Alhamdulillah. Ketika bertandang ke Restoran An Najah bersama keluarga pagi tadi, saya disapa oleh saudara Bhai Ahmad atau Ahmadul.

Cuma itu nama yang saya sering lafazkan untuk dia. Salah seorang dari pemilik Restoran An Najah ini. Sentiasa tersenyum dan sering menyapa dan bertanya khabar.

Saya kenal dia sewaktu kami sama-sama bersekolah di SRB ST Anthony dan kalau tak silap dia juga kawan sekelas kepada abang saya iaitu Ustaz Amir.

Kali pertama saya melihat dia adalah sewaktu di sekolah rendah, pada ketika itu dia sedang memegang seekor anak biawak dan dibawa ke sana dan ke mari. Maklumlah pada ketika itu dia merupakan bos di antara kawan-kawannya.

Entah Saudara Ahmadul masih ingat atau lupa saya pun tidak pasti. Tetapi kenangan ketika itu masih saya ingat hingga sekarang. Cuma sekarang Saudara Ahmadul semakin matang. Wajahnya tetap tersenyum dan seorang yang tawaduk.

Sebab itulah kenapa kalau saya ada kelapangan saya akan bertandang ke sana. Kerana selain dari makanan yang disajikan cukup menyelerakan, saya juga boleh juga mengambil kebaikan daripadanya. Sabda Rasulullah;

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (HR. Bukhari (5534) dan Muslim (2628)

Semoga saya juga beroleh nikmat kebaikan dari sahabat jauh saya iaitu Saudara Ahmadul. Juga saudara Murat. Yang kami gelar sebagai ‘Lipas Kudung’ ketika sama-sama bermain bola di Padang Lorong B R.P.R Sebiew suatu ketika dulu pada zaman 90an.

Cuma sekarang Saudara Murad ini semakin gendut. Mana tidaknya. Hari-hari Saudara Murad bergelumang dengan roti canai.

Sempat juga saya bercerita dengan isteri saya berkenaan dengan tajuk terbaru yang akan saya tulis. Iaitu berkenaan dengan Jalan Tanjung Kidurong.

Kenapa untuk kali ini saya menulis tentang Jalan Tanjung Kidurong.

Berdasarkan pengalaman kami merawat pesakit, terdapat berbelas kes juga yang berlaku di sepanjang Jalan Tanjung Kidurong ini.

Jalan Tanjung Kidurong ini bermula dan akan melalui Masjid Assyakirin, Stadium Bintulu, Bangunan BDA, Bintulu Golf Club, Kidurong Club, ABF Housing, MLNG Housing, Kidurong Height, Telekom Tanjung Kidurong, R.P.R Kidurong, Kolej Vokasional, Daiken, Jalan Sungai Plan, MLNG, Bintulu Port, ABF hinggalah penghujung Jalan Kidurong yang kami istilahkan sebagai ‘Kellogg’ atau kami sebut dengan sebutan kelok atau kelog.

Pada penghujung jalannya ada sebuah jeti menghala ke laut. Di situlah masyakat Bintulu suka memancing ikan dahulu. Dan di situ jugalah menyimpan banyak cerita-cerita misteri. Tanya saja kepada penduduk asal Bintulu.

Tetapi cerita saya kali ini tidak berkisar di sekitar Kellogg.

Kalau nak diceritakan ada banyak sebenarnya misteri yang belum terungkap.

Antaranya kisah seorang tua yang berbasikal pada tengah malam di jalan Telekom Tanjung Kidurong, pocong yang mengganggu pasangan suami isteri yang sedang menaiki motosikal, kisah wanita misteri di Kidurong Height, kemalangan yang kerap berlaku di jalan Stadium Bintulu dan juga perkampungan bunian di kawasan hutan berdekatan Stadium Tertutup Bintulu.

Ini di antara kes-kes yang berlaku di Jalan Tanjung Kidurong yang mana kami terlibat dalam merawat pesakit yang terkena gangguan di jalan ini.

Cuma pada kali ini saya fokuskan pada jalan sekitar Stadium Bintulu sahaja. Saya selalu memberi nasihat kepada kawan-kawan saya tentang misterinya kisah di jalan Stadium Bintulu ini.

Supaya jangan berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kalau kemalangan jalan raya itu memang agak kerap sehingga mengorbankan nyawa atas alasan yang tidak munasabah. Jadi kawan-kawan semua. Hati-hati ya..

Suatu ketika semasa kami merawat di Bangunan Martabat, kami menerima beberapa orang tetamu. Mereka datang mencari saya. Oleh kerana saya sedang sibuk saya meminta mereka berjumpa dengan kawan-kawan saya yang lain.

Di antara mereka yang hadir tersebut saya lihat ada seorang lelaki yang dipapah masuk ke dalam pusat rawatan kami.

Dari perbualan mereka saya dapati pada beberapa hari yang lepas lelaki yang dipapah ini telah mengalami kemalangan jalan raya di hadapan jalan Stadium Bintulu semasa balik dari kerja.

Selepas selesai urusan saya, saya terus mendatangi lelaki berkenaan. Saya memandang wajahnya. Kelihatan raut wajahnya menampakkan yang dia sedang sakit.

Cuma saya tidak pasti lagi apa sakitnya. Kemudian saya mengalih pandangan saya kepada kawan-kawannya.

“Assalamualaikum. Teruk jugak keadaan kawan awak.”

Tanya saya kepada salah seorang lelaki yang sedang memapah kawannya yang sedang sakit tadi.

 

Ditipu

“Teruk jugak cikgu. Saya Hadi. Kawan saya yang sakit ni Huda namanya.”

“Dah bawa ke hospital ke?”

“Dah. Cikgu. Huda cuma cedera ringan sahaja. Walaupun keretanya hancur akibat melanggar salah satu pokok yang ada di situ. Cuma selepas kemalangan tu setiap hari Huda ni sakit perut. Apabila diperiksa oleh doktor, doktor kata tak ada apa-apa. Kemudian kami bawak jumpa bomoh.”

“Lepas tu hilang tak sakit kawan kamu ni?”

“Hilang cikgu. Hilang RM500 sebab bomoh tu mintak bayaran penuh. Untuk beli keris emas kecil dari alam ghaib. Lepas tu bomoh tu beri kami keris kecil tu untuk direndam dalam air dan diminum oleh Huda.

Last-last tak sembuh jugak. Rupanya keris tu ada dijual di Pasar Malam Bintulu. RM5 je harganya. Bomoh tu pulak ghaib entah ke mana. Penipu betul bomoh tu cikgu.”

“Sebab itulah di dalam Islam kita dilarang berurusan dengan bomoh ni. Haram. Apa lagi kebiasaannya bomoh ini mengubat dengan pelbagai cara yang salah.

Yang pertama dengan menggunakan jin. Dan yang kedua apa yang dikatakan oleh bomoh ini adalah temberang kerana memang dia sedang berbohong.

Saya teringat akan pendapat Syeikh Dr Abdul Qader bin Muhammad Al Ghamidi di dalam maqalahnya yang bertajuk Hukm Al Isti’anah bi al Jin fi al Mubahat (Hukum Meminta Pertolongan Dengan Jin Dalam Perkara Yang Harus)

Sebuah institusi fatwa iaitu Lajnah Daimah menjelaskan di dalam fatwanya apabila ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum meminta bantuan jin:

“Tidak boleh bagi orang itu meminta bantuan jin dan Muslim tidak boleh mendatanginya untuk mengubati pelbagai penyakit melalui perantara jin atau (tidak boleh) untuk memenuhi permintaan lainnya dengan cara tersebut.

Perawatan melalui doktor yang menggunakan ubat yang diperbolehkan merupakan usaha yang harus dilakukan dan ini selamat dari perbomohan. Dalam riwayat sahih daripada Rasulullah SAW bahawasanya beliau bersabda:

“Sesiapa mendatangi bomoh kemudian menanyakan sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam. Diriwayatkan daripada Muslim dalam kitab Sahihnya.

