Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu… begitulah yang diibaratkan kepada Ketua Panitia Seni Visual, SMKA(P) Alawiyah Kangar, Cikgu Khairil Azmir Ahmad. Dicalonkan sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonal’s oleh pelajarnya, Haziqah Nadiah Idris merupakan detik manis yang sukar dilupakan oleh guru ini.

Bercerita tentang pelajarnya itu, Haziqah ni seorang anak murid yang sangat baik, minat seni dan agak pendiam dalam kelas seni.

“Walaupun seorang pendiam tapi beliau aktif di belakang tabir sekolah seperti setup persembahan multimedia dan pemurah senyuman dalam apa jua situasi.

“Mudah sangat nak minta tolong. Alhamdulillah beliau dapat 'A' seni SPM. Takut jugak time dia ambik seni sebab dia anak PK HEM sekolah.

“Namun mengajar Haziqah tak susah. Dia sendiri minat dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dirinya. Dia tahu kekuatan dan kelemahan dirinya. Tak suka ambil gambar sendiri. Ini dapat gambar pun sebab paksa dia bagi.

“Sekarang beliau sambung belajar bidang multimedia di UniKL MIIT. Semoga Haziqah berjaya dalam bidang yang diminati. Terima kasih Haziqah. Cikgu tak tau nak balas apa melainkan jutaan terima kasih. Nanti cikgu belanja McDonald’s na.

“Kepada semua anak murid yang melihat guru-gurunya sebagai sumber inspirasi tulislah karangan indah dalam Calon Guru Inspirasi Mc Donald. Manalah tau rezeki tahun depan rezeki gurumu,”

Inilah karangan bertuah yang dikarang oleh anak muridku bernama Haziqah anak Ustaz Derih Hensem.

Guru ini ialah seorang guru seni tetapi beliau tidak akan mengajar kami melukis selagi kami tidak faham konsep berkarya. Contohnya tugasan melukis pemandangan, kami tidak boleh melukis pemandangan selagi kami tidak faham tentang tujuan, mesej yang hendak disampaikan dan teknik melukis pemandangan yang betul.

Pada mulanya, saya tidak suka cara beliau mengajar kerana subjek seni bukanlah subjek teras yang perlu diambil serius.

Namun lama kelamaan baru lah saya faham melukis bukanlah untuk skor dalam peperiksaan tetapi melukis dan berkarya adalah untuk diriku memahami seni kehidupan.

Guru yang saya maksudkan ialah Cikgu Khairil, guru seni di SMK Agama Perempuan Alawiyah. Nama penuh beliau ialah Khairil Azmir Ahmad. Dialah guru seni , guru kaunselor dan kadang kala dialah ibu bapaku.

Beliau telah menjawab soalan pertama yang bermain dimindaku, iaitu “Bolehkah subjek seni diajar di sekolah agama?” kerana setahu saya kebanyakan sekolah agama menutup subjek seni disebabkan bilangan mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sangat banyak.

Namun semuanya terjawab setelah saya terjumpa cikgu Khairil. Beliau tidak wajibkan pelajar-pelajar beliau untuk ambil subjek seni di tingkatan 4 dan 5 tetapi cara beliau membuatkan kami tertarik untuk mengambil subjek seni sebagai subjek tambahan dalam SPM.

Beliau sangat kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pelajaran seni . Hal ini kerana, melalui beliau barulah saya dapat tahu bahawa seni bukanlah sekadar melukis tetapi terdapat banyak elemen dalam seni seperti bahasa seni visual, enam unsur seni, tujuh prinsip seni dan empat seni reka bentuk. Antara inovasi PdP seni yang membuka minda saya ialah “ Lapisan Unsur Seni” dan “Kotak MINDA”.

Melalui Lapisan Unsur Seni , saya dapat melukis dengan lebih matang dan jelas. Melalui kotak MINDA , saya dapat menghasilkan karya menggambar dengan komposisi, ruang, bentuk dan jalinan yang baik. Di samping saya dapat memahami seni dengan baik, cikgu khairil juga berjaya mempromosi inovasinya ke serata dunia. Saya amat kagum kerana produk seni SMKAP diguna pakai diseluruh pelosok negeri atas usaha seorang guru seni.

Cikgu Khairil boleh dikatakan seorang yang suka menyertai pertandingan seni. Antara hasil pertandingan seni mural yang saya kagumi ialah mural setinggi tiga tingkat bertemakan keselamatan jalan raya. Mural ini telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan mural kreatif dan mendapat wang tunai sebanyak RM10,000.

Satu lagi hasil unik mural beliau ialah mural yang dilukis terbalik bertemakan suasana pembelajaran di dalam kelas yang telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan mural kreatif GPS Bestari. Hasil daripada kemenangan tersebut, beliau telah membeli dua buah penghawa dingin serta menghias bilik seni sehingga tersenarai dalam pemenang anugerah bilik seni paling ceria peringkat kebangsaan.

Saya dan para pelajar seni amat berbangga kerana memiliki seorang guru seni yang “rare” dan bilik seni yang popular di Negeri Perlis.

Cikgu Khairil juga seorang yang aktif di luar sekolah. Beliau terlibat dalam Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs). Setiap kali beliau terlibat dalam aktiviti PPNPs, beliau sering melibatkan pelajar-pelajar seni termasuklah saya.

Maka, saya sering didedahkan dengan kerja-kerja seni di luar sekolah bersama-sama cikgu Khairil dan rakan pelukis beliau dari Persatuan Pelukis Negeri Perlis. Antara sumbangan besar seni cikgu Khairil dan kami semua pada negeri Perlis ialah penghasilan karya mural di Street Art Kangar 2.0.

Hasil tersebut memberi impak besar kepada negeri Perlis kerana berjaya menarik minat pelancong dari dalam dan luar negeri untuk bergambar di situ. Pengalaman ini merupakan antara pengalaman yang sangat indah antara kami dan cikgu Khairil.

Saya sebagai bekas pelajar beliau amat berterima kasih kepada cikgu Khairil Azmir Bin Ahmad atas ilmu yang diberikan. Walaupun saya menyambung pelajaran dalam bidang teknologi, ilmu seni visual takkan saya lupakan kerana semuanya telah saya aplikasikan dalam bidang teknologi.

Bak kata cikgu Khairil, “Seni dan Teknologi tidak dapat dipisahkan . Teknologi memudahkan manusia pada masa hadapan manakala seni menjadikan teknologi sesuatu yang indah untuk kegunaan manusia sejagat”.

Artikel berkaitan:

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka

Musim PKP: Gigih Cikgu Nazmi jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi