BAHAGIAN SATU

MENGAPA “Ghost Train”?

Ianya hanyalah sekadar gelaran yang saya rasa sesuai untuk keadaan semasa saya merakam gambar ini. Keretapi Kelantan Shuttle yang berlepas dari Stesen Keretapi Tumpat pada jam 4.20 pagi yang muncul di balik kabus tebal pagi di Kuala Gris, Kuala Krai ini seolah-olah seperti keretapi hantu, tiba-tiba muncul sahaja membelah kabus pagi yang tebal.

Kuala Krai boleh dikatakan antara kawasan paling sejuk di Semenanjung Malaysia selain di Cameron Highlands sewaktu Tiupan Angin Sejuk dari Tanah Besar China Februari lalu. Jadi suasana yang berkabus bukanlah asing di Daerah Kuala Krai ini.

Cuma satu ketika dahulu keretapi shuttle ini tiba di Kuala Gris lebih awal lagi daripada waktu sekarang. Dahulu keretapi shuttle bergerak seawal jam 3 pagi dari Tumpat dan tiba di Kuala Gris sekitar jam 6 pagi, masih gelap lagi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadualnya sudah berubah dan keretapi ini tiba di Kuala Gris sekitar jam 7.10 pagi atau 7.15 pagi dari Tumpat, Kelantan.

Saya ke Kuala Gris kerana ingin merasa pengalaman menaiki keretapi awal pagi ini bersama pelajar-pelajar sekolah ini. Saya boleh tunggu sahaja mereka tiba di Stesen Keretapi Dabong sekitar jam 7.30 pagi tetapi saya memilih untuk bersama mereka di Kuala Gris.

Selepas sahaja selesai solat Subuh di Masjid Mukim Kuala Gris, saya mengikuti adik Muhammad Redzuan yang solat sekali di masjid yang sama berjalan kaki ke Stesen Kuala Gris ini. Sewaktu tiba di Stesen Kuala Gris ini yang hanya mempunyai dua buah pondok menunggu, belum ada pelajar sekolah lain lagi.

Keadaan masih gelap dan sunyi, cuma selang beberapa minit selepas itu barulah kelihatan kelibat seorang demi seorang pelajar sekolah tiba yang mana boleh dikatakan rata-rata dari mereka tiba dengan berjalan kaki, hanya ada dua, tiga orang sahaja pelajar yang dihantar oleh keluarga mereka sama ada ibu atau ayah mereka dengan menggunakan motosikal.

Kesemua pelajar yang menaiki keretapi ini adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, kerana di Kuala Gris hanya ada sekolah rendah sahaja, selain itu, keretapi ini juga membawa pelajar-pelajar dari Stesen Ulu Temiang, Slow Pak Long dan juga Bukit Abu.

Kebanyakan penduduk tempatan terutamanya pelajar-pelajar sekolah di kawasan ini sangat bergantung kepada perkhidmatan keretapi ini untuk ke sekolah. Kepada yang bertanya, apakah tiada jalan darat untuk ke SMK Dabong? Jawapannya memang ada tetapi agak jauh dan gelap sunyi terutamanya awal pagi.

Lebih mudah lagi untuk pelajar-pelajar ini menaiki keretapi ini untuk ke sekolah yang mana ibu bapa tidak perlu berulang alik sejauh lebih 15 kilometer (km) dari Kuala Gris ke Dabong semata-mata untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menjemput pula mereka sebelah petangnya.

Jarak antara sekolah mereka dengan Stesen Keretapi Dabong hanya sekitar 100 hingga 150 meter sahaja, dan sebelah petangnya pula ada keretapi shuttle yang menanti mereka sekitar jam 2.30 petang untuk membawa mereka pulang semula.

Sekadar maklumat, untuk jarak perjalanan sekitar 15 km dengan masa perjalanan lebih kurang 20 minit, tambang yang dikenakan hanyalah RM1 sahaja sehala dari Kuala Gris ke Dabong.

Untuk perjalanan dari Wakaf Bharu ke Kuala Gris yang memakan masa selama 3 jam, tambang yang dikenakan hanyalah RM5 sahaja.

"KENANGAN TERINDAH"

Nantikan Bahagia Kedua.

Kredit kepada Facebook Wazari Wazir Photography dan Abe Mat Hassan Ambo Ore Klate untuk coretan indah ini.

Sumber: Facebook Faizal Rahim

ARTIKEL BERKAITAN:

BAHAGIAN KEDUA

Di sebalik nama 'keretapi hantu' yang dinaiki pelajar SMK Dabong - Ramai ingin tahu cerita sebenar

BAHAGIAN KETIGA

Jika terlepas 'ghost train', pelajar SMK Dabong mungkin tak ke sekolah kecuali...

ARTIKEL  MENARIK:

'Rezeki dapat pindah' - Guru dari Sarawak kongsi berita gembira mengenai EGtukar

Kelas tambahan percuma, sering sedekah, suka bantu orang susah...Peribadi Cikgu Ven buat ramai kagum

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

'Semua ingat nak masuk matrikulasi, akhirnya IPG merosot' - Lepasan cemerlang SPM digalak mohon IPG