Para perawi hadis yang empat (Abu Daud, At Tirmizi, Nasa’i dan Ibn Majah) dan Hakim dan yang terakhir ini mengatakan hadis ini sahih, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi bomoh (ahli sihir) kemudian membenarkan perkataannya, maka ia telah kufur (ingkar) terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad. Lelaki ini dan kawan-kawannya daripada kalangan bangsa jin termasuk dalam golongan tukang ramal dan bomoh, maka mereka tidak boleh diminta bantuan dan tidak boleh dipercayai ucapannya.”

Selepas itu saya meminta Hadi dan kawan-kawannya membaringkan Huda bersebelahan dengan saya. Saya perhatikan ada kesan hitam di bawah kedua belah matanya. Mungkin kesakitan ini menyebabkan Huda susah untuk tidur dan meninggalkan. Itu pendapat saya.

Kemudian saya mulakan dengan membaca Surah Al-Fatihah dan Surah Kursi. Ketika saya membaca kedua surah tersebut berulang-ulang, tiba-tiba Huda bingkas duduk lalu muntah dengan sebanyak-banyaknya.

Selepas selesai muntah, saya memerhatikan muntah Huda di dalam baldi kecil di hadapan saya. Yang ada cuma muntah yang berbuih berwarna putih. Kemudian saya meminta Hadi untuk sama-sama memerhati muntah Huda tersebut.

“Alhamdulillah. Kalau ada gangguan jin sekalipun mungkin ini bukan akibat dari sihir.”

“Macam mana cikgu tahu?”

“Biasanya muntah disebabkan sihir makanan dan minuman, warnanya adalah sama ada merah, hitam dan kuning. Atau dua dari warna tersebut. Itu yang saya pelajari berkenaan dengan sihir makanan atau minuman ini.”

“Kalau warna jernih atau cuma berbuih sahaja Insya-Allah itu bukan sihir makanan dan minuman. Tetapi gangguan jin biasa yang berada di perut pesakit. Dan apabila dibacakan al-Quran, jin itu kepanasan dan keluar dari badan pesakit melalui muntah.”

“Owh..Macam tu."

"Jadi lepas ni saya akan sambung bacaan dulu. Supaya kita tahu sejauh mana gangguan jin dalam badan Huda sekiranya ada.”

“Baik cikgu.”

Selepas itu saya kembali meneruskan bacaan saya dan saya bacakan Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah Ayat 1-5, Al Baqarah Ayat 102, Al Baqarah Ayat 163-164, Al Baqarah Ayat 255, Al Baqarah Ayat 285-286, Ali Imran Ayat 18-19, Al A’raf Ayat 54-56, Al A’raf Ayat 117-122, Yunus Ayat 81-82, Thoha Ayat 69, Al Mukminun Ayat 115-118, As Soffat Ayat 1-10, Al Ahqaf Ayat 29-32, Ar Rahman Ayat 33-36, Al Hasyr Ayat 21-24, Al Jin Ayat 1-9 dan empat Qul.

Pada permulaan bacaan ternyata tiada apa-apa kesan yang berlaku pada Huda melainkan muntah di awal bacaan tadi. Selepas itu saya cuba meletakkan tapak tangan saya di perut Huda sambil memeriksa sama ada ada tidak tanda-tanda keras pada perutnya.

Setelah memeriksa dengan teliti ternyata memang ada sesuatu yang keras pada bahagian kiri perutnya. Yang peliknya rasa keras tersebut sentiasa berubah tempat di sekitar kawasan perut. Jadi untuk kesimpulan sementara saya yakin yang jin itu ada di perutnya.

Kemudian saya pegang tempat yang keras itu sambil membaca Surah As Shafaat ayat 8 hingga 10.

“(Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru. Untuk mengusir mereka dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. Kecuali sesiapa di antara syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.”

Selepas itu si Huda tadi mula menjerit. Suaranya menguasai seluruh ruang-ruang di dalam pusat rawatan kami.

Selepas menjerit Huda kemudiannya menangis. Tangisnya bergema sehingga bulu roma saya naik mendadak.

 

Suara Tangisan

Suara tangisan Huda sangat menyeramkan. Selepas itu suara tangisannya bertukar menjadi bunyi ketawa. Kami memandang sesama sendiri. Manakala Hadi yang pada awalnya kelihatan tenang mula menjadi resah.

Pada malam itu bunyi cengkerik mula bersahutan. Lolongan anjing juga terdengar dari kejauhan. Tiba-tiba dari arah tingkap bahagian luar pusat rawatan kami seperti diketuk oleh seseorang. Kami serentak menoleh ke arah tingkap tersebut.

Dari pemerhatian saya ternyata ada kelibat seseorang sedang memandang kami. Cuma saya sedikit hairan kerana lembaga yang menyerupai seorang perempuan tersebut memandang kami dengan badannya sedikit membongkok. Seperti seseorang yang sedang rukuk ketika solat.

Saya cuma terfikir sesuatu pada ketika itu. Bagaimana perempuan itu boleh membongkokkan badannya sambil memandang kami. Kerana kalau mengikut ukuran cermin tingkap tersebut, kedudukan cermin itu lebih tinggi dari ukuran manusia.

Sedangkan perempuan ini pula terpaksa membongkokkan badannya untuk melihat kami di dalam pusat rawatan kami. Saya rasa mungkin ketinggian perempuan tersebut empat kali lebih tinggi dari manusia biasa.

Oleh kerana pada ketika itu malam kelihatan pekat. Pantulan dari cermin tingkap juga mengganggu sedikit pemandangan kami.

Kami cuma sempat melihat wajah perempuan tersebut dengan matanya putih berkilat dan hidungnya sedikit senget ke sebelah kanan sambil tersenyum memandang kami. Selepas itu perempuan itu hilang entah ke mana.

Hadi yang sejak dari awal tadi memerhati perempuan itu memandang dengan jiwa yang gelisah. Saya risau yang Hadi pula yang akan dirasuk oleh syaitan-syaitan yang mengganggu Huda itu nanti.

Oleh sebab itu saya cuba untuk mengalih pemandangan dan fokus Hadi supaya ketakutannya tidak menguasai dirinya sehinggakan boleh menyebabkan Hadi histeria.

Tidak lama kemudian Hadi mencuit bahu saya lalu berkata;

“Cikgu, ada hantu.”

“Mana?”

“Tu. Tengah tengok kita.”

“Iya. Kat mana?”

“Luar tingkap tu.”

“Mana?”

“Luar tingkap. Ada nampak tak?”

“Ada.

"Macam mana rupanya cikgu?”

“Macam muka kamu.”

“Kenapa macam muka saya pulak.”

“Cuba tengok kat cermin tu sekarang.”

“Haah cikgu. Itu muka saya.”

“Tu muka kamu ke atau muka hantu?”

“Muka saya cikgu.”

“Muka kamu ada nampak macam muka hantu tak?”

“Hehehe..Tak ada cikgu.”

“Baca Surah Kursi banyak-banyak.”

“Baik cikgu.”

Saya tersenyum memandang gelagat Hadi. Mulutnya tidak berhenti-henti membaca Surah Kursi. Asalkan dia yakin dengan izin Allah dia akan dilindungi dari gangguan syaitan dengan membaca Surah Kursi, itu pun sudah cukup.

Dalam ukiran senyuman saya pula tiada orang yang tahu. Makhluk apa yang memerhati kami saya juga tidak tahu dan tak nak ambil tahu.

Saya tetap menahan debaran ketakutan. Sehingga saya membayangkan yang perempuan itu akan memakan kepala saya. Paling tidak pun makhluk ini akan menjenguk kepalanya ke dalam tandas dan mencari-cari saya.

Tiba-tiba saya rasa pundi kencing saya semakin penuh. Kenapa jugalah pada saat-saat seperti ini kencing saya hampir nak terkeluar.

Lalu saya bergegas pergi ke tandas. Tetapi sebelum itu saya sempat meminta pertolongan dari kawan saya iaitu Adi MBSB untuk menemani saya pergi ke tandas.

Adi MBSM memang sudah terbiasa menemani saya pergi ke tandas. Tapi sekadar menunggu di depan pintu masuk tandas sahaja. Saya bukannya takut tetapi kurang berani sahaja.

Kerana sewaktu kecil saya selalu membayangkan ada pontianak yang tiba-tiba muncul melalui mangkuk tandas dan menerkam saya. Itulah yang selalu saya bayangkan dan risaukan hingga sekarang. Hahaha..

Ketika sampai ke dalam tandas, saya cuba untuk memberanikan diri. Sebenarnya tidak ada benda yang perlu ditakutkan.

Yang saya perlu risau adalah fikiran saya sahaja yang sentiasa penuh dengan imaginasi dan perasaan takut yang saya ciptakan sendiri.

 

Perempuan Berambut Panjang

Semasa melangkah masuk ke dalam tandas tiba-tiba saya terpandang cermin di sebelah kanan saya. Saya terkejut kerana ada seorang perempuan yang sedang memerhati segala tindak tanduk saya.

Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutup oleh rambutnya yang panjang. Dan perempuan itu bersandar di tepi dinding.

Oleh kerana terlalu takut saya melompat dan bersembunyi di bawah singki. Saya perhati di sebelah arah kiri saya kerana di situlah kedudukannya kalau melihat dari arah cermin. Ternyata perempuan itu tidak ada.

Tandas agak suram ketika itu. Cuma ada sebuah lampu kecil yang hampir malap yang berusaha menyinari sekeliling tandas.

Cuma sekarang kesemua lampu tandas di Bangunan Martabat ini telah ditukar dan suasananya kembali menjadi lebih cerah.

Kemudian saya berlari keluar tandas. Adi MBSB memandang saya dengan wajah kehairanan dan tersenyum.

“Kenapa ustaz?”

“Tiada apa-apa.”

“Sekejap betul.”

“Kalau lama itu bukan kencing namanya. Itu tidur.”

“Hahaha..Takutlah tu namanya ustaz.”

Saya cuma tersengih sahaja. Selepas itu saya dan Adi MBSB masuk kembali ke dalam pusat rawatan kami. Dan saya duduk di sebelah Hadi.

Sedangkan Huda masih lagi terbaring lemah di lantai. Cuma Huda tidak lagi menjerit dan menangis seperti tadi.

Kemudian Huda memandang saya sambil tersenyum. Saya juga tersenyum.

“Huda, kamu ok tak?”

“Ok. Cikgu. Cuma tengkuk masih lagi rasa berat dan rasa macam ada orang perhatikan saya.”

Saya tak tahu bila masa Huda tahu yang saya sebenarnya adalah seorang cikgu. Mungkin Hadi yang memberitahu kepada Huda semasa saya ke tandas tadi.

“Ok. Lepas ini kamu akan dibacakan al-Quran lagi. Kalau boleh kali ini kamu dengar dengan khusyuk. Baru kesannya timbul semasa dibacakan al-Quran nanti.”

“Baik cikgu.”

Selepas itu saya bacakan kembali beberapa ayat-ayat al-Quran. Huda yang pada awalnya duduk bersila mendengar bacaan saya mula ketawa.

Badannya bergetar-getar. Saya juga mula bergetar-getar. Buka kerana takut. Tetapi sedikit tidak berani. Itu saja.

Saya meminta kepada Hadi dan kawan-kawan saya iaitu Anai TM, Awang Giyomi dan Haziq Chika untuk bersedia dan menahan kaki dan tangan Si Huda. Manalah tahu Huda akan mengamuk lagi seperti tadi.

Sekurang-kurangnya kalau ditahan awal, tak adalah peluang untuk saya melarikan diri dan tak muncul-muncul lagi seperti itu.

Sebab itulah kalau ada kes-kes seperti ini saya akan serahkan kepada kawan saya yang barsaiz XXXL seperti Anai TM, Awang Giyomi dan Haziq Chika ini.

Kalau kekuatan mereka digabung menjadi satu, maka pesakit yang mengamuk tadi pasti tidak akan dapat berbuat apa-apa. Kerana perut mereka sahaja sudah cukup untuk melambangkan kelakian, keberanian dan kekuatan.

Semasa Huda mula ketawa, saya telah mengambil kedudukan duduk dalam keadaan bersedia. Sebelah lutut menyentuh lantai dan sebelah lagi diluruskan ke atas.

Selepas itu ketawa Huda semakin kuat. Saya teruskan bacaan saya. Sekhusyuk yang mungkin dan menyerah segalanya kepada Allah.

Selepas itu, apa sahaja pertolongan dari Allah saya anggap itu sebagai suatu rahmat kerana kita berusaha membaca ayat-ayat Allah dengan ikhlas dan menyerah segalanya serta akur atas apa yang Allah atur untuk pesakit tersebut.

Jadi, tidak adalah istilah bacaan saya lebih hebat dari orang lain. Atau bacaan orang lain lebih hebat dari saya. Semuanya terserah bagaimana ikhlasnya kita serta sejauh mana tawakal kita kepada Allah.

Huda kemudiannya mula berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi tidak berjaya. Tangan dan kakinya ditahan oleh kawan-kawan saya. Dalam keadaan seperti itu, Huda tetap berusaha untuk melepaskan dirinya.

 

Menjerit

Oleh kerana tidak mampu untuk bergerak, syaitan di dalam badan Huda mula kembali menjerit dan mencarut. Semuanya untuk memancing emosi agar kami juga mencarut seperti dia.

“Bacalah sebanyak mana yang kamu mahu. Apa kamu tidak takut sekiranya aku perintahkan supaya sekampung-kampung dari bangsa jin datang ke sini untuk membalas dendam kepada kamu semua? Apakah itu yang kamu mahu?”

Saya tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh Huda. Saya cuma meneruskan bacaan saya seperti biasa.

“Bacalah. Hahaha..Selama mana yang kamu mahu. Kalau ikut kemahuanku, sekarang juga orang ini akan aku bunuh. Kamu tahukan yang jasadnya dikawal oleh kamu sedangnya jiwa dan nyawanya dalam genggaman aku? Tahukan? Hahaha..”

“Tidak. Bukan kamu yang mengawal nyawanya. Tetapi Allah. Tetapi kamu tahukan yang kamu sedang menggenggam jiwa lelaki ini sedangkan jiwa kamu digenggam oleh Allah?”

“Aku tidak peduli. Itu bukan urusan aku. Aku tidak kenal Allah itu siapa. Aku cuma kenal diri aku sendiri dan keluarga-keluarga aku.”

“Aku minta engkau lepaskan lelaki ini. Atau kalau tidak..”

“Kalau tidak, apa yang mampu kamu lakukan? Menjanjikan kebohongan sahaja hahaha..Mengalahkan aku sahaja tidak mampu.”

“Tujuan kami bukan untuk mengalahkan kamu. Tetapi untuk melepaskan kezaliman yang kau perbuat. Apakah tidak cukup bagimu bagaimana ayat al-Quran ini dapat menyakitkan kamu.”

“Sakit? Hahaha..Kematian itu lebih enak rasanya kalau kami dapat menyesatkan kamu bersama. Paling tidak pun kematianlah sebagai bahasa yang paling sesuai.”

“Keluar sekarang..”

“Aku sudah keluar.”

“Bohong..”

“Hahaha..Kenapa perlu tegang. Jangan terikut dengan nafsu amarahmu. Nanti semuanya sia-sia sahaja.”

“Keluarlah musuh Allah. Ukhruj ya ‘aduwalah. Al ‘anuka bi la’natillah. Ukhruj ya syaitan..”

“Aku tidak akan keluar.”

“Baiklah kalau begitu. Aku serah segalanya kepada Allah.”

Selepas itu saya bacakan beberapa ayat al-Quran dan doa dari Rasulullah;

“(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqqum (buahnya) menjadi makanan bagi orang-orang yang berdosa (dalam neraka), makanan ini pula panas, seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.” (Surah Ad Dukhan: Ayat 43-46)

“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan-pasukan. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” (Surah Al Fiil: 1-5)

“Aku berlindung dengan wajah Allah yang Maha Mulia dan dengan Kalimat-Kalimat Allah yang Sempurna yang tidak ada “melampauinya” segala kebaikan maupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya.”

“Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari, kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan, wahai yang Maha Penyayang”.

Setelah Nabi Muhammad SAW membaca doa tersebut, maka jin Ifrit yang mengikuti beliau jatuh tersungkur lalu binasa dan obornya padam. (HR. Bukhari)

Ketika saya sedang membaca ayat al-Quran dan doa Rasulullah ini, Huda kembali menjerit-jerit. Urat-urat tegang timbul di dahinya. Matanya semakin merah dan berair lalu memandang kami dengan perasaan dendam.

“Kamu siksa aku. Kamu bunuh keluarga aku. Kamu bunuh saudara-saudara dan penduduk kampung aku. Aku akan membalasnya.”

“Aku tidak menyeksa kamu. Juga membunuh keluarga kamu. Aku tidak tahu tentang semua itu. Kalau betul apa katamu. Maka itulah pembalasan Allah kepada makhluk zalim seperti kamu. Sedangkan ini baru siksa dunia. Belum lagi di akhirat nanti. Malah lebih teruk dari itu.”

“Kamu keluar sekarang..”

“Tidak.”

“Baiklah. Itu urusan kamu. Sedangkan aku sudah mengingati kamu soal balasan dari Allah ini.”

Selepas itu saya kembali membaca ayat al-Quran.

Di belakangnya disediakan Neraka Jahanam dan dia akan diberi minum daripada air danur (yang keluar dari tubuh ahli Neraka). Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan dia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang dia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu) dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat. (Ibrahim: 16 - 17)

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (Al Kahfi: 29)

“Sudah..Sudah..Cukup. Aku sudah tidak tahan. Hentikan bacaan kamu. Aku berjanji aku akan keluar. Lepaskan aku.”

“Tidak semudah itu kami lepaskan kamu atas apa yang kau lakukan kepada saudaraku.”

“Hentikanlah. Aku sudah tidak tahan. Sekujur badanku terasa hangat. Hinggakan aku boleh merasakan yang badan aku mula mencair perlahan. Sungguh azab rasanya. Begitu juga dengan kawan-kawan aku. Mereka terbakar.”

“Aku tidak tahu. Itu urusan kamu dengan Allah. Aku cuma membaca al-Quran saya sebagai bekal ibadah untuk aku.”

“Apa yang kamu baca itu? Hentikanlah. Badan aku semakin mencair. Aku tidak pernah terseksa seperti ini.”

“Keluarkan aku cepat. Keluarkan.”

 

Kampung

“Aku akan keluarkan kamu dengan syarat yang kamu tidak akan mengganggu lagi lelaki ini.”

“Baiklah. Aku berjanji. Lepas ini aku keluar. Aku ingin balik ke kampung aku. Menyelamatkan apa saja yang masih tersisa.”

“Kampung kamu? Di mana kampung kamu?”

“Di sana.”

“Di mana?”

“Tidak jauh dari tempat lelaki ini kemalangan. Ketika itu kami yang ganggu dia. Kawasan hutan. Di situlah perkampungan kami.”

“Kenapa kamu mengganggu dia?”

“Memang sudah tugas kami. Mengganggu manusia yang melalui jalan ini. Tidak semua. Cuma yang dapat kami ganggu saja.”

Saya termenung sambil memandang ke arah Hadi.

“Hadi, Huda kemalangan di mana? Atau lebih tepatnya di mana?”

“Kat jalan raya cikgu. Dekat dengan stadium.”

Selepas itu saya kembali memandang wajah Huda.

“Ya ma’syaral jin. Kamu tinggal di mana dan apa yang kamu lakukan sebenarnya?”

“Begini, Kami tinggal di hutan di sebelah belakang kawasan ramai orang berlari pada waktu petang (Stadium). Kami selalu memerhati manusia di sebalik hutan tersebut. Pada waktu senja kami mula keluar dan berada di sekitar tepi jalan untuk mengganggu manusia.”

“Sehingga sebelum malam tertukar siang. Ada yang berada di atas jalan, ada yang berterbangan dan ada yang melekat di pokok. Sudah kebiasaannya bagi kami menganggu manusia yang melintas jalan ini. Kalau mereka keseorangan pada ketika itu maka akan lebih kuat lagilah gangguan kami pada mereka.”

“Tadi kamu katakan yang kamu ingin balik ke kampungmu. Menyelamatkan apa saja yang masih tersisa. Apa maksud kamu?”

“Apa kamu tidak tahu? Kamulah penyebabnya.”

“Mana aku tahu. Aku sekadar membaca al-Quran saja. Kau juga tahu itu bukan?”

“Ketika kamu membaca ayat itu, aku sedang berada di dalam badan lelaki ini. Kemudian datang kawan-kawan aku mengkhabarkan yang kampung kami telah terbakar. Mereka berusaha untuk mencari puncanya tetapi buntu. Sehinggalah mereka mengetahui bahawa bacaan kamulah yang menyebabkan kampung kami terbakar teruk.”

“Sedangkan kami sendiri tidak tahu bacaan apakah itu. Lalu mereka meminta aku meninggalkan lelaki ini. Aku sempat bergegas untuk terbang pulang ke kampungku. Aku juga sempat memerhati beberapa orang dari golongan kami yang mati terbakar, mencair seperti disiram dengan menggunakan cecair timah dan tembaga.”

“Tetapi aku bagaikan ditarik dan kepalaku bagai direntap dengan kasar sehingga terasa akan goncangan dahsyat di kepalaku. Hampir-hampir saja aku rasakan yang kepala aku tercabut dari badan. Lalu aku tidak mengerti kuasa apakah yang membawa aku kembali ke sini. Sepertinya untuk diadili atas olahan dari perbuatan kami.”

“Bagaimana caranya kamu mengganggu manusia yang lalu di kawasan ini?”

“Di sini kami mengganggu dengan bermacam cara. Kami menampakkan diri kepada manusia dalam bentuk hantu seperti pocong yang melintas jalan dan membentuk seperti pontianak yang bersembunyi di celah pokok. Cuma kebiasaannya kami juga mengalih pandangan mereka supaya keliru dengan arah jalan yang mereka lalui.”

“Maksud kamu apa?”

“Begini. Kalau kamu perhatikan laluan di sana, arahnya akan menuju ke sebelah kiri. Tetapi kami mengaburi pandangan manusia atau kami nampakkan pada kawasan tersebut seolah-olah laluannya adalah ke arah kanan.”

“Akhirnya mereka mengikut laluan khayalan yang kami sediakan dan bukannya laluan sebenar. Sehinggalah apabila sudah beberapa detik maka kami kembalikan keadaan di situ seperti sedia kala atau kami kembalikan pandangan sebenar mata mereka.”

“Tetapi semuanya sudah terlambat. Apabila mereka telah tersedar, ternyata mereka sudah salah menuju arah. Lalu mereka cuba sedaya upaya untuk bertukar haluan ke sebelah kiri secara mengejut dan akhirnya apabila mereka terlalu terkejut dan ingin mengubah haluan, mereka akan melanggar pokok yang ada di situ.”

“Mereka juga tidak sempat untuk menekan brek kerana jaraknya sudah terlalu dekat hingga melanggar pokok-pokok. Sepanjang kami mengganggu mereka, pada awalnya mereka rasakan yang perjalanan mereka adalah melalui laluan yang betul. Kawan aku juga ramai menanti di situ untuk menunggu mangsa.”

“Jadi, apakah semua ini sengaja kamu lakukan?”

“Ya. Memang. Kerana memang ini tugas kami.

Menghancur dan memporak perandakan kehidupan manusia.”

“Semoga Allah melaknat kamu wahai syaitan. Selepas ini kamu keluar dan jangan lagi berada di dalam badan lelaki ini dan kamu pindahlah dari kawasan hutan tersebut. Kalau tidak nanti Allah membakar kamu secara keseluruhan sehingga tiada akan ada yang tinggal tersisa.”

“Ya. Kami akan pindah dari hutan tersebut. Begitu juga dengan kaum keluarga dan kawan-kawan aku. Kami sudah tidak tahan. Ramai yang mati terbakar. Ada yang sempat menyelamatkan diri. Untuk bersembunyi di dalam tanah juga kami tidak dapat kerana panasnya akibat bacaan itu sehingga menyebabkan cairnya kampung kami seperti cairan tembaga lalu menyerap masuk ke dalam liang-liang tanah walau sekecil mana pun liang lubang tersebut.”

 

Pindah Ke Laut

“Lepas ini kamu keluarlah. Pergilah ke tengah lautan atau di tengah hutan. Terserah kamu mahu di mana.”

“Ya. Kami akan pergi tengah laut. Kerana situlah tempat kami.“

Mungkin ada benarnya juga kenapa golongan jin yang ganas ini lebih suka untuk kembali menetap di laut. Di dalam hadis nabi menjelaskan bahawa yang singgahsana iblis itu berada di tengah lautan. Sabda Rasulullah;

“Abu Said R.A menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersama sahabat Abu Bakar RA dan Umar bin Khatab RA berjumpa dengan Ibnu Shoyyad di salah satu jalan di Kota Madinah. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya,

“Mahukah engkau bersaksi bahawa aku adalah utusan Allah? Ibnu Shoyyad menjawab dengan pertanyaan serupa. “Mahukah kamu bersaksi bahwa utusan Allah juga?” Rasulullah SAW bersabda, Aku beriman kepada Allah, para MalaikatNya dan kitab-kitabNya. Apakah yang sedang kamu lihat (dari perkara ghaib)? Aku sedang melihat sebuah Arasy di atas air, jawab Ibnu Shoyyad.

Rasulullah SAW membantahnya. Yang kamu lihat itu adalah singgasana iblis di tengah laut. Lalu apa lagi yang kamu lihat? Ibnu Shoyyad menjawab, Aku mendapat dua berita yang benar dan sebuah berita yang dusta atau dua berita yang dusta dan sebuah berita yang benar. Biarkanlah dia, sabda Rasulullah SAW. Dia telah dikacaukan oleh syaitan yang menguasainya.” (HR. Muslim dan Tirmidzi)

Selepas itu syaitan di dalam badan Huda berkata lagi;

“Kami akan menghimpunkan kekuatan kami lagi. Bermula dari situ. Dari tengah laut. Menunggu arahan ketua kami yang agung untuk merosakkan manusia lagi. Di dalam hidup kami tidak punya apa kecuali dendam dan kemusnahan buat manusia.”

Saya teringat akan ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa syaitan ini adalah golongan yang diberi tangguh sehingga syaitan dibiarkan untuk menyesatkan manusia. Kecuali yang enggan atau yang tidak dapat diganggu. Firman Allah;

“Iblis menjawab: Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.” Iblis menjawab: ‘Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Surah Al A’raf: 14-17)

“Dia (iblis) berkata: “Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil. Tuhan berfirman: Pergilah, barang siapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahanam adalah balasan kamu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup. Dan hasutlah siapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan ajakanmu dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka.” (Surah Al Isra: 62-64)

Selepas itu saya terus meminta syaitan itu untuk keluar dari badan Huda.

“Baiklah. Kamu keluarlah sekarang.”

“Ya aku akan keluar. Sebelum itu, agar kamu tahu. Banyak lagi kawan-kawan kami yang berada di sepanjang jalan di sana. Setiap masa menunggu detik yang sesuai untuk mengganggu manusia. Bahkan mereka akan melihat jelmaan kami dalam pelbagai bentuk dan rupa yang menakutkan. Agar hidup mereka sentiasa dalam ketakutan dan kemusnahan. Serta fitnah yang membelenggu di jalan ini. Sedangkan pada hakikatnya tiada apa yang mengganggu melainkan sekiranya jiwa manusia itu penuh dengan kekosongan dan dengki belaka. Sehinggakan apa sahaja yang berlaku di jalan ini dianggap sebagai mistik dan penuh dengan kejahatan yang melanda.”

“Semoga laknat Allah akan bersama kamu serta seluruh syaitan-syaitan yang mengganggu sehingga hari kiamat tiba nanti.”

Selepas itu Huda mula menggeliat seperti ular. Lalu memegang perutnya. Saya bacakan Surah Kursi pada Huda serta memohon pertolongan kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk mengeluarkan syaitan dari badan Huda ini.

 

Keluar

Selepas beberapa ketika Huda kembali muntah seperti tadi. Malah kali ini lebih banyak jumlahnya sehinggakan kami terpaksa menggunakan dua hingga tiga bekas plastik untuk menyalut muntahnya.

Setelah hampir sepuluh minit barulah muntah Huda berkurangan dan reda. Akhirnya Huda memandang kami dengan wajahnya yang tersenyum. Badannya kelihatan letih dan lesu. Wajahnya kemerahan. Tidak seperti tadi. Pucat seperti mayat.

Kemudian saya meminta Huda untuk membacakan Surah Kursi dengan betul dah khusyuk sambil bacaannya diteliti oleh saya. Sepanjang Huda membacakan Surah Kursi, tidak ada yang berlaku. Malah Huda lebih bersemangat kali ini. Tidak seperti mula-mula tadi.

“Huda, macam mana keadaan kamu sekarang?”

“Alhamdulillah rasa lebih baik cikgu.”

“Masih ada lagi tak rasa seperti dilihat oleh seseorang?”

“Tak ada lagi cikgu.”

“Baiklah kalau begitu. Semoga Allah melindungi dan merahmati kamu.”

“Amin cikgu.”

“Huda, boleh cikgu tahu macam mana kamu boleh kemalangan ni?”

Huda mengangkat kepalanya. Agak Lama juga dia terdiam sambil memandang ke arah luar pintu. Selepas itu Huda menundukkan kepalanya ke lantai. Setelah beberapa ketika Hudapun kembali bersuara.

“Begini cikgu. Pada malam kejadian tu saya sebenarnya baru balik dari kerja. Masih awal lagi cikgu. Lebih kurang pukul 9.30 malam. Kebetulan pada waktu itu saya melalui Jalan Kidurong ni. Kalau ikut Jalan Nyabau biasanya jaraknya lebih jauh lagi berbanding dengan Jalan Kidurong ni.”

“Pada awalnya tiada apa-apa yang berlaku. Sehinggalah apabila saya melintas di kawasan pejabat TM Kidurong, saya rasakan seperti ada seseorang yang mula mengekori saya. Tetapi saya tidak pasti siapa. Rasanya seseorang itu benar-benar dekat dengan saya. Mungkin juga saya tengah berkhayal juga masa tu.”

“Selepas itu pada mulanya saya tidak mengambil peduli apa yang berlaku. Sehinggalah apabila saya sampai di Kidurong Height, saya lihat pokok-pokok di tepi jalan bergerak kuat seperti ditiup oleh angin yang kencang.

Kemudian saya halakan ke tengah sedikit kereta saya. Risau-risau ada dahan pokok yang patah dan terhempas di atas kereta nanti.”

“Kemudian saya rasa nama saya dipanggil oleh seseorang. Saya tahu suara itu bukan dari dalam kereta saya. Tetapi panggilan suara itu saya dengar berasal dari pohon-pohon yang tumbuh di sekitar jalan.”

“Sedang saya asyik mencari punca bunyi tersebut, tiba-tiba saya terkejut besar. Di hadapan saya, saya lihat ada sepasang kaki yang sangat besar sedang duduk di atas dahan kayu di tengah jalan. Rasanya tidak jauh setelah saya melintasi kawasan Kidurong Club cikgu.”

“Kaki tersebut sangat besar dan berwarna hitam berkilat. Bergerak-gerak ke hadapan dan belakang. Seperti seseorang yang sedang bermain buaian. Saya tidak nampak bentuk badannya melainkan kakinya sahaja.”

“Sepasang kaki tersebut memang besar. Rasanya betisnya sahaja setinggi seorang lelaki dewasa berdiri. Saya cuba untuk memperlahankan kereta saya tetapi tidak berjaya. Saya juga dapat rasakan yang kereta saya tiba-tiba bergerak laju. Saya tidak pasti sama ada saya atau benda lain yang menekan minyak kereta.”

“Sehinggalah apabila saya melalui celah-celah kaki besar tersebut, saya mula rasa kehairanan dan merasakan yang saya sedang masuk ke sebuah alam lain. Kaki tersebut sudah hilang dari pandangan mata saya. Tetapi tiba-tiba hari bertukar cerah. Suasananya seperti awal pagi. Tetapi matahari tidak kelihatan pada waktu itu. Awan juga tidak ada. Semuanya kelihatan sangat pelik.”

“Saya menjadi hairan apabila tiba-tiba dari jauh saya melihat ramai orang keluar dari hutan di sebelah kiri dan menuju ke laut. Ada yang terbang, merangkak, melompat-lompat dan sebagainya. Ada juga yang keluar dari hutan tersebut dan duduk di tengah jalan. Jalan raya pula kelihatan sangat lengang. Cuma ada sebuah dua sahaja. Kelihatan mereka sedang memerhati dengan asyik kereta yang lalu di jalan ini dan mengganggu kereta yang lalu di sini.”

“Bentuk mereka juga pelik-pelik cikgu. Ada yang tak ada kepala, ada yang memegang kepalanya sendiri kerana kepalanya telah terputus dari badan, ada yang kepalanya tiba-tiba timbul di atas permukaan jalan raya sambil mengganggu kereta yang lalu lalang. Ada juga yang duduk bertenggek di atas dahan, yang berterbangan juga ada. Semuanya bertumpu di jalan ini.

“Sampailah suatu ketika semasa kereta saya lalu di situ. Mereka mula memandang saya. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin mereka tahu akan kehadiran saya di sana. Selepas itu saya cuba untuk memecut laju kereta saya. Agar saya boleh terlepas dari gangguan mereka ini.”

“Ketika hampir sampai di Stadium, di sebelah hutan di bahagian kiri saya lihat seperti ada sebuah perkampungan manusia. Badan mereka tinggi-tinggi dan kesemua mereka mendongakkan kepala mereka ke langit. Saya tidak tahu kenapa. Tetapi itulah yang mereka lakukan dan ia tidak kelihatan pelik bagi mereka.”

“Cuma mereka ini saya lihat seperti sangat merbahaya. Pada perkampungan mereka itu saya lihat seperti ada bentuk manusia yang menakutkan. Wajah mereka menyeramkan dengan mata mereka yang besar dan merah, dengan taring mereka yang tajam. Begitu juga dengan kuku mereka.”

“Saya perhatikan mereka sedang memakan sesuatu. Apabila saya amati ternyata mereka sedang memakan manusia. Mereka berebut-rebut untuk mendapatkan manusia yang telah mati tersebut. Kemudian mereka menarik dan mencarik-carik mayat tersebut sehingga putus menjadi beberapa bahagian. Saya tidak tahu dari mana mereka mendapatkan manusia tersebut.”

“Apabila memerhatikan keadaan seperti itu, saya mula merasakan ketakutan yang teramat sangat. Rasanya maut benar-benar bermain di mata saya. Kemudian syaitan-syaitan yang sedang merebut manusia sebagai makanan tadi mula mengalihkan pandangan ke arah saya.”

“Saya mula menjadi tidak tentu arah. Ayah Al-Quran juga seperti telah hilang dari kepala saya. Lalu saya cuba berusaha untuk mengelakkan diri dari ditangkap oleh mereka.”

“Saya cuba untuk memecut kereta saya. Stadium sudah tidak jauh dari pandangan mata saya. Di hadapan saya, saya lihat jalan rayanya mula membengkok ke arah kanan dan saya ikut arah tersebut. Tetapi dengan tidak semena-mena saya terkejut kerana sebenarnya pandangan mata saya seperti diganggu.”

“Saya mula beristighfar. Tetapi saya sudah terlewat. Ternyata laluan sebenarnya adalah ke arah kiri. Saya cuba untuk memusing stereng kereta saya secepat yang boleh agar tidak melanggar halangan di bahu jalan sebelah kanan.”

“Saya memutar stereng kereta beberapa kali agar tidak melanggar halangan tersebut. Hinggalah saya tidak melihat sebenarnya ada pokok-pokok di sebelah kiri. Kerana pandangan saya seperti ditutup. Apabila keadaan tidak terkawal saya terpaksa melanggar pokok tersebut. Betul-betul di hadapan stadium. Selepas itu saya mula tidak sedarkan diri.”

“Cuma pada ketika itu saya seperti bermimpi. Saya didatangi manusia-manusia tanpa kepala untuk membunuh saya. Mereka cuba untuk mengorek isi perut saya dengan kuku mereka yang tajam. Setelah itu mereka biarkan saya begitu sahaja. Tangan dan kaki saya bagaikan diikat dengan besi yang tajamnya seperti pisau pencukur.”

“Sehinggalah datang beberapa gerombolan manusia yang wajahnya bengis, hitam, bertaring panjang, mata mereka tersembur keluar dan penuh dengan ulat-ulat yang berbau. Merekalah yang akhirnya memakan tubuh badan saya dengan lahapnya.”

“Isi perut saya dikeluarkan dan mereka berebut-rebut untuk menikmatinya. Juga jantung, hati dan sebagainya. Saya perhatikan sendiri bagaimana mereka memperlakukan tubuh badan saya cikgu. Selepas itu badan saya dipotong menjadi dua bahagian. Tulang-tulang saya dipatahkan satu persatu. Sebab itulah saya menjerit.”

“Selepas itu saya tersedar sejenak dan melihat Hadi sedang membacakan al-Quran kepada saya. Sepertinya saya telah berada di hospital ketika itu. Itu saja yang saya ingat cikgu. Sehinggalah saya dibawa ke sini.”

 

Termenung

Saya termenung mengenangkan apa yang diceritakan oleh Huda kepada saya. Apa yang dialami oleh Huda melalui mimpinya itu benar-benar meninggalkan kesan kepada saya.

Saya terfikir mungkin inilah antara peristiwa ngeri yang dialami oleh orang yang mengalami gangguan di Jalan Kidurong berdekatan dengan Stadium ini.

Saya juga terfikir mungkin ini apa yang terpaksa dihadapi orang yang menggunakan kenderaan seperti kereta dan motosikal yang melalui jalan ini.

Apabila pandangan mata mereka diganggu, mereka akan melihat bahawa jalan yang mereka lalui itu menuju ke sebelah kanan sedangkan hakikatnya ke sebelah kiri.

Apabila keadaan sudah tidak terkawal atau mereka mula sedar, maka mereka akan cepat-cepat menukar arah ke sebelah kiri dan akhirnya melanggar pohon-pohon yang ada di sekitar situ. Sama ada ini kebetulan atau memang berpenunggu, Allahu a’lam.

Bagi saya Allah mahu menguji sejauh mana tawakal kita kepada Allah sebelum kita berniat hendak pergi ke mana-mana.

Juga ini sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita supaya kita sering memperingati kita bahawa kematian itu ada di mana-mana serta tanpa kita ketahui bila serta kematian itu adalah pasti. Firman Allah;

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.“ (Surah Al Ankabut: 57)

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran: 185)

“Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Apa yang Huda ceritakan ini benar-benar berbekas di dalam hati saya. Baiklah kalau begitu Huda. Lepas ni Huda boleh balik. Cuma kalau boleh mulai saat ini jaga solat, banyakkan membaca al-Quran serta zikir Al Ma’tsurat. Sebab itu sahaja antara bekalan dan perlindungan kita dari gangguan jin dan syaitan.”

“Terima kasih cikgu.”

“Sama-sama.”

Sebelum berangkat balik, tiba-tiba Hadi mencuit bahu saya.

“Cikgu, ada benda saya nak minta tolong.”

“Nak mintak tolong apa?”

“Kami nak mintak tolong cikgu temankan kami balik boleh tak?”

“Temankan balik? Rumah kamu kat mana?”

"Tak jauh dari rumah Huda. Di R.P.R Kidurong. Cikgu hantar sampai kat simpang Hospital Columbia Asia tu je.”

“Lepas tu saya balik sendiri ke?”

“Haah. Cikgukan berani..”

“Berani..?”

Mungkin Hadi tak tahu yang saya ini penakut. Mungkin lebih penakut lagi dari mereka. Untuk menolak permintaan mereka pula saya rasa tak sampai hati.

Sebab ini permintaan orang. Kalau mereka berani mereka tidak akan meminta pertolongan dari saya.

Jadi, biarlah saya berkorban untuk orang yang lebih memerlukan pertolongan. Nampaknya saya terpaksa menghadapi juga perjalanan yang entah saya sendiri tidak tahu apa dugaannya nanti. Cuma saya hanya ada Allah. Itulah satu-satunya kekuatan saya.

“Baiklah. Nanti saya tolong hantar balik. Tapi sampai kat simpang Hospital Columbia Asia je. Lepas tu saya kena balik cepat. Esok saya nak kerja.”

“Alhamdulillah. Terima kasih cikgu.”

“Ya. Sama-sama.”

 

Menemani Huda Pulang

Kemudian saya bersalam dulu dengan mereka. Sebab kami menggunakan kereta yang berbeza. Saya hidupkan enjin kereta sambil membaca beberapa ayat al-Quran sebagai ikhtiar perlindungan untuk diri.

Selepas itu kereta kami bergerak membelah kedinginan malam. Bangunan Martabat kami tinggalkan dan saya mula risau dengan perjalanan kami ini.

Kenapalah saya bertanya kepada Huda tadi apa yang berlaku kepadanya semasa di Jalan Kidurong tu.

Sepanjang perjalanan pergi ke R.P.R Kidurong, kami menggunakan jalan Stadium ini. Selepas melewati Masjid Assyakirin jiwa saya mula tidak tenteram. Saya membaca Surah Kursi dengan suara yang nyaring. Senyaring yang boleh.

Semasa menghampiri simpang bangunan ibu pejabat BDA di sebelah kiri saya, mata saya meliar ke kiri dan kanan. Saya berdoa kepada Allah supaya tidak ada apa-apa yang berlaku.

Cuma sepanjang jalan hingga hampir sampai ke R.P.R Kidurong, tidak ada apa-apa yang berlaku. Cuma saya rasakan seperti ada seseorang yang menemani saya dan duduk di bahagian belakang kereta.

Asalkan dia tidak menampakkan wajahnya serta menegur saya sudahlah.

Sebab kalau dia menegur saya, sama ada saya yang akan menendang dia keluar dari kereta atau dia yang menendang saya keluar. Cuma dua itu sahaja pilihan saya ketika itu.

Sepanjang perjalanan itu saya perhatikan di sebelah kanan saya. Tempat-tempat yang diceritakan oleh Huda tadi. Dan saya sempat memandang ke arah hutan yang diceritakan tadi. Gelap, berkabus dan penuh dengan misteri.

Alhamdulillah. Akhirnya kami sampai di simpang Hospital Columbia Asia. Huda, Hadi dan kawan mereka sempat mengangkat tangan kepada saya tanda terima kasih. Lalu kereta mereka membelok perlahan menuju ke simpang.

Tinggallah saya keseorangan sahaja di atas Jalan Kidurong ini. Pada mulanya saya menghentikan kereta saya di tepi jalan. Saya ada tiga pilihan jalan untuk balik ke rumah saya.

Yang pertama, di hadapan saya ada pusingan U untuk menuju ke rumah saya. Tetapi kembali melalui laluan Stadium Bintulu.

Maksudnya apa yang diceritakan oleh Huda tadi akan terbayang kembali di kepala saya. Risau juga apabila bertemu dengan sepasang kaki besar berwarna hitam yang bergoyang-goyang di atas pokok.

Yang kedua saya akan melalui jalan lurus hingga ke traffic light dan belok ke kanan untuk menggunakan Jalan Nyabau.

Teringat pula saya akan kisah perempuan tua yang mukanya hancur dan anaknya yang melintas jalan iaitu kes pesakit yang pernah kami hadapi suatu ketika dulu yang melibatkan kemalangan kereta.

Tetapi ketika itu kami sendiri tidak pasti apa yang pesakit itu langgar sehingga keretanya remuk teruk.

Dan pilihan yang ketiga adalah menggunakan jalan pesisir pantai ABF dan masuk ke simpang menuju ke Tanjung Batu.

Masalahnya nanti saya pula akan terbayang kisah Laila di Pantai ABF ini dulu serta kisah kubur ibu bapa kepada dua ekor jin yang bernama Nan dan Mah walaupun tidak melalui kolam lama.

Dan juga di Tanjung Batu pula saya akan terbayang syaitan dari tengah laut yang mukanya mengerikan dengan matanya terbujur keluar seperti mata ikan dan mulutnya juga seperti mulut ikan.

Cuma wajahnya yang hodoh dan sangat menakutkan itu masih lagi terbayang di mata saya.

Cuma tiga itu sahaja pilihan saya. Agak lama juga yang berfikir untuk mengambil keputusan. Setelah berfikir panjang, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menggunakan laluan Jalan Stadium sahaja.

Kerana menurut pandangan saya, jalan tersebut lebih dekat dari rumah dan lebih banyak kereta yang lalu lalang walaupun pada hakikat tengah malam seperti ini jarang kereta-kereta yang akan lalu. Tetapi saya telah bertekad. Apa saja saya akan serah kepada Allah.

Selepas itu kereta saya bergerak perlahan dan saya mengikuti arah pusingan U dan kembali menggunakan jalan Kidurong menuju ke Stadium dan Medan Jaya.

Semasa melalui jalan tersebut saya perhatikan pohon-pohon di tepi jalan yang tinggi dan rimbun sehinggakan cahaya lampu-lampu di jalanan menjadi suram kerana dilindungi oleh daun-daun lebat yang rantingnya yang seperti kuku memanjang hingga ke tengah jalan.

Saya cuba juga untuk perhatikan agar tidak ada kaki hitam yang besar yang bergerak-gerak. Juga ‘mereka-mereka’ yang sedang bermain di tengah jalan, yang berterbangan serta yang timbul-timbul secara tiba-tiba di permukaan jalan raya. Seperti mana yang dialami oleh Huda pada malam dia kemalangan tersebut.

Saya tidak tahu kenapa rasanya perjalanan saya rasanya sangat jauh. Penghujung jalan juga tidak kelihatan. Bagi saya asalkan sudah melepasi Stadium maka jiwa saya akan rasa tenang. Tetapi saya baru sahaja melintasi Kidurong Height.

Hinggalah apabila saya telah melalui jalan Kidurong Height, di tengah jalan raya saya melihat seperti ada sesuatu. Saya cuba perlahankan kereta yang dengan kadar yang selamat. Sekitar 40 km sejam. Saya tidak pasti apa yang ada di hadapan saya.

Semakin lama jarak saya dengan benda tersebut semakin dekat. Saya sempat menggosok mata saya beberapa kali dan berharap apa yang ada di hadapan saya itu, apa juga bentuk dan niatnya, saya harap itu cuma khayalan saya sahaja.

Sebab itulah untuk keselamatan saya sendiri saya perlahankan kereta saya. Setelah lebih kurang 50 meter dari benda tersebut, ketakutan mula menguasai diri saya. Saya mula membaca apa saja ayat al Quran yang terlintas di kepala saya.

 

Diganggu Perempuan Tanpa Kepala

Apa yang saya lihat adalah sekujur tubuh badan manusia yang berpakaian putih tetapi bajunya penuh dengan darah-darah segar.

Kepalanya terputus dari badan dan darah-darah juga keluar dari lehernya. Kepalanya pula berada di sampingnya.

Saya tidak pasti dengan jelas sama ada lembaga itu lelaki atau perempuan tetapi sepertinya lembaga tersebut berbentuk mayat seorang perempuan.

Cuma tubuh badan dan kepalanya itu membelakangi saya dalam keadaan terbaring.

Oleh kerana jaraknya sudah terlalu dekat, saya tiada pilihan lain melainkan terpaksa melanggar tubuh mayat tanpa kepala tersebut.

Kalau mayat tersebut adalah manusia yang betul maka selepas itu saya akan membuat laporan polis di balai polis One Stop Centre di Medan Jaya.

Tetapi kalau jelmaan jin maka saya akan balik ke rumah terus. Tak perlu untuk membuat laporan polis. Nanti kepala saya akan diketuk dengan cota oleh abang polis yang bertugas.

Apabila saya berada beberapa meter dari arah lembaga tersebut, saya sempat membaca zikir;

“Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah.” (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepadaNya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolonganNya),

Dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,

“Jika seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca (zikir): Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah.”

(Dengan nama Allah, aku berserah diri kepadaNya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolonganNya)

Maka malaikat akan berkata kepadanya: “(Sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)”, sehingga syaitan-syaitan pun tidak dapat mendekatinya dan syaitan yang lain berkata kepada temannya:

Bagaimana (mungkin) kamu dapat (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)?”

[HR Abu Dawud (no. 5095), At Tirmidzi (no. 3426) dan Ibnu Hibban (no. 822), dinyatakan shahih oleh imam At Tirmidzi, Ibnu Hibban dan syaikh Al Albani]

Lalu saya menyebut nama Allah berulang-ulang kali.

Tetapi yang peliknya apabila saya melanggar lembaga tersebut, tidak ada kesan-kesan pelanggaran dan sebagainya. Saya seperti melanggar angin sahaja.

Tidak seperti ketika saya melanggar anak anjing ketika di dalam perjalanan ke SK Kampung Jepak pada tahun lepas.

Selepas melintas SMK Kemena dan tidak jauh dari ‘roundabout’ Kampung Jepak. Habis pecah dan retak ‘bumper kereta saya. Sehingga sekarang belum saya baiki. Saya cuma ikat dengan dawai sahaja.

Selepas itu saya sempat memberhentikan kereta saya dan memandang ke arah belakang. Saya perhatikan lembaga tersebut seperti melambai-lambai ke arah saya sedangkan kepalanya tiba-tiba menegak di atas jalan rasa sambil tersenyum memandang ke hadapan.

Saya tidak tahu sama ada benar atau tidak apa yang saya alami. Percaya atau tidak sila cuba sendiri. Semoga rezeki sentiasa bersama anda sehingga anda dapat berjumpa dengan lembaga tersebut suatu hari nanti.

Sesampainya di rumah saya masih terbayang akan sosok tubuh perempuan tanpa kepala tersebut. Ternyata bukan saya seorang yang pernah melihatnya. Ada juga dua tiga orang yang diganggu dengan cara yang sama.

Sebelum masuk ke dalam rumah saya duduk di luar sekitar lima minit sambil membaca Surah Kursi secara berulang-ulang. Agar tidak ada syaitan-syaitan yang berkeliaran menumpang masuk ke rumah kami dan mengganggu anak-anak saya pula.

Selepas itu barulah saya mandi dan solat sunat dua rakaat serta memohon perlindungan kepada Allah untuk saya dan keluarga.

Pengalaman dari kisah ini mungkin tidak seseram pengalaman-pengalaman saya yang lain. Tetapi misterinya tetapi segar hingga kini.

Ianya bukan sekadar sejarah buat saya tetapi juga sebagai peringatan bahawa syaitan itu sentiasa memerhatikan kita dari arah yang tidak tidak nampak dan sentiasa memerhatikan tingkah laku kita.

Mungkin saja sekarang mereka sedang duduk di sebelah kita sambil tersenyum memandang ke arah wajah kita.

Kung Pow takut sedikit

Sentuhan kenangan buat sahabat yang jauh..

Salam istimewa dan salam terindah dari saya buat sahabat baik saya di SMK Bintulu suatu ketika dahulu iaitu Arwah Abu Bakar bin Yahya.

Kita dulu dikenali dengan nama ‘Geng Manok’ kerana kita sahaja student SMK Bintulu pada tahun 1989 membawa anak ayam hidup masuk ke dalam kelas untuk dijual sehingga dimarah oleh cikgu.

Juga sama-sama berebut menanam jagung ‘Ligo’ semasa subjek Sains Pertanian. Juga berebut membeli makanan dari mak Meor dan menjerit dan melalak di surau sekolah setelah kekenyangan memakan nasi lemak sehingga dihukum oleh Ustaz Duniya.

Banyak pengalaman indah kita bersama dulu dengan sahabat-sahabat lain. Kamarudjaman, Zaifulizam, Zaidi, Norizan, Roslan, Yunus dan kawan-kawan lain. Insyaallah kami juga akan menyusul kemudian.

Kerana setakat ini bukan kamu keseorangan. Teman-teman kita yang lain juga telah awal menyusul sebelum kamu. Arwah Normaziah dan Arwah Awangku Kuswadi. Mereka juga menanti kamu.

Kami juga akan menyusul nanti. Cuma dengan sisa-sisa umur kami ini boleh juga untuk kami mendoakan rahmat dan kesejahteraan diri kami serta keluarga kami dan juga untuk kamu di sana Abu.

Mintak maaf Abu, aku tidak kuat untuk menghadiri majlis pengebumian kamu. Aku tidak kuat. Tetapi aku selalu ada bersama kamu pada ketika itu.

Linangan air mata aku Insya-Allah suatu hari nanti akan menjadi saksi bahawa kasih sayang dan persahabatan kita ini adalah kerana Allah.

Dan kerana kamu jugalah yang telah menjadikan aku lebih menghargai kehidupan. Terima kasih Abu. Terima kasih sahabat. Terima kasih atas 30 tahun yang sangat membahagiakan.

1989-2019

“Ya Allah ampunilah sahabatku Abu Bakar bin Yahya, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan ampunilah dosa dan kesalahannya, hormatilah kedatangannya dan luaskanlah tempat tinggalnya, bersihkanlah dia dengan air salji dan embun.

Bersihkanlah dia daripada segala dosa sebagaimana kain putih yang bersih daripada segala kotoran dan gantikanlah baginya rumah yang lebih baik daripada rumah yang dahulu dan gantikanlah baginya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya yang dahulu dan peliharalah (hindarkanlah) dia daripada seksa kubur, dan azab api neraka.”

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami