Setiap guru pasti ada cara masing-masing dalam membantu murid dan juga keluarga mereka.

Walaupun bukan dalam bentuk wang tunai, namun sekurang-kurangnya, bantuan yang dihulurkan oleh cikgu berkenaan dapatlah mengurangkan beban keluarga murid itu sendiri.

Bagi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (3), Mohamad Iqbal Kamudin, inisiatif Program Jualan PKPP Covid 19 yang diperkenalkan menerusi laman facebooknya baru-baru ini, menarik perhatian penulis untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Cikgu Mohamad Iqbal berkata, program berkenaan adalah berbentuk jualan barangan keperluan, perkhidmatan dan makanan yang dihasilkan oleh keluarga murid yang terputus pendapatan atau kehilangan kerja akibat Pandemik Covid 19.

"Saya bantu mereka menerusi promosi yang dibuat dalam laman akaun facebook Mohamad Iqbal.

"Setakat ini, baru lima keluarga murid yang mula mengambil tempahan daripada orang ramai. Alhamdulillah, sambutan yang diterima menggalakkan," katanya kepada GPS Bestari.

Katanya lagi, produk yang dijual setakat ini adalah Roti Kopi Mexican Bun, sate, barangan jenama Smiggle, kerepek, tudung, telekung dan kaftan.

"Untuk program ini, saya dapatkan kelulusan daripada Guru Besar, Zamzuriah Md Desa dan juga AJK PIBG sekolah.

"Alhamdulillah semuanya menyokong dengan idea ini," katanya yang juga menghasilkan Google Form dan kemudiannya menghebahkan dalam grup Whatssapp sebagai hebahan.  

Sementara itu, besar harapan Cikgu Mohamad Iqbal terhadap program yang baru kali pertama diperkenalkan itu.

"Saya harap, semoga orang di luar sana bersama-sama bergading bahu membantu antara satu sama lain agar dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yg terjejas," ujarnya yang juga guru subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan Matematik.

Artikel menarik

‘Kerana pelajar, kami sanggup buat apa sahaja. Harapnya ini dapat meringankan beban kamu sekeluarga'

Guru mula menggunakan Google Classroom sepanjang PKPB ini. Apa manfaatnya? Ikuti perkongsian ini