“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila kami terpaksa menempuhi gelombang ribut di tengah lautan. Ketika itu nyawa ibarat di hujung tanduk. Bayangkan ombak lebih tinggi dari bot. Pandang ke belakang daratan tiada, pandang ke depan pulau tiada. Yang ada hanyalah ombak yang meninggi melepasi bumbung bot. Hanya pada ALLAH kami berserah. Mata saya hanya terpaku pada tong minyak kosong yang akan saya capai sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Walaupun ketika itu kami memakai jaket keselamatan,”cikgu Zubrain Abdul Halim.

Itu antara pengalaman yang dilalui oleh Cikgu Zubrain Abdul Halim, yang terpaksa menggunakan kemudahan bot untuk ke tanah besar dari Pulau Perhentian. Biarpun pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit getir, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat guru asal Perak ini untuk mendidik anak pulau.

Ikuti perkongsian Cikgu Zubrain Abdul Halim.

Saya merupakan keluaran Maktab Perguruan Ipoh Perak opsyen pengajian Inggeris / Kajian Tempatan. 17/6/2002 saya ditempatkan untuk bertugas di Terengganu... Pada asalnya nama saya dalam senarai posting di daerah Kinta, Perak. Tapi mengenangkan itu kawasan permainan saya, saya berhajat untuk melihat tempat orang. Saya menolak untuk ditempatkan di daerah Kinta.

Saya hanya bertawakal walau di mana sahaja saya ditempatkan. Saya mendapat keputusan sehari sebelum melaporkan diri. Itupun melalui panggilan telefon. Saya dikehendaki pergi ke JPN Terengganu untuk mendapatkan surat penempatan. Saya terus menempah tiket ke Kuala Terengganu pada hari itu juga. Alhamdulillah saya dikehendaki melaporkan diri di SK Seri Payong, Besut, Terengganu.

Selepas mendapatkan surat penempatan. Saya menghubungi rakan semaktab yang berasal dari Kuala Besut. Dia memaklumkan kepada saya sekolah tu terletak di Hulu Besut. Dia sengaja mengenakan saya dengan mengatakan yang sekolah tu di daerah pendalaman dan pengangkutan utama adalah dengan menaiki bot.

Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian

Ketika itu hati saya dah berbelah bahagi. Tapi keazaman saya untuk mencari pengalaman di tempat orang menguatkan tekad saya untuk meneruskannya. Saya menyewa sebuah teksi dari Kuala Terengganu ke Besut.

Apabila saya menunjukkan surat penempatan kepada pakcik yang memandu teksi tersebut, pakcik tersebut menawarkan untuk menghantar saya terus ke sekolah tersebut. Pada mulanya saya sangka pakcik tu bergurau kerana pada saya ketika itu percaya dengan kata-kata sahabat semaktab saya tentang keadaan sekolah tersebut. Pabila sampai di hadapan pagar sekolah baru saya sedar yang saya telah dipermainkan oleh sahabat saya. Hahahahahaha…

 Saya bertugas di sekolah tu sehingga 2005 kerana ketika itu saya bertemu jodoh dengan isteri saya yang berasal dari Besut pada 2003. Saya memohon sekolah yang hampir dengan bandar Jerteh, Besut kerana berdekatan dengan tempat kerja isteri saya.

Pulau Perhentian

Selepas itu saya bertukar pula ke SK Tembila pada tahun 2008 atas keperluan perkhidmatan sebelum ditukarkan pula ke SK Pulau Perhentian bermula 16/1/2010.

Tahun pertama saya di SK Pulau Perhentian, saya pergi seorang tanpa isteri dan anak-anak.  Alhamdulillah tahun pertama saya di sana, saya sudah mula boleh menyesuaikan diri. Pada saya di mana sahaja kita ditugaskan sama sahaja. Yang berbeza adalah suasana dan itu merupakan pengalaman paling berharga. Lagipun saya memang selesa dengan lautan, sungai serta hutan kerana saya tidak berminat dengan suasana bandar.

Cikgu Zubrain Abdul Halim bersama isteri

Saya telah diasuh oleh arwah bapa dengan suasana kampung walaupun kampung saya berada di pinggir Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Bayangkan hari pertama saya melaporkan diri di SK Pulau Perhentian, selepas waktu persekolahan tempat pertama saya tujui adalah batu di hujung kampung untuk memancing. Lautan adakalanya tenang dan adakalanya bergelombang.

Bercerita tentang musim tengkujuh di pulau yang indah ini pula, memang banyak cabarannya. Musim tengkujuh mula menjelma walaupun persekolahan masih belum menutupkan tirainya. Pengangkutan utama adalah bot laju yang digunakan untuk mengangkut pelancong dari daratan ke pulau dan sebaliknya. Kami guru-guru masih berulang ke daratan melepaskan rindu pada keluarga.

Ketika musim tengkujuh, aktiviti pelancongan akan ditutup. Jadi tak banyak bot yang berulang alik. Hanya segelintir pemandu bot yang berani menempuh gelombang musim tengkujuh. Dengan bot itu jugalah kami berulang alik.

Ketika musim tengkujuh. Sekiranya jabatan laut beri amaran bahaya untuk bot-bot kecil. Alamatnya termenung mengenang nasib diri bawah pokok nyior, tepi pantai, depan kuarters...

Tragedi bot terbakar

Enjin bot mati

Ada sekali tu waktu tahun pertama saya di situ, anak tak sihat. Nak balik bot tak ada dah selepas jam  5. Mujurlah rakan guru ada bot sendiri. Dia tawarkan hantar saya balik dengan bot. Malam tu kami bertolak balik. Tawakal jer. Sampai muara sungai dekat bawah jambatan Kuala Besut.

Enjin bot mati secara tiba-tiba. Kami tak dapat nak tengok kerosakan kerana hari sudah malam. Gelap. Jadi sepakat turun dalam air tolak bot ke tebing sungai. Dari kul 10 malam, kami sampai dekat tebing dalam jam 12 tengah malam. Ketika tu air surut jadi banyak kali bot tersekat dekat beting pasir. Setibanya ditebing, baru kami perasan yang selipar kami tertinggal tepi pantai kat pulau. Nak telefon sesiapa kami takut menyusahkan kerana dah lewat malam. Nak suruh isteri saya ambil kat tepi sungai tu pun, bahaya malam-malam. Jadi kami tekad jalan kaki ke rumah rakan guru pemilik bot tu.

 Lebih kurang 10km. Rasa nak pecah tapak kaki berjalan tanpa lapik kaki atas jalan tar. Nak dijadikan cerita. Ada sebuah kereta peronda Polis lalu. Tapi tak berenti. Mentang-mentang kepala saya botak. Baju pulak basah lenjun. Dah mcm orang sakit mental. Berkaki ayam plak tu. Mungkin sebab tu polis tu tak berenti. Mungkin dia ingat orang gila atau hantu kot. Sampai kat rumah rakan guru tu baru dia ambil kereta dia hantar saya balik rumah.

Ombak besar

Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila kami terpaksa menempuhi gelombang ribut di tengah lautan. Ketika itu nyawa ibarat di hujung tanduk. Bayangkan ombak lebih tinggi dari bot. Pandang ke belakang daratan tiada, pandang ke depan pulau tiada. Yang ada hanyalah ombak yang meninggi melepasi bumbung bot. Hanya pada ALLAH kami berserah. Mata saya hanya terpaku pada tong minyak kosong yang akan saya capai sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Walaupun ketika itu kami memakai jaket keselamatan.

Hidup di sini selesa. Bekalan air dan elektrik 24 jam. Lautan jadi penghalang untuk berulang harian. Jadi untuk yang sudah bekeluarga tu jadi susah lah sikit. Lebih-lebih lagi isteri bekerja. Hari minggu jer boleh berjumpa. Alhamdulillah tahun kedua isteri saya berkorban berhenti kerja untuk tinggal sekali dengan saya di pulau.

Waktu itu kami dikurniakan anak 4 orang, 2 perempuan 2 lelaki. Kedua-dua anak perempuan saya bersekolah di SK Pulau Perhentian. Ini melegakan saya. Tak perlu berulang setiap minggu untuk melepaskan rindu pada keluarga. Penduduk di sini kebanyakannya bekerja dalam sektor pelancongan dan nelayan. Paling best rasa hormat mereka pada guru masih menebal asalkan kita juga menghormati dan bergaul dengan mereka. Setiap kali musim tengkujuh hampir majoriti berubah kerja dari sektor pelancongan kepada nelayan.

Mewah hasil lautan

Mewah time ni ngan hasil laut. Bayangkan kita cuma nak beli sekilo ikan. Yang dapat memang berlebihan. "Ambillah cikgu. Saya sedekah". Kadang-kadang bunyi di pintu kuarters kedengaran. Bila dibuka tengok-tengok anak-anak murid menjimbit hasil laut di tangan. " Sir, ayah boi ikan".

" Alaaa, freezer sir pun dah penuh ngan ikan". " Freezer kat rumah saya pun dah penuh jugak sir. Amik ler sir". Alhamdulillah rezeki. Bak kata cikgu-cikgu yang bertugas di sini. " Kentut pun bau ikan". Harga hasil laut segar memang murah berbeza jauh dengan yang kita beli di daratan. Kadang-kadang bila kebosanan melanda. Saya lepak kat jeti tengok kanak-kanak pulau mengail ikan yang masuk rapat ke jeti waktu musim tengkujuh. Ikan selar sebesar tapak tangan dengan mudah dipancing.

Kesan kebakaran bot

Bot terbakar

18 September 2011 adalah pengalaman yang terlalu sukar untuk saya lupakan. Ketika itu kami sekeluarga pulang ke daratan menziarahi keluarga mertua saya. Sambil-sambil itu shopping barang keperluan yang lebih murah di darat. Selepas subuh kami sekeluarga bertolak ke jeti Kg Raja untuk menumpang bot salah seorang guru di SK Pulau Perhentian pulang ke pulau.

Sebaik tiba ke jeti. Saya dan rakan guru bersiap sedia dengan mengisi minyak dan menurunkan barang-barang yang kami bawa ke dalam bot. Ketika itu bot masih berada ditambatan. Anak-anak dan isteri saya menunggu di jeti batu yang disediakan berdekatan kerana lebih mudah menaiki bot dari jeti tersebut.

Semasa mengisi minyak. Rakan guru saya cuba menghidupkan enjin bot. Berlaku percikan api dan terkena muncung tangki yang masih terbuka ketika mengisi minyak. Api menyambar dengan cepat. Saya terjun ke dalam air sementara rakan saya melompat ke bot bersebelahan. Dia menolak bot yang terbakar dengan kaki manakala saya pula menolak bot dari dalam air ke tengah muara supaya tak berjangkit ke bot-bot berdekatan. Selepas itu saya berenang ke tebing. Di atas tebing baru rakan saya menegur dengan mengatakan ader makhluk air empat kaki besar yang menghuni di situ. ALLAHuakbar, nasib baik dia tak ngapppp... Kalau tak makan pulut kuning ler orang lain...

Kebiasaannya guru yang mengajar di sini ada giliran. Selepas 2 tahun guru boleh mohon bertukar ke daratan. Saya ditawarkan untuk bertukar ke daratan selepas 2 tahun oleh KPPD yang baru. Saya menolak untuk bertukar kerana saya sayangkan sekolah dan kehidupan di sini.

Tapi apakan daya. Tahun ke empat saya di sini. Isteri saya disahkan mengandung anak ke 5 dan mengalami masalah kesihatan dan memerlukan perhatian khusus. Kami terpaksa berulang alik ke hospital dengan kerap. Jadi saya mengambil keputusan untuk memohon pertukaran atas alasan kesihatan isteri dan kesukaran mendapat rawatan.

Alhamdulillah permohonan saya diluluskan dan ditempatkan di sekolah pilihan saya. Ogos 2013 menjadi detik saya meninggalkan Pulau Perhentian. Kami sekeluarga sedih meninggalkan kenangan kami di sini. Hubungan akrab kami dengan penduduk di sini dan keramahan serta kebaikan mereka pada kami.

Dari pulau, saya bertukar ke SK Keruak, sebelum bertukar ke sekolah terakhir iaitu di Hulu Besut. Ogos 2013- 2018. Sekali lagi saya ditukarkan atas keperluan perkhidmatan kerana kekosongan guru Bahasa Inggeris. Saya satu-satunya guru Bahasa Inggeris di sekolah baru. Bermula januari 2019 hinggalah sekarang saya mengajar di SK Panchor, Hulu Besut.

Artikel berkaitan:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

Guru Adiwira ini kongsi lapan tip, tarik minat belajar anak Orang Asli

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

'Sini mak, Syikin kat sini, mak datanglah' - Gangguan satu suara buat Ustaz Malik dalam ketakutan

Lapan tip otak sihat, untuk jadi lebih bijak dan pandai