SAYA pernah berkhidmat dengan salah seorang pengetua selama empat bulan sahaja.

Namun, ketika menerima berita perpindahan beliau kerana dinaikkan pangkat sebagai Ketua Sektor, hampir seluruh warga sekolah merasai sebuah kehilangan yang besar.

Dalam sejarah perkhidmatan saya, beliau antara pengetua yang sangat dekat di jiwa.

Walaupun berpeluang bekerja hanya seketika, ilmu yang saya perolehi daripada beliau, seolah-olah bertahun-tahun berguru.

Saya kagum dengan beliau.

Khidmat beliau hanya sekejap saja tetapi beliau dihormati oleh semua lapisan usia.

Daripada anak-anak, guru-guru malahan pekerja bawahan juga.

Kisah beliau pernah saya muatkan dalam buku saya, Cerita Dari Hati, terbitan Alaf 21.

Berdasarkan pemerhatian saya, berikut sifat-sifat beliau yang dapat saya jadikan tauladan:

1. Jadilah orang yang berbudi bahasa.

Berusahalah untuk menunjukkan sifat budiman kita kepada semua orang.

Biasakan diri dengan ucapan terima kasih dan jika perlukan bantuan, mohon lah dengan sopan. Apabila mahu saya menyiapkan tugasan, beliau memintanya dengan nada penuh tatasusila dan kesopanan.

Tiada nada mengarah

Sungguh. Saya jadi segan.

Tidak pernah saya mendengar sebarang bentuk ugutan konon ini arahan kementerian atau ini kehendak pihak atasan.

Semua tugasan dilaksanakan dalam suasana muafakat dan kasih sayang.

2. Jadilah seorang pendengar yang baik.

Minggu pertama Tuan Haji bertugas, saya bertembung dengan beliau di Pusat Sumber sekolah.

Beliau meminta pendapat saya bagaimana mahu memajukan lagi sekolah.

Allahu Allah.

Saya seorang cikgu muda, saat itu.

Baru setahun jagung dalam perkhidmatan.

Tapi beliau tekun mendengar setiap butir bicara saya tanpa mencelah.

Dicatat satu persatu.

Allahu akbar.

Rasa diri sangat dihargai.

3. Hormati orang lain terlebih dahulu.

Hindarkan sifat negatif seperti suka memerli, menyampuk atau bercakap perkara negatif terhadap orang lain.

Semua orang berhak menyuarakan pendapat.

Jika tidak setuju, diam dan ketap bibir.

Tidak perlu diulas.

Tunjukkan rasa hormat kita kepada mereka.

Satu lagi amalan Tuan Haji yang buat saya kagum.

Setiap kali bertemu guru lelaki, beliau yang terlebih dulu menghulurkan tangan mahu bersalam.

Malahan ia amalan yang sama bila beliau bertemu murid-murid.

Apabila bertembung di koridor, saya selalu berebut dengan beliau siapa yang memberikan salam terlebih dahulu.

Terasa sungguh diri dimuliakan.

4. Mudahkan urusan orang lain dan tawarkan diri untuk memberikan pertolongan.

Rakan- rakan dan anak buah akan lebih tersentuh apabila kita mudah membantu mereka ketika dalam kesusahan.

Carilah kebaikan- kebaikan kecil yang boleh kita tawarkan.

Suami kawan saya pernah bertanya soalan ini ketika beliau menjemput isterinya yang baru selesai mengadakan kelas tambahan pada hari Sabtu.

“Siapa pakcik yang sedang siram pokok tu? Pekerja baru ke? Tak pernah nampak sebelum ni.”

Kawan saya senyum lantas menjawab :

“Itu pengetua baru saya, bang.”

Aduhai.

Beliau tahu pekerja tidak ramai dan kalut mahu menyiram pokok-pokok yang banyak di kawasan sekolah.

Beliau memilih untuk menawarkan solusi bukan bising-bising memerli!

5. Tahan diri daripada marah.

Terus- terusan marah tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

Ia hanya akan memudaratkan diri kita sahaja.

Ya. Kita berhak untuk marah tapi usah kekal dalam emosi itu lama- lama.

Belajarlah untuk memaafkan dan melupakan.

Sebelum Tuan Haji datang bertugas, segelintir pelajar akan ponteng dan lepak-lepak di depan koperasi sekolah.

Bila saya menegur, mereka akan lari sekejap.

Kemudian bila saya ke kelas, mereka akan ke situ semula.

Tapi, selepas dua hari Tuan Haji melaporkan diri bertugas, masalah ini selesai.

Ketika bertembung dengan anak-anak ini, saya bertanya:

“Kamu selalu ponteng sebelum ni. Apa yang buat kamu tak ponteng lagi?”

“Kami segan dengan pengetua.”

“Kenapa? Dia marahkan kamu ke?”

“Tak. Pengetua tak marah pun. Pengetua ajak sembang-sembang saja. Tanya kami. Dengar cerita kami. Habis bersembang dia suruh kami masuk kelas.”

“Pengetua tak marah?”

Mereka geleng kepala.

“Esoknya, dia datang lagi. Cerita-cerita lagi. Sebab tu kami segan. Baik sangat pengetua tu. Kami nak belajar sungguh- sungguh lah, teacher. Nanti kalau keputusan kami teruk, mesti pengetua kena marahkan? Kesian.”

Allah.

Benarlah.

Mendorong orang untuk berubah, tidak perlu dengan marah-marah.

Kasih sayang. Itu ubat paling mujarab.

Sejak hari itu, saya berusaha membuang status Teacher Paling Garang.

Namun berusaha menjadi seorang guru yang tegas tapi penyayang.

Nyatakan kesalahan anak-anak dengan tegas.

Berikan solusi tapi tidak lagi dalam nada yang mungkin membingitkan telinga mereka.

Itu nada yang mereka tidak suka.

Nyata.

Teknik ini lebih berkesan buat saya.

Pelajar terdorong untuk berubah.

Saya pula, kurang sakit kepala.

6. Bersedialah untuk melakukan perubahan.

Proses perkembangan diri memerlukan kita untuk berubah.

Belajarlah kemahiran baharu.

Cuba laksanakan aktiviti yang tidak pernah kita lakukan.

Nilai kembali tabiat-tabiat lama kita.

Barangkali ada yang sudah tidak lagi sesuai dengan peredaran masa.

Sewaktu saya menyerahkan borang permohonan untuk sambung belajar, Tuan Haji bersungguh- sungguh menyokong niat saya.

“Bagus Mujaidah. Cari ilmu baru. Cari kemahiran baru. Kita tak boleh asyik duduk di takuk lama.”

“Maaflah Tuan Haji. Kalau permohonan saya berjaya, kuranglah seorang lagi guru Bahasa Inggeris.”

“Tak apa. Itu kerja saya. Kerja pegawai PPD untuk cari ganti. Jangan susah hati. Awak teruskan niat murni awak. Saya sokong penuh.”

Teman-teman yang dikasihi Allah dan disayangi Nabi ,

Jika kita boleh laksanakan perkara yang saya nyatakan di atas, insya-Allah, kita akan dilihat sebagai orang yang terhormat sebagai mana saya memandang tinggi peribadi Tuan Haji Mohd Nor.

Rasa hormat itu perlu diusahakan.

Ia tidak diberi percuma.

Untuk dihormati, kita yang terlebih dahulu perlu menghormati.

Untuk disayangi, kita yang perlu belajar menyayangi.

Untuk bahagia, gembirakan orang di sekeliling kita.

Baru aura bahagia itu dapat kita serap semula ke dalam jiwa kita.

NORMUJAIDAH OSMAN

Sedang belajar menghormati orang

Sumber: Facebook Normujaidah Osman

Artikel Menarik:

Berkat kegigihan tiga guru ini, pasukan bola dari sekolah di tengah belantara muncul juara MSSD

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini

'Cantiknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

Cikgu K A Razhiyah terima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019