BAHAGIAN 3

Selepas melalui perjalanan yang sangat panjang dan pelbagai pengalaman yang menggembirakan, menakutkan dan menyedihkan yang sangat-sangat menuntut rasa tanggungjawab dalam persaudaraan yang kuat serta pengorbanan yang tinggi, bahkan jiwa dan nyawa juga sebagai taruhan, akhirnya penduduk rumah panjang memulakan hidup baru dan juga pemimpin yang baru.

Bani, datuk kepada Aki mula mengambil alih jawatan sebagai Tuai Rumah yang baru. Sedangkan Raja pula mula mengambil alih tugas sebagai Manang yang baru yang menjaga keselamatan dan kesejahteraan kampung.

Saban tahun Raja akan menjalankan tugasnya memberi makan darahnya sendiri kepada tajau pemberian Keling sebagai tanda persetujuan bahawa perempuan penjaga keturunan mereka akan menjaga keselamatan mereka.

Tugas ini dilaksanakan oleh Raja dengan terperinci dan mengikut adat ‘miring’ yang masyarakat Iban.

Bani pula pada awal pentadbirannya pula sibuk mengambil alih tugas dari ayahnya untuk memimpin penduduk rumah panjang. Mereka mula mendirikan rumah panjang yang baru. Rumah panjang tersebut mempunyai lebih dari 45 buah pintu (bilik).

Kesemua penduduk rumah panjang tersebut bersama-sama berganding bahu untuk membina kehidupan yang baru. Tidak kira lelaki dan perempuan, mereka menanam padi, sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan. Kehidupan mereka sungguh harmoni.

Pada malam hari mereka duduk di ruai rumah panjang mereka, bercerita tentang pengalaman, kisah-kisah lucu hinggakan tawa riang mereka memecah kesunyian malam.

Sedangkan tajau yang mereka puja dan diberi makan darah sentiasa memerhati mereka dari kejauhan. Itu yang mereka lupa.

Pada setiap petang Raja akan duduk di tepi sungai. Duduk memerhati kawasan sekeliling dan mandi. Penduduk masih lagi tidak dapat melupakan kisah ayah Raja yang disambar buaya.

Jadi untuk meyakinkan penduduk kampung Raja akan bersama mereka menuju ke arah sungai. Menemani mereka dan kadang-kadang Raja akan mandi bersama dengan anak-anak kecil.

Kedengaran bunyi tawa dan suara kegembiraan anak-anak bermain. Sinar mentari yang memancar juga tidak menghalang keseronokan mereka bermain dan bergembira.

Kaum ibu pula mencuci pakaian dan memberi mandi anak-anak mereka. Sementara yang lelaki pula mandi dan menjala ikan.

Hari berganti hari dan tahun berganti tahun, penduduk di rumah panjang tersebut mula dapat beradaptasi dengan persekitaran yang baru. Sedikit sebanyak mereka telah lupa akan peristiwa yang terjadi kepada mereka pada awal perpindahan mereka ke rumah panjang baru.

Tugas memberi makan kepada tajau juga masih lagi dipegang oleh Raja. Setiap tahun Raja akan memikul amanah ini demi keselamatan penduduk kampung. Sehingga keselamatan dan kegembiraan mula bertapak pada dalam diri mereka dan juga dirasai oleh seluruh penduduk.

Raja juga pada ketika itu telah menikah dan gadis pilihan hatinya tidak lain dan tidak bukan iaitu Bayu, adik kepada Bani sendiri. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang comel yang bernama Sani.

Pada suatu hari, ketika Sani berusia 10 tahun, untuk pertama kalinya Raja telah membawa Sani untuk memberi makan kepada tajau.

Tajau tersebut diletakkan di sebuah bilik yang paling hujung di rumah panjang mereka. Sementara bilik Raja, Bayu dan Sani pula terletak di sebelahnya.

Ketika itu bulan mengambang penuh. Penduduk lain cuma berkumpul di ruai rumah panjang. Mereka memandang ke Raja dan Sani yang melangkah ke arah bilik sebelah yang menempatkan Tajau tersebut.

Mereka tahu bahawa pada setiap tahun, ketika bulan penuh dan ketika masa sudah mencukupi jarak masa setahun, maka Raja akan mula memberi makan darah kepada tajau tersebut.

Cuma mereka sedikit pelik kerana pada kali ini Raja membawa sekali anaknya Sani untuk memberi makan tajau. Selepas itu mereka kembali menyambung perbualan mereka seperti biasa.

Raja kemudian memimpin tangan Sani dan mereka mula melangkah masuk ke dalam bilik tajau. Mereka melangkah perlalah-lahan. Bunyi tikar rotan yang dipijak oleh mereka terdengar dengan jelas. Di dalam bilik tersebut agak gelap.

Cuma sedikit sahaja cahaya bulan yang memancar masuk melalui celah-celah atap dan dinding yang diperbuat daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh yang sudah dikelar dan dibelah itu.

Mereka berdua menuju ke arah tajau tersebut sambil berdiri dengan cara berhadapan dengannya. Raja kemudiannya duduk dan mengeluarkan parang ilang Langgai Tinggang yang tersisip di pinggangnya lalu diletakkan di tepi sebelah kiri sedangkan tangan kanannya menarik lembut tangan Sani supaya duduk di sampingnya.

“Sani, kau tahu ini apa?”

“Ya ayah. Tajau.”

“Kau tahu ini tajau apa?”

“Tak tahu ayah.”

“Tajau sebenarnya yang kita peroleh dari saudagar China yang datang membeli hasil bumi dari moyang kita. Jadi mereka bertukar-tukar barang. Juga sebagai tanda persahabatan. Kadang-kadang kita perolehi juga tajau ini dari ‘Orang Laut’ (Orang Melayu) yang mengikat persaudaraan dengan keturunan kita. Mereka membantu kita ketika kita susah dan kita membantu mereka ketika mereka susah. Sewaktu kecil dulu, datuk kamu membawa ayah tidur di perkampungan saudara orang laut kita.”

“Tapi menurut asal keturunan kita di Kapuas ratusan tahun dulu, tajau berasal dari ‘Ranying Hatalla’ (Tuhan yang Maha Kuasa). Ia dibuat dari campuran tanah untung panjang yang di campur emas. Tajau ini dibuat sendiri oleh Ranying Hatalla. Ketika Ranying Hatalla menyiapkan tajau ini, dia dibantu oleh Lalang Rangkang Haramaung Ampit Putung Jambangan Nyahu. Setelah sempurna penciptaannya, tajau ini pun diturunkan ke bumi dan diserahkan kepada Ratu Campa. Itu yang datuk kamu ceritakan pada ayah.”

“Dan inilah dia. Yang ada di hadapan kamu sekarang. Tajau Pereni. Keturunan kita menganggap tajau ini sangat tinggi nilainya. Sama seperti Tajau Singaraja. Keturunan kita menganggap Tajau Pereni dan Tajau Singaraja ini sebagai adik beradik. Tajau di hadapan kita inilah yang perlu kita beri makan darah dan tugas ini nanti akan ayah serahkan kepadamu suatu hari nanti.”

Tajau

“Ayah, adakah Tajau Pereni di hadapan kita ini adalah tajau yang paling hebat?”

“Hebat itu bukan ukurannya Sani. Tetapi sejauh mana tajau ini melindungi kita dengan cara kita memeliharanya dan memberi makan. Itu sahaja. Percayalah. Suatu hari nanti tajau itu cuma menjadi perhiasan di dinding rumah sahaja. Tapi benar Sani. Tajau Pereni kita ini sangat hebat. Tidak banyak rumah panjang memiliki tajau jenis ini. Tetapi mungkin di beberapa rumah panjang di tempat lain menganggap Tajau Singaraja lagi hebat.”

“Walaupun begitu, sehebat-hebat Tajau Pereni kita ini dan Tajau Singaraja, ada lagi tajau yang paling hebat. Namanya Tajau Kelawah Indu Benda iaitu sebuah tajau lagenda. Tajau ini jarang dilihat manusia. Cuma penceritaan dari mulut ke mulut sahaja. Kita sangat beruntung Sani.”

“Kenapa ayah?”

“Kamu tahu Sani. Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda ini ada berdekatan dengan kita.”

“Apa betul ayah?”

“Ya. Tapi ayah juga tidak pernah melihatnya. Yang pernah melihatnya adalah datuk kamu. Ketika itu ayah masih muda lagi. Sewaktu keturunan kita mula berpindah dari Kapuas hingga kita pindah ke sini. Datuk kamu pernah melihatnya ketika dia menyelam untuk mengambil Tajau Pereni ini.”

“Ayah, ayah rindu datuk?”

“Ya Sani. Ayah sangat-sangat rindu kepada datuk kamu. Cuma sekali sahaja ayah berjumpa dengan datuk kamu.”

“Bagaimana cara ayah jumpa dengan atuk?”

“Datuk kamu muncul melalui mimpi ayah. Kami duduk bersama sambil bercerita di bawah pohon ara di tebing sungai kita ini. Ayah teringat pada suatu ketika dulu.”

Raja terdiam sebentar. Memandang ke arah Sani dan kemudiannya memandang ke arah Tajau Pereni di hadapan mereka.

Tajau inilah yang menjadi saksi bahawa ayah Rajalah yang telah berusaha hingga menggadai nyawanya demi kebahagiaan orang lain. Raja teringat kembali ketika dia sedang bermimpi berjumpa dengan ayahnya.

Pada suatu malam, di ruai rumah panjang mereka, Raja menangis kerana merindui akan ayahnya. Ketika itu Raja baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama Bayu.

Kerinduan ini sangat-sangat menganggu jiwanya. Raja tidak mahu isterinya Bayu mengetahui apa yang berlaku. Kerana itulah dia menangis keseorangan di ruai.

