"PERMOHONAN perpindahan saya dari Sarawak ke Perak telah diluluskan untuk sesi Jun 2019".

Demikian kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, Sarawak, Sofuan Saadon menerusi laman facebooknya.

Menurut Cikgu Sofuan atau nama penuhnya Muhammad Sofuan Saadon, ini bukan kali pertama dirinya memohon EGtukar.

"Alhamdullilah rezeki tahun ini".

Ikuti perkongsian beliau mengenai EGtukar.

**********

Sejujurnya, sebelum semak keputusan perpindahan guru di laman web EGtukar, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi seperti sebelum ini. Saya dah rasa keperitannya apabila keputusan yang keluar berbunyi, "Maaf, anda tidak berjaya untuk sesi ini."

Ada dua sebab utama. Pertama, biasanya perpindahan bulan Jun (pertengahan tahun) tak ramai. Tahun lepas, tak ada seorang pun guru sekolah saya yang dapat pindah pada bulan Jun. Waktu itu guru semenanjung seramai tujuh orang.

Kedua, PPD tempat yang saya pohon itu adalah PPD yang menjadi pilihan ramai. PPD Kinta Utara. Sekolah-sekolah dalam Bandaraya Ipoh. Oleh sebab itu, saya dah pesan kepada isteri sebelum ini. Jika keputusan masih tidak memihak kepada kami, saya tak nak dia menangis lagi. Jangan bazirkan air mata untuk perkara yang sama berulang kali. Cukuplah sekali dua.

Jalan dan pilihan ini saya yang buat. Kami dah bincang yang saya tak mahu transit di mana-mana walaupun peluang lebih cerah (orang kata). Saya lebih sanggup terus di SMK Matu daripada PJJ pula di tempat lain. Cukuplah tiga tahun kami berjauhan beribu batu, berlainan tanah. Saya sanggup tunggu dan bersabar kerana negeri Perak bukanlah salah satu negeri yang kebal seperti negeri lain.

Jadi, hantaran ini berupa pemakluman kepada semua kenalan facebook sama ada saudara, rakan sekerja, kawan, pengikut dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini. Permohonan perpindahan saya dari Sarawak ke Perak telah diluluskan untuk sesi Jun 2019. Syukur kepada Allah..

Terima kasih atas doa dan kata semangat yang kalian berikan selama ini terutamanya ketika kisah saya tular sebelum ini. Saya sangat menghargainya. Mungkin doa kalian yang diterima Allah selain doa saya sendiri dan keluarga. Terima kasih banyak-banyak.

Lima tahun itu bukan tempoh masa yang singkat bagi saya. Tak semua yang saya cerita dan kongsikan dalam tempoh itu di laman ini. Namun, buat kali ini, cukuplah sekadar itu. Dalam gembira, kesedihan tetap terasa..

Bagi yang belum berjaya, teruskan usaha dan doa. Kalian semua tetap akan berpindah dan dekat dengan keluarga masing-masing, cuma masanya yang belum tiba.

Ingatlah, kalian tidak selamanya di sana. Ada perkara dalam kawalan kita dan ada sebaliknya. Nikmati dan hargailah setiap masa yang ada di tempat tersebut selagi kalian masih berkesempatan.

Semoga segala urusan kita dipermudah dan doa kita dimakbulkan tuhan. Assalamualaikum WBT.

Sumber: Facebook Sofuan Saadon

ARTIKEL BERKAITAN:

Gembira, sedih dan geram bila keputusan EGtukar diumumkan - Luahan guru gagal buat ramai sebak

Mohon EGtukar tapi tak pernah lulus - Akhirnya guru ini buat 'sesuatu' dan keputusannya mengejutkan

Surat rayuan pertukaran EGTukar cara Cikgu Hailmi

ARTIKEL MENARIK:

Kelas tambahan percuma, sering sedekah, suka bantu orang susah...Peribadi Cikgu Ven buat ramai kagum

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku