BAHAGIAN AKHIR

“Bismillah wal hamdulillah. Dengan nama Allah dan segala puji bagi Allah. Kamu siapa dan siapa nama kamu.”

“Aku tiada nama dan Keling tidak pernah memberi nama kepadaku dan akulah menjaga ketiga-tiga tajau ini. Ini amanah Keling untuk meminta aku menjaga Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda.”

“Kamu pula siapa? Dan kenapa mengganggu aku?”

“Aku Cikgu Malik. Aki meminta bantuan kami untuk memusnahkan perjanjian kamu dengan keturunan mereka.”

“Bodoh. Selepas ratusan tahun aku menjaga mereka adakah ini balasannya. Keturunan yang tidak pandai mengenang budi.”

“Mereka tidak bodoh seperti kamu. Mereka pandai. Ramai anak-anak mereka sudah bersekolah dan bekerja serta memberikan kesenangan kepada keluarga mereka.”

“Apa yang kau mahu dariku?”

“Begini. Kau cuma ada dua pilihan saja. Keluar dari badan perempuan ini selamanya dan putuskan perjanjian dengan keluarga ini..”

“Kalau tidak..?”

“Kalau tidak dengan izin Allah kamu akan mati. Itu sahaja.”

“Kalau begitu aku memilih untuk mati. Tapi sebelum aku mati aku tidak akan melepaskan perempuan ini dan perjanjian keluarga ini bersamaku.”

“Baiklah kalau begitu. Aku akan bacakan al-Quran padamu.”“Apa al-Quran itu?”

“Al-Quran ini adalah petunjuk kepada umat Islam. Ianya berbentuk nasihat, peringatan dan amaran kepada kami.”

“Hahaha..Adakah itu senjata kalian? Apakah aku ini tuli dan buta sehingga perlu untuk dipujuk rayu dengan nasihat, peringatan dan amaran ini. Hahaha..Sedangkan keturunan Manang dan keturunan lelaki ini bisa aku tumpaskan dengan pujuk rayu aku. Inikan pula kamu Orang Laut.”

“Ya ma’syaral jin (Wahai golongan jin). Sekali lagi aku meminta kepadamu. Dengan cara yang baik. Sebelum Allah menurunkan azabnya kepadamu. Keluarlah engkau dari badan perempuan ini.”

“Tidak. Tidak sekali-kali dan tidak semudah itu. Selagi aku hidup aku tetap akan musnahkan keluarga ini. Paling tidak pun cukuplah dengan memporak-perandakan keluarga mereka. Kerana keluarga ini berhak untuk merasai kesakitan dan mala petaka. Sedangkan aku tidak akan pernah mati.”

Saya kemudian mengingati syaitan tersebut dengan ayat al-Quran;

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (Al Ankabut: 57)

“Bagaimana boleh kamu katakan yang kamu tidak akan mati? Sedangkan kematian ini adalah pada bila-bila masa sahaja.”

“Mati? Hahaha..Merasa sakitpun aku tidak pernah. Apatah lagi berjumpa dengan kematian. Mana kematian itu dan tunjukkan aku kepadanya..Hahaha..”

“Ya. Sekarang cubalah kamu untuk merasa sedikit kesakitan. Kamu dengar ayat ini.”

Saya kemudiannya mula membacakan ayat tentang azab dari al-Quran.

“(Dikatakan kepada mereka semasa ditimpakan dengan azab): Pergilah kepada azab yang dahulu kamu mendustakannya. Pergilah kamu kepada naungan (asap Neraka) yang bercabang tiga. Yang tidak dapat dijadikan naungan dan tidak dapat memberikan sebarang lindungan dari julangan api neraka. Sesungguhnya Neraka itu melemparkan bunga api, (yang besarnya) seperti bangunan besar, (Banyaknya dan warnanya) bunga api itu seolah-olah rombongan unta kuning. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (keadaan yang demikian). Inilah hari mereka tidak dapat berkata-kata, (kerana masing-masing terpinga-pinga ketakutan), Dan tidak pula diizinkan mereka bercakap, maka mereka tidak dapat meminta maaf. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (hari akhirat)! Inilah hari pemutusan hukum (yang menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah). Kami himpunkan kamu bersama orang-orang yang terdahulu (dari kamu). Oleh itu, kalau kamu ada sebarang tipu-helah melepaskan diri, maka cubalah kamu lakukan terhadap azabKu. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah)!” (Al Mursalat: 29 - 40)

“Aduh. Celakalah aku. Ayat apakah itu? Aku tidak pernah merasakan kesakitan. Apa yang kamu baca? Apa yang kau lakukan kepada aku. Kenapa aku merasai bahang kepanasan yang tidak terhingga. Berhentilah kamu dari membacanya. Kalau tidak seluruh penghuni rumah panjang ini akan ku bunuh dengan tanganku sendiri.”

“Sekarang kamu sudah terperangkap. Sudah aku peringatkan kamu sebelum ini untuk keluar.”

“Tidak. Aku tidak akan keluar.”

“Baiklah kalau begitu kerana itu permintaan kamu.”

Lalu saya membacakan lagi sebuah ayat yang berkaitan dengan siksaan api neraka.

“Sesungguhnya Neraka Jahanam adalah disediakan; Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman; Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir, Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk). Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal, Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayat-ayat keterangan Kami; Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis. (Setelah mereka masuk ke dalam Neraka, dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu.” (An Naba’: 21 - 30)

Anak Aki mula menjerit. Dia menghentak-hentakkan kakinya ke lantai sambil menutup telinganya. Syaitan di dalam badannya mula kepanasan. Tetapi syaitan itu tetap juga untuk bertahan.

“Hentikan bacaan kamu. Hentikan. Aku sudah tidak tahan. Kenapa lakukan aku seperti ini? Aku tidak mengganggu kamu. Lepaskan aku dan aku akan mengamuk di sana. Di rumah panjang mereka. Lepaskan aku bodoh.”

“Tidak semudah itu untuk kami lepaskan kamu. Kerana urusan siksaan, kesakitan dan kematian kamu itu adalah urusan Allah. Sedangkan kamu cuma memohon kepada Allah untuk menundukkan makhluk yang lemah seperti kamu. Keluarlah dan jangan sesekali kembali mengganggu keluarga dan penghuni di sana.”

“Tidak..Tidak..Aku tetap akan menghancurkan mereka. Lepaskan Aku.”

“Bukan aku yang menahan kamu. Tetapi semua ini adalah dengan izin Allah. Keluarlah kamu.”

“Tidak. Aku tidak mahu.”

“Baiklah kalau begitu. aku akan teruskan bacaan aku. Kita lihat sejauh mana kamu boleh bertahan.”

Saya kemudian membaca sebuah lagi ayat al-Quran.

“(Makanan surga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum. Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai siksaan bagi orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia adalah sebatang pohon yang ke luar dan dasar neraka yang menyala. mayangnya seperti kepala setan. Maka Sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu, Maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. kemudian sesudah Makan buah pohon zaqqum itu pasti merekamendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas. Kemudian Sesungguhnya tempat kembali mereka benar-benar ke neraka Jahim. (As Shaffat: 62–68)

“Panas..Panas..Hentikan bacaan kamu badan aku mula mencair. Hentikan bacaan kamu. Kepala kau seakan menggelegak kepanasan. Aku merayu kepadamu. Aku berjanji aku akan keluar. Percayalah. Dan aku tidak kan mengganggu mereka lagi.”

“Baiklah. Aku akan hentikan bacaan al-Quran aku buat sementara waktu. Sekiranya kau berbohong, nescaya kau berhadapan dengan Allah sendiri dan bukannya aku. Dan aku berlepas dari segala tipu daya kamu.”

“Percayalah padaku. Aku sudah tidak tahan. Bagaimana untuk aku menentang semuanya pada ketika badan aku sudah hancur seperti ini? Aku sudah tidak tahan. Aku sudah tidak larat lagi. Ternyata inilah yang dinamakan kesakitan. Aku tidak percaya yang aku telah kalah. Lepaskanlah aku. Aku merayu kepadamu.”

“Tidak semudah itu untuk kami lepaskan kamu syaitan. Kerana urusan kita belum selesai lagi.”

“Baiklah. Apa yang perlu aku buktikan lagi supaya kamu mempercayai aku?”

“Kenapa kamu mengganggu perempuan ini? Apa urusan kamu dengannya?”

“Tiada apa-apa. Aku cuma mahu mempermainkan keluarga mereka. Begitu juga dengan penduduk kampung sebelum ini. Baru-baru ini tiga orang sudah mati di tangan aku. Aku pecah-pecahkan setiap urat di dalam tubuh badan mereka sehinggakan badan mereka tidak akan berfungsi lagi selamanya. Sebab itulah darah segar keluar dari tubuh badan mereka. Itu belum lagi keturunan mereka yang dahulu. Perempuan ini sebenarnya mangsa aku yang seterusnya. Setiap kali akan kematian mereka aku suka melihatnya. Ianya seperti hanya sebuah permainan kepada aku.”

“Hanya sebuah mainan katamu? Kamu tahu tidak betapa sedihnya keluarga yang kau permainkan nyawa orang yang mereka sayang? Walaupun aku tahu nyawa manusia di tangan Allah tetapi kau rentap jiwa mereka dengan cara begini. Demi kepuasan hati kamu sahaja. Sedangkan setiap keluarga yang kehilangan nyawanya di tangan kamu akan sentiasa meratap hiba.”

“Dulu aku punyai seorang anak. Suatu ketika aku terbang di udara, sedangkan anak aku tidur di dalam batang buluh di tepi sungai. Aku melihat datuk kepada moyang perempuan ini (ayah kepada moyang Aki) sedang menebang buluh tersebut. Aku tidak sempat untuk turun untuk menyelamatkan anak aku yang sedang tidur. Selepas itu di hadapan mataku sendiri aku lihat bagaimana datuk kepada moyang perempuan ini melibaskan parangnya lalu membunuh anak aku. Aku menjadi sedih.”

“Selepas itu aku bertekat untuk membalas dendam. Siapa sahaja dari keturunan rumah panjang tersebut akan aku bunuh satu-persatu. Tapi lama kelamaan aku menjadi seronok untuk mempermain dan membunuh manusia. Sebab itulah kematian keturunan Manang dan keturunan perempuan ini adalah perancangan licik dariku. Sebab itulah aku menawarkan diri kepada Keling untuk menjadi penjaga keturunan mereka. Supaya aku boleh membunuh mereka tanpa mereka sedar.”

“Kau tahukan bahawa manusia tidak melihat engkau? Tetapi kenapa engkau cuai sebegitu rupa. Bawalah anakmu ke tempat yang selamat sepatutnya. Sekarang, kerana kerakusan dan kebodohan engkau sendirilah yang menyebabkan anak kamu mati dan keadaan menjadi sebegini rupa.”

“Aku akui kesalahan aku. Aku sangat menyesal atas apa yang terjadi. Sekarang aku sudah lemah. Aku tidak dapat untuk bergerak waima selangkahpun. Kalau sekarang kau bunuh aku sekalipun aku rela kerana aku sudah tiada jalan lagi.”

“Aku tidak sejahat itu. Semua ini adalah kehendak Allah dan disebabkan kekerasan kepalamu sendiri.”

“Aku faham. Aku akan keluar dan aku berjanji aku akan memutuskan ikatan perjanjian ini. Aku akan ajarkan kepadamu bagaimana.”

“Tidak perlu. Aku sendiri akan memutuskan perjanjian ini. Selepas itu tiada apa lagi yang tinggal dan kau berhak untuk pergi ke mana-mana tempat yang kau suka. Tetapi kalau sekali lagi kamu mengganggu manusia, siapa pun dia, maka kamu akan mengundang kematianmu sendiri.”

“Baiklah. Aku faham.”

“Apabila ketiga-tiga tajau tersebut sudah sampai nanti, kami akan pecahkan ketiga-tiganya dan merendamkannya ke dalam air yang kami bacakan al-Quran. Iaitu ayat-ayat yang menyiksa kamu tadi. Selepas itu kami akan buang tajau tersebut di dalam sungai yang mengalir deras airnya. Maka ketika itulah perjanjian, sumpah setia dan ketaatan yang telah termeterai dulu akan terputus buat selama-lamanya. Hingga tiada lagi dari keturunanmu yang menuntut nyawa siapa-siapa.”

“Ya. Itulah kata persetujuannya. Selepas ini tiada lagi apa-apa hubungan di antara aku dengan keluarga penduduk rumah panjang ini. Selepas ini kami akan mengambil jalan masing-masing. Orang Laut, tolong sampaikan salam kemaafan aku kepada keluarga perempuan ini serta semua penduduk rumah panjang mereka. Aku telah menyesal atas segala yang pernah aku lakukan. Aku sangat-sangat menyesal. Semoga akan ada kemaafan untuk aku Orang Laut.”

“Insya-Allah mereka akan maafkan kamu. Asalkan kamu jangan kembali mengganggu mereka waima menjenguk sahaja sekalipun. Peganglah pada janji kamu kerana sekali lagi kamu menyakiti keluarga dan keturunan mereka, maka Allah akan mematikan kamu dalam keadaan yang paling terhina. Selepas ini kau pergilah. Pergilah sejauh yang mungkin. Agar tiada lagi ingatan kamu terhadap mereka.”

Jin perempuan itu kemudiannya menangis semahu-mahunya. Mungkin terbit penyesalan di lubuk sanubarinya atas apa yang pernah ia lakukan sebelum ini. Suasana di bilik rawatan kami bertukar hiba. Saya sendiri tidak tahu kenapa.

Agak lama juga kami mendiamkan diri. Saya masih memberi sedikit peluang kepada jin perempuan ini untuk menyesali segala perbuatannya dan menyesali segalanya sebelum ia keluar dari badan anak Aki selama-lamanya.”

“Kamu keluarlah sekarang.”

“Ya. Aku akan keluar. Tetapi aku ada satu permintaan terakhir. Aku harap kau boleh tunaikan permintaan aku.”

“Kalau permintaan itu untuk kebaikan aku terima. Kalau untuk keburukan aku tetap akan menolak. Apa permintaan kamu?”

Hidayah Yang Datang

“Begini Orang Laut. Aku telah hidup beratus tahun, aku berasal dari Tanah Kapuas. Ketika itu keturunan mereka ini belum wujud lagi. Selama ratusan tahun inilah aku tidak pernah merasakan apa itu kesakitan. Sepanjang hidup aku, beratus orang telah aku sesatkan, bahkan lebih dari itu. Aku bunuh, aku rasuki diri mereka, aku mengganggu keturunan serta cucu cicit mereka dan aku berjaya membuat sebahagiannya menjadi gila. Semuanya untuk kepuasan hati aku. Apa lagi setelah kematian anakku yang satu-satunya itu. Aku permainkan manusia.”

“Semua ini membuatkan aku merasa hebat dan kuat. Tetapi aku tidak tahu bagaimana hari ini aku boleh kalah. Aku telah kecundang di tangan kamu. Untuk kali pertama aku merasa sakit. Bahkan lebih dari itu. Hingga badan aku mencair secara perlahan-lahan. Aku seperti dibakar tetapi bahang yang membakar aku itu aku tidak tahu puncanya dari mana. Aku tidak tahu kenapa aku boleh kalah dengan bacaan kamu sahaja. Sedangkan kamu cuma duduk sambil membaca sesuatu yang aku sendiri tidak faham maknanya. Apa yang kau baca itu? Ternyata kamu seorang yang hebat. Ceritakan pada aku. Aku ingin mengetahuinya Orang Laut.”

“Begini. Pertama sekali aku bukan hebat seperti yang kau katakan itu. Na’udzubillah..Aku hamba Allah. Sama seperti kamu. Ketika Aki meminta pertolongan kepadaku, aku bersetuju. Aku bukannya mempunyai kebolehan dan kekuatan tetapi Allah membantu aku untuk menundukkan makhluk yang zalim kepada makhluk yang lain. Aku cuma memohon pertolongan kepada Allah dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Kerana Allah itu adalah Tuhan aku dan tuhan kamu.”

“Apa yang kau baca tadi? Ketika kamu membacanya itulah kali pertama aku mendengarnya. Bagaimana mungkin ayat yang aku tidak fahami ini boleh mengalahkan aku dan juga kesombongan aku. Aku akuinya.”

“Untuk pengetahuan engkau itulah yang dinamakan ayat al-Quran. Kalam atau pertuturan Allah yang bersifat mukjizat. Yang disampaikan kepada Nabi Muhammad dengan perantaraan Malaikat Jibril yang mana membacanya akan bernilai ibadah. Itu pengertian mudah untuk kau fahami.”

“Apakah ayat al-Quran ini tadi kau jadikannya sebagai senjata untuk menyakiti dan mengalahkan aku?”

“Aku tidak berniat untuk mengalahkan kamu. Aku cuma tidak mahu kamu menzalimi orang lain yang tidak berdosa.”

“Lalu kenapa aku merasa sakit yang tidak terperi bisanya ketika kamu membacanya tadi? Sehinggakan aku mencair perlahan-lahan. Sungguh siksa rasanya.”

“Begini. Ketika aku membaca al-Quran, aku cuma niatkan agar bacaan al-Quran aku itu bernilai ibadah. Aku juga meminta pertolongan kepada Allah agar aku dan anak Aki dijauhkan dari kejahatan makhluk seperti kamu. Selepas itu aku serah segalanya kepada Allah untuk mengadili kamu. Kemudian Allah sendiri menyiksa kamu dari arah yang kamu tidak sangka-sangka. Bagaimana Allah menyiksa kamu itu bukan urusan aku. Aku juga tidak tahu bagaimana.”

“Apakah ini siksaan yang perlu Aku tanggung kalau terus menyiksa manusia?”

“Ya. Malah lebih teruk dari itu. Bahkan kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.”

“Apa itu neraka Orang Laut? Ceritakan kepadaku.”

“Neraka itu Allah ciptakan untuk makhluk durjana seperti engkau. Di situlah engkau akan di tempatkan nanti. Neraka ini sangat panas. Malah 70 kali panas dari api yang membakar dirimu tadi. Kamu akan ditempatkan di sama selamanya.” Nabi kami iaitu Nabi Muhammad ada menjelaskan;

“Api yang dinyalakan oleh Ibnu Adam adalah satu bagian dari tujuh puluh bagian dari panasnya api Jahannam.” (HR. Bukhari no. 3265, Muslim no. 2834).

“Apabila engkau dilemparkan ke dalamnya maka engkau seolah-olah tidak pernah merasakan apa itu kebahagiaan. Tubuh akan hancur berkecai. Kemudian tubuhmu kembali bersatu lalu hancur berkecai lagi. Di dalam neraka itu juga ada malaikat yang akan menyiksa kamu tanpa henti. Dia juga tidak pernah berehat sedikit pun.”

Kemudian saya bacakan beberapa ayat al-Quran;

“Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri dan keluarga kalian dari siksa neraka. Neraka itu bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kekar lagi kasar. Para malaikat tidak pernah menyalahi Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka. Mereka yang senantiasa mengerjakan apa yang diperintahNya” (At Tahrim: 6)

“Akan Aku lemparkan orang kafir itu ke dalam neraka Saqar. Tahukah kamu apakah neraka Saqar itu? Engkau tidak akan bertahan hidup di neraka Saqor, dan penghuninya tidak akan dibiarkan lepas tanpa siksa. Neraka Saqor menjadikan kulit penghuninya berganti baru, setiap kali hangus terbakar. Neraka Saqor dijaga oleh sembilan belas malaikat.” (Al Muddatsir: 26-30).

“Sudah..Sudah..Cukup..Cukup. Aku tidak mahu mendengarnya lagi. Terasa badan aku semakin lemah. Mendengarnya saja aku sudah hampir mati. Aku tidak tau apa yang membayangi pada pandangan mata aku tadi. Sepertinya tempat itu sangat-sangat gelap, menakutkan dan tiada jalan untuk keluar.”

“Sesungguhnya itulah tempat yang akan kau diami nanti. Kerana di situlah tempat pegistirehatan kamu selamanya. Ingat. Itu baru bayangan saja dan belum lagi betul-betul neraka. Neraka neraka ini tidak dapat digambarkan dengan akal fikiran.”

“Tidak. Aku tidak mahu. Itu bukan tempat aku. Tolonglah aku Orang Laut. Tolonglah aku.”

“Aku tidak dapat menolong kamu kerana kamu bukan Islam. Jadi nerakalah tempat kamu tinggal selamanya.”

“Kalau di sini bukan tempat kamu jadi kamu tinggal di mana Orang Laut?”

“Kami umat Islam Allah tempatkan di sebuah tempat yang bernama syurga. Sekiranya engkau memasukinya maka engkau seolah-olah tidak pernah merasa kesusahan, ketakutan dan keresahan. Memang ada umat Islam yang akan dimasukkan ke dalam neraka nanti. Mereka akan disiksa berdasarkan dosa yang mereka lakukan. Sehinggalah pada satu tahap apabila Allah mengampuni mereka, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Mahu tidak kalau kamu melihat suatu tempat yang indah?”

“Ya. Aku mahu.”

Kemudian saya membacakan beberapa ayat al-Quran dan hadis;

“Dalam surga itu mereka dihiasi dengan gelang mas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat istirahat yang indah.”(Al Kahfi: 31)

Di dalam salah satu hadits qudsi, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Allah berfirman: Aku telah menyediakan untuk hamba-hamba Ku yang shaleh (kenikmatan surga) yang mana belum pernah sama sekali terlihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan terlintas dalam hati (benak) manusia.” (HR. Muslim)

“Aku mahu. Aku mahu tinggal di situ. Apakah aku boleh untuk memasukinya suatu hari nanti Orang Laut?”

“Tidak. Tidak boleh. Di situ bukan tempat kamu. Tempat makhluk seperti kamu adalah di neraka. Sedangkan syurga ini adalah tempat kami umat Islam.”

“Kalau begitu ajarkan aku tentang Islam dan bagaimanakah caranya agar aku boleh masuk ke dalam syurga. Aku ingin menjadi seorang Islam.”

“Aku boleh mengajarmu tentang Islam. Islam ini adalah agama ‘Rahmatan Lil ‘Alamin. Agama rahmat untuk sekelian alam. Aku akan mengajar kamu bersyahadah. Syahadah ini adalah pintu masuk ke dalam Islam. Selepas kamu masuk ke dalam Islam, maka kamu akan terikat dengan peraturan dan undang-undang Islam. Kemudian kamu pindahlah di masjid atau di surau. Kerana di situ adalah tempat tinggal kamu. Ramai jin-jin Islam yang akan membantu membimbing kamu di sana nanti.”

“Baiklah. Ajarkan aku untuk mengucap sekarang. Selepas itu kau sendiri akan melihat bagaimana ikhlasnya aku untuk menjadi seorang Islam.”

“Kalau begitu angkat tangan kanan kamu dan ikut aku bersyahadah. ‘Asy hadu an laa ilaaha ilallah, wa asy hadu anna Muhammadar Rasulullah’. Maksudnya aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.”

Selepas itu jin perempuan tersebut mengikuti bacaan syahadah saya. Saya memimpinnya untuk membaca syahadah ini berulang kali sehinggalah saya merasa puas hati. Selepas itu saya terangkan kepadanya secara ringkas.

“Apa yang kamu lafaz tadi adalah kalimah tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya kamu mengaku dengan lidah dan membenarkan dengan hati bahawa yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya hanyalah Allah Yang Esa. Kemudian lafaz Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah adalah kamu mengaku dengan lidah dan tunduk patuh dengan hati bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah yang diutus oleh Allah untuk mengeluarkan manusia dan jin dari kegelapan kepada cahaya iaitu dari kejahilan kepada mengetahui dan dari kekafiran kepada Islam.”

“Ya. Aku faham. Sekarang aku sudah mula merasa tenang. Tubuhku sudah kembali seperti biasa. Bahkan lebih cantik dari sebelumnya. Terima kasih Ya Allah. Aku tidak pernah merasa nikmat seperti sekarang. Sebelum ini hidup aku penuh dengan dendam dan kebencian. Sekarang tidak lagi. Sekarang aku merasa sangat dekat dengan Allah walaupun aku belum lagi mengenali Allah dengan lebih jauh. Terima kasih Orang Laut.”

“Orang Laut, jika sebelum ini di tangan aku penuh dengan dosa dan darah-darah manusia, adalah Allah akan memaafkan segala dosa dan kesalahan aku?”

“Walaupun dosa kamu setinggi langit dan seluas mata memandang, apabila kamu masuk ke dalam Islam maka kesemua dosa kamu yang terdahulu akan Allah ampunkan.”

“Benarkah begitu Orang Laut?”

“Ya. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil kepada hambanya.”

Jin di dalam tubuh badan anak Aki tiba-tiba diam. Selepas itu dia menangis semahu-mahunya. Saya, Aki serta anak-anak buah Aki yang lain terdiam sahaja.

Kami memberikan masa kepada jin di dalam badan Aki untuk melepaskan apa yang bersarang di hatinya selama ini.

“Inilah yang aku cari selama ini. Rasa ketenangan dan kegembiraan. Aku tidak pernah merasakan ini semua. Terima kasih Orang Laut. Semoga Allah membalas segala kebaikan kamu.”

“Amin. Terima kasih. Satu lagi. Mahukah kamu aku berikan nama yang baru? Supaya mudah untuk aku memanggil namamu.”

“Terserah kamu. Aku mengikuti sahaja.”

“Baiklah, mulai sekarang nama kamu adalah Siti Khadijah.”

“Siti Khadijah. Nama apa itu?”

“Siti Khadijah ini adalah nama kepada isteri Nabi kita iaitu Nabi Muhammad. Semoga engkau akan mewarisi sifatnya. Seorang yang penyayang, pengasih dan sangat bertanggungjawab.”

Lembaran Hidupan Yang Baru

“Terima kasih atas nama yang indah ini Orang Laut. Selama beratus tahun aku hidup aku tidak pernah mempunyai sebarang nama. Inilah kali pertama aku memiliki nama. Orang Laut, siapa pula namamu?”

“Nama aku Malik. Panggil saja aku Orang Laut kalau lafaz itu yang kamu selesa.”

“Baiklah Orang Laut. Selepas ini aku mahu ke mana?”

“Kamu pergilah di surau sebelah bangunan ini. Namanya Surau At Taqwa. Belajarlah dan tinggallah di sana. Jadilah Muslimah yang baik ya. Semoga Allah sentiasa merahmati dan membimbing kamu ke jalan yang benar.”

(Ketika itu Masjid At Taqwa belum menjadi masjid lagi)

“Bolehkah suatu hari nanti aku ingin berjumpa dengan kamu?”

“Tidak perlu sebab kita tiada apa-apa kepentingan untuk berjumpa. Selepas ini kita tiada apa-apa urusan lagi. Kamu dengan dunia kamu dan kami dengan dunia kami. Selepas ini jangan campuri lagi kehidupan manusia.”

“Baiklah. Aku berjanji. Sampaikan salam kemaafan aku kepada perempuan ini. Aku terlalu banyak dosa kepadanya. Semoga dia memaafkan kesalahan aku. Aku keluar sekarang Orang Laut.”

“Ya. Keluarlah dari mana-mana arah kamu masuk. Kemudian ucapkan lafaz Assalamualaikum yang bermaksud ‘Semoga keselamatan dan rahmat Allah serta keberkahanNya terlimpah kepada kalian’. Nanti aku akan jawab dengan lafaz Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh. Maksudnya ‘Dan semoga keselamatan dan rahmat Allah serta keberkahanNya terlimpah juga kepada kalian.”

“Baiklah. Terima kasih Orang Laut. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.”

Selepas itu anak Aki tiba-tiba terbaring. Matanya tertutup dan bola matanya bergerak-gerak. Saya perhatikan peluh dingin keluar di dahinya. Aki masih memandang anaknya dengan perasaan risau. Masakan tidak. Anaknya belum sedar-sedar lagi.

“Aki, percayalah. Sekejap lagi anak Aki akan sedar. Kalau Allah izinkan dia akan sembuh.”

Aki pun mengharapkan begitu juga nak.”

Selepas itu saya bacakan Surah Al-Fatihah lalu meniup pada wajahnya. Tiba-tiba anak Aki terbangun lalu duduk dan terbersin tepat ke wajah saya dan kemudiannya anak Aki memandang wajah ayahnya.

“Ayah, kita di mana? Kenapa ayah membawa saya ke sini?”

“Kamu sakit nak. Sebab itu ayah membawa kamu untuk berubat di sini. Sekarang bagaimana keadaan kamu.”

“Rasanya saya sudah sihat seperti biasa ayah. Sebelum ini saya selalu dibayangi oleh kabus berwarna hitam. Mendatangi saya dari pelbagai arah. Akhirnya saya seperti kelemasan dan selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku ayah. Sedar-sedar sahaja saya sudah ada di sini.”

Selepas itu saya bertanya kepada anak Aki.

“Bagaimana keadaan kamu sekarang. Badan kamu terasa semakin berat atau ringan.”

“Ringan.”

“Pandangan mata kamu semakin terang atau berat?”

“Semakin terang.”

“Dada kamu terasa sempit atau lapang?”

“Semakin lapang. Tidak seperti sebelum ini.”

“Soalan terakhir saya. Adakah kamu seperti terlepas dari sesuatu bebanan?”

“Ya betul.”

“Alhamdulillah kalau macam tu. Insya-Allah gangguan pada anak tuai sudah tiada lagi. Cuma tinggal untuk kita musnahkan tajau sahaja lagi. Aki mintalah pada anak Aki supaya berehat dahulu. Sementara kita musnahkan tajau-tajau itu nanti.”

“Baiklah nak.”

Selepas itu Aki memimpin anaknya untuk berundur sedikit ke belakang. Agar mudah untuknya bersandar ke dinding. Wajah anak Aki sudah mula kemerah-merahan. Tidak seperti mula-mula tadi. Agak pucat.

Tidak lama kemudian beberapa orang anak buah Aki telah sampai. Mereka membawa ketiga-tiga Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda di hadapan pintu masuk pusat rawatan kami.

Saya meminta mereka untuk meletakkannya ke tepi bahagian luar pusat rawatan kami. Kemudian saya meminta kawan saya untuk membawa air yang telah kami bacakan ayat-ayat ruqyah sebelumnya.

Selepas itu kami sediakan baldi yang agak besar dan lebar supaya boleh kami meletakkan tajau itu satu persatu di dalamnya sebelum dimusnahkan.

Kemudian saya mendekati ketiga-tiga tajau tersebut yang disusun dalam satu barisan.

Saya perhatikan tajau tersebut satu persatu. Tinggi ketiga-tiga tajau tersebut lebih tinggi dari saya. Saya dan kawan-kawan agak bernasib baik kerana kalaulah ketiga-tiga tajau ini adalah betul-betul Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda, maka kami di antara orang yang beruntung kerana sempat dan pernah melihat tajau-tajau kebesaran dan kebanggaan masyarakat Iban.

Apa lagi tajau ini suatu ketika dulu pernah dijaga oleh buaya gergasi yang telah diamanahkan oleh Keling untuk menjaganya.

Selepas itu saya meminta Aki dan anak-anak buahnya untuk berdiri di sebelah saya.

“Aki, ini kali terakhir saya bertanya kepada Aki. Apa betul Aki ingin memusnahkan tajau-tajau ini? Kerana selepas ini Aki tidak akan pernah lagi untuk melihat tajau-tajau ini, apa lagi ketiga-tiganya dihimpunkan bersama.”

Musnahnya Tajau Pereni, Tajau Singaraja Dan Tajau Kelawah Indu Benda

“Ya nak. Aki redha. Semua ini untuk kebaikan anak buah dan penduduk rumah panjang Aki. Biarlah selepas ini semuanya akan menjadi sejarah. Sekurang-kurangnya Aki pernah melihat sendiri dengan mata kepala Aki kesemua tajau-tajau milik keturunan Aki dari Kapuas. Apa lagi tajau lagenda kami iaitu Tajau Kelawah Indu Benda kerana tajau ini adalah milik Keling kami. Aki yakin Keling tidak akan marah kerana pengorbanan kami menjaga tajau ini adalah dengan darah kami sendiri.”

“Baiklah kalau begitu. Boleh kami mulakan sekarang Aki?”

“Silakan nak.”

Selepas itu saya meminta kepada Aki kalau-kalau Aki atau anak buahnya ada membawa tukul. Kebetulan salah seorang anak buah Aki memberitahu yang dia ada membawa tukul bersamanya kerana dia bekerja sebagai seorang mekanik di sebuah syarikat membaiki kereta di Kidurong.

Selepas anak buahnya menyerahkan tukulnya kepada saya, saya mulakan dengan membaca doa perlindungan dan Surah Kursi.

Saya mulakan dengan memecah Tajau Pereni dulu. Kemudian Tajau Singaraja dan yang terakhir adalah Tajau Kelawah Indu Benda.

Saya memecahnya dengan perlahan-lahan dan agak berhati-hati. Saya serahkan segalanya kepada Allah. Semasa memecah Tajau Pereni dan Tajau Singaraja, tiada apa yang menarik perhatian saya kecuali sedikit rasa kesal kerana terpaksa memecah dan menghancurkan tajau yang memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi.

Tetapi demi keselamatan dan taruhan nyawa penduduk di rumah panjang Aki akhirnya saya terpaksa memecahnya.

Selepas Tajau Pereni dan Tajau Singaraja hancur berkecai dan menjadi kepingan yang kecil, saya mula beralih kepada Tajau Kelawah Indu Benda. Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran tajau yang ada di hadapan saya sekarang.

Saya memegang Tajau Kelawah Indu Benda dengan tapak tangan saya. Rasanya agak kasar. Sebahagiannya pula licin. Tetapi warna perang tuanya itu menceritakan kepada saya betapa tajau ini benar-benar sudah tua dan lama.

Saya mengambil sedikit masa juga untuk memecahkannya kerana bagi saya mungkin selepas ini saya tidak akan pernah lagi melihat Tajau Kelawah Indu Benda di hadapan mata saya sendiri.

Terasa sedikit sebak di dalam jiwa saya kerana terpaksa memusnahkan antara khazanah dan lambang kebanggaan, keberanian dan harga diri masyarakat Iban.

Setelah itu saya terpaksa musnahkan juga tajau ini dengan tangan saya sendiri.

Saya mulakan dari bahagian tengahnya. Saya ketuk berkali-kali sehingga Tajau Kelawah Indu Benda ini mula merekah dan hancur secara perlahan-lahan.

Semasa memecahnya dari bahagian tengah hingga ke bahagian bawah, saya terkejut kerana mata saya seperti memandang sesuatu. Malahan jauh lebih bernilai dari Tajau Kelawah Indu Benda itu sendiri.

Kemudian saya memanggil Aki untuk berdiri di samping saya.

“Aki, Aki tahu tak apa yang ada di dalam Tajau Kelawah Indu Benda ini?”

“Aki tak tahu nak. Aki tak nampak sangat.”

Jawab Aki sambil memperbetulkan kaca matanya. Aki kemudian memandang saya dan kembali melihat apa yang ada di dalam bekas pecahan Tajau Kelawah Indu Benda itu.

Selepas itu saya cuba mengambil benda tersebut dan menyerahkannya kepada Aki. Aki menyambutnya dan memandangnya dengan penuh berhati hati. Kerut pada dahi Aki jelas kelihatan.

Selepas agak lama memerhati, Aki mula tersenyum tanda kepuasan.

“Nak. Mungkin kamu sudah tahu apa bendanya ini. Cuma kamu mahu Aki yang memegangnya.”

“Ya Aki. Akilah orang yang paling layak untuk memegang benda ini, memelihara dan menjaganya. Saya serahkannya kepada Aki.”

“Terima kasih atas kepercayaanmu nak. Tapi Aki mahu benda ini dimusnahkan juga. Supaya segala-gala berakhir. Supaya perjanjian ini juga berakhir. Tanpa ada hubung kait apa-apa lagi.”

Kemudian Aki menyerahkannya kembali kepada saya. Saya menerimanya dengan berat hati.

“Aki, ini adalah rambut Keling yang Aki ceritakan dulu. Rambut Keling ini sudah ratusan tahun usianya. Tetapi masih lagi utuh. Rambut Keling ini sepatutnya ada di palang rumah panjang moyang Aki di Kapuas. Tetapi kita tidak tahu bagaimana rambut Keling ini boleh ada di sini dan siapa yang membawanya lalu ditanam di bawah rumah panjang Aki di Bintulu ini.”

“Ya. Itulah yang misterinya nak. Aki tak sangka Aki akan dapat melihat sendiri rambut Keling ini.”

Saya melihat rambut Keling itu kemas di dalam genggaman saya. Saya cuba merasa dengan menggunakan tapak tangan saya. Keras, tebal dan kasar. Rupanya memang seperti rambut manusia biasa tetapi agak berkilat.

Ketiga-tiga buluh kuning yang dikatakan sebagai cincin Keling juga masih lagi ada situ.

Setelah puas memegangnya saya cuba serahkan sekali lagi kepada Aki tetapi Aki menolak dengan cara bagus.

“Nak, kamu musnahkanlah rambut Keling ini. Supaya kami merasa aman dan tidak terikat dengan sesiapa lagi. Rambut Keling ini adalah sebagai simbolik penyatuan kami suatu ketika dahulu tetapi tidak seorang pun dapat memahaminya.”

“Baiklah Aki. Saya akan meminta kawan saya untuk memusnahkannya.”

Selepas itu saya meminta kawan saya untuk membawa rambut Keling ini keluar dan membakarnya. Saya memerhati dari jauh sahaja apabila kawan saya membakarnya.

Kerana pada ketika itu juga saya sibuk memecahkan sisa-sisa dan Tajau Kelawah Indu Benda.

Setelah beberapa lama ketiga-tiga Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda telah hancur dan membawa 1001 kisah-kisah yang tidak pernah diungkapkan sebelumnya.

Kesemua Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda yang telah dimusnahkan ini saya rendam di dalam baldi yang mengandungi air ruqyah. Selepas itu kawan saya membawa sisa-sisa tajau tersebut dan dibuang di dalam sungai.

Maka berakhirlah perjanjian keturunan Aki bersama dengan tajau-tajau ini. Bermula dari keturunan moyangnya hinggalah kepada Aki. Segala kisah suka, dukanya juga tenggelam bersama pecahan tajau-tajau tersebut.

Rambut Keling juga begitu. Hancur dimamah api yang marak menjulang. Langsung tiada kesannya selepas itu. Sisa-sisanya telah dibawa terbang oleh angin ke suatu tempat. Bersatu dengan debu-debu di jalanan.

Akhirnya tiada lagi apa-apa peninggalan lagenda dan sejarah keturunan Aki. Saya dan Aki cuma memerhatikan sahaja. Aki kelihatan sebak. Dia tidak dapat menahan kesedihannya.

Saya tidak tahu kenapa. Mungkin memikirkan hala tujunya selepas itu. Selepas itu Aki memandang ke arah saya.

“Nak, Aki rasa cukup sampai di sini. Rasanya kesemuanya sudah selesai. Aki yakin perjanjian bersama Keling telah sampai ke penghujungnya. Sekarang masanya untuk Aki pula berehat dan tugas ini nanti akan diambil oleh menantu Aki nanti. Terima kasih banyak-banyak nak. Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik kamu semua. Aki nak rehat dulu. Sudah lama rasanya Aki tidak berehat panjang.”

“Baiklah Aki. Semoga persahabatan kita terjalin selamanya Aki.”

“Ya nak.”

Selepas itu Aki memimpin anaknya pergi ke arah luar Bangunan Martabat dan menuju ke arah kereta mereka. Diikuti oleh anak-anak buah Aki yang lain. Sebelum balik Aki sempat memegang kedua tangan saya. Matanya berair.

Saya juga mula merasa sebak. Entah kenapa saya sendiri pun tidak pasti.

“Aki balik dulu nak. Terima kasih sekali lagi ya.”

“Baiklah Aki. Sama-sama Aki.”

Kemudian saya memeluk Aki. Aki membalas pelukan saya.

“Aki terima kasih sebab mengingatkan saya kepada ayah saya sendiri. Aki betul-betul sama seperti ayah saya. Kalaulah ayah saya masih hidup.”

Selepas itu saya menangis semahu-mahunya. Aki cuma mampu menepuk-nepuk bahu saya.

“Kamu juga sama seperti anak Aki. Walaupun Aki tidak mempunyai anak laki. Tapi kamu benar-benar seperti anak Aki.”

“Terima kasih Aki. Aki, boleh tak saya memanggil Aki dengan panggilan ayah? Agar kerinduan saya pada ayah saya akan terbalas.”

“Baiklah nak. Aki izinkan.”

“Terima kasih ayah..”

“Sama-sama. Ayah balik dulu ya. Semoga kita berjumpa lagi.”

Senyuman Terakhir Aki

Selepas itu mereka menaiki kereta. Aki sempat tersenyum dan melambai-lambaikan tangannya kepada kami. Begitu juga anak-anak buahnya yang lain.

Kereta mereka mula meluncur perlahan meninggalkan kawasan meletak kereta di Bangunan Martabat.

Selepas peristiwa malam tersebut saya tidak mendengar apa-apa berita berkenaan dengan penduduk rumah panjang Aki. Saya sentiasa mendoakan agar Aki dan keluarganya kembali sihat dan bahagia seperti semua.

Sehinggalah pada suatu ketika, semasa di sekolah saya mendapat panggilan telefon. Saya melihat pada skrin hp saya. Tertera nama Aki. Lantas saya menjawab panggilan Aki.

“Hello Aki. Aki apa khabar?”

“Hello Cikgu Malik. Saya Jessica. Anak Aki. Saya yang Cikgu Malik ubat dulu.”

“Owh..Jessica. Kamu apa khabar sekarang. Mana Aki?”

“Ayah baru meninggal dunia. Malam tadi. Ayah terkena serangan jantung. Ayah baru saja berniat mahu menziarah Cikgu Malik minggu depan. Ayah juga sudah menyediakan setandan pisang, buah-buahan dan beras padi huma untuk diberikan kepada Cikgu.”

Saya terdiam. Agak lama juga. Tanpa saya sedari air mata saya bergenang juga di kelopak mata.

“Lama sudah Aki sakit Jessica?”

“Dalam sebulan sudah Cikgu. Baiklah Cikgu. Nanti kalau ada perlu apa-apa saya telefon cikgu lagi.”

“Baikah Jessica. Terima kasih ya.”

“Sama-sama Cikgu.”

Saya memandang ke luar dari bilik guru. Murid-murid berkejaran di atas padang. Suasana menjadi riuh rendah dengan gelak tawa mereka.

Saya teringat kembali akan wajah Aki. Akhirnya Aki menutup matanya buat kali terakhir. Segala susah senang, perih derita dan sebagainya telah Aki bawa bersama.

Sejarah yang diceritakan oleh Aki adalah pengalaman yang sangat-sangat bernilai.

Kisah ini juga saya nukilkan khas untuk Aki dan keluarganya serta anak-anak buah Aki yang pernah ke Bangunan Martabat suatu ketika dahulu.

Pengalaman bersama kalian tidak akan pernah saya lupakan. Kerana cerita ini juga akan saya bawa bersama nanti di mana sahaja saya. Sebagai kekuatan jiwa untuk saya. Juga sebagai lembaran sejarah yang tidak pernah tertulis tetapi pernah mewarnai jiwa-jiwa manusia yang hadir suatu ketika dulu.

Terima kasih sekali lagi Aki. Salam terakhir saya untuk Aki..

Kung Pow masih mengantuk..

BAHAGIAN 1

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

BAHAGIAN 2

Dikongsi 3,000 warganet, ini bahagian kedua kisah tajau berusia 500 tahun

BAHAGIAN 3

Netizen tak sabar nak tahu kesudahan..ini bahagian ketiga 'tajau' seperti diceritakan Ustaz Malik

BAHAGIAN 4

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak