan rumah mereka berteduh sebelum ini sudah dilelong bank.

Kakak, abang dan adik perempuannya memilih untuk tinggal bersama saudara mara tetapi dia enggan meninggalkan rumah pusaka itu kerana terlalu sedih mengenangkan kenangan arwah emak.

Kak Pah menghubungi dia tapi dia memberikan alasan meminta masa barang seketika sehinggalah satu hari Kak Pah mendapat mesej yang sangat pelik dari dia. Penuh kesedihan dan kekecewaan. Kak Pah dan staff rumah anak yatim bergegas ke rumahnya.

Sungguh hiba melihat keadaan dia yang sudah terbaring di tilam usang selama seminggu dalam keadaan sakit akibat kesan pembedahan.

Tanpa makan minum yang sempurna.

Mengharapkan ehsan seorang kawan semata yang tinggal di kawasan itu. Rumah yang sudah dipotong bekalan air dan letrik itu sudah tidak layak dihuni kerana kotor dan semak.

Kata jirannya, mereka juga tidak tahu dia ada di dalam rumah itu yang kelihatan sunyi sepi. Dia dipapah keluar dari rumah itu sehelai sepinggang dalam deraian air mata.

Hari ini dia menerima Anugerah Khas dari pihak sekolah atas tingkah-lakunya terpuji dan jati dirinya yang berusaha untuk bangkit semula walau telah dua tahun terkandas dalam persekolahan.

Anugerah ini bukan saja sungguh bermakna buat dia, bahkan buat kami semua warga Rumah Anak Yatim yang selama ini tidak jemu memberikan dia dorongan dan harapan.

Sama-samalah kita doakan, semoga Dik An akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

 

SUMBER: Facebook Natipah Abu

(Penolong Setiausaha Rumah Anak Yatim Kampung Che Bema, Sungai Petani, Kedah)