Apabila seorang Menteri Pendidikan mengulas tentang hasil kerja cikgu ini, sesiapapun akan rasa bangga dan ingin tahu apakah yang cuba diketengahkan oleh cikgu asal Kangar ini.

Cikgu Khairilazmir Ahmad, Guru Subjek Pendidikan Seni Visual. Kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Alawiyah, Kangar, Perlis.

Kreatif! Itu yang dapat digambarkan tentang Cikgu Khairilazmir yang mencipta Bahan Bantuan Mengajar (BBM), iaitu Mini Diorama Art (MINDA) untuk mata pelajaran Pendidikan Seni Visual yang memaparkan gambar-gambar objek bersifat 3D.

Usaha dan kreativitinya mencipta kelainan ketika mengajar wajar dipuji. Ia bukan sahaja menjadi nilai tambah dalam pembelajaran, malah menarik minat pelajar untuk lebih fokus dan belajar itu sebenarnya menyeronokkan.

Lebih istimewa, atas usahanya ini juga, Cikgu Khairilazmir turut dinobatkan Naib Johan Anugerah Guru Inovatif Kebangsaan Kategori Individu Sekolah Menengah 2019 dalam Anugerah Perayaan Hari Guru 2019 baru-baru ini.

“Mini Diorama Art (MINDA) adalah sejenis kotak kosong dan di dalamnya terdapat satu dinding kosong untuk mementaskan gambar-gambar subjek utama dan latar belakang seperti Pentas Mini Diorama. Kotak ini dinamakan sempena Mini Diorama dan ditambah Art dihujungnya kerana berkaitan dengan seni.

“Saya cipta alat bantuan mengajar untuk menjelaskan pemahaman murid terhadap teknik menggambar lukisan mengikut kehendak soalan. Murid dapat menggambarkan dengan baik, cepat dan jelas berdasarkan kehendak soalan seni melukis. Subjek-subjek utama dan latar belakangnya juga boleh ditukar mengikut kehendak soalan,”katanya kepada GPSBestari.

Ditanya tentang perasaan, apabila usahanya mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Cikgu Khairilazmir Ahmad terkejut dan terharu.

Katanya, inovasinya ini hanyalah sekelumit pasir di dasar lautan. Niat cikgu ini hanya ingin membantu memudahkan pelajarnya memahami dan menguasai subjek yang mereka ambil. Tapi tak sangka pula impaknya menjadi sebesar ini.

Apa kata Dr Maslee Malik

"Guru yang kreatif sememangnya akan menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan dan berkesan.

Begitulah kisahnya dengan Cikgu Khairil Azmir bin Ahmad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Alawiyah, Kangar, Perlis.

Beliau berjaya menghasilkan sebuah Mini Diorama Art (MINDA) yang merupakan Bahan Bantuan Mengajar (BBM) untuk mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dengan pemaparan gambar-gambar objek bersifat 3D.

MINDA dapat meningkatkan pemahaman murid dalam proses karya menggambar.

MINDA dihasilkan untuk membantu murid mengkaji kehendak karya menggambar dan menghasilkan karya menggambar dengan betul daripada segi aspek komposisi, bentuk, jalinan dan ruang.

Murid dapat meneroka konsep ruang objek hadapan, ruang objek tengah dan ruang objek belakang dalam karya menggambar dengan menggunakan MINDA.

MINDA dihasilkan dalam bentuk yang mudah dikendalikan, mudah alih dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Usaha yang digerakkan oleh Cikgu Khairil ini amat menarik perhatian saya dan diharapkan ia berupaya mencetus inspirasi kepada anak-anak murid beliau untuk berjaya dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.

Tahniah Cikgu!"

Sumber: Facebook Cikgu Khairilazmir Ahmad

ARTIKEL MENARIK:

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizan buat warganet sebak

Penangan Sir Uzair dan Cikgu Zameer buat pelajarnya minat subjek yang dianggap paling susah faham

'Walau dikecam, ditohmah namun saya tetap bahagia dengan anak syurga', ini kata guru Pendidikan Khas

'Mereka tak pernah sayang saya, ustaz' - warganet sebak bila dengar luahan pelajar ini

Kejutan lima sekawan, buat cikgu ini sebak…