Baru-baru ini, tular mengenai seorang murid dari Sekolah Kebangsaan Tasek Permai, Pulau Pinang yang berkongsi koleksi gambar sebelum dan selepas bersolek di facebook miliknya, Iris Khairi.

Perkongsian tersebut menimbulkan rasa tidak percaya dan rasa terkejut kalangan netizen kerana gambar murid berusia 11 tahun itu sangat cantik dan kelihatan lebih matang daripada usia sebenar.

Hasil solekan pada wajah murid tersebut bukanlah disolek oleh jurusolek profesional tetapi ia adalah hasil kemahiran murid itu sendiri yang dikenali sebagai Nurul Iris Nasyilla Khairi atau Iris Khaira.

"Saya tengok orang lain lawa dan saya pun nak lawa juga macam mereka. Tapi saya fikir juga, macam manalah nak lawa yea.

"Kemudian, bila tengok video solekan di laman sosial You Tube, saya jadi teruja nak mekap.

"Tambah-tambah bila tengok video yang dibuat oleh jurusolek artis (MUA), Nor Nabilah Zulyadaini (Kak Bella), lagilah saya bersemangat nak belajar mekap," katanya pada satu rakaman siaran langsung menerusi facebooknya, beberapa hari lalu.

Siapa Iris Khaira

Iris Khaira merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Dia berasal dari Perlis tetapi kini menetap di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Iris Khaira merupakan peminat kumpulan Kpop popular Blackpink, meminati subjek Sains dan juga bercita-cita mahu menjadi seorang pendidik.

Impian Iris Khaira cukup besar.

"Jika diberi peluang, saya nak sangat mekapkan pelakon pujaan saya iaitu Kak Neelofa," katanya.