BAHAGIAN 1

SUATU ketika saya membawa keluarga menikmati sarapan di Restoren Tumis. Pagi itu Restoren Tumis penuh dengan pelanggan sehinggakan ada yang terpaksa menunggu di luar untuk menunggu meja yang kosong. Itu pemandangan biasa yang berlaku di Restoren Tumis.

Dan seperti biasa saya memilih untuk memesan nasi lemak ayam goreng dan sambal kerang serta air teh c peng pandan.

Ketika sedang menikmati sarapan, tiba-tiba saya disapa oleh seorang lelaki. Badannya lebih kecil dari saya tetapi pada wajahnya menunjukkan bahawa usianya mungkin di sekitar 50an.

"Assalamualaikum ustaz. Minta maaf saya terlupa nama ustaz..."

"Waalaikumsalam bang. Panggil saja saya Cikgu Malik.

"Minta maaf cikgu. Sepertinya saya tidak beradab dengan cikgu. Nama cikgu pun saya tak tahu.

"Tak ada apa tu bang. Tak payah minta maaf. Apa perlu bang?

"Cikgu ke yang pandai tangkap hantu tu?"

"Bukan bang. Saya bukan kerja tangkap hantu. Saya tak pandai tangkap hantu. Saya cikgu sekolah rendah je.

"Owh...Minta maaf cikgu. Saya salah orang. Nanti saya cari orang yang boleh bantu saya.

"Abang ada masalah ke sampai perlu nak cari orang yang pandai tangkap-tangkap hantu ni?"

“Ada cikgu. Anak saya. Dah sebulan meracau kat rumah. Kami terpaksa ikat dia dekat tiang rumah. Kalau tak dia akan mengamuk. Habis barang rumah dipecahkannya.”

"Kenapa boleh macam tu bang.

"Entahlah cikgu. Lepas dia balik memancing udang kat atas jambatan sungai sekitar jambatan menuju Kuala Tatau tu terus jadi macam ni.

"Jambatan apa bang? Kat sungai mana tu?

"Saya sendiri tak tau cikgu. Kan kalau kita nak pegi ke Kuala Tatau tu ada tujuh ke lapan buah jambatan kalau saya tak silap. Dia memancing kat situlah. Kat salah satu jambatan kat situ.

"Mungkin jugak bang. Saya dan kawan saya sendiri pernah juga diganggu masa memancing di salah sebuah jambatan yang ada kat situ. Siang-siang hari pulak tu. Tapi tak ada apa-apalah yang berlaku.

"Alhamdulillahlah kalau macam tu cikgu. Saya pun tak tau macam mana lagi nak cari orang yang boleh bantu anak saya.

"Camnilah bang. Nanti saya beri nombor telefon abang saya. Ni nombornya. 013 8008357. Ustaz Amir Hamzah. Insya-Allah kalau ‘free’ dia boleh tolong.

"Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak cikgu.

"Takde hal tu bang. Cuma nombor telefon je tu. Camne abang boleh tau saya tangkap hantu tadi?

"Sebenarnya kebetulan saya berada rumah. Sebelum solat subuh tadi saya solat hajat minta pertolongan Allah untuk selesaikan masalah yang mengganggu anak saya. Lepas urusan di rumah selesai saya terniat nak pergi ke bandar. Nak bertanya kepada kawan-kawan atau siapa saja kalau-kalau mereka tahu siapa yang boleh ubatkan anak saya tu.

"Lepas tu saya terniat nak datang ke Restoren Tumis ni. Saya tak pernah ke sini. Inilah kali pertama. Masa tengah makan tadi saya tanya orang yang duduk di sebelah meja saya. Saya ceritakan masalah yang saya alami. Terus mereka tunjuk cikgu tadi. Mereka ada jugak suruh bawa anak saya ke Bangunan Martabat. Tetapi mereka tak tahu bila ada buat rawatan kat situ.

"Lepas siap order, makan dan nak bayar tiba-tiba saya terpandang cikgu tengah makan dengan keluarga. Tiba-tiba terdetik dalam hati nak tanya dengan cikgu kalau-kalau cikgu pandai ubat orang atau kenal dengan siapa yang pandai ubat orang. Itulah saya tanya tadi kalau-kalau cikgu tahu sapa yang boleh tangkap hantu.

"Abang dah bawa anak abang pergi ke hospital ke?

"Dah. Doktor cakap tak ada apa-apa.

"Oklah kalau camtu bang. Abang ‘call’ je Ustaz Amir. Kalau dia free Insya-Allah dia akan tolong abang.

“Alhamdulillah. Terima kasih cikgu. Assalamualaikum.”

"Sama-sama bang. Waalaikumsalam..

Selepas itu lelaki tersebut meninggalkan kami sekeluarga dan menuju ke sebuah kereta Hylux hitam yang di parkir di hadapan Restoren Tumis tadi. Kemudian isteri saya memandang saya sambil bertanya;

"Abang kenal ke siapa orang tu?

"Tak kenal.

"Kenapa abang tak nak tolong orang tu?

"Orang tu nak cari orang yang boleh tangkap hantu. Abang mana tau tangkap hantu ni macam mana.

"Habis tu selama ni abang rawat orang tu?

"Tu bukan tangkap hantu. Itu keluarkan jin yang mengganggu pesakit di dalam badan dengan izin Allah.

"Tau. Saja je tanya abang. Manalah tau abang betul-betul boleh tangkap hantu. Lain kali bagitaulah yang abang boleh ikhtiar untuk bantu orang yang kerasukan ni walaupun bukan dengan cara tangkap hantu.

Saya cuma tersengih. Melayan nasi lemak rasanya lebih nikmat dari mendengar bebelan orang yang saya sayangi.

Selepas kami habiskan sarapan. kami pergi ke Pasaraya Farley di Medan Jaya untuk membeli keperluan dapur.

Panggilan telefon

Semasa sedang memilih barang keperluan dapur, tiba-tiba telefon saya berdering. Lalu saya pun menjawab panggilan tersebut.

"Assalamualaikum. Ni Ustaz Malik ke?

"Haah. Saya Cikgu Malik.

"Minta maaf cikgu. Saya Abang Lan.

"Iya bang. Ada nak mintak tolong apa bang?

"Tadi saya ‘call’ Ustaz Amir. Nak minta tolong tengok-tengokkan anak saya. Tapi Ustaz Amir tak dapat nak bantu sebab dia jadi hakim Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Bintulu. Jadi Ustaz Amir beri nombor telefon cikgu.

"Kat mana rumah Abang Lan ni?

"Kat Kuala Tatau cikgu. Saya nak mintak cikgu datang ke Kuala Tatau. Kalau nak bawak ke tempat cikgu mungkin susah sebab saya takut anak saya akan mengamuk nanti atau melarikan diri. Pernah juga dua tiga kali ikatan tangan dan kakinya terputus apabila dia tengah mengamuk. Itu yang saya risau cikgu.

"Kuala Tatau? Jauh jugak tu bang kalau nak ke sana.

"Ya cikgu. Saya tak ada pilihan.

"Bila bang nak saya datang?

"Malam ni cikgu.

"Malam ni?

Sebenarnya untuk pergi ke Kuala Tatau taklah sejauh mana. Cuma sekitar dalam lingkungan 40 km sahaja dari bandar Bintulu.

Tetapi mengenangkan perjalanan ke sana pada waktu malam tanpa ada lampu neon yang menerangi sepanjang laluan, juga ditemani dengan kebun serta belukar di sepanjang jalan menyebabkan perasaan takut sentiasa menyelubungi diri.

Pernah beberapa kali juga saya ke Kuala Tatau pada malam hari. Untuk urusan merawat pesakit. Perjalanan ke sana pada waktu malam bagi saya sangat menyeramkan. Tetapi mungkin tidak pada orang lain.

Kadang-kadang saya pernah juga terserempak dengan beberapa orang kaki pancing yang keseorangan pada malam hari sedang memancing udang di atas jambatan-jambatan sepanjang perjalanan ke Kuala Tatau. Tidak pula mereka merasa takut.

“Kenapa cikgu? Cikgu sibuk ke?”

“Tak. Saya takut bang?”

“Takut. Betul ke ni cikgu?”

“Betul bang.”

“Takpelah cikgu. Kalau tak dapat tak apalah. Nanti saya usahakan cara lain.”

“Macam nilah bang. Insya-Allah malam ni saya datang. Lepas Isyak saya berangkat dari Bintulu.”

“Alhamdulillah...”

“Tapi kalau saya takut saya tak jadi datang bang.”

“Hahaha...Ada pulak macam tu cikgu...”

“Hehehe...Ada bang. Saya je kot macam tu. Baiklah bang. Insya-Allah jumpa malam ni nanti.”

Pada malam itu, setelah solat Isyak saya meminta izin daripada isteri saya untuk pergi ke rumah Abang Lan. Entah kenapa pada malam tersebut perasaan saya agak sedikit berkecamuk.

Di antara memenuhi tanggungjawab untuk membantu Abang Lan ataupun mengundurkan diri saya kerana takut akan sesuatu yang menanti saya di sana nanti.

Biasanya untuk kes-kes agresif seperti ini saya akan serahkan kepada Usu, Anai dan Fendi. Tetapi mengenangkan saya telah meminta mereka merawat pesakit di tempat lain jadi saya mengambil keputusan untuk datang seorang diri.

Saya mulakan langkah saya dengan membaca Surah aAl-Fatihah, Kursi dan tiga Qul serta zikir Al Ma’tsurat.

Sudah menjadi kebiasaan saya untuk membaca surah-surah dan zikir ini sebelum berangkat ke rumah pesakit. Juga tawakal dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah.

Perjalanan dari rumah ke simpang Kampung Jepak, saya ditemani oleh kenderaan-kenderaan pelbagai saiz.

Jadi sedikit sebanyak rasa kerisauan itu hilang bila mana kesibukan di atas jalan raya pada ketika itu menemani perjalanan saya.

Sempat juga saya hiburkan diri saya dengan nyanyian lagu 'Paint My Love' nyanyian dari Kumpulan Micheal Learn To Rock yang kebetulan sedang berkumandang di corong radio untuk mengurangkan tekanan yang ada.

Dan saya masih hafal lagi liriknya;

 

Paint my love,

You should paint my love,

It’s the picture of thousand sunset,

It’s the freedom of a thousand doves,

Baby, you should paint my love..

Saya masih ingat lagi bila mana lagu ‘Paint My love’ dan ‘That Why You Go Away’ dari Kumpulan Micheal Learn To Rock tengah merasuk jiwa-jiwa anak muda seperti saya pada tahun 90an. Ketika itu destinasi anak muda cuma ada di Bangunan Li Hua Plaza.

Dan pada ketika itu juga anak-anak muda akan berkumpul di sini untuk memperagakan pakaian dan juga pentas untuk mencari perhatian lelaki dan gadis idaman.

Restoren Sugar Bun dan juga kedai kek Apple Bee juga menjadi saksi pada ketika itu kerana di situlah remaja sebaya saya melepak hingga berjam-jam lamanya tanpa ada tujuan.

Cuma dengan memesan air cola dan fun fries bersaiz kecil tetapi lagak seperti orang kaya sudah cukup untuk menarik minat gadis-gadis ketika itu.

Maklumlah. Gaya seperti anak orang kaya sahaja. Tanya saja dengan ibu dan ayah. Juga abang dan kakak pembaca dari Bintulu. Mungkin mereka pasti akan ingat lagi.

Begitu juga saya. Saya dan kawan-kawan juga menjadi penghuni di situ. Cuma saya tidak laku pada ketika itu. Tiada yang sudi menjadi girlfriend saya walaupun saya tahu saya juga ada peminat sendiri pada ketika itu.

Dan sudah menjadi tradisi untuk lepak di Sugar Bun pada setiap pagi Sabtu membawa ke petang.

Dan juga pada ketika itulah medan Li Hua Plaza menjadi saksi kebangkitan budaya ‘Bros’ dan juga munculnya peminat Milli Vanilli. Juga timbulnya penggemar Vanilla Ice dan MC Hammer.

Tanya saya dengan Tuan Ahmaddul iaitu pemilik Restoren An Najah dan juga Murad ‘lipas kudung’ dan kawan-kawan mereka.

Merekalah inilah antara yang berani memecah tradisi legasi Kumpulan Rock anak-anak muda Bintulu 90an yang mana sebelumnya mendapat inspirasi dari Kumpulan Rock yang lebih veteran sekitar 80an yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Kumpulan Kibota’, ‘Kumpulan Stone’ dan ‘Chicanos’ yang telah lama bertapak sebelumnya.

Cuma sekarang ahli Kumpulan Stone dan Chicanos sudah lama bersara dan sekarang ramai di antara mereka sudah menjadi datuk dan ada yang sudah meninggal dunia.

Simpang Jepak

Sesampainya saya di simpang Jepak, saya mula risau. Perjalanan yang jauh ini akan saya harungi bersendirian saja.

Apa lagi sepanjang ke Kuala Tatau tiada lampu neon yang menemani. Perjalanan saya nanti pastinya akan diselimuti dengan kerisauan dan ketakutan.

Ketika melintasi kawasan Kampung Jepak, saya mula sedikit tidak tenteram. Walaupun pada awalnya banyak rumah-rumah yang ada yang boleh saya lihat dari jalan raya nanti.

Sehinggalah setelah melalui kawasan lot atau Kampung Warisan Jepak, suasana sunyi mula menyambut saya dengan lambaian pokok dan belukar hutan kecil yang ditiup angin malam.

Setelah melintasi Kampung Warisan Jepak, kegelapan malam mula menemani perjalanan saya. Saya memerhati ke hadapan. Laluan jalan raya tidak sebegitu jelas kerana kabus malam mula turun perlahan-lahan.

Cuma sesekali saya bertembung juga dengan dua tiga buah kereta sepanjang menuju ke Kuala Tatau. Mungkin mereka sedang menuju ke bandar Bintulu.

Sekurang-kurangnya pada ketika melihat cahaya lampu kereta dari arah bertentangan, jiwa yang kerisauan tadi menjadi sedikit tenang walaupun ianya cuma untuk beberapa saat sahaja. Dan kemudian saya kembali risau seperti biasa.

Saya memandang ke arah meter kereta. Kelajuan saya gunakan cuma sekadar 80 km sejam. Kelajuan yang selamat saya rasakan memandangkan kabus yang turun menjadi semakin tebal.

Sesekali saya cuba juga untuk bergerak lebih pantas memandangkan perjalanan saya masih jauh lagi.

Saya juga tidak mahu berada lama-lama di atas jalan raya sepanjang perjalanan ke Kuala Tatau ini. Kerana saya dapat merasakan yang saya seperti menuju ke sebuah dunia lain.

Juga merasakan sedang di perhati dari arah yang saya sendiri tidak tahu dan juga merasakan yang saya mula diekori.

Setelah melalui Jambatan di ‘Sungai Mas’ saya mula terpandang sesuatu di pertengahan jalan. Saya cuba memperlahankan kereta saya. Setelah saya teliti ternyata ada seekor ular sedang menyeberangi jalan.

Bentuknya seperti seekor ular tedung selar berwarna hitam. Tetapi pergerakannya sangat lambat seperti ular sawa.

Saya tidak dapat melihat kepalanya kerana pada bahagian kepalanya sudah masuk ke dalam belukar. Agak lama juga saya menunggu ular tersebut melintasi jalan.

Sampailah suatu ketika ular tersebut tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Lalu secara perlahan-lahan kepalanya yang tadi sudah berada di belukar diangkat setinggi mungkin sambil memandang ke arah kereta saya.

Pada ketika itu saya rasakan kepalanya telah melepasi ketinggian kereta saya dan saya rasa itu adalah seekor ular tedung selar yang sangat besar dan panjang.

Mungkin lebih dari lima meter. Cuma saya hairan kenapa ular tedung selar tersebut tidak bergerak pantas seperti ular tedung selar yang lain.

Semasa ular tersebut mengangkat badan dan kepalanya setinggi mungkin, saya perasan di belakang badan pada bahagian kepalanya terdapat seperti ada dua garis putih.

Ketika sedang bertentang mata dengan ular tersebut bulu roma saya tiba-tiba naik mendadak.

Ular tersebut juga memandang tepat ke arah saya seolah-olah seperti tahu bahawa saya adalah sebagai suatu ancaman untuknya.

Juga boleh jadi ular tersebut mengalu-alukan kehadiran saya untuk menikmati suatu pengalaman yang menakutkan nanti.

Pada ketika itu saya teringat akan sebuah hadis dari Rasulullah SAW yang berbunyi;

Dari Ibn Umar r.a, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW berkhutbah di mimbar. Rasulullah SAW bersabda,

“Bunuhlah ular, bunuhlah Dzu Ath Thifyatayn dan Al Abtar, sebab kedua binatang itu menyembur mata dan menggugurkan kandungan.” (HR. Bukhari)

Di dalam Shahih Bukhari juga diriwayatkan bahawa Nabi SAW juga memerintahkan para sahabat membunuh ular dan selepas beberapa ketika sesudah itu Nabi SAW melarang membunuh ular yang menghuni rumah, sebab mereka adalah jin-jin yang menetap di rumah-rumah itu.

Ibn Hajar mengatakan,

"Adapun perkataan Nabi yang berbunyi: ‘Bunuhlah Dzu Ath Thifyatayn, adalah ular yang mempunyai dua garis putih di belakangnya.” Ibn Abd Al Barr mengatakan, “Disebut-sebut bahawa, Dzu Ath Thifyatayn adalah sejenis ular yang mempunyai dua garis putih di belakangnya, sedangkan Al Abtar adalah ular buntung (tidak berekor).” (Fathul Bari).

Agak lama juga ular tersebut merenung ke arah saya sambil beberapa kali juga kepalanya naik turun sambil sesekali memandang ke arah sekeliling.

Lalu kembali memandang ke arah saya semula. Apa yang mampu saya lakukan adalah cuma membaca surah Kursi sekuat yang mungkin sebagai ikhtiar untuk menghalang ular tersebut kalau-kalau ia berniat untuk bergerak ke arah saya.

Ketika sedang asyik membaca surah Kursi saya perhatikan seperti ada cahaya lampu kereta dari arah belakang. Semakin lama semakin dekat dan semakin lama semakin dekat.

Hati saya semakin lega. Apabila kereta tersebut semakin hampir tiba-tiba kereta tersebut membunyikan hon beberapa kali.

Mungkin kereta tersebut hairan kenapa kereta saya tiba-tiba berhenti di tengah jalan atau boleh jadi juga sebagai memberi amaran dengan cara menimbulkan bunyi yang kuat supaya ular tadi cepat-cepat masuk ke dalam belukar.

Tetapi yang menghairankan apabila kereta tersebut mula melintasi kereta saya, kereta tadi terus melanggar ular tersebut tetapi ular tersebut tetap tidak bergerak dan tidak langsung berganjak tanpa ada rasa sakit sambil kepalanya memandang tepat dan mengikuti pergerakan ke arah kereta tersebut.

Ular itu juga seolah-olah tiada kesan langsung apabila dilanggar oleh kereta tadi. Pemandu kereta tersebut juga seperti tidak nampak akan kehadiran ular besar tadi yang sedang merentangi dirinya di tengah jalan.

Lebih menghairankan saya apabila kereta itu menyuluh ke hadapan, saya tidak nampak kelibat ular tadi di atas jalan melainkan kabus-kabus yang berterbangan rendah di atas jalan sahaja.

Sedangkan tadi saya benar-benar melihat yang ular tersebut dan ia masih lagi berada di atas jalan.

Kelibat ular

Dan selepas kereta tersebut melintasi ular tersebut barulah saya nampak semula kelibat ular tadi. Dan badannya masih lagi ada di atas jalan. Lalu saya beristighfar beberapa kali sambil menggosok-gosok mata saya beberapa kali.

Setelah beberapa ketika ular tersebut kembali menundukkan kepala dan bergerak ke hadapan sambil menyusuri belukar di tepi jalan. Entah kenapa saya rasakan yang itu bukan ular sebenar melainkan mungkin jelmaan dari jin.

Kalau betul-betul ular takkanlah ular tersebut tidak meggelupur kesakitan semasa dilanggar oleh kereta.

Dan takkanlah juga ular tersebut boleh hilang dari pandangan mata saya apabila disinari dengan cahaya lampu kereta.

Apalagi ketika saya sedang membaca surah Kursi tadi perasaan saya seakan berlainan rasanya sehinggakan bulu roma saya naik secara tiba-tiba.

Selepas itu saya cuba untuk meneruskan perjalanan saya. Cuma kali ini saya mempercepatkan perjalanan kereta saya supaya boleh cepat sampai ke Kuala Tatau.

Setelah saya sampai di Jambatan Sungai Setulan dan sekitar 100 meter di hadapan, saya lihat kereta yang melanggar ular tadi telah jatuh ke dalam parit di sebelah kiri bahu jalan.

Saya cuba untuk berhenti dan memberikan pertolongan sekiranya perlu.

Tetapi apabila saya berhenti dan keluar dari kereta, saya lihat tiada seorang pun yang berada di dalam kereta tersebut dan sepertinya sudah lama kereta tersebut mengalami kemalangan jalan raya dan ditinggalkan di sana begitu sahaja.

Kelihatan kereta tersebut juga telah berkarat dan penuh dengan lumpur. Juga dihiasi dengan tumbuhan yang meliar mengelilinginya.

Cermin keretanya juga pecah dan tayar keretanya seperti telah terbakar. Sedangkan kereta itulah yang saya lihat sendiri dengan mata kepala saya sedang melintasi kereta saya tadi sambil membunyikan hon.

Tetapi kenapa kereta tersebut seperti sudah lama kemalangan? Mana semua pemandu dan penumpang kereta tersebut?

Kenapa kereta yang baru melintas saya tadi bertukar menjadi kereta yang sudah lama tersadai kemalangan? Semuanya bermain di jiwa saya.

Saya dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Apa lagi sekarang saya sedang berada di pertengahan jalan yang jauh dari kehadiran manusia.

Mungkin ada beberapa buah rumah panjang yang terdapat di laluan ini tapi tidak mungkin untuk saya meminta sebarang pertolongan dengan pantas kalau ada apa-apa yang berlaku.

Sedang saya memerhati kereta tersebut, tiba-tiba dari arah belukar di sebelah tepi seperti ada sesuatu yang cuba keluar dan bergerak ke arah saya.

Dari sekilas pandangan mata, saya seperti terpandang seekor ular yang sangat besar berwarna hitam. Cuma tanda putih di belakangnya sangat jelas. Juga desiran angin yang keluar dari mulutnya.

Tanpa membuang masa saya berlari untuk masuk ke dalam kereta saya dan memecut selaju mungkin.

Jangan saja ada ular tedung selar bertanda putih di belakangnya tadi tiba-tiba merintangkan badannya di sepanjang laluan lalu menghalang perjalanan saya.

Atau jangan saja pemandu dan penumpang kereta yang kemalangan tadi tiba-tiba muncul di tengah jalan lalu menahan dan menumpang kereta saya.

Saya semakin risau. Ketakutan juga menguasai diri saya. Rasanya perjalanan saya semakin jauh sedangkan sudah lama saya rasakan yang saya berada di atas jalan raya ini.

Badan saya mula berpeluh sedangkan ‘aircond’ saya buka sekuat-kuatnya.

Tidak berapa lama kemudian, sesuatu yang lain pula muncul di pertengahan jalan. Saya tidak pasti apa dan kenapa.

Yang pasti dari kejauhan tiba-tiba ada seorang perempuan sedang berjalan di atas laluan kereta sambil badannya membelakangi saya.

Saya cuba untuk melihat kakinya. Ada atau tidak. Kalau tidak ada mungkin itu betul-betul syaitan. Itu yang biasa kita dengar dari mulut orang tua dulu-dulu.

Tetapi apa yang saya lihat adalah kedua belah kaki perempuan tersebut tetap menyentuh lantai.

Cuma dia tidak melangkah ke hadapan tetapi badannya sedang bergerak seperti sedang melangkah.

Saya cuba memperlahankan kereta saya. Mungkin perempuan tersebut betul-betul manusia.

Jadi saya menunggu saat yang tepat untuk melihat wajah dan keadaannya semasa saya memperlahankan kereta saya untuk lalu di sampingnya nanti.

Kelibat perempuan di pertengahan jalan

Apabila kedudukan saya semakin dekat iaitu cuma beberapa meter sahaja di belakangnya, saya mengambil keputusan untuk melihat dengan mata saya siapakah gerangan perempuan tersebut.

Lalu selepas itu dengan lafaz Basmallah saya berpeluang melihat sendiri wajah dan badan perempuan tersebut. Ternyata perempuan itu sebenarnya sama seperti perempuan biasa.

Tidak muda dan tidak tua. Sentiasa tersenyum walaupun saya hanya melihatnya dari arah cermin pintu sebelah kiri iaitu bahagian penumpang kereta saya.

Sempat juga perempuan itu tersenyum memandang saya dan saya balas senyuman perempuan tersebut sebagai tanda beradab sesama manusia. Cuma...

Cuma yang menghairankan saya ialah apabila saya telah melintasinya dan memandang ke arah cermin pandang belakang, ternyata perempuan tersebut telah bertukar menjadi kabus hitam yang pekat.

Untuk kepastian saya memperlahankan kereta saya dan memandang ke belakang dan ternyata perempuan tersebut sudah tidak ada lagi. Tanpa membuang masa saya terus memecut kereta saya selaju yang mungkin.

Paling tidak pun untuk jarak yang selamat sehingga saya rasakan yang perempuan itu sudah tidak lagi mengiringi perjalanan saya. Tetapi sebaliknya berlaku. Apa yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan.

Tiba-tiba di dalam kegelapan malam serta kabus tebal yang sedikit mengganggu pandangan mata, tiba-tiba saya lihat seperti ada bentuk tubuh badan wanita tadi sedang terbaring di tengah jalan. Sambil badannya membelakangi saya.

Di atas jalan raya di sekitar perempuan tersebut penuh dengan darah-darah segar. Begitu juga pada pakaiannya.

Sehinggakan bau darah mula memasuki ruang pada kereta saya lalu mengalir di dalam rongga-rongga hidung dan menimbulkan rasa tidak selesa dan meloyakan anak tekak.

Kali ini saya mengambil keputusan untuk tidak mahu berhenti. Kalau perempuan itu benar-benar dilanggar oleh kereta biarlah orang lain yang akan menolong dan kalau perempuan itu jelmaan dari syaitan biarlah dia tidur di jalan. Asalkan dia selesa dan bukan saya yang tidur di atas jalan.

Walaupun saya tidak mahu memberhentikan kereta saya tetapi saya tetap untuk tidak mahu melanggarnya.

Nanti semakin banyak pula halangan yang datang dan ada saja alasan untuk syaitan menuntut dendam walaupun secara jelasnya memang syaitan-syaitan ini sengaja untuk mengganggu manusia.

Apabila saya mengambil keputusan untuk tidak berhenti, saya cuba menggunakan ruang yang ada untuk menyelit agar tidak melanggar perempuan tersebut. Dan tekaan saya benar.

Ternyata perempuan itu bukan manusia kerana selepas berjaya mengelak dari melanggar perempuan tersebut ternyata perempuan tersebut tidak ada pada ketika saya cuba untuk memandang ke belakang dan hampir-hampir saja kereta saya menjunam ke dalam parit sebelah kanan.

Sempat juga saya terfikir. Mungkin ini sebabnya kenapa ramai pemandu kereta yang kemalangan pada siang hari. Apatah lagi malam.

Kerana pandangan mereka diganggu oleh syaitan-syaitan yang cuba untuk menyusahkan manusia.

Sampai di Kuala Tatau

Sebab itulah kita dianjurkan untuk membaca doa dan beberapa ayat al-Quran sebelum memulakan perjalanan dan juga bertawakal kepada Allah.

Lalu saya teringat yang saya juga terlupa untuk membaca doa sebelum memulakan perjalanan tadi. Dan kemudian saya terus membaca doa tersebut;

Dari Ibnu Umar r.a bersabda;

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepadaMu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! Kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! Aku mohon berlindung daripadaMu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.” (H.R Muslim, 1342)

Sebenarnya bukan kerana tidak membaca doa ini tadi menyebabkan saya diganggu oleh syaitan.

Tetapi mungkin Allah sengaja menguji bagaimana perlunya kita menyerah kepada Allah dengan sebenar-benarnya supaya perjalanan pergi balik kita ke suatu destinasi itu adalah sentiasa bernilai ibadah.

Setelah membaca doa dan beberapa ayat al-Quran, saya meneruskan perjalanan saya sambil kembali melafazkan zikir Al Ma’tsurat dan alhamdulillah selepas itu tidak ada apa-apa yang berlaku.

Lebih kurang beberapa minit kemudian akhirnya saya telah sampai di Kuala Tatau.

Dari kejauhan saya mula melihat ada beberapa buah rumah yang disinari dengan cahaya lampu. Perasaan saya juga mula tenang.

Dan akhirnya saya memberhentikan kereta saya di tepi jalan raya. Di situ saