SEORANG pelajar di China menerima pujian ramai kerana sanggup menggendong rakannya ke sekolah sejak enam tahun yang lalu.

Xu Bingyang, 12, telah menggendong Zhang Ze ke sekolah pada setiap hari dan tetap melakukan perkara yang sama walaupun pada waktu hujan ataupun ketika panas terik.

Berasal dari bandar Meishan, wilayah Sichuan, Zhang Ze menderita penyakit myasthenia gravis yang menyebabkan dia tidak mampu berjalan.

Seperti gelap masa depan untuk bersekolah, hidup Zhang Ze bagaimanapun kembali bersinar dengan pertolongan rakannya itu.

Menurut Zhang Ze, dia bersyukur punyai rakan seperti Xu Bingyang.

"Jika bukan kerana Xu Bingyang, mana mungkin saya dapat ke sekolah seperti sekarang," ujarnya.

Tambah Zhang Ze, Xu Bingyang merupakan kawan baiknya dan mereka mula bersahabat sejak pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah itu.

"Setiap hari, dia belajar dengan saya, berbual dengan saya dan kami bermain bersama-sama.

"Saya berterima kasih kepadanya kerana dia setia menjaga saya sepanjang hari," kata Zhang Ze.

Sementara itu, Xu Bingyang berkata, dia bangga menjadi tongkat kepada Zhang Ze.

"Saya lebih besar berbanding dia. Saya fikir, jika saya tidak membantunya, tiada siapa yang melakukannya.

"Memandangkan berat saya 40 kilogram dan dia pula 25 kilogram, jadi tak ada masalah untuk saya gendong dia," kata Xu Bingyang.

Dalam pada itu, ibu Xu Bingyang berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui anaknya menggendong Zhang Ze selama ini.

“Memang saya tidak tahu apa-apa tentang hal ini.

“Cuma bila rakan-rakan sekolahnya beritahu, barulah saya mengetahuinya serba sedikit,” katanya.

Guru-guru di sekolah pula turut berkongsi tentang sikap baik hati Xu Bingyang terhadap Zhang Ze.

"Selama bertahun-tahun Xu Bingyang melakukan perkara baik dan dia tidak pernah mengeluh di hadapan guru dan rakan sekelas. Dia telah menjadi contoh yang baik kepada pelajar lain," kata gurunya.

Sumber: Mirror

TIP MENARIK:

'Kata kuncinya adalah hafal formula' - Ini peringatan penting cikgu Matematik kepada calon UPSR

Latih tubi tajuk peratus bagi subjek Matematik UPSR - Dua markah untuk soalan ini

Dua tajuk penting subjek Sains untuk calon UPSR hafal, ingat - Contoh soalan disediakan (Siri 1)

Calon UPSR hafal tajuk ini untuk skor subjek Sains - Disediakan contoh soalan untuk latihan (Siri 2)

Nak pandai Matematik? Cikgu Fadli kongsi empat video mengikut pecahan tajuk, dijamin faham (Siri 1)

Mudahnya nak skor A Matematik UPSR, Cikgu Fadli kongsi tiga video (Siri 2)