"Aku pujuk-pujuk, usap-usap belakang, cakap lembut pun tak jalan, penyudah aku cempung masuk ke kelas. Punya le cikgu sayang kat anak murid, siap berdukung lagi masuk ke kelas. Anak aku 3 orang pun tak peronah aku buat macam tu kat deme. Yang kat belakang tu Ustaz Hidayat tengah buat rundingan diplomasi pujuk masuk ke kelas. Untung le kome...Kalau zaman muda dulu memang udah ku tangankan je. Dah tua2 ni maleh dah nak buat itu semua. Udah insaf.."

Perkongsian cikgu Yusmie Yusoff di laman muka bukunya telah mendapat perhatian netizen. Rata-rata menyatakan perasaan terharu dengan usaha dan pengorbanan cikgu ini. Tidak kurang juga mereka yang turut berkongsi catatan ini di laman facebook masing-masing. Dengan harapan, ia menjadi kenangan dan ingatan, betapa besarnya jasa seorang guru.  

GPSBestari.com sempat menghubungi pendidik asal Bota Kiri, Perak ini.

Menurut cikgu Yusmie, ini merupakan situasi biasa di Sekolah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, Gerik Perak.

“Mula-mula pujuk, bila dah tak makan pujuk terus cempung sambil pujuk.

“Murid yang saya cempung tu darjah 1, yang berguling atas lantai tu darjah 3. Mereka nak lari keluar dari pagar sekolah sambil menangis.

“Dah dipujuk oleh guru perempuan sebelum tu, tapi tak berjaya. Maka, giliran kami pulalah yang memainkan peranan,”katanya.

Menurut beliau lagi, kebiasaannya ia terjadi apabila murid ini nampak ibu bapa mereka masih ada di kawasan sekolah. Melainkan kelibat ibu bapa mereka sudah tidak kelihatan lagi.

“Selalunya bila ada murid menangis macam tu saya akan pergi basuhkan muka dia, dan basahkan sikit kepala dia, sambil usap bahagian belakang telinga dan tengkuk dia.

“Kita tak boleh berkasar dengan mereka, kena pujuk elok-elok barulah mereka boleh ikut. Kalau kita marah, alamatnya ‘kosongle’ sekolah… Kami ngajor kerusi dengan meja je le nanti.

“Yang ni baru sikit je, cerita di kampung dan di rumah diorang biarlah saya simpan sekadar cerita sedap bersembang,”jelas beliau.

Sekolah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, Gerik Perak, merupakan sekolah pedalaman, kategori P1. Kebanyakan murid di sini adalah dari suku Temiar.

Menarik lainnya: Gara-gara tak mahu masuk kelas..cikgu SK RPS Dala, Gerik nekad dukung murid tahun satu