Sebelum ini tular di media sosial rakaman seorang guru Pendidikan Khas SMK Tengku Kudin, Raub Pahang, memeluk cium pelajarnya tanpa mengira bangsa telah menarik perhatian netizen. Rata-rata netizen yang menonton rakaman berdurasi 4:11 minit itu melahirkan rasa sebak dan turut bersedih dengan ketulusan hati yang ditunjukkan guru yang kini mengajar di SMK Bandar Chiku, Gua Musang Kelantan itu.

Pelukkan seorang ayah buat anaknya

GPSBestari cuba mendapatkan reaksi Cikgu Mohd Khairul Che Hassan, 35, pendidik asal Pasir Mas Kelantan ini.   

Ketika dihubungi, pendidik yang sudah 11 tahun berkhidmat di SMK Tengku Kudin, Raub Pahang itu bagaimanapun berkata, peluk cium dengan pelajar lelaki Pendidikan Khas adalah perkara biasa di kelasnya.

Hari terakhir Cikgu Khairul

Cuma, kelaziman tersebut menjadi luar biasa apabila ia dibuat pada hari terakhir beliau berkhidmat di sekolah itu baru-baru ini.

“Saya tidak dapat menahan sebak pada saat mereka datang dan mencium tangan saya. Saya peluk dan cium mereka bagaikan anak sendiri. Malah, antara kami juga tiada jurang yang memisahkan, walaupun kami berbeza agama, bangsa dan budaya.

Artikel berkaitan: 'Tariklah saya ke syurga' - Pesan Cikgu Khairul dalam video tular peluk murid Pendidikan Khas

Kenangan bersama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

“Saya tidak akan lupa detik akhir berpisah dengan anak-anak yang cukup istimewa di hati saya itu. Mereka tulus dan ikhlas, air mata mereka penuh dengan kasih sayang… itu yang membuatkan saya tak boleh lupakan mereka sehingga kini,”katanya.

Guru yang berkelulusan Ijazah Pendidikan Khas dengan Kepujian daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris itu merupakan Guru Pendidikan Khas, untuk mata pelajaran Vokasional. Biarpun beliau mengetahui mendidik anak-anak pendidikan khas ini bukan suatu yang mudah, namun baginya, tiada yang lebih membahagiakan apabila melihat mereka mampu hidup berdikari, berkerjaya, dan boleh menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.

Catatan masa terakhir Cikgu Khairul di hadapan pelajar sekolah SMK Tengku Kudin

“Anak-anak istimewa ini adalah jiwa bagi saya. Biarpun pada zahirnya mereka kurang dari segi akademik, namun sebenarnya mereka masih boleh dibentuk dan dididik untuk berjaya. Terutamanya dalam bidang kemahiran yang mereka minat.

“Bagi saya, sekiranya mereka mampu untuk hidup berdikari sendiri, itu sudah menjadi kejayaan terbesar buat mereka. Malah, kejayaannya itu juga saya anggap seperti seorang pelajar arus perdana yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara,” kata ayah kepada empat cahaya mata ini.

Selain disayangi oleh pelajar sedia ada, guru muda ini turut disenangi ibu bapa, warga pendidik, dan bekas pelajar. Boleh dikatakan, hampir setiap hari bekas pelajarnya akan menghubungi beliau untuk bertanya khabar.

“Saya memang tidak menaruh harapan terlalu tinggi kepada mereka. Cukuplah sekadar anak-anak istimewa ini mampu untuk urus diri, berkemahiran, berkerjaya dan berdikari untuk hidup,”katanya.

Guru ini turut mengakui, beliau sendiri tidak pernah berhenti berdoa dan sentiasa berusaha untuk membantu anak-anak ini hingga berjaya. Malah, atas usahanya juga, ada di antara pelajarnya itu sudah pun melanjutkan pelajaran ke Sekolah Vokasional Pendidikan Malaysia serta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia.

Pelajar ini dilatih untuk membuat kerja-kerja kemahiran

“Disebabkan itulah hubungan antara saya dan ibu bapa anak-anak ini menjadi akrab bagaikan sebuah keluarga. Kami sentiasa berhubung untuk mengetahui keadaan dan prestasi pembelajaran anak di sana,”ulasnya.

Tambah Mohd Khairul lagi, tidak sukar untuk mendekati pelajar istimewa itu sekiranya kita tahu bagaimana untuk menawan hati mereka.

"Dekatilah mereka dengan hikmah, jadikan mereka kawan, bermanis mulut, belanja makan dan sesekali bawalah mereka keluar beriadah bersama.

“Apabila mereka sudah mula mempercayai, barulah mudah untuk kita selami dan tahu apa yang mereka mahukan. Malah, keakraban dan rasa percaya itu juga, lama kelamaan akan membuatkan mereka tak kisah untuk berkongsi semua masalah mereka dengan kita,”jelasnya.

Pelajar Pendidikan Khas sedang membuat biskut di bengkel

Mengulas tentang perpindahannya ke SMK Bandar Chiku, Gua Musang Kelantan. Mohd Khairul mengakui, perpindahan itu adalah atas kerelaan dan kemahuannya sendiri.

“11 tahun saya di SMK Tengku Kudin, Raub, Pahang. Hati saya memang sudah sebati dan sayang dengan sekolah ini. Namun, sebagai anak lelaki dalam keluarga, saya tidak boleh menidakkan tanggungjawab saya kepada ibu dan ayah di kampung.

“Disebabkan mahu menjaga mereka, saya telah membuat permohonan untuk bertukar sekolah, dan tak sangka ia diluluskan. Orang pertama yang mengetahui berita pertukaran saya adalah Pengetua, Cikgu Lukman Yatimi Ahmad, Penolong Kanan Pendidikan Khas, Cikgu Rosdi Aziz dan juga pelajar-pelajar saya.

“Ketika mengumumkan berita pertukaran saya dalam kelas, pelajar-pelajar saya memang terkejut. Ada yang merayu dan ada juga yang menangis. Masa tu, hati saya memang betul-betul tersentuh dan sebak. Sukar dinyatakan, bagaimana perasaan saya sebagai ‘ayah’ apabila melihat anak-anak yang sayang menangis di hadapan saya,”ujarnya sebak.

Cikgu Khairul bersama Pengetua, barisan guru dan pelajar

Malah, bukan sahaja pelajar, seluruh warga pendidik termasuk Pengetua sekolah itu juga turut terasa kehilangannya.

“Tiga kali Cikgu Lukman panggil saya ke biliknya. Berulang kali jugalah dia bertanya, adakah saya pasti untuk berpindah sekolah. Namun setelah saya yakinkan beliau tentang tujuan sebenar saya berpindah, barulah beliau akur dan menerima.

“Pada hari terakhir di sekolah itu, beliau tinggalkan amanat yang saya takkan lupa sampai bila-bila. Beliau peluk saya erat, dan sambil menangis, beliau ingatkan saya…Jika dicampakkan ke laut, jadilah sebuah pulau. Jika dicampakkan ke gunung, jadilah batu permata yang bersinar…”akhirinya.

Projek terakhir Cikgu Khairul di SMK Tengku Kudin, Raub, Pahang, adalah mengunjungi perkampungan orang asli, dan memujuk anak-anak istimewa yang tidak bersekolah untuk ke sekolah.