'SETIAP tahun dilanda banjir. Sekolahku ibarat ‘berumah di tepian pantai.’

Demikian kata Guru Bahasa Melayu, Cikgu Ahmad Safarman Dollah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak kepada GPS Bestari.

Beliau berkata, sejak dari dulu, SK Kenering sentiasa ditimpa musibah sebegini.

"Entahlah, sampai bila hendak hadap benda yang sama saban tahun. Bayangkan, kelas tenggelam, kerusi meja rosak, barang-barang dalam kelas yang ditampal dan dihias cantik hancur macam itu sahaja. Itu belum lagi tenggelamnya surau, bilik stor, bilik PJ, bilik PSV, bilik JQAF, kantin dan banyak lagi," kata graduan Diploma Pengajian Melayu, IPG Kampus Perlis ini.

Ikuti luahan hati Cikgu Ahmad Safarman setiap kali banjir melanda sekolah berkenaan.

Gambar yang dikirim adalah kejadian banjir yang baru sahaja berlaku minggu lepas dan pagi ini.

**********

Risau sangat risau. Hujan lebat sehari sudah cukup untuk membuatkan semua guru dan murid dalam keadaan resah. Bayangkan malam-malam guru terpaksa datang ke sekolah untuk meninjau keadaan air. Paling kecewa, hanya mampu melihat sahaja dan tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan paras air naik dengan cepat.

Murid sering kali kecewa setiap kali datang ke sekolah. Buku-buku, bahan PDP, hiasan di dalam kelas rosak teruk. Tapi saya terpaksa memujuk mereka agar bertabah. Kami sama-sama membersihkan kelas dengan perasaan kecewa. Ya lah, asyik rosak kena banjir sahaja. Nak pindah kelas ke tempat yang lebih tinggi, tiada. Jadi hendak tak hendak terpaksa jugalah ‘mengharungi takdir’ dan ‘berumah di tepian pantai.

Apabila banjir melanda, kami mendapat sokongan daripada komuniti setempat. Ibu bapa pastinya datang membantu membersihkan kawasan. Pihak bomba dan JPAM juga turut hadir. Semua bertungkus-lumus untuk memastikan keadaan kembali seperti sediakala dan persekolahan berjalan dengan lancar.

Beginilah keadaan SK Kenering bila dilanda banjir. 

Anggota bomba datang bersama air. Ini sedikit sebanyak mengubat hati murid-murid. Dalam masa mereka membersihkan sekolah, mandi lumpur tapi turut serta menumpang seronok bermain air.

Terujanya mereka setiap kali bermain dengan pancuran air dari lori bomba.

Banjir yang melanda tahun ini juga sempena dengan minggu latihan sukan tahunan sekolah. Bayangkan di saat bertungkus lumus dengan latihan sukan, persiapan rumah sukan tiba-tiba semua hilang sekelip mata lantaran banjir.

Minggu lepas murid, guru, ibu bapa datang bertungkus lumus membersihkan kawasan dan menjadi ceria kembali. Kami hanya mampu menjalani PDP hanya lima hari sahaja dan kini banjir kembali melanda. Bayangkan dalam dua minggu, dua kali berlaku banjir besar. Siapa yang tidak sedih dan kecewa.

Ada rumah murid yang ditimpa banjir juga turut hadir meluangkan masa ke sekolah untuk membersihkan kelas-kelas yang sudah menjadi tunggang langgang. Ada rumah sewa guru juga terkena banjir. Bayangkan, hendak mengurus rumah lagi, mengurus sekolah lagi. Kepenatan tidak terkira.

Setiap kali banjir, aktiviti pembersihan kawasan ini biasanya memakan masa dua hari. Dari pagi sampai petang baru urusan akan selesai.

Semoga segala jasa baik murid, para guru dan komuniti setempat mendapat ganjaran.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat. Di sinilah kita dapat mengenal erti persahabatan, mengeratkan silaturahim sesama bak peribahasa Melayu berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Cikgu Ahmad Safarman (depan) bersama murid-murid tetap ceria walaupun sekolah mereka banjir.

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

‘Biarpun terpaksa duduk bawah meja, kami tetap mahu ke sekolah,’- Situasi pilu pelajar bikin sebak