ALAH bisa tegal biasa. Begitulah perumpamaan kehidupan apabila tinggal di kawasan pedalaman.

Tambah lagi jika kawasan pedalaman itu belum dilengkapi jalan raya. Begitulah kehidupan... 'Agi Idup Agi Ngelaban' kan?

Mari kita ikuti perkongsian guru bahasa Melayu di sekolah pedalaman tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Engkari, Lubuk Antu, Sarawak, Abdul Halim Majid ini.

Kata beliau, sekolahnya mempunyai 16 murid aliran perdana dan enam murid prasekolah.

Murid SK Ulu Engkari.

+++

Apabila kerajaan umumkan PKP dilanjutkan ke tarikh 14 April 2020, terbit rasa empati dengan nasib murid kami yang berada nun jauh di pedalaman.

Bukannya murid sahaja malah saya.. awak.. dia dan semua guru yang bekerja di pedalaman terasa impaknya.

Bahkan satu dunia. Nak pergi mengajar tidak boleh dan segalanya tidak boleh seperti biasa.

Tapi saya akur walaupun ada rasa berdosa dalam diri. Itulah langkah terbaik kerajaan ambil dalam menangani wabak Covid-19.  

Manakan tidak, murid saya di sana tiada talian telefon apatah lagi untuk akses internet.

Jika mahu mereka terpaksa mendaki bukit yang tinggi untuk mendapatkan talian telefon.

Kalau ada sekalipun mungkin satu atau dua bar sahaja.

Ke tempat mencari talian telefon.

Situasi yang kami hadapi sangatlah berbeza jika dibandingkan dengan sekolah di bandar yang dapat mengajar secara maya (Google Classroom), bagi tugasan melalui WhatsApp dan Telegram.

Hanya dua cara sahaja untuk mengakses ke sekolah iaitu melaui udara (helikopter) dan jalan balak (offroad).

Dahulunya kami hanya menggunakan sungai sebagai laluan utama ke sekolah yang memakan masa empat hingga enam jam mengikut musim.

Jika kemarau panjang sudah tentu waktu malam baharu tiba di sekolah.

Blok dan kawasan sekolah.

Syukur! pihak KPM telah mengambil pendekatan mengadakan sesi pembelajaran melalui televisyen pendidikan menerusi saluran RTM dan TV Okey bermula minggu depan. 

Walaupun segelintir sahaja yang mempunyai TV di rumah, ianya sedikit sebanyak dapat membantu murid yang berada di pedalaman.

Kami juga berharap dalam tempoh PKP ini murid-murid dapat berdikari untuk belajar sendiri dan meminta bantuan daripada kakak atau abang.

Walaupun ibu bapa di sana kebanyakannya tidak pandai membaca tetapi saya yakin mereka sangat menitikberatkan hal pelajaran anak-anak di rumah.

Tuai rumah pula selalu main peranan memantau dan menasihatkan anak-anak di rumah panjang supaya rajin belajar di pusat sumber mini yang ada di ruai rumah panjang.

Ketika berbuka puasa tahun lalu.

Kelebihan murid pedalaman adalah mereka tidak ada masalah ketagihan gajet mahupun TV.

Jadi masa siang mereka banyak diisi dengan belajar di rumah dan mandi manda di sungai sahaja.

Mandi manda di sungai jadi satu aktiviti harian mereka.

Waktu malam pula tidak panjang kerana generator tidak beroperasi selama 24 jam.

Mereka juga sudah biasa belajar berdikari dari umur seawal tujuh tahun memandangkan sekolah kami merupakan sekolah asrama.

Dari segi kebersihan, disiplin dan waktu belajar memang sudah sebati dalam diri mereka.

Walaupun kemudahan infrastruktur di sekolah dan rumah panjang sangat sederhana namun kami bersyukur kerana bidang akademik mereka tidak terbelakang.

Mereka mampu bersaing dengan murid di luar sana.

Pada 2015, seorang calon UPSR kami mendapat 5A dan dua orang mendapat 4A.

Sekarang, ada tiga murid yang berjaya memasuki MRSM Betong dan 2 orang di Sekolah Seni Kuching.

Manakala dari segi kokurikulum pula ada yang berjaya menempa nama sehingga ke peringkat negeri terutamanya untuk nyanyian solo dan kawad TKRS.

Sebagai guru, saya menganggap PKP ini sebagai sebahagian dari cabaran yang biasa murid pedalaman lalui sejak dari dahulu lagi.

Ada cabaran-cabaran lain yang lebih berat seperti:

  1. Terputus bekalan elektrik kerana masalah generator. Bukan sehari malah sampai seminggu terpaksa belajar menggunakan api lilin. Berpanas di dalam kelas semasa PDPC.
  2. Gangguan air. Bayangkan murid terpaksa mandi di sungai yang dingin dan sejuk diwaktu pagi.
  3. Prasarana sekolah di pedalaman sederhana berbanding sekolah di luar sana.Kami tidak ada makmal komputer dan makmal sains serta peralatan-peralatan canggih spt LCD.
  4. Setiap hari murid kami cuma lihat sungai, hutan dan bangunan sekolah. Ada juga murid yang tidak pernah keluar ke bandar ketika masih menggunakan laluan air dahulu.

Prinsip saya, sekiranya murid itu ada kemahuan di situ ada jalan. Tidak kira di mana murid itu berada pastinya ada cabaran-cabaran yang berbeza.

Di sini juga saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang hampir sama dgn PKP yang kita hadapi waktu ini.

Sudah 11 tahun di sini sempatlah saya merasa tujuh tahun pengalaman menggunakan laluan sungai sebelum wujudnya jalan balak.

Waktu itu, setakat tiga minggu hingga sebulan tidak keluar ke bandar sudah sebati buat kami.

Sekiranya tidak ada kursus ataupun urusan-urusan mustahak lain, kami lebih suka 'stay' hujung minggu di sekolah sahaja.

Dewan makan asrama.

Suasana asrama sekolah.

Walaupun kawasan sekolah tiada kedai runcit ,tiada talian telefon dan akses internet sekolah nyawa-nyawa ikan.

Banyak faktor yang menyebabkan kami memilih untuk 'stay' iaitu :

  1. Tiada boatman yang mahu hantar dan ambil apabila musim kemarau.
  2. Tambang pergi/balik Rm400 kongsi dua atau tiga ntuk sebuah perahu.Belum termasuk minyak kereta dari jeti ke bandar.  
  3. Musim kemarau (air langkang) memakan masa 4-5jam perjalanan.Kadang lebih dari itu hngga malam baru tiba di sekolah.Berpuluh kali terpaksa “bersuar”, turun dan tarik perahu sangkut di jeram. Anda bayangkan bila bulan puasa.Penatnya tu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
  4. Tiba di jeti pula kita mesti memandu lebih kurang 1 jam 30 minit untuk ke bandar Sri Aman.
  5. Perjalanan jauh yang memenatkan.Bayangkan hari Jumaat keluar dan tiba di bandar sudah petang.Hari Sabtu saja lah kita ada masa untuk urusan penting dan membeli barang-barang dapur. Ahad pagi sebelum pukul 10 pagi mesti bertolak ke jeti.
  6. Apapun cabaran, bila minggu “payday” kami terpaksa juga keluar kerana banyak urusan-urusan yang perlu dibuat.

Bila sebut tentang sebulan bertapa, dompet pun tak diusik sampai tumbuh kulat.

Masa dapat keluar tu blur jangan cakaplah sampai nak bawa kereta pun lupa cara guna gear.

Masuk bandar pula pening dengan kereta banyak ke hulu ke hilir.  Bila masuk ke sekolah perahu memang sarat dengan “ration” untuk sebulan makan.

Ada lagi cabaran-cabaran lain yang kami pernah lalui seperti perahu karam, melawan arus kepala air, di pukul gelombang di tengah Empangan Batang Ai, terpaksa berhenti di pulau-pulau kecil, terik panas mentari di kawasan empangan, menongkah kayu-kayu hanyut di sungai dan berjam-jam kesejukan berhujan di alam perahu dan macam2 lagi.

Sekarang tahun 2020 adalah tahun ke-4 kami menggunakan jalan balak (offroad).

Ia memakan masa lebih kurang tiga jam dari bandar Sri Aman. Akan tetapi banyak juga cabaran bila menggunakan jalan balak yang merentas bukit bukau itu.

Bila musim hujan sangatlah bahaya kerana jalan agak teruk dan licin.

Pernah saya dan staf-staf sekolah terpaksa berjalan sejam lebih di jalan balak yang licin keranan Hilux tidak dapat bergerak lagi.

Masing-masing membawa barang menggunakan “igit” iaitu bakul besar di belakang. Ada juga yang terpaksa berpatah balik demi menjaga keselamatan.

Laluan balak kami juga ada sebatang anak sungai yang terpaksa di redahi.

Sekiranya hujan lebat di tengah hutan, anak sungai itu akan bertukar menjadi sungai yang sangat deras.

Atas faktor keselamatan, kami terpaksa tunggu sehingga air surut.Pernah kami menunggu di situ selama  tiga jam baharulah air sungai itu surut.

Laluan balak kami juga merentas bukit bukau yang tebal. Setakat terserempak dengan binatang buas seperti babi hutan, rusa, kijang, pelanduk, beruk dan lain2 adalah menjadi kebiasaan.

Cabaran-cabaran lain adalah ancaman haiwan buas seperti babi hutan, debu tebal bila duduk di bonet hilux, basah dan kesejukan, menolak hilux yang sangkut dan hilux rosak di tengah hutan.

Itulah sedikit sebanyak suka duka yang dapat saya kongsikan sepanjang 11 tahun menjadi pendidik di kawasan pedalaman.

Tapi satu dugaan yang paling besar adalah saya tidak sempat menatap wajah arwah ayah untuk kali terakhir semasa hari kematiannya. Itu mungkin sudah ketentuan Illahi, saya redha.

Kawasan sekolah.

Selain itu, biar pun banyak cabaran pahit yang saya lalui di sini tapi saya tidak pernah sesekali menceritakannya kepada ibu saya.

Biarlah kisah-kisah indah sahaja yang dia tahu. Saya doakan Tuhan menjaga ibu saya yang jauh di sana.

Sekiranya rezeki pindah memihak pada saya pada tahun ini, sy tidak akan lupakan kenangan bersama masyarakat Iban yang baik, ramah dan ringan tulang dalam membantu para guru.

Semoga wabak Covid-19 ini berakhir dan semua guru dapat mendidik anak bangsa seperti sedia kala. Jangan putus asa, banyakkan berdoa. Amin.

ARTIKEL MENARIK:

'Hanya air mata mengalir...' - Cikgu Hailmi kongsi liku hidup hingga terpilih 50 Utama Guru Global

'Murid prasekolah pun faham' - Hanya bimbing di grup WhatsApp, cikgu ini hasilkan video COVID 19

'Sambutan kelas melalui portal online tak hangat' - Guru ini beri semangat buat semua cikgu

Cikgu Shahril kongsi soalan Matematik secara online sepanjang PKP ada enam edisi semuanya

Guru Cemerlang Matematik, Cikgu Shahril kongsi platform pembelajaran UPSR sepanjang PKP