Terbayang di fikirannya bagaimana kali terakhir ayahnya, Manang melafazkan kata-kata perpisahan kepada mereka sekeluarga.

Dan juga bagaimana Raja sendiri melihat ayahnya mati di dalam genggaman erat mulut buaya gergasi. Setelah penat menangis, Raja pun tertidur.

Tidak lama kemudian Raja bermimpi. Raja sedang berdiri di tepi sungai. Ketika remang-remang senja. Raja memandang ke atas.

Pohon ara berada di sebelahnya. Tiba-tiba Raja mendengar seperti suaranya dipanggil oleh seseorang.

“Raja..Raja..ini ayah nak..”

“Ayah..Ayah di mana. Raja rindu akan ayah.”

“Ayah di sini nak. Ayah tak dapat naik ke darat.”

“Ayah..ayah di mana..?

“Di hadapanmu nak. Tolong ayah.”

Mimpi

Raja memandang di sekelilingnya. Sinar remang-remang senja sedikit sebanyak membantunya memerhati dengan lebih baik. Raja memerhati di hadapannya.

Seperti seseorang yang hampir lemas. Tangannya terkapai-kapai sambil berusaha untuk mengapungkan badannya ke permukaan sungai. Agar tidak lemas.

Tanpa membuang masa Raja terus berenang ke tengah sungai untuk menyelamatkan ayahnya. Raja berusaha memeluk ayahnya dan berenang hingga ke tebing sungai. Sambil tangannya memegang dahan pohon ara yang menjalar ke dalam air.

Akhirnya mereka telah sampai ke tebing sungai. Raja mengangkat ayahnya naik. Kemudian mereka melepaskan penat di bawah kaki pohon ara tersebut.

Setelah itu Raja memeluk ayahnya dan menangis semahu-mahunya. Kemudian Raja melepaskan pelukannya dan memandang kembali pada wajah ayahnya.

“Ayah, Raja rindu kat ayah. Ayah apa khabar?”

“Ayah sihat nak. Ibu dan adik-adikmu bagaimana?”

“Mereka sihat ayah. Ayah nampak semakin kurus. Ayah tinggal di mana?”

“Ayah tinggal di bawah sungai ini nak.”

“Ayah, bukankah ayah dibaham buaya gergasi dulu dan badan ayah terputus menjadi dua?”

“Betul nak. Terlalu pedih rasanya ketika buaya gergasi itu memutuskan badan ayah menjadi dua. Bahagian kaki ayah masih berada pada perut buaya gergasi itu. Sedangkan badan ayah masih ada di sungai ini. Sekarang ini buaya gergasi itu telah menjadi saudara kita. Kau telah lakukan tugas dengan baik nak.”

“Buaya itu ada berjumpa dengan ayah. Dia meminta maaf kepada ayah kerana terpaksa membaham ayah ketika itu. Menurutnya dia diarahkan oleh perempuan penjaga kita kerana melanggar arahan semasa ayah menyelam untuk memilih salah satu tajau yang dimaksudkan.”

“Ayah cuba untuk memilih salah satu dari tiga tajau yang tertanam di dasar sungai ini. Ayah cuma mengangkat satu-persatu tajau ini. Mana yang ringan ayah akan bawa ke permukaan sungai. Ternyata perempuan penjaga kita itu marah. Kerana menurutnya, perjanjian ayah cumalah mencapai salah satu yang dicapai oleh tangan sahaja lalu dibawa ke atas permukaan sungai.”

“Tetapi kesilapan ayah cumalah cuba untuk mengangkat satu-persatu tajau ini dan akhirnya ayah dibaham oleh buaya gergasi tersebut. Padahal buaya gergasi itu juga tidak setuju. Tetapi buaya gergasi dan perempuan penjaga kita ini sama-sama di bawah jagaan Keling, jadi buaya gergasi itu mengikut sahaja apa yang diarahkan oleh perempuan penjaga kita.”

“Sebab itulah sebagai tanda kemaafan buaya gergasi itu sanggup menjalinkan persaudaraan kepada kita dan buaya gergasi itu akan menjaga keturunan kita. Cuma nanti engkau berhati-hatilah kepada perempuan penjaga kita ini. Sepertinya dia mempunyai banyak helah. Kalau bukan kerana dia adalah amanah dari Keling, nescaya dari dulu sudah ayah menentang dan memusnahkannya.”

“Ayah, benarkan di dalam sungai ini ada tiga buah tajau kesemuanya?”

“Ya nak, tajau yang ayah bawa ke permukaan sungai dan sekarang ini di rumah panjang kita itu adalah Tajau Pereni. Ada dua lagi yang masih ada di dasarnya. Tajau Singaraja dan Raja kepada segala tajau iaitu Tajau Kelawah Indu Benda. Tajau Kelawah Indu Benda ini adalah tajau lagenda. Ada juga saudara Iban kita tidak percaya kerana mereka tidak pernah melihatnya sendiri. Tajau Kelawah Indu Benda ini cuma sedikit sahaja jumlahnya dan cuma dimiliki oleh beberapa buah rumah panjang sahaja.”

"Ingat Raja. Jangan sesekali kamu cari dan usik kedua tajau itu. Apa lagi Tajau Kelawah Indu Benda. Kerana tajau ini Keling sendiri yang menjaganya. Ketika itu aku sudah tidak dapat menolong kamu, begitu juga dengan buaya gergasi dan perempuan penjaga kita itu. Ntah-ntah merekalah yang akan membunuhmu nanti sekiranya engkau tetap berniat untuk mengambil tajau itu. Walaupun kita terikat perjanjian bersama mereka. Berjanjilah pada ayah nak. Tolonglah. Berjanjilah pada ayah dengan taruhan jiwamu sekalipun.”

“Baiklah ayah. Saya berjanji.”

“Terima kasih Raja. Barulah tenang hati ayah. Bolehlah ayah bersemadi dengan aman selepas ini. Raja, hari semakin gelap. Kau pulanglah. Ayah pergi dulu. Mungkin ini kali terakhir kita berjumpa.”

"Ayah. Raja masih perlukan ayah. Rindu Raja pada ayah belum hilang lagi. Raja rindukan ayah.”

“Ayah faham nak. Sekarang dunia kita sudah berlainan. Nanti ayah akan selalu ada bersama kamu, pada setiap langkahmu, memerhati engkau dari kejauhan. Ketika itu engkau akan rasakan yang ayah terlalu dekat padamu. Ayah pergi dulu nak. Ayah sayang kamu, ibu dan adik-adik kamu. Berjanjilah pada ayah yang kamu akan menjaga mereka dengan taruhan darah kamu sendiri.”

“Ya ayah. Raja berjanji. Raja sayang ayah.”

“Ayah juga begitu. Ayah akan selalu merindui kamu nak. Ayah pergi dulu..”

“Ayah..Ayah..Ayah jangan pergi dulu..”

Manang, iaitu ayah kepada Raja kemudiannya berdiri. Memandang Raja dengan senyuman seorang ayah. Kemudian melangkah perlahan-lahan ke dalam sungai.

Ketika hampir tenggelam, Manang sempat tersenyum dan melambaikan tangannya buat kali yang terakhir.

Raja menangis semahu-mahunya. Kerinduan pada ayahnya belum lagi hilang dari jiwanya. Kesedihannya sudah tidak dapat dibendung lagi. Menahan rasa rindu terhadap orang yang paling disayangi.

“Selepas itu ayah tersedar dari mimpi ayah. Ternyata ketika ayah tersedar, ayah berada di bawah pohon ara. Ayah menangis semahu-mahunya. Mungkin ayah tidak akan pernah untuk berjumpa dengan datuk kamu lagi Sani.”

Raja tidak untuk menahan kesedihannya. Ketika itu Raja menangis di hadapan anaknya Sani. Sani cuma terdiam sahaja memerhatikan gelagat ayahnya Raja. Sani memeluk ayahnya Raja dengan pelukan kasih seorang anak.

“Ayah, Sani sayang ayah. Sani cuma ada seorang ayah sahaja dan juga seorang ibu. Ayah, ayah adalah ibarat mentari dan ibu adalah ibarat rembulan dan Sani sentiasa memerlukan kedua-duanya pada ketika siang dan malam.”

“Ayah juga sayang padamu Sani.”

Selepas itu mereka berdua berdua menangis semahu-mahunya. Hanya mereka berdua yang tahu kenapa tangisan ini sangat dalam ertinya.

Kerana tangisan ini adalah bahasa alam bahawa kasih sayang antara ayah dan anak tetap akan kukuh dan dekat selamanya sepertimana kukuh dan dekatnya detak jantung yang dihantar kepada nadi.

Selepas beberapa ketika Raja pun melepaskan pelukannya. Dia memandang Sani sambil tersenyum. Untuk seketika jiwa Raja agak tenang kerana tangisan kerinduan terhadap ayahnya telah terubat walaupun seketika. Raja mengelap air mata Sani dan kemudian mengelap air matanya sendiri.

Raja kemudian mula menutup matanya perlahan-lahan. Lalu menarik nafasnya berulang kali. Sedalam yang mungkin. Selepas beberapa minit Raja kembali membuka matanya dan memerhati ke arah Tajau Pereni.

Lalu membaca mentera sebelum upacara memberi makan darah kepada tajau tersebut dilakukan.

Kepala Tajau Pereni di hadapannya telah ditutup dengan sebuah ‘tabak’ atau tudung. Mengikut kepercayaan mereka, tujuan Tajau Pereni ini ditutup dengan tabak adalah supaya ia tidak dimasuki oleh benda-benda halus seperti ‘Antu Buyu’ atau roh-roh jahat.

Tajau Pereni milik mereka ini tidak seperti tajau-tajau lain seperti Tajau Guchi dan Tajau Singaraja kerana tajau-tajau hendaklah diberi makan pada setiap anak bulan mengambang.

Sedangkan Tajau Pereni milik mereka itu cuma sekali sahaja setahun tetapi dengan darah.

Raja kemudiannya berjalan mendekati Tajau Pereni di hadapannya. Kemudian membuka ‘tabak’ iaitu tudung kepada tajau tersebut.

Tidak lama selepas itu Raja mengeluarkan parang ilang Langgai Tinggang yang disisip di pinggangnya.

Parang ilang Langgai Tinggang itu digenggam dengan kuat oleh Raja. Mulutnya terkumat kamit membaca mentera sambil matanya tertutup. Sani memerhatikan sahaja apa yang dilakukan oleh ayahnya.

Memberi Makan Tajau

Suatu hari nanti Sani juga akan melaksanakan ritual ini. Untuk penduduk rumah panjang mereka. Kerana itulah Raja membawa Sani bersamanya. Selain dari melahirkan rasa keyakinan yang tinggi dan juga untuk menghilangkan rasa takut pada seusia muda sepertinya.

Parang ilang Langgai Tinggang itu kemudiannya diletakkan pada dadanya. Tiada lagi rasa gementar dan risau pada Raja. Kerana saban tahun, inilah yang akan dilakukan olehnya.

Selepas itu parang ilang Langgai Tinggang tersebut menyentuh kulit dadanya dan Raja menghiris secara perlahan-lahan. Dengan sekali hirisan sahaja darah mula mengalir perlahan di dadanya. Darah tersebut semakin lama semakin banyak.

Raja cuma menyalut darahnya dengan menggunakan parang ilang Langgai Tinggangnya. Agar darah merah segarnya bertakung pada parang tersebut.

Selepas beberapa detik Raja menghulurkan takungan darah tersebut pada Tajau Pereni tadi dan menitiskan darahnya melalui parang ilang tadi ke dalam mulut Tajau Pereni.

Raja membiarkan darah pada pedangnya mengalir sehingga menyentuh bahagian paling dalam Tajau Pereni. Agak lama juga Raja membiarkan sahaja pedangnya begitu.

Setelah Raja yakin bahawa sisa darah pada parangnya telah kering, barulah Raja mengangkatnya semula.

Raja mula mengelap sisa darah pada parangnya. Begitu juga pada dadanya. Lama kelamaan darah pada dada Raja juga kering dengan sendirinya.

Seperti parang ilang Langgai Tinggang yang digenggam utuh pada tangannya. Raja tersenyum lalu memandang Sani.

“Sani. Begini tugasmu suatu hari nanti nak. Memberi makan darah pada Tajau Pereni ini. Semoga pengalaman ini akan banyak mengajar engkau. Engkaulah akan menjadi Manang selepas aku meninggal nanti.”

“Baiklah ayah. Suatu hari nanti Sanilah orang yang mengganti tugas ayah ini.”

Raja tersenyum sambil membelai rambut Sani. Sani juga tersenyum memandang ayahnya. Sani kemudian menoleh ke arah Tajau Pereni tadi. Lama juga. Raja memandang Sani lalu bertanya kepadanya;

“Ada apa Sani. Kamu sepertinya sedang memikirkan sesuatu. Jelaskan pada ayah.”

“Tiada apa ayah. Tiada apa-apa.”

Jelas Sani sambil tersenyum kepada ayahnya. Kemudian kembali memandang Tajau Pereni ini dengan penuh dengan rasa pesona yang mengasyikkan.

“Suatu hari nanti, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda di dasar sungai itu akan menjadi teman kamu wahai Tajau Pereni. Biar keturunan kita akan menjadi keturunan yang paling ditakuti oleh seluruh bangsa Dayak. Kerana memiliki ketiga-tiga tajau yang agung. Apa lagi Tajau Kelawah Indu Benda juga ada pada genggamanku nanti.”

“Apa katamu Sani. Ayah tidak dengar.”

“Tiada apa-apa ayah. “

“Baiklah. Lekas pegang tangan ayah. Urusan memberi makan darah sudah selesai. Kita balik ke bilik kita. Ibumu sedang menanti kita.”

“Baiklah ayah.”

Sani kemudiannya menyambut dan menggenggam tangan ayahnya Raja dan mereka segera beredar dari bilik. Ketika mereka mula melangkah keluar, tiba-tiba;

“..Prang..”

“Aku pegang kata-katamu. Hihihi..”

Raja dan Sani terkejut lalu menolah ke belakang. Raja lalu mengeluarkan parang ilang Langgai Tinggang yang disisip di pinggangnya lalu membuka membuka ilmu mempertahankan diri kaum Iban yang bernama ‘kuntau’ yang diwarisi secara tradisi selama ratusan tahun dahulu daripada nenek moyang mereka.

Seni bunga kuntau dibuka oleh Raja sambil tangan kanannya memegang parang ilang Langgai Tinggangnya sementara tangan kirinya menolak perlahan Sani ke arah belakangnya.

Selepas itu Raja meluru ke hadapan dan mencari kalau-kalau ada sesiapa yang cuba untuk menyerangnya. Puas juga Raja mencari di sekitarnya namun hampa.

Ternyata tiada seorang pun di dalam bilik Tajau Pereni tersebut melainkan cuma Raja dan anaknya Sani.

Tiba-tiba Raja memandang Tajau Pereni dan melangkah cepat ke arahnya. Raja memerhati dengan tekun Tajau Pereni tersebut.

“Pelik.”

“Kenapa ayah.”

“Kenapa tabak (tudung) ini terbuka dengan sendirinya. Sedangkan darah telah aku beri makan kepadanya.”

“Kamu ada berkata apa-apa semasa ayah memberi makan kepada tajau ini tadi Sani?”

“Tiada ayah. Kenapa?”

“Mustahil. Tabak (Tudung) ini terbuka dengan sendirinya tadi sedangkan ayah telah mengikatnya dengan tali rotan. Agar tidak dapat dibuka dengan mudah. Kamu tunggu di belakang ayah.”

Raja kemudiannya mengambil tabak tadi lalu meletakkan kembali ke atas Tajau Pereni di hadapan mereka lalu mengikatkannya kembali dengan menggunakan tali yang diperbuat dari rotan hutan. Raja cuma menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pelbagai persoalan mula bermain di fikirannya. Tidak pernah berlaku peristiwa seperti apa yang dia alaminya sebentar tadi.

Selepas memastikan yang ikatannya telah kukuh, Raja kembali mendapatkan Sani lalu memimpinnya keluar dari bilik tajau tersebut.

Ketika mereka keluar dari bilik tersebut, Sani sempat menoleh ke arah Tajau Pereni itu. Sani terkejut kerana di atas Tajau Pereni tersebut kelihatan seorang perempuan seperti pontianak duduk bertinggung di atas Tajau Pereni sambil tersenyum memandang Sani. Wajahnya sangat hodoh dan menakutkan.

Pontianak tersebut memandang Sani sambil tersenyum. Kukunya panjang. Begitu juga lidahnya. Panjang lidahnya hampir menyentuh lantai ketika itu. Di bibirnya kelihatan darah-darah yang masih segar.

Pontianak tersebut menjilat-jilat darah di bibirnya dengan menggunakan lidahnya yang panjang dan berlubang tadi lalu menggerak-gerakkan kepalanya perlahan-lahan seperti daun hijau ditiup angin yang perlahan.

Suara

“Satukanlah kembali aku dengan saudaraku Si Singaraja dan Si Kelawah Indu Benda wahai Sani. Aku menunggu kamu. Hihihi..”

“Tidak. Tidak. Aku tidak mahu..”

“Kamu yang menawarkannya tadi dan bukan aku. Hahaha..”

“Sani. Kenapa kamu. Lihat wajah ayah. Jangan dilayan suara itu. Itu suara penunggu keturunan kita. Buruk padanya nanti.”

Raja menampar wajah Sani perlahan-lahan berulang kali sambil membaca mentera perlindungan kepada tuhan Petara. Ketika melangkah keluar dari bilik Tajau Pereni tadi Raja terkejut kerana melihat Sani seperti orang yang terkena sampuk setelah mendengar suara perempuan. Sebab itulah Raja memberhentikan langkahnya dan segera memandang Sani.

Selepas itu Sani tersedar. Matanya berkelip-kelip berulang kali.

“Kenapa ayah. Apa yang berlaku?”

“Tiada apa-apa Sani. Lekas masuk ke dalam bilik. Dengar cakap ayah. Lekas. Sekarang.”

“Baiklah ayah.”

Mereka akhirnya masuk ke dalam bilik. Bayu, isteri Raja telah lama tertidur. Raja meletakkan Sani di tengah-tengah antara dia dan Bayu. Agar Raja boleh menjaga Sani sekiranya ada apa-apa yang berlaku.

Sani mula risau dengan apa yang berlaku tadi. Tidak pernah berlaku sebelum ini tabak pada Tajau Pereni terbuka sendiri. Raja teringat akan kata-kata ayahnya dulu semasa mereka bertemu di dalam mimpi. Lama juga Raja memikirkan apa yang terjadi.

“Cuma nanti engkau berhati-hatilah kepada perempuan penjaga kita ini. Sepertinya dia mempunyai banyak helah. Kalau bukan kerana dia adalah amanah dari Keling, nescaya dari dulu sudah ayah menentang dan memusnahkannya.”

Raja kemudian memandang Sani yang tertidur. Dengkurnya agak kuat. Raja mula merasa pelik kenapa dengkur Sani semakin kuat. Raja kemudiannya mengejutkan Sani dari tidurnya.

“Bangunlah nak. Tidurmu tidak nyenyak. Alihkan badanmu sedikit ke atas.”

Sani menggosok-gosokkan matanya lalu memandang Raja. Sani kelihatan terlalu mengantuk hingga ketika duduk pun badannya terhuyung hayang ketika dikejutkan oleh Raja.

Pada mulanya Raja tersenyum melihat gelagat Sani. Tetapi kemudian senyumannya mula berubah. Dahinya berkerut dan peluh dingin mula bercucuran keluar dari liang-liang roma dahinya. Raja memerhati dan mendekatkan telinganya ke wajah Sani yang sedang duduk ketika itu.

“Kenapa aku masih mendengar dengkuran lagi. Sedangkan bunyi dengkuran itu bukan dari Sani. Lalu siapa yang berdengkur?”

Raja kemudian membaringkan Sani kembali di sebelah Bayu. Raja lalu cuba memasang telinganya untuk mendengar sama ada isterinya Bayu yang berdengkur atau tidak. Dan ternyata bukan Bayu yang berdengkur.

Raja mula risau. Dia tidak mengetahui sama ada itu sebenar-benarnya bunyi dengkuran atau bunyi suara garau seseorang. Bunyi itu semakin lama semakin kuat. Semakin lama semakin kuat.

Raja memandang dinding di sebelah kanan. Ternyata bunyi tersebut dari arah bilik sebelah. Bilik yang menempatkan Tajau Pereni. Tajau yang dijaga oleh seorang perempuan.

Selepas itu kedengaran bunyi cakaran tajam dari bilik Tajau Pereni tersebut. Hinggakan dinding dari kulit kayu yang menjadi pembatas bilik mereka bergegar.

Kedengaran juga suara merintih seorang perempuan. Mendayu-dayu bunyinya.

Kerisauan Raja semakin kuat. Tidak pernah Raja merasa serisau ini. Inilah kali pertama. Raja mengambil parang ilang Langgai Tinggangnya lalu bergegas dan masuk ke dalam bilik Tajau Pereni.

“Jangan cabar aku bodoh. Buaya gergasi lagiku takluki. Apa lagi perempuan bodoh seperti kamu. Kenapa mengganggu keluarga aku sedangkan keturunan akulah yang memberi kamu makan.

Jangan sampai aku hilang akal. Kalau tidak, kalau bukan aku yang mati maka kamulah yang akan mati.”

Suasana kembali sepi. Raja memerhati ke seluruh ruangan bilik tersebut. Sepi dan hening. Tajau Pereni itu juga tersusun cantik seperti tadi.

“Aku tidak mencabar engkau. Mungkin pada engkau aku akan kalah tetapi bagaimana pula Sani anakmu. Adakah dia juga sehebat kamu dan datuknya? Hahaha..Aku juga ingin merasa darahnya bagaimana. Mungkin enak bukan darah anak kecil. Hahaha..”

Raja memandang ke sekelilingnya. Ternyata tiada seseorang pun di situ. Cuma dia dan Tajau Pereni Sahaja.

“Celaka. Keturunan aku jangan dipermainkan. Tunjukkan dirimu. Biar kita berkuntau bersama. Akan aku potong kepalamu dengan parang ilang Langgai Tinggang ini nanti. Tunjukkan rupamu sekarang.”

“Hahaha..Masalahnya sekarang aku di bilik sebelah. Di bilik kamu. Kenapa kamu tinggalkan anak dan isterimu begitu saja Raja. Aku boleh membunuh mereka sekarang kalau aku mahu. Jaga-jaga engkau Raja. Hahaha..”

Raja cuba untuk mengawal perasaannya. Dia tidak mahu bertindak terburu-buru. Risau kalau-kalau penduduk rumah panjang mereka mengetahui apa yang berlaku.

Apa kata mereka nanti kalau mereka mengetahui yang Manang muda mereka tidak mengawal Tajau Pereni ini.

Raja terfikir juga untuk memberitahu Bani. Cuma belum ada masa lagi. Raja kalau boleh ingin menyelesaikannya secara bersendirian.

Menurut Raja, ini bukan sekadar menyelamatkan nyawa keluarga dan penduduk rumah panjangnya tetapi lebih dari sebuah maruah dan harga diri.

Cepat-cepat Raja meninggalkan Tajau Pereni tersebut dan kembali semula ke bilik mereka sekeluarga. Raja melangkah masuk. Ternyata tiada sesiapa di situ.

Cuma anaknya Sani dan isterinya Bayu sedang terlena dibuai mimpi. Suara perempuan itu juga sudah tidak kedengaran lagi.

Apa yang terjadi pada Raja bagaikan mimpi. Lama juga dia memikirkan apa yang berlaku. Perempuan penjaga keturunan mereka juga telah mula menunjukkan belang.

Mata Raja memandang ke arah sekeliling. Apa saja yang melintasi di hadapan mereka pasti akan di tebas Raja dengan parang ilang Langgai Tinggangnya.

Setelah memastikan kesemuanya selamat, Raja kemudian duduk di samping Sani. Membelai perlahan-lahan rambut Sani sambil tersenyum.

Kemudian memandang Bayu yang juga tengah tertidur. Selepas Raja memastikan bahawa kesemuanya selamat, Rajapun baring di samping Sani.

Tertidur

Ketika Raja merebahkan badannya, fikirannya masih melayang. Memikirkan peristiwa yang boleh meragut semangat dan jiwa kelakiannya. Mata Raja semakin berat.

Badannya semakin lemah. Parang ilang Langgai Tinggangnya tetap digenggamnya. Sebagai persediaan. Manalah tahu kalau-kalau dengusan dan suara itu muncul kembali.

Raja memandang ke atas. Atap rumbia kering menjadi santapan matanya. Matanya sibuk mengira satu-persatu belahan daun apong yang tersusun membentuk sebauh atap yang di atas bahagian siling.

Lama kelamaan pandangan matanya semakin kabur. Degupan jantungnya mula perlahan dan akhirnya Rajapun tertidur juga.

Selang beberapa jam kemudian, ketika Raja sedang tidur nyenyak, dari bilik Tajau Pereni kedengaran bunyi alunan muzik tradisional Iban yang mengalunkan muzik ‘Ngajat Pua Kumbu’.

Bunyinya sangat-sangat indah dan menyatu dengan alam sehinggakan keseluruhan penduduk rumah panjang tidak menyedari akan kewujudan bunyi tersebut sedangkan bunyi alunan muzik Ngajat Pua Kumbu itu semakin kuat. Mereka seakan-akan terpukau dan lemas dalam tidur yang mengasyikkan.

Bahkan muzik ngajat tersebut boleh didengari hingga ke luar rumah panjang mereka. Sejauh mata memandang.

Cuma keasyikan alunan muzik tersebut membuatkan malam mereka semakin panjang dan lena mereka menyelimuti jiwa sehinggakan kehadiran perempuan penjaga mereka dan penjaga Tajau Pereni itu bebas bergerak di bawah dan di dalam rumah panjang mereka.

Ketika perempuan itu merangkak-rangkak perlahan di bawah rumah panjang mereka, dia bukan sekadar menghidu apa sahaja yang ada.

Bahkan juga menjilat kotoran-kotoran dari air kencing melahap ketulan tahi anak kecil penduduk rumah panjang.

Dia juga bergerak perlahan lahan sambil melintasi beberapa tiang-tiang di bawah rumah panjang yang penuh dengan ukiran tumbuh-tumbuhan yang diperbuat dari kayu belian. Perempuan itu memegang setiap tiang rumah dengan meninggalkan kesan cakaran yang mendalam.

Selepas itu dia mencari arah tangga rumah panjang untuk naik ke atas ruai semula. Tangga rumah panjang itu diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditakik dengan beliong dan dipanggil dengan nama tangga takik.

Perempuan penjaga mereka itu kemudian menaiki tangga dan menuju masuk ke dalam. Cuma pergerakan perempuan itu seperti angin. Dia tidak menaiki tangga itu satu persatu.

Tetapi cuma terbang melintasinya dan menembusi pintu utama.

Selepas itu perempuan itu naik ke kawasan ‘ruai’ atau kawasan terbuka di atas rumah panjang yang merupakan tempat penduduk rumah panjang berkumpul bersama.

Perempuan itu merangkak sambil ketawa kecil. Merangkaknya bukan di atas lantai.

Tetapi merangkak secara terbalik. Kaki dan tangannya di atas sambil memegang alang rumah dan badannya di bawah dan perempuan itu sedang berada di atas siling rumah panjang. Persis seekor monyet yang bergantungan pada dahan pohon.

Pada ketika itu juga perempuan itu mula menampakkan dirinya dalam bentuk yang sangat menakutkan. Wajahnya hodoh dengan kesan lubang di pipi sehingga menampakkan taringnya tajam serta ulat-ulat yang memakan daging pipinya berjatuhan ke lantai.

Matanya merah menyala. Urat-urat kebiruan pada matanya juga timbul. Kulitnya berwarna pucat kebiruan dan taringnya pula berwarna kuning dan terkeluar dari tepi celah bibirnya.

Setelah puas mengelilingi sekitar rumah panjang, perempuan itu akhirnya masuk ke dalam bilik Raja. Dari atas siling bilik Raja, perempuan itu masih ketawa lagi.

“Hahaha..Raja. Sememangnya kamu hebat. Tetapi ketika kamu tertidur begini adakah kamu masih lagi hebat? Bagaimana untuk kamu selamatkan jiwa keluarga kamu. Sedangkan jiwa kamu sendiri berada di dalam genggamanku sekarang. Hihihi. Ayahmu telah aku tumpaskan dengan sebegitu mudah dan bagaimana pula kamu? Adakah semudah kematian ayahmu juga hahaha..”

Perempuan penjaga keturunan mereka itu kemudiannya turun perlahan-lahan. Bentuknya ketika itu seperti asap sahaja. Berwarna kelabu dan terapung perlahan seperti awan. Akhirnya badannya menyentuh lantai kayu di dalam bilik Raja.

Selepas itu perempuan itu memandang dan mendekatkan wajah buruknya pada wajah Raja. Lalu memasukkan lidahnya ke dalam mulut Raja.

Raja seakan sukar untuk bernafas. Dia cuba untuk melawan dan mencapai parang ilang Langgai Tinggangnya. Tapi segala usahanya sia-sia belaka.

Ketika perempuan itu memasukkan lidahnya ke dalam mulut Raja, perempuan itu juga memegang dan membenamkan kukunya yang tajam ke lengan Raja.

Begitu juga pada kakinya. Perempuan itu merangkak ke atas badan Raja dan membenamkan kuku kakinya yang panjang ke pinggang Raja.

Sehinggakan Raja langsung tidak dapat untuk bergerak.

Pada awalnya Raja cuba untuk melawan tetapi tidak berjaya. Raja berusaha untuk memberontak.

Dia juga berusaha untuk memegang tangan anaknya Sani. Sepertinya Raja bukan berniat untuk mengejutkan Sani kerana Raja menggenggam tangan anaknya Sani dengan genggaman yang kukuh.

Mungkin itu sahaja kemampuan Raja untuk melindungi Sani anaknya. Sedangkan isterinya Bayu tidak dapat dicapai oleh Raja dengan tangannya. Semuanya menimbulkan persoalan.

Raja semakin sukar untuk bernafas. Perempuan itu mula ketawa berdekah-dekah. Ternyata Raja begitu senang untuk ditumpaskan.

Setelah beberapa ketika, wajah Raja bertukar menjadi pucat dan kebiruan dan buih-buih putih mula keluar dari mulut Raja.

Raja menjadi semakin lemah dan dia mula kelemasan. Mencari bekalan udara untuk diserapkan di dalam dada. Tetapi apakan daya. Raja telah dikuasai sepenuhnya oleh perempuan itu. Dan akhirnya Raja tidak lagi bernafas.

Raja juga sudah tidak melawan seperti tadi. Matanya terbeliak. Memandang ke atas seperti terkejut melihat sesuatu. Di tepi mata Raja terkeluar darah merah yang pekat. Juga dari lubang telinga dan mulutnya.

Darah segar mengalir perlahan. Badannya mulai kaku. Perempuan itu ketawa kerana Raja pasti tidak akan bangkit lagi selamanya kerana Raja telah meninggal dunia dan tumpas di tangannya.

Perempuan itu seperti masih tidak berpuas hati. Dia kemudiannya memerhati ke arah perut Raja. Selepas itu perempuan itu menyentuh perut Raja dengan kedua belah tangannya lalu menikam perut Raja dengan kukunya yang tajam.

Selepas itu perempuan itu cuba untuk mengoyakkan perut Raja.

Saya sempat terbayang ketika Aki menceritakan kepada saya babak ini. Kata Aki perempuan itu mengoyakkan perut Raja seperti seseorang tengah membuka kulit buah durian.

Perempuan itu mencakar-cakar dan mengoyak isi perut Raja serta apa sahaja yang ada sehingga perut Raja terburai keluar dan darahnya memercik dan tumpah ke lantai.

Tubuh Raja ketika itu tak ubah seperti seekor ikan yang dikerat perutnya dan dikeluarkan isi perutnya.

Selepas itu perempuan itu bergerak perlahan-lahan. Memandang ke arah Sani. Sani yang tertidur nyenyak ketika itu tidak menyedari apa yang berlaku. Mulutnya terbuka. Air liur basinya tumpah menyentuh bantal.

Dan pada ketika itulah perempuan itu bertukar bentuk menjadi seperti wap dan masuk ke dalam mulut Sani. Sani terkejut dari tidurnya lalu terbatuk-batuk.

Ketika itu bunyi muzik ngajat dari peralatan seperti tawak, bebenai, sape, engkromong dan ketubung yang mengiringi setiap langkah perempuan itu tadi tiba-tiba berhenti dan akhirnya hilang bersama kegelapan malam. Lalu bertukar menjadi sediakala iaitu seperti bunyi haiwan liar, serangga kecil dan bunyi unggas berterbangan.

Sani bangkit dari tempat tidurnya. Dia cuba mengejutkan ayahnya Raja tapi tidak berjaya. Kemudian Sani mengejutkan ibunya yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya.

“Ibu, bangun ibu. Tekak Sani sakit. Macam termakan sesuatu.”

Bayu yang mula terjaga kerana dikejutkan oleh Sani segera bangkit dari tidurnya dan menggosok-gosokkn matanya.

“Kenapa Sani?”

“Tekak Sani sakit. Macam ada sesuatu yang tersekat di kerongkong Sani.”

“Kejutkan ayahmu nak. Ibu nak ikat rambut sebentar.”

“Sudah ibu tetapi ayah tetap nyenyak tidur.”

“Kejutkan kembali ayahmu. Mungkin ayahmu penat.”

“Baiklah ibu.”

Sani mula berpaling dari ibunya dan memandang sambil menggerakkan tubuh ayahnya yang kaku.

“Ayah, ayah. Bangun. Tekak Sani sakit. Ayah.”

Kematian Raja

Ketika Sani cuba untuk menggerakkan ayahnya, Sani terkejut apabila memandang mulut ayahnya yang berbuih dan mengeluarkan darah. Apa lagi memerhati keadaan isi perut ayahnya yang terburai.

Darah merah memenuhi lantai dan mata ayahnya yang terbeliak besar sehinggakan mata ayahnya hampir-hampir sahaja terkeluar.

“Ibu. Ada darah yang terkeluar dari mulut ayah. Perut ayah juga berdarah. Ayah juga masih tidak bangun.”

“Hah..Apa betul ini Sani?”

“Betul ibu. Ibu tengok sendiri.”

Selepas itu Bayu merangkak dan mendekati suaminya Raja. Ketika Bayu memandang ke arah Raja, Bayu terkejut dengan apa yang berlaku.

Hampir sahaja Bayu pengsan melihat keadaan suaminya tetapi Bayu tetap menguatkan semangatnya.

Selain mulutnya yang berbuih dan mengeluarkan darah, mata Raja juga terbeliak kerana seperti melihat sesuatu yang sangat-sangat menakutkan.

“Abang, abang, kenapa ni? Apa yang terjadi? Abang, bangun bang. Bangun. Abang..”

Bayu segera memeluk Raja. Dia menjerit sekuat-kuat hatinya sambil meminta pertolongan. Sani ketika itu cuma mampu untuk menangis dan memandang wajah ibunya dan sesekali memandang wajah ayahnya.

Bayu kemudian menutup perut suaminya dengan menggunakan selimut. Tidak sanggup rasanya Bayu melihat keadaan suaminya ketika itu.

Jeritan Bayu pada malam itu telah mengejutkan hampir kesemua penduduk rumah panjang. Mereka juga telah digemparkan dengan kematian Raja dengan cara yang sangat menakutkan.

Kaum lelaki mula bersesak-sesak untuk melihat keadaan Raja.

Sedangkan kaum ibu juga cuba untuk melihat masuk. Paling tidak pun memerhati dari kejauhan sahaja. Mungkin mereka masih terkejut dan tidak biasa melihat keadaan seperti ini.

Pada malam itu tiada siapa yang mengetahui apa yang sebenar-benarnya berlaku. Mereka kehairanan. Kenapa mayat Raja boleh menjadi sebegitu.

Tidak berapa lama kemudian, Bani datang dan meluru masuk ke dalam bilik Bayu. Bani melihat sendiri bagaimana seramnya wajah Raja.

Dari bebola mata Raja juga menunjukkan betapa pedih dan sakitnya apa yang telah dilalui oleh Raja. Bani juga sempat membuka selimut yang menutupi perut Raja dan melihat sendiri bagaimana perut Raja yang terkoyak itu akibat cakaran kuku yang sangat tajam.

Bani menangis semahu-mahunya. Sahabat terbaik dan juga adik iparnya telah meninggal dunia. Dunia serasakan terbalik. Peristiwa hitam yang menggemparkan seluruh penduduk menyebabkan ketakutan mula menguasai diri mereka.

Jiwa mereka bercampur baur. Tiada di antara yang meyakini bahawa kematian Raja disebabkan oleh sakit biasa. Mereka yakin bahawa kematian Raja ini disebabkan oleh hantu dan ada yang berpendapat bahawa kematian Raja ada kaitannya dengan penunggu Tajau Pereni mereka.

Apa yang berlaku pada malam itu benar-benar menyebabkan Bani merasa terpukul. Dia seperti kehilangan seorang sahabat baiknya yang dia anggap seperti adiknya sendiri.

Bani menangis semahu-mahunya. Bani meraung sambil menggoncang-goncangkan badan Raja.

Dan kesunyian pada malam itu dipecahkan dengan bunyi tangisan penduduk kampung dan pada malam itu juga Bani mengarahkan kesemua penduduk untuk berjaga dan sentiasa berwaspada serta menjaga diri serta keluarga mereka. Kesemua tidak dibenarkan untuk turun dari rumah panjang.

Bayu dan juga Sani dibawa oleh Bani untuk masuk ke bilik Bani. Supaya mereka boleh merasa sedikit tenang. Bani ditemani oleh kaum ibu. Selepas itu Bani kembali masuk ke bilik Raja. Bani meminta kaum lelaki untuk membawa mayat Raja ke tengah ruai.

Malam itu mereka semua tidak tidur. Mereka berjaga bagi memastikan jangan ada perkara yang tidak diingini berlaku lagi. Kesemua jenis senjata mereka keluarkan dari dalam perut bilik termasuk parang ilang, tombak, terabai dan sebagainya.

Mereka berjaga di setiap empat sudut rumah panjang mereka. Juga di kawasan tangga rumah serta pintu utama. Mereka memerhati keadaan sekeliling serta memerhati dengan penuh tekun setiap pergerakan yang timbul di dalam kepekatan malam.

Mereka berjaga hingga ke subuh. Tanpa ada rasa mengantuk sedikit pun. Dingin subuh mula mencengkam dan menyentuh kulit mereka.

Sesekali beberapa orang kelihatan menguap. Mungkin mula mengantuk. Tetapi mereka gagahi jua supaya keselamatan mereka terjamin.

Cahaya mentari mula menyinar dari dari kejauhan. Perlahan-lahan menyentuh hijau daun yang masih basah disirami embun pagi. Unggas-unggas mula berterbangan mencari bekal makanan.

Tangisan di ruai rumah panjang masih kedengaran. Sehingga kicau burung hilang ditenggelami oleh suara tangisan.

Kelihatan Bani masih lagi duduk sambil kepalanya menunduk.

Sudah berjam-jam juga Bani seperti itu. Dia bukan tertidur tetapi meratapi pemergian kawan rapatnya sendiri. Selepas itu Bani memanggil kesemua penduduk rumah panjang untuk berkumpul di tengah ruai.

“Kepada semua penduduk rumah panjang ini. Malam tadi kita telah dikejutkan dengan kematian Manang kita iaitu Raja. Dia juga adalah adik ipar saya dan dia juga adalah sahabat baik saya sendiri. Kami membesar bersama dan bermain bersama. Selepas ini kita akan tanam mayat Raja mengikuti kepercayaan nenek moyang kita. Perjuangan kita masih baru lagi di rumah panjang ini. Demi kepentingan anak cucu kita, kita pertahananlah tanah kita ini dengan darah kita sendiri.”

Selepas itu mayat Raja dibawa ke tepi sungai. Dia ditanam di situ kerana Bani mengambil kira supaya Raja dan ayahnya boleh bertemu dan bersatu di situ tetapi pada alam yang lain. Begitulah kalau menurut kepercayaan mereka.

(Menurut cerita Aki hingga sekarang kubur tersebut masih ada lagi. Cuma pohon ara sudah tiada lagi di situ. Tumbang kerana sudah terlalu tua. Kemungkinan kaki pancing di Bintulu sudah terbiasa di kawasan tersebut. Selain dari kawasan tersebut tempat tumpuan pemancing udang kerana banyak udang yang ada di sekitar tersebut, di dasarnya ada batu yang luas dan datar. Sekali sekala mereka akan terjumpa dengan buaya biasa yang berkeliaran. Mungkin atas sebab itulah di kawasan tersebut banyak udangnya. Kerana banyak buaya. Juga di kawasan tersebutlah lahirnya lagenda buaya gergasi penjaga kubur tersebut. Buaya yang sama menyambar Manang, sahabat baik moyang Aki. Aki juga menjelaskan buaya-buaya di sekitar situ adalah anak dan cucu kepada buaya gergasi tersebut. Allahu a’lam. Saya juga tidak tahu akan kebenarannya)

Barang-barang milik peribadi Raja kemudiannya diserahkan Bayu kepada Bani. Untuk dikuburkan bersama. Kecuali parang ilang Langgai Tinggang milik Raja. Diserahkan kembali Bani kepada Sani.

Sebagai ketua kampung, segala proses ritual dilaksanakan sendiri oleh Bani. Sementara Bayu dan Sani memerhati sahaja di samping Bani. Mereka masih lagi tidak dapat melupakan apa yang terjadi.

Peristiwa hitam yang menimpa mereka benar-benar meragut jiwa Bayu sebagai seorang isteri. Ingin rasanya Bayu menemani suaminya Raja. Agar cinta mereka disatukan kembali di alam yang lain.

Manang Muda

Kini tugas memilih Manang yang baru semakin rumit. Keturunan Manang yang tinggal cuma Sani sahaja. Tetapi dengan usia semuda Sani ini tiada banyak perkara yang boleh mereka harapkan.

Memandangkan begitulah cara waris Manang diperturunkan di rumah panjang mereka, mereka bersetuju untuk membimbing anak Raja iaitu Sani untuk menjadi pengganti ayahnya. Cuma Sani masih terlalu muda. Seperti daun yang masih lagi kehijauan.

Selepas mayat Raja dan barang-barang milik peribadinya dikuburkan bersama, Bani melangkah ke arah Bayu dan Sani.

“Bayu adikku. Memang sudah ketentuan nasib Raja seperti ini. Aku tahu perasaanmu dik. Aku juga sedih kerana aku bukan sekadar kehilangan Raja yang aku sudah anggap seperti adik aku tetapi aku juga sudah kehilangan separuh dari hidupku.”

“Aku faham bang. Tetapi buat masa sekarang aku masih tidak dapat lagi untuk menerima kehilangan Raja. Terlalu awal untuk kami berpisah. Aku sudah tidak ada lagi tempat bergantung.”

“Kau jangan risau Bayu. Aku adalah abangmu dan engkau adalah adikku. Sekiranya engkau mati, maka matilah aku dan sekiranya engkau hidup maka akan hiduplah aku. Selagi aku hidup tidak akan ada sesiapa yang berani untuk membuatmu tersedih. Sani, kemarilah kau nak.”

“Iya pakcik.”

“Mulai sekarang. Engkau adalah bakal Manang kita yang baru. Selepas usia engkau mencapai 15 tahun nanti, barulah engkau akan menjadi Manang yang sebenar. Cuma sekarang engkau perlu belajar banyak perkara dari aku dan orang-orang tua kita di sini. Supaya ilmumu sEtanding dengan datuk dan ayahmu.”

“Baiklah pakcik. Asalkan ibu setuju.”

“Mak setuju nak. Bahkan apa saja yang bapa saudaramu mahukan dari mu ibu tetap akan setuju.”

“Baik. Terima masih mak. Pakcik, semalam ketika saya terbangun dari tidur, tekak saya merasa sakit sangat. Seperti dimasuki oleh sesuatu. Hingga saya tersedar dari tidur. Ketika saya duduk saya rasa ada sesuatu di dalam genggaman tangan saya. Ketika saya buka tangan saya, saya lihat ada taring ini pakcik.”

“Ini taring buaya gergasi kepunyaan ayahmu nak. Pakcik rasa mungkin ayahmu menyerahkan padamu malam tadi. Sebelum dia meninggal. Mana parang ilang Langgai Tinggang ayahmu tadi. Bawa ke sini.”

“Ini pakcik.”

Bani kemudiannya menyambut parang ilang Langgai Tinggang. Bani tersenyum. Bani kemudiannya memegang ulu parang ilang Langgai Tinggang dengan tangan kanannya dan memegang dengan tangan kiri bahagian ‘Bungai Kunding’ iaitu bahagian belakang parang ilang tetapi kawasan yang paling dekat dengan bahagian ulu parang ilang.

“Kamu tahu Sani. Semasa nenek moyang kita membuat parang ilang Langgai Tinggang ini dulu, mereka mengukir mata bungai kunding ini ketika besi masih lembut dan mudah dibentuk ketika sedang dipanaskan. Mereka mengukirnya dengan cara mengikir. Ianya sangat-sangat susah untuk ditempa.”

“Menurut kepercayaan lama keturunan kita, untuk mengukir bunga kunding ini tidak boleh dilakukan oleh orang sembarangan atau orang biasa dari golongan kita, tetapi orang yang boleh mengukir bunga kunding ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang pernah pergi ‘bedengah’ iaitu orang yang pernah memenggal kepala musuh ketika berperang.”

“Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh ayahmu dulu. Ketika kami sama-sama memburu rusa di hutan. Ayahmu pernah memberitahu. Keturunan rumah panjang kita percaya bahawa parang ilang yang kuat ada tiga. Parang ilang pertama yang berulukan tanduk rusa putih yang besar. Tertanam di Bukit Nyabau. Di situ ada penunggu yang bernama Rusa Putih. Kedua parang ilang yang berulukan kayu belian putih. Ada tertanam di suatu tempat seperti pulau berbentuk kapal di Sebauh.”

“Dan pakcik yakin, parang ilang Langgai Tinggang ini adalah yang ketiga. Kerana menurut ayahmu, parang yang satu lagi adalah parang ilang Langgai Tinggang yang berulukan taring buaya gergasi. Patutlah ayahmu memberitahu bahawa suatu hari nanti pakcik pasti akan melihatnya sendiri. Pakcik gembira kerana menurut ayahmu dulu bahawa parang ini akan diserahkan sendiri oleh pakcik kepada orang yang benar-benar layak. Orang itu adalah kamu Sani.”

“Serahkan gigi buaya gergasi itu kepada pakcik. Pakcik akan jadikan gigi buaya gergasi nii sebagai hulu parang ilang Langgai Tinggang yang baru. Kemudian barulah aku akan serahkannya kepada kamu.”

Sani kemudiannya menyeluk poket kecil di bahagian dalam seluarnya. kemudian dia menyerahkan gigi buaya gergasi itu kepada Bani. Bani mengambil gigi tersebut lalu memerhatikan dengan teliti.

Parang Ilang Langgai Tinggang

“Apakah parang ilang Langgai Tinggang berulukan gigi buaya gergasi ini benar-benar hebat pakcik?”

“Iya nak. Bahkan kamu akan kebal dari semua jenis senjata. Cuma pesan pakcik kepada kamu. Kamu akan kebal ketika musuh menyerang kamu. Tetapi sekiranya kamu cuba untuk menduga kekebalan kau dengan sengaja, maka parang ilang Langgai Tinggang ini tidak akan dapat menolong kamu. Berhati-hatilah nak.”

Bani kemudiannya cuba untuk membuka hulu parang ilang Langgai Tinggang tersebut. Dia mengerahkan segala kudrat dan kekuatannya untuk menanggalkan hulu dari badannya.

Setelah puas bermandi peluh, akhirnya bahagian hulunya dapat dicabut dan dipisahkan dari badannya.

Selepas itu, Bani mengambil gigi buaya gergasi tadi dan menebuk bahagian tengah di sebelah bawahnya kerana di bahagian bawah giginya agak sedikit lembut. Walaupun lembut tetapi gigi tersebut lebih keras dari batu sungai.

Lama juga Bani berusaha untuk membuat lubang tersebut. Tetapi lama-kelamaan dan sedikit demi sedikit lubang itu dapat juga dihasilkan sehinggakan kedua-dua tangan Bani sakit dan melecet.

Setelah lubang pada gigi buaya gergasi itu terhasil, Bani kemudiannya memasukkan bahagian hujung parang ilang Langgai Tinggang pada gigi buaya gergasi tersebut.

Selepas itu Bani memotong sedikit dari kulit rusa yang melapisi sarung parang ilangnya sendiri lalu dibakar.

Kemudian kulit tersebut akan dibakar oleh Bani dan dibiarkan sedikit cair terlebih dahulu. Setelah menjadi lembut kulit tersebut akan menjadi gam dan dimasukkan ke dalam lubang gigi tersebut untuk mencantumkan dengan pedang ilang dan hulunya.

Setelah kering Bani mengambil parang tersebut dan cuba untuk berkuntau dengannya dan ternyata gigi buaya gergasi tersebut telah melekat dengan kuat. Setelah berpuas hati akhirnya Bani menyerahkan parang ilang Langgai Tinggang itu kepada Sani.

“Nah Sani. Ambillah parang ilang Langgai Tinggang ini nak. Ayah kamu dan pakcik mengamanahkannya untuk dijaga oleh kamu. Ingat Sani. Jangan gunakan parang ilang Langgai Tinggang ini mengikut telunjuk nafsu kamu. Kalau tidak parang ilang Langgai Tinggang akan menjadi tuan kamu dan bukan kamu yang menjadi tuannya.”

Sani kemudian mengambil parang ilang Langgai Tinggang itu dari pakciknya Bani. Bani memerhati parang tersebut dengan pandangan matanya. Sani merasa takjub dengan padang tersebut walaupun sebelum ini dia pernah memegangnya sendiri.

Bani kemudiannya datang mendekati Bayu adiknya. Bayu kelihatan masih bersedih lagi. Lalu Bani memeluk adiknya Bayu dan memberikan kata-kata semangat. Mereka kemudiannya meninggalkan Sani keseorangan di situ dan menuju ke rumah panjang mereka.

Sani masih lagi memerhati parang ilang Langgai Tinggang di tangannya.

“Parang ilang Langgai Tinggang ini sudah menjadi milik aku. Akulah Manang ketiga rumah panjang baru ini. Akulah pengganti ayah. Akulah penjaga keturunan aku seterusnya.”

Setelah itu Sanipun berlalu meninggalkan kuburan ayahnya. Kesedihannya mula hilang perlahan-lahan kerana jiwanya asyik memikirkan tentang kehebatan parang ilang Langgai Tinggang ini dan detik-detik bahawa suatu ketika nanti dia akan menjadi Manang yang baru.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sudah lima tahun berlalu. Akhirnya Sani telah berusia 15 tahun.

Ketika itu perkampungan rumah panjang meraka kembali aman dan damai. Tiada lagi peristiwa pelik dan menyedihkan berlaku. Penduduk kampung pula mula menjalani kehidupan mereka seperti biasa.

Saban tahun selepas tahun kematian ayah Sani iaitu Raja, Bani yang mengiringi dan memimpin Sani untuk memberi makan darah kepada Tajau Pereni di rumah panjang mereka.

Pada mulanya Bani keberatan untuk menyuruh Sani memberi makan Tajau Pereni mereka sendiri.

Tetapi memandangkan Sani adalah bakal Manang di rumah panjang mereka, jadi Bani terpaksa membiarkan Sani melakukannya. Bagi Bani ianya kelihatan agak kejam.

Apa lagi Sani masih lagi berusia 15 tahun. Akhirnya Bani membiarkannya sahaja walaupun keraguan pada jiwanya menghantui pemikirannya.

Lebih 70 tahun kemudian, Sani mula tumbuh dewasa dan menua. Dia telah mahir dalam ilmu firasat seorang Manang. Sudah lama dia berkhidmat dengan penduduk di situ.

Ibunya pula sudah lama meninggal dunia akibat sakit tua. Begitu juga Bani. Bani meninggal kerana sakit lumpuh yang berpanjangan.

Bani mempunyai seorang orang anak lelaki sahaja. Namanya Dana. Dana telah berusia 80an ketika itu dan telah menikah dan mempunyai empat orang anak.

Yang paling sulung adalah Aki. Aki ketika itu berusia 63 tahun. Jadi Aki inilah adalah anak kepada Dana dan cucu kepada Bani.

Danalah yang telah mewarisi tugas sebagai tuai di rumah panjang mereka ketika itu. Dana dan Sani masing-masing menjaga keselamatan rumah panjang mereka.

Hubungan mereka erat kerana mereka terikat dengan sentiment manang dan tuai serta sentimen darah keturunan yang sama melalui ibu Sani Bayu dan ayah Dana Bani yang merupakan adik beradik.

Setiap tahun Sani akan memberi makan Tajau Pereni mereka sambil ditemani oleh Dana. Mereka melakukan ritual ini dengan penuh rasa tanggungjawab.

Pada suatu ketika Sani duduk bersendirian di tepi sungai. Dia duduk di atas akar pohon ara yang melingkar dan menjalar hingga ke dalam air. Sani memandang dengan tekun.

Sani kemudiannya teringat akan kata-kata ayahnya suatu ketika dahulu bahawa di dasar sungai tersebut ada dua buah tajau iaitu Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda.

Sani sering memikirkan kenapa tajau-tajau tersebut berada di situ. Setahu Sani tajau tersebut telah dipindahkan oleh Keling dari rumah panjang lama mereka di Kapuas Indonesia ke dasar sungai rumah panjang mereka sekarang.

Bisikan

Ketika Sani sedang duduk termenung memerhati ke dalam sungai, tiba-tiba terdengar bisikan suara dari suatu arah.

“Sani, sekarang engkau sudah memiliki kehebatan, kekuasaan dan kebahagiaan. Cuma kesempurnaan dari kesemua ini sahaja yang belum engkau miliki. Aku yakin sekiranya engkau memiliki kesempurnaan ini, nescaya bulan dan bintang juga tunduk dan sujud kepadamu.”

Sani yang terkejut mendengar suara itu kemudiannya mengeluarkan Parang ilang Langgai Tinggang dari pinggangnya lalu mencari-cari arah suara berkenaan.

Langkah Sani dengan penuh waspada cuba untuk menyusuri apa sahaja petanda yang ada.

“Siapa kamu? Aku tiada urusan dengan kamu. Tetapi sekiranya engkau mengganggu aku dan seluruh penduduk rumah panjang ini, maka kamu akan berhadapan dengan parang ilang Langgai Tinggangku ini.”

“Hahaha..Sani. kamu tidak kenal aku tetapi aku telah lama hidup bersama engkau. Aku akan membantu engkau untuk meraikan kesempurnaan ini. Mahukah engkau menerimanya?”

“Kesempurnaan apakah itu? Semua itu aku tidak perlu. Bagi aku jiwa dan ragaku untuk penghuni rumah panjang ini.”

“Begini. Engkau sangat hebat dalam perkiraan manusia. Engkau sudah memiliki kehebatan, kekuasaan dan kebahagiaan tetapi engkau tidak menggunakan ilmu kebalmu itu pada musuhnya. Setelah lama engkau memilikinya, tetapi engkau tidak pernah menggunakannya. Bukankah kebal itu adalah suatu tanda kemuliaan bagi bangsamu?”

“Aku tidak paham apa maksudmu?

“Begini. Di bawah sungai ada dua buah tajau iaitu Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda. Sekiranya engkau berjaya mengangkat dan membawanya ke darat, serta menyatukan dengan Tajau Pereni milik keluargamu, nescaya kesempurnaan ini telah kau raih dengan tanganmu sendiri. Beserta dengan maruah dan harga diri keluargamu.”

“Aku tidak mahu. Aku risau saudara aku dari golongan buaya gergasi akan mengamuk nanti dan aku akan menjadi mangsa habuan mereka.”

"Kamu jangan risau. Bukan persoalan mengamuk atau tidak. Akan tetapi sekiranya engkau boleh satukan ketiga-tiga tajau ini, maka kau akan memiliki ilmu kebal yang dicari oleh orang ramai. Bukan senang untuk mendapatkannya.”

“Cukuplah aku memiliki parang ilang Langgai Tinggang ini. Apa lagi parang ini telah disatukan dengan gigi buaya gergasi milik ayahku. Ini sudah cukup untuk aku menjadi hebat.”

“Itu saja masih belum cukup. Bahkan aku menjanjikan usia yang panjang kepadamu sekiranya engkau berjaya satukan ketiga-tiga tajau ini. Apakah engkau mahu?”

“Apa betul apa yang kau katakan ini? Kamu siapa? Mana bentuk asalmu? Aku cuma mendengar suaramu saja.”

“Kamu jangan risau. Aku berada di dalam tubuh badanmu. Sudah lama aku menyatu pada ruang-ruang jiwa dan semangatmu. Kalau engkau mendambakan untuk menjadi pahlawan terbilang Iban selamanya, maka kau harus patuhi perintah aku.”

“Baiklah. Aku akan menuruti permintaan kamu. Asalkan engkau sanggup membantu aku.”

“Hahaha..Baiklah. di dalam sungai ini ada Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda. Itu saudara Tajau Pereni kamu. Menyelamlah kamu di dasarnya. Maka kau akan bertemu dengan Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda. Satukanlah mereka akan di situlah kuasamu akan bersatu.”

“Baiklah. Apa yang perlu aku buat?”

“Begini. Kau menyelam di dasar sungai ini. Ikut pada arah dahan yang berjuntai ke dalam sungai itu untuk sampai ke sana. Bawalah satu persatu tajau itu. Kalau kau tersilap langkah, maka itu adalah kesalahan kamu.”

“Baiklah. Aku turun sekarang.”

Sani kemudiannya melepaskan parang ilang Langgai Tinggang dari pinggangnya dan meletakkannya ke tanah. Dengan perlahan-lahan Sani berjalan melalui bahan pohon ara yang tua.

Sani mungkin terlupa bahawa di dasar itu jugalah datuknya pernah disambar buaya gergasi dan di tepi sungai itu jugalah ayahnya Raja pernah mengikat perjanjian setia dan persaudaraan kepada keturunan buaya gergasi tersebut.

Bagi Sani. Inilah masanya untuk dia membuktikan sesuatu kepada penduduk rumah panjang. Dia juga ingin menjadi hebat dan sentiasa diingati oleh penduduk rumah panjang mereka pada masa akan datang.

Sani melangkah dengan perlahan. Badannya mula tenggelam. Kesejukan air sungai tidak menghalang Sani untuk meneruskan niatnya. Sani menarik nafasnya sedalam mungkin. Lama kelamaan Sani tenggelam di dalam sungai tersebut.

Sani bergerak dengan cara memegang dahan pohon ara tua di tepi sungai. Dia tahu bahawa di dasarnya itu terletaknya Tajau Singaraja dan tajau lagenda iaitu Tajau Kelawah Indu Benda.

Keinginan, harapan, cita-cita dan semangat, Sani bawa sekali bersama ke dasar sungai. Supaya Sani tidak merasa keseorangan.

Tetapi Sani lupa. Dia telah melanggar perjanjian di antara datuknya dan Keling lebih kurang 200 tahun dahulu. Sifat tamak menguasai jiwanya.

Dia lupa suara yang menghasut di dalam dirinya sebenarnya adalah suara perempuan penjaga Tajau Pereni di rumah mereka yang masuk ke dalam badannya melalui mulutnya pada suatu ketika dulu di masa dia masih kecil iaitu pada malam ketika perempuan tersebut telah meragut nyawa ayahnya sendiri.

Mencari Tajau Singaraja Dan Tajau Kelawah Indu Benda

Ketika telah sampai ke dasar sungai, Sani berusaha untuk menyelam dan mencari kedua-dua tajau yang dimaksudkan. Ketika itu pandangannya kabur. Dia meraba-raba sahaja yang ada di hadapannya.

Sehinggalah Sani terpegang pada salah satu tajau di dasar sungai tersebut. Sani seakan gembira. Walaupun dia tidak dapat untuk menunjukkan kegembiraannya di dalam sungai.

Sani meraba-raba pada kepala tajau tersebut. Setelah itu dia berusaha untuk mengangkatnya.

Tetapi Sani telah lupa akan satu perkara. Ketaatan keturunan buaya gergasi ini hanya pada Keling walaupun ayah Sani iaitu Raja telah membuat perjanjian di antara keluarganya dengan keturunan buaya gergasi.

Kerana tuan buaya gergasi itu cumalah Keling sahaja. Apa lagi Sani telah berusaha untuk mengambil Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda.

Ketika Sani berusaha untuk mengangkat salah satu dari tajau tersebut, Sani seperti terpijak sesuatu seperti kayu yang besar. Kayu tersebut menghalang badan Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda dari terangkat ke permukaan.

Sani cuba untuk menyelam ke dasar dan merasakan dengan tangannya. Dia berniat untuk mengalih dulu batang kayu tersebut. Sani cuba untuk meraba-raba bahagian pangkal kayu tersebut.

Ketika meraba-raba pada pangkal kayu tersebut Sani merasakan ada beberapa batu besar yang tersusun atas dan bawah. dia merasakan batu tersebut sangat pelik dan mungkin bleh dijadikan tangkal nanti.

Sani berusaha untuk mengangkat susunan batu-batu tersebut. Dengan segala kudrat yang ada serta sedikit bekalan nafas, Sani menarik batu di bahagian atas dan cuba memisahkannya dengan memijak batu-batu yang berada di bawah.

Ketika Sani sedang berusaha mengangkat susunan batu-batu tersebut, dia terkejut apabila tiba-tiba sepasang kelopak mata yang besar terbuka.

Ternyata apa yang dipegang oleh Sani itu bukanlah susunan batu-batu yang cantik tetapi adalah susunan gigi dari buaya gergasi penjaga tajau tersebut.

Akibat terlalu terkejut, Sani menjerit sekuat-kuatnya di dasar sungai. Dia cuba untuk berenang sepantas yang mungkin untuk sampai ke permukaan sungai.

Tetapi buaya gergasi tersebut lebih pantas lagi darinya kerana Sani adalah Manang di rumah panjang mereka tetapi buaya gergasi ini pula adalah raja di sungai serta penjaga setia Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda.

Kerana itulah tugas yang diberikan oleh Keling kepada keturunan buaya gergasi tersebut.

Akhirnya Sani disambar oleh buaya gergasi tersebut. Buaya tersebut tidak membunuhnya serta merta. Bahkan buaya tersebut membawa badan naik ke permukaan dan melemparkannya ke udara berulang kali.

Penduduk di rumah panjang mereka menjadi gempar. Tidak pernah terjadi keadaan seperti ini. Bahkan ketika ayahnya Raja dulu tidaklah sesadis ini.

Badan Sani beberapa kali terapung di udara. Penduduk rumah panjang mula mendekati kaki sungai untuk melihat apa yang berlaku.

Mereka menjerit-jerit supaya buaya gergasi tersebut melepaskan gigitannya. Ada pula yang menangis kerana terkejut dengan peristiwa ini. Sedangkan Sani pula menjerit-jerit meminta pertolongan.

Kemudian buaya itu juga membawa badan Sani mengelilingi permukaan sungai berkali-kali. Seperti bentuk amaran kepada penduduk di situ agar pada lain kali jangan cuba-cuba untuk mengganggu Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda yang merupakan tajau yang dijaga sendiri oleh Keling.

Selepas beberapa kali mengelilingi permukaan sungai di hadapan puluhan penduduk rumah panjang, buaya gergasi tersebut menjulang badan Sani beberapa kali ke permukaan.

Ketika Sani sudah tidak bernyawa, buaya gergasi tersebut sekali lagi melambung tinggi badan Sani ke udara dan selepas itu buaya gergasi tersebut menyambar badan Sani ketika badan Sani belum pun menyentuh sungai.

Selepas itu buaya tersebut tenggelam ke dasar sungai dengan membawa jasad Sani ke suatu tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa. Itulah kali terakhir penduduk kampung melihat Sani.

Sani telah kecundang akibat dari olahannya sendiri. Sani kalah pada hasutan perempuan penjaga Tajau Pereni dan juga penjaga penduduk rumah panjang mereka sendiri. Sani juga kecundang disebabkan oleh ketamakannya sendiri.

Tuai rumah ketika itu, Dana (ayah kepada Aki) bingung memikirkan kenapa perkara seperti ini boleh berlaku. Sedangkan mereka mempunyai hubungan persaudaraan kepada keturunan buaya gergasi yang berjanji akan menjaga keturunan mereka.

Dan menjadi semakin bingung. Kerana keturunan Manang sudah terputus pada keturunan yang ketiga. Sani belum pernah kahwin dan mempunyai anak.

Maksudnya siapa yang akan bertanggungjawab untuk memberi akan darah kepada Tajau Pereni nanti.

Mahu tidak mahu nyawa tetap akan terus melayang demi untuk memenuhi kehendak penunggu tajau lama. Masanya akan datang juga.

Tetapi Dana juga sudah tua. Ini bermakna Akilah yang akan mewarisi segala malapetaka ini. Kerana keturunan Manang sudah terputus.

Kalau Aki tidak menyelesaikan malapetaka ini, maka keturunan Aki yang akan tetap menanggungnya. Parang ilang Langgai Tinggang menanti untuk menghiris sedangkan Tajau Pereni menanti darah.

Sedangkan penjaga Tajau Pereni sekaligus perempuan penjaga keturunan mereka tetap mempermainkan hidup mereka.

Sehingga sekarang mereka tidak tahu bahawa penjaga itu bukannya penjaga. Tetapi pembunuh keturunan mereka.

BAHAGIAN 1

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

BAHAGIAN 2

Dikongsi 3,000 warganet, ini bahagian kedua kisah tajau berusia 500 tahun

BAHAGIAN 4

Tajau mengamuk kerana tidak diberi makan darah..Ustaz Malik kongsi bahagian 4 yang makin menakutkan

BAHAGIAN 5

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak

 

SUMBER: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

ARTIKEL MENARIK:

Dulu tangisan bayi, tetapi kini, gangguan lain pula, bahagian kedua kembar Ahmad buat Ustaz Malik..