"KURUSNYA awak. Umur dah 13 tahun, tapi berat 20kg je. Awak makan apa masa mak jaga?"

"Saya makan nasi kosong tanpa lauk cikgu. Tu pun Babah (pengkid) bagi sikit je. Dua tiga suap je sekali makan," balas Alia.

Aku perhati jarinya kelingkingnya. Agak aneh jari itu kerana tidak lurus.

"Kenapa dengan jari awak?"

"Tak boleh lurus cikgu. Lengan pun sama. Agaknya kesan lama duduk dalam bilik air," pantas neneknya menjawab.

Termenung aku mendengar jawapan itu. Apa ke kejam manusia sebegini rupa. Nasi kosong dihidang pada budak sebesar ini dan dikurung dalam bilik air saban hari.

Dia bercerita bagaimana dia mengumpil pintu bilik sedikit demi sedikit setiap hari.

Bila ibu dan babahnya perasan, dia dipukul. Dirotan. Dicucuh dengan besi panas membara. Rambutnya dipotong sesuka hati. Tombol pintu ditukar baru.

Entah berapa gelen air mata aku telan semasa mendengar kisahnya.

Namun Alia tidak mengalah. Anak kecil ini penuh bersemangat mengumpil pintu lagi sehingga suatu hari usahanya berjaya.

Pintu itu terbuka semasa tiada orang di rumah. Terus Alia ambil kesempatan melarikan diri dengan perut kelaparan dan tiada duit dalam poket.

Merayau dia kemudian meminta sedekah dari orang yang lalu lalang. Mujur ada yang kasihan beri dia sedikit wang. Dia gunakan duit itu untuk membeli makanan sebelum terpaksa meminta sedekah lagi untuk pulang mencari neneknya.

Ada insan yang baik hati berinya sedikit duit. Lepas la dia naik LRTmenuju ke suatu tempat persinggahan yang tidak jauh dari rumahnya.

Berjalan kaki dia menuju ke rumah nenek. Sebaik sampai pintu diketuk, salam diberi. Neneknya membuka pintu dan kehairanan siapa budak kurus di depan rumahnya.

Neneknya gagal mengenalinya kerana sangat ketara perubahan fizikal Alia.

"Nenek. Ini kakak," katanya lantas memeluk neneknya.

Berpelukan mereka berdua dengan juraian air mata umpama air sungai yang mengalir.

Ah. Setiap patah perkataan yang Alia ungkap, aku dapat bayangkan umpama aku berada di situasi itu. Sebaknya ya tuhan...

"Cikgu. Tengok ni," katanya seraya menunjukkan tangannya.

"Ni kesan apa?"

"Mak dan babah rotan. Kat pinggang ada juga. Kepala saya pun masih sakit lagi kena ketuk dengan rotan buluh," katanya perlahan.

Aku hilang kata-kata. Tidak tahu nak beri reaksi macamana.

Agaknya dia perasan aku tengah menahan sebak, Alia tukar topik perbualan.

"Cikgu. Alia dah baca sedikit buku cikgu. Best! Tapi ada juga yang sedih. Nenek pun menangis baca," katanya sambil tersenyum.

"Wah. Alia suka ya?"

Kepala diangguk-anggukkan.

"Alia nak sekolah?"

"Nak cikgu."

"Nanti Alia dah sihat, cikgu belikan Alia baju baru, kasut baru, beg baru, alat tulis dan semua benda.

Semua benda cikgu akan tanggung. Semua benda cikgu akan belikan baru. Alia nak tak?"

"Nak, cikgu."

Bersinar sinar matanya memandang aku. Perasaan gembira dan seronok dia tidak mampu disorok lagi.

Bahagia betul aku melihat mata yang bersinar-sinar gembira itu.

"Cikgu," panggilnya perlahan.

"Apa?"

"Cikgu dah tulis banyak buku kan?"

"Tak ada la banyak sangat. Tujuh naskah semuanya. Kenapa? Awak minat menjadi penulis?"

Tiada jawapan. Wajahnya malu-malu. Kepala dianggukkan sambil memandang lantai.

Wah! Seronok betul aku.

"Bagusnya. Alia pasti boleh menjadi penulis yang hebat nanti. Alia lalui pengalaman yang jarang orang ada. Cikgu pasti Alia akan berjaya menjadi penulis yang hebat nanti. Alia belajar rajin-rajin nanti tau. Nanti cikgu ajar Alia menulis ya," balasku.

Matanya terus memandang tepat ke dalam mataku. Bersinar penuh harapan. Senyuman manis menguntum dibibir dan kepala dianggukkan berkali-kali.

Ah anak. Jiwa kau sungguh kuat. Sangat!

Dalam situasi sekarang pun kau masih berfikir untuk belajar, untuk menulis, menanam cita-cita dan untuk terus melangkah.

Sebelum beredar, Alia menghulur tangan untuk bersalam. Tanganku dikucup penuh hormat. Kemudian dia sandarkan kepalanya didada aku. Saat ini memang aku sangat sebak.

Aku gosok kepalanya dan doakan yang baik-baik untuk dia.

Saat itu aku lihat kolam matanya pula bertakung.

Aku tak hendak melihat hujan diwajah saat langit tidak mendung. Kerana aku sendiri pun menahan diri sepenuh hati, lantas aku pusing dan berlalu pergi.

Tuhan, aku tahu aku banyak dosa. Namun aku ingin bermohon padaMu agar menjaga anak ini dan rahmati dia.

Limpahi hidupnya dengan kegembiraan dan kasih sayangMu. Amin.

 

#MFS

- Alia II -

[Ini kisah Alia bahagian 1 : "Cikgu, ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas.. hampir setiap malam saya tidur di bilik air"]