Enam tahun telah berlalu, namun kenangan manis semasa bertugas di penempatan pertama,  sekolah pedalaman tiga, Sekolah Kebangsaan Sungai Arau, Sibu, Sarawak masih segar dalam ingatan.

Terkadang perjuangan mengerah sebuah pengorbanan, tanpa mengira bangsa atau agama demi memberikan pendidikan yang terbaik.

“Saya masih ingat lagi, antara pengalaman manis yang sukar saya lupakan, apabila terpaksa melalui laluan sungai untuk ke sekolah. Perjalanan ke sekolah yang mengambil masa antara enam hingga tujuh jam memang memenatkan,  itu pun bergantung kepada keadaan air sungai.  Jika air cetek, terpaksalah kami menggunakan suar bagi membolehkan perahu bergerak.

“Sepanjang perjalanan, kami akan melewati dua buah lain sebelum sampai ke  SK Sungai Arau.  Menariknya, saya dapat melihat pemandangan indah dan rumah-rumah panjang di sepanjang perjalanan,”katanya.  

Tambah guru asal Pahang ini,  pada awalnya beliau berasa gembira dan teruja apabila ditugaskan untuk mengajar di sekolah pedalaman tiga yang terletak di daerah Selangau, Sibu itu .

Namun lama kelamaan perasaan sedih dan rindu pada keluarga di Semenanjung memang tak dapat dibendung lagi.

“Di sana, tiada rangkaian untuk telefon kami saling berhubung. Jadi, medium yang boleh saya gunakan untuk menghubungi keluarga cuma melalui internet iaitu aplikasi sidang video (Skype) dan WhatsApp sahaja,”jelasnya.

Menurut Guru Bahasa Melayu dan Sains ini, pada awalnya beliau berasa kekok, memandangkan pertama kali mengajar di sekolah pedalaman yang menempatkan 17 orang murid termasuk dua murid OKU.

Namun, semangat untuk memperjuangkan amanah yang diberikan dalam bidang Pendidikan tidak beliau sia-siakan.

“Sedikit demi sedikit saya cuba adaptasi dengan budaya baru dan mula mempelajari sedikit Bahasa Iban untuk membantu saya berkomunikasi dengan ibu bapa dan juga murid-murid di SK Sungai Arau.

“Kini, saya sudah pun bertugas di Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas Dua. Alhamdulillah, dengan pengalaman sepanjang berada di Sarawak itu, saya jadikan panduan untuk saya didik anak anak murid di sini. Malah saya juga kini banyak terlibat dengan program-program inovasi pendidikan sehingga berjaya merangkul anugerah khas Diamond INICC 1 di peringkat antarabangsa pada tahun 2020.

“Selain itu, saya juga turut merangkul dua pingat emas di peringkat antarabangsa pada tahun lepas dan dibantu oleh beberapa orang guru lain. Ketika itu kami mencipta sebuah inovasi dalam kata majmuk yang menggabungkan elemen teknologi iaitu realiti luasan (AR), mobile apps dan juga kad imbasan.

“Inovasi tersebut, dihasilkan bertujuan untuk menyumbangkan pengetahuan kepada murid-murid tentang kepentingan menguasai kata majmuk tanpa mengabaikan kepentingan teknologi dalam pendidikan pada masa kini,”katanya.

“Sebenarnya, elemen inovasi memang sudah ada dalam diri kita terutamanya warga pendidik. Cuma langkah awal dan pengetahuan asas tentang inovasi perlu diketahui terlebih dahulu.”

Tambah beliau, kisah Kejayaan Inovasi Kata Majmuk (INOMAJ) tersebut  turut mendapat perhatian media elektronik, apabila beliau dijemput untuk bersiaran langsung, berkongsi tentang inovasi yang telah dihasilkan.

“Dalam siaran langsung tersebut, saya  telah terangkan serba sedikit tentang Inovasi Kata Majmuk yang diaplikasikan kepada murid-murid terutamanya mereka yang berada di tahap satu. Alhamdulillah, inovasi kata majmuk membantu mereka dalam aspek konsepsi sekaligus menyeronokkan.

“Kini, saya dalam proses untuk menghasilkan dan menerbitkan buku latihan tentang kata majmuk. Selain itu, pengetahuan tentang kata majmuk turut membantu meningkatkan penguasaan kosa kata murid dan membantu mereka menulis karangan dengan lebih baik,”jelasnya.

Artikel berkaitan:

Kenali 15 guru hebat dan handal, ikuti perkongsian Cikgu Fadhli Salleh tentang mereka

Musim PKP: Gigih Cikgu Nazmi jelajah 13 kampung, hantar kerja sekolah murid

Aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat sepanjang PKP

PKP pun pelajar hantar kek sempena hari lahir cikgu, Cikgu Donze terharu terima kejutan

PKP bulan 'bulan madu' - Guru Cemerlang Matematik kongsi tip mudahnya belajar atas talian

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi