Setiap anak itu tidakkan sama kemampuannya, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh samakan dan bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Hakikatnya pencapaian dan kejayaan mereka adalah berbeza.

Tidak perlulah memaksa, memukul, membebel atas apa yang anak kita sebenarnya tidak mampu. Sebaliknya carilah kelebihan lain yang boleh digilap sehingga mereka berjaya.

Contohilah situasi bapa bernama Afiq Ayman ini. Hayati kata-kata beliau, ‘lebihkan didik mereka dengan kemahiran hidup berbanding akademik.. Sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari jika kita sudah tiada. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebaliknya tumpukan pemulihan dia mengikut keupayaan dia yang tersendiri.’

***

Membaca kerisauan para ibu bapa yang mempunyai anak ADHD dalam group ini, saya ingin berkongsi pengalaman anak saya yang mengalami masalah ADHD / hyperactive di awal pembesaran dia. Hingga kalau nak bawa berjalan masa kecik dulu kena ikat tali kat tangan, takut tak sempat nak kejar.

Masuk darjah 4 baru boleh membaca.. saya hampir putus asa. Saya terkilan dan kecewa bila kawan-kawan update status FB kejayaan anak-anak mereka dapat anugerah cemerlang saban tahun...tapi anak saya? Saya dah tak tahu macam mana nak ajar dia supaya setanding dengan anak-anak orang. Saya lepaskan kecewa saya pada dia. Rotan, tampar, tonyoh muka ke lantai semua dah saya buat.

Dia tak menangis dan dia tak pernah serik. Esok dia datang jumpa saya lagi bawa buku yang sama ingin belajar lagi. Begitulah setiap hari... saya tahu dia faham perasaan dan harapan saya pada dia, tapi dia tak mampu. Pernah satu ketika kami sama-sama menangis dalam kereta selepas mengambil result exam dia yang memang teruk.. waktu tu saya cakap dekat dia, abah dah tak tau nak buat apa untuk abang. Abang dah besar dan abah takkan pukul lagi.. pasrah

Sehinggalah saya hadir kursus oleh pejabat pendidikan dan berjumpa doktor pakar. Anak saya diagnosed oleh pakar ENT mengalami masalah tulang hidung yang bengkok yang menyekat pernafasan sempurna dan mudah allergy. Sering tersumbat, mudah kena jangkitan dan memberi kesan kepada tekanan di telinga. Menyebabkan dia kurang dengar dan mengganggu fokus kepada pelajaran. Itu mungkin salah satu kenapa dia mengalami masalah LD selain daripada ADHD tersebut.

Akhirnya saya mulai faham yang dia bukan sengaja jadi begitu dan kami ibu bapa perlu lakukan sesuatu. Saya menyesal buat dia macam tu sebelum ini. Saya mulai membuat rujukan di internet dan sebagainya. Saya hire personal tutor untuk dia, sbb saya tak mampu ajar dia lagi..saya bukan lah penyabar sangat.

Energy dia yang berlebihan saya salurkan ke aktiviti fizikal seperti taekwondo, hiking, cycling dll. (Alhamdulillah dia berjaya mendapat tali pinggang hitam taekowondo semasa tingkatan dua dan pingat perak pertandingan taekwondo terbuka Langkawi). Tumpuan dia yang kurang saya pulihkan dengan aktiviti seni seperti lukisan, pertukangan dan ukiran. Saya rajin masak makanan laut untuk dia especially kerang dan saya elakkan dia makan atau minum yang mengandungi pekatan gula yang tinggi.

Memiliki anak sebegini bukan sahaja memerlukan kekuatan emosi tetapi jugak fizikal. Kita kena bersaing dengan dia yang tidak kenal letih yang akhirnya menyebabkan kita sendiri kelelahan. Banyakkan aktiviti bersama dia dan ahli keluarga yang lain agar tiada yang rasa tersisih. Kebanyakkan anak-anak ini sukakan aktiviti outdoor dan nature kerana jiwa mereka yang sensitif dan tersendiri.

Latih mereka untuk berdikari dengan memberi tugasan mudah. Misalnya yang selalu saya buat adalah dengan menyuruh dia membayar makanan di restoran ketika kami makan di luar supaya dia biasa membeli makanan di kantin sekolah. Sering kali dia tak dapat makan ketika rehat kerana tidak biasa berebut di kantin

Salah satu sebab kenapa saya menyambung pengajian peringkat Master adalah untuk memberi dia contoh dan semangat untuk memasuki menara gading. Saya sering membawa dia dan keluarga setiap kali saya ada temujanji dengan supervisor di universiti. Saya tunjukkan kepada dia dan adiknya inilah rupanya universiti dan inilah kehidupan sebagai pelajar universiti yang sering cikgu cerita di sekolah. InsyaAllah satu hari abang dan adik juga akan belajar di sini.

Alhamdulillah dia berpeluang menyaksikan upacara konvokesyen saya menerima ijazah Master pada tahun 2002 yang membakar semangat dia untuk gigih belajar dengan cara dia. Kini saya di tahun akhir pengajian PhD dan insyaAllah saya akan habiskan pengajian saya sebagai contoh dan dorongan kepada dia dan adik dia.

Seperti ramai yang cakap, anak-anak yang bermasalah seperti ini, comel, hensem dll.. Ya saya setuju, bg saya dia mmg comel dan hensem dan akan sentiasa saya anggap begitu sampai hayat kami. Dia sering menjadi rebutan untuk didukung semasa kecil, tapi bukan mudah untuk dia duduk dalam dukungan..

Alhamdulillah, hari ini dia di semester satu UITM dalam jurusan Industrial Design. Mohon sama2 kita doakan kejayaan anak-anak kita dan jangan berputus asa dengan mereka. Mereka punya harapan dan kejayaan mereka di tangan kita untuk melakarnya.

Nasihat saya kepada para ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini, lebihkan didik mereka dengan kemahiran hidup berbanding akademik.. InshaAllah ada potensi mereka di situ. Sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari jika kita sudah tiada. Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain sebaliknya tumpukan pemulihan dia mengikut keupayaan dia tersendiri.

Terkini

“Alhamdulillah. Bukan mudah untuk mendapat 3 pointer dalam jurusan berasaskan design sebab seni itu terlalu subjektif untuk dinilai. Tak tidur malam berhari-hari menyiapkan kerja studio adalah rutin biasa budak-budak design ni.

Abam ciwi sikit sebab ni result pertama beliau di universiti dan anak ini pada peringkat awal menghadapi masalah ADHD dan menghabiskan sebahagian besar masa sekolah rendah di kelas pemulihan.”

Sumber: Afiq Ayman