Nilai RM50, barangkali kecil bagi sesetengah orang, namun bagi lelaki bergelar ayah yang diceritakan oleh Guru Bahasa Arab, SK Sg Binjai, Meru Klang, Cikgu Norhasnida Yaakub ini cukup menyentap rasa.

Ikuti perkongsian Cikgu Norhasnida ini...

26 Januari 2021, merupakan hari kutipan PIBG dan bayaran lain. Seawal 7.30 pagi lagi  aku dan teman-teman pendidik sudah berada di sekolah. Mendengar taklimat tugasan daripada Penyelaras Tahun, Bendahari PIBG dan mula menyusun meja-meja untuk urusan dengan ibu bapa sebentar lagi.

Teruja di hati dapat berbaju kurung dan bertugas bersama rakan-rakan sejawatan. Segala yang ditugaskan berjalan dengan lancar dan tersusun. Tahniah dan terima kasih ibu bapa kerana hadir.

Dalam bilik tugasanku ada tiga lagi guru kelas lain bertugas di kaunter masing-masing. Namun kaunter kelasku yang hampir tiada henti pelanggannya. Cubaan aku untuk habiskan sarapan nasi dagang gagal,  namun aku tetap ceria melayan karenah ibu bapa.

Tiba giliran seorang bapa, dari jarak dua  meter aku sudah terasa ada sesuatu yang bakal mengusik jiwa.

Kini dia duduk di hadapan ku. Wajah sugul namun cuba disembunyikan sehabis daya.

Tanpa berlengah aku bertanya.

"Iqbal (bukan nama sebenar) ada adik lain tak?"

"Ada cikgu.."

"Baik, PIBG nanti si adik yang bayar ye? Abang tak perlu."

Dia mengangguk perlahan.

"Tshirt koku nak beli ke? Masih elok?"

"Ye cikgu, OK lagi."

"Nametag nak beli ke?," tanyaku lagi.

Dia menelan air liur.

 "Berapa harga nametag ye cikgu?"

"RM5 sahaja encik. Ada 4 keping."

"Saya dah tak ada duit cikgu."

 "Takpe encik, kalau elok tak perlu beli. Nak beli kemudian pun boleh."

Rasa bersalah menyelubungiku.

Segera ku terima bayaran yang dihulurkan.

Kosong dompet duitnya...

Ku kira dan ku kembali kan duit RM50 kepadanya.

"Err.. Kenapa ni cikgu?"

"Untuk tahun ini kita tak kutip bayaran xxxx encik. Kita forward dari bayaran tahun lepas sahaja."

Serta merta wajah sugul kembali segar. Bagai tidak percaya dengan duit RM50 ditangannya. Dibelek berkali-kali.

"Oh ya cikgu, dah ada duit ni bolehlah saya beli nametag anak tu."

Allah.. Sekali lagi aku dihambat rasa bersalah.

"Takpe encik, nametag anak tu kemudian pun Boleh. Encik ambil Lah dulu duit tu. Buat belanja."

Sekali lagi dibelek-belek duit RM50. Perlahan-lahan dimasukkan kembali ke dalam dompetnya yang lusuh.

Aku sebak...

"Terima kasih cikgu."

Bukan senang bagi seorang lelaki ingin mengatakan "saya takda duit" di depan wanita yang asing. Jika dia mampu atau masih punya baki di rumah atau bank pasti akan disuruh juga saya ambil duit name tag anaknya. Tapi tidak..

Semoga Allah permudahkan urusan kita.