Walaupun tidak pernah bersua muka berikutan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika ini, namun Cikgu Siti Faridah Matt teruja dengan maklum balas positif yang diterima daripada pelajar Tingkatan Satu menerusi subjek yang diajarinya.

Guru Mata Pelajaran Sains dan Kimia, Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Perlis itu berkata, pendekatan suai kenal digunakan terlebih dahulu untuk mengetahui latar belakang pelajar secara lebih dekat apatah lagi mereka baru pertama kali memasuki persekolahan pada peringkat menengah.

Tambah Cikgu Siti, sebelum memulakan pembelajaran topik subjek, beliau akan bertanyakan terlebih dahulu kepada pelajar mengenai kesediaan mereka untuk mengikuti PdPR khususnya melibatkan peranti dan gajet diperlukan.

“Kebiasaannya saya akan minta nama dan gambar setiap pelajar untuk ingat nama mereka khususnya bagi pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat yang belum pernah ikuti kelas saya, jadi apabila sudah kenal baru mudahlah untuk kami mengajar serta berinteraksi.

“Jika dilihat tidak semua pelajar yang ada peranti lengkap untuk ikuti kelas secara maya ini, jadi saya akan tanya mereka terlebih dahulu, sekiranya ada kekangan mungkin ada kaedah lain untuk saya bantu,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Ditanya mengenai cabaran dihadapi, Cikgu Siti berkata sebagai pendidik, beliau perlu lebih kreatif untuk memastikan suasana pembelajaran lebih interaktif lebih-lebih lagi untuk mengajar subjek yang memerlukan eksperimen makmal seperti Kimia.

“Tidak dinafikan memang ada  cabaran tersendiri misalnya kalau di sekolah, kita boleh lakukan eksperimen Sains di makmal dan pelajar boleh buat uji kaji tentang sesuatu topik itu dengan lebih dekat sambil dipantau guru.

“Namun begitu, dalam pembelajaran secara norma baharu ini, saya perlu lebih kreatif di mana selain interaksi bersama pelajar menerusi google meet, saya juga ada muat naik bahan pembelajaran di YouTube serta aplikasi TikTok sebagai bahan tambahan belajar,” katanya.

Tambah Cikgu Siti, beliau berharap agar wabak Covid-19 segera berakhir untuk membolehkan PdP secara bersemuka dilaksanakan, pada masa sama, beliau berharap supaya pelajar dapat terus gigih menimba ilmu pengetahuan dan cemerlang dalam bidang akademik.