ANAK anda akan masuk Tahun Satu tahun depan? Jika anak yang cepat berdikari mungkin senanglah ibu bapa nak 'handle' kan.

Sebaliknya yang berdrama macam-macam pun tak kurang juga.  Apa kata sebelum bermulanya anak-anak kita hadir ke orientasi Tahun Satu nanti, kita dah bersedia dengan ayat-ayat pujukan mereka nanti.

Mari kita tengok perkongsian cikgu persis Korea, Mohd Fadli Salleh ini.

+++

Persiapkan emosi anak yang bakal ke tahun satu.

Hari orientasi, bermacam ragam murid akan kami hadapi. Yang menangis memeluk kaki ayah ibu tak nak lepas ada. Yang mak dia kena duduk sebelah dia dalam kelas pun ada.

Secara ringkasnya, ibu bapa kena tanamkan kepercayaan pada guru untuk handle anak-anak kalian. Guru-guru telah bersedia, mereka bukan kali pertama hadap tangisan anak-anak di hari pertama sebegini.

Ada yang berpuluh tahun dah hadap murid tahun satu.

Bila anak terlampau manja, ibu bapa pun patut buat persediaan awal. Di rumah sehari sebelum Hari Orientasi lagi patut dah kuatkan emosi anak,

"Esok adik dah masuk sekolah tau. Dah besar dah adik masuk darjah satu. Tak boleh nangis-nangis lagi.

Nanti ada ramai kawan, ada cikgu yang baik-baik. Mama tak boleh tunggu adik tau. Mama kena selesaikan hal lain seperti daftar adik, beli buku dan sebagainya."

Awal-awal patut kita dah bagi kekuatan pada mereka. Malamnya sebelum tidur, ingatkan lagi yang mereka akan ke sekolah pada esok hari. Minta tidur awal dan minta bersedia.

Melangkah ke masuk ke kawasan sekolah pun terus bagi kata semangat dan dorongan pada dia. Nampak murid lain dari jauh beratur terus sahaja cakap,

"Tengok kawan-kawan adik kat sana. Semua gembira. Semua seronok dan tak sabar nak masuk kelas. Tengok, cikgu-cikgu pun baik tu dik. Nanti adik pun akan beratur macam mereka ya. Mama akan masuk dewan dengar taklimat macam mak ayah kawan-kawan adik tu."

Di sini kita terus memberi semangat agar anak manja kita kuat dari segi emosi dan bersedia untuk ditinggalkan bersama kawan-kawan.

Hantar ke tempat murid tahun satu berkumpul dan beredarlah ke dewan untuk taklimat atau selesaikan apa-apa hal yang berkaitan.

Jika anak menangis, luang masa tenangkan dia sekejap. Jangan sesekali ugut anak dengan mengatakan begini,

"Adik jangan menangis. Nanti cikgu rotan. Cikgu tu garang tau."

Awal-awal dah setkan dalam kepala anak manja kita cikgu garang, lagi la dia takut untuk ditinggalkan.

Guru kelas dan pembantu guru yang bertugas pasti akan bantu tenangkan anak kalian. Itu kebiasaannya.

Dan sebaik dia tenang, tinggalkan terus. Usah toleh-toleh lagi. Nak intai dari jauh tak ada masalah. Cuma jangan tunjuk yang kita tak sanggup tinggalkan dia. Lagi la panjang tangisan dia.

Tinggalkan sahaja pada guru-guru tahun satu. Mereka sangat berpengalaman. Dan jangan lupa, mereka juga adalah seorang ibu dan bapa. Bukan hanya guru semata-mata. Jadi mereka sangat mahir untuk handle kes sebegini.

Namun ada beberapa kes istimewa, murid tetap meraung sampai guling-guling atas lantai. Langsung tak nak bergerak, menjerit macam dunia nak kiamat.

Biasa guru akan panggil ibubapa juga untuk tenangkan bila mereka tidak dapat kawal. Terpaksalah ibubapa iring anak ke kelas dan tunngu di luar kelas sampai aktiviti murid pada hari orientasi tamat.

Biasanya anak sebegini kami letak sebelah pintu. Biar dia nampak mamanya selalu.

Namun sebenarnya sangat penting kita sebagai ibubapa persiapkan emosi anak-anak awal-awal lagi. Seawal seminggu sebelum pun boleh tau.

Sentiasa ingatkan mereka kita tak boleh tunggu mereka, mereka kena berdikari ke kelas, ke tandas, mereka sudah besar dan tak boleh manja-manja lagi.

Jika awal-awal lagi kita dah kuatkan emosi anak, InsyaAllah dia boleh hadapi hari pertama orientasi dengan baik dan jayanya.

Semoga anak-anak kalian steady di hari pertama orientasi nanti.

#MFS

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020