Siapa sangka pelajar tingkatan empat, Pelajar KPKP (kelas pendidikan khas pembelajaran), SMK Bukit Baru, Melaka, Muhd Adam Airil Razlan, yang pernah meraih gelaran Johan dalam Pertandingan tulisan Khat Sekolah Menengah Negeri Melaka 2019, Johat Khat Pendidikan Khas Zon Ayer Keroh dan juga turut tampil dalam Adam’s artwork untuk KLAF 2019 yang berlangsung di Bangsar sebelum ini adalah seorang anak autisme.

Anak kepada pasangan suami isteri, Dr Airil Razlan Basiran dan Dr Ishaireen Dalib, ternyata berjaya mengubah persepsi luar, bahawa anak syurga seperti Adam mampu untuk berjaya dan berdikari sendiri.

Menurut guru Pendidikan Seni yang mula-mula memperkenalkan Adam kepada seni Khat, Cikgu Saifullah Abd Rahim berkata, Adam didedahkan kepada seni tulisan khat, pada Februari 2018. Kemudian, disusuli pula dengan kelas mingguan di rumah bersama seorang guru pakar khat, Ustaz Rashidy Omar, dari Madrasah Assyaidah Khadijah.

“Adam merupakan pelajar autisme di sekolah saya. Dia mula mendaftar masuk ke program pendidikan khas integrasi SMK Bukit Baru ini adalah pada tahun tahun 2016,

“Awal kemasukan dulu, memang menjadi cabaran buat Adam untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, terutama kelas dan juga sosialisasi bersama rakan-rakan baru. Namun, alhamdulillah… lama kelamaan Adam boleh menyesuaikan diri,”katanya kepada GPSBestari.

Ujar guru asal Ulu Kinta ini lagi, beliau menggunakan pendekatan teguran, nasihat, dan peneguhan negatif terhadap dendaan yang boleh memberi kesedaran dan memahamkan tentang kesalahan yang dilakukan.

Malah, guru Subjek Pendidikan Seni ini turut mewujudkan suasana yang menenangkan di dalam kelas, serta membuat sesuatu mengikut minat dan keseronokan pelajar.

“Apabila seorang pelajar itu dididik mengikut minat yang boleh memberikan keseronokan kepada mereka, lama kelamaan mereka sudah mula boleh berkawan dan rapat dengan semua orang,

“Di sekolah memang tiada subjek Seni Khat, namun untuk Adam, saya memang try and error sahaja. Mula-mula latihan tu, saya dah dapat agak Adam boleh dibentuk dalam bidang/ kemahiran seni khat, sebab dari gaya dia memegang pen dan lenggok tangan, memusingkan mata pen ketika menulis, saya sudah mula nampak bakat Adam. Jadi, ia memudahkan lagi kerja saya untuk melatih Adam,

“Sebenarnya saya sendiri rasa gembira apabila kami dapat berkongsi minat dan ilmu yang sama. Disamping membantu menyerlahkan lagi bakat semula jadi Adam menerusi beberapa siri pertandingan yang bersesuaian,

“Tambah-tambah pula, bantuan dan komitmen ibu bapa Adam membuatkan anak istimewa ini berasa lebih berminat dan mahu buat secara rutin/ disiplin, agar hasilnya menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.”ujar Saifullah panjang lebar.

Ujar guru ini lagi, awal-awal dahulu, tulisan khat Adam tidaklah secantik sekarang. Ia memakan masa berbulan juga untuk melatih Adam menulis sehingga kemas dan nampak teliti.

“Satu perkara yang saya suka bila Adam didedahkan dengan kemahiran ni, tingkah laku Adam jadi lebih terkawal, berdisiplin dan dia sudah mula ada hobi khusus.

“Bahkan, Adam juga sudah mula boleh menguasai khat nasakh dan khat tuluth. Cuma sekiranya tulisan tersebut susah, Adam akan buat melalui peniruan contoh ayat dan tulisan yang diberikan,”katanya.

Kata Saifullah, buat masa ni Adam belum boleh mereka bentuk tulisan ikut kreativiti sendiri. Namun guru muda ini yakin, suatu hari nanti Adam boleh berbuat demikian.

“Semestinya saya sangat bersyukur dan bangga dengan kemahiran yang Adam ada... siapa sangka dia boleh pergi jauh dengan pelbagai pencapaian terbaik dalam bidang ni sampai ke peringkat kebangsaan.

“Lagi satu, kejayaan Adam ini adalah satu bukti kemenjadian murid berkeperluan khas yang membuktikan mereka juga boleh berjaya dan setanding dengan murid perdana yang lain,”jelas Saifullah sungguh-sungguh.

Ikuti Adam di https://www.facebook.com/adamtheautisticcalligrapher/

Kenali Adam

Nama penuh: Muhd Adam Airil Razlan

Umur: 16 tahun

Tarikh Lahir: 18 Februari 2003

Adik beradik: Anak ke 3 dari 5 beradik

Ayah: Dr Airil Razlan b Basiran - Doktor Swasta di Mahkota Medical Centra, Melaka.

Ibu: Dr Ishaireen Dalib - Doktor Pakar Sakit Puan di Putra Specialist Hospital Melaka.

Artikel berkaitan:

Murid lain sibuk bungkus makanan dan balik rumah, murid ini capai penyapu bersihkan dewan

Kreatifnya cikgu… kaki lima sekolah kembali ceria dengan lukisan Hip & Hop Lane

Pelajar kelas belakang..cikgu ini kongsi enam kelebihan bagaimana nak ajar mereka

Guru Adiwira ini kongsi lapan tip, tarik minat belajar anak Orang Asli