Indeks Pencemaran Udara (IPU) Sri Aman, Sarawak semakin meningkat dengan bacaan di tahap berbahaya menghampiri 400 setakat jam 6 petang tadi iaitu meningkat kepada 389, berbanding 300 yang dicatatkan pada pukul 2.00 petang tadi - Sinar Harian / 17 September 2019.

Itu yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian sebelum ini. Membaca laporan pun dah terasa jerebunya di mata, inikan pula mereka yang mengalaminya sendiri.

Dah tentulah lebih teruk, bukan sahaja mata pedih, bahkan  kepala pun terasa pening dek asap kekuningan yang memenuhi udara.   

Hal ini turut diperakui sendiri oleh Guru Pra Sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sarawak, Cikgu Ahmad Faqih Pauzi.

“Kepala pening, mata terasa sangat pedih, macam masuk asap. IPU yang mencecah bacaan ke 392 ni betul-betul menyesakkan. Kami yang mengajar di kawasan ulu ni pun terasa kesannya, apatah lagi mereka yang tinggal di pekan.

“Sebagai usaha untuk mengelakkan anak murid terdedah dengan pencemaran udara yang teruk ni, kami hanya lakukan aktiviti indoor sahaja.

“Pintu dan tingkap perlu diutup rapat, dan tak benarkan mereka melakukan sebarang aktiviti di luar bangunan,”ulas guru asal Kelantan ini kepada GPSBestari.

Ujar Cikgu Faqih, semua murid di SK Ulu Lemanak ini tinggal di asrama. Jika tiada sebarang kelas, mereka akan ditempatkan di asrama atau dewan sekolah.

“Walaupun sekolah tutup, guru-guru masih ke sekolah macam biasa. Cuma kami perlu jaga kesihatanlah, minum air kosong dan elakkan dari terdedah dengan cuaca luar yang berjerebu.

“Di Ulu ni memang banyak pokok dan hutan, tapi sejak ada jerebu ni… jika buka tingkap hanya nampak asap tebal. Pokok-pokok pun dah samar-samar,”katanya.

Tambah Cikgu Faqih, pengalaman jerebu kali ini, adalah yang paling teruk pernah dia alami.

Katanya, udara segar waktu pagi di Ulu Lemanak, tidak dapat lagi dinikmati seperti selalu. Bau asap, ditambah pedihnya mata dan 'kabus' asap sehingga ke petang, menyebabkan keadaan di Ulu Lemanak bertambah teruk.

“Apa yang kami harapkan adalah, hujan turun di sini, sekurang-kurangnya kuranglah sikit jerebu di sini,”katanya.

Ini bukan kabus pagi, tapi kabus yang memutih di udara

'Kabus' asap dari pagi sehingga ke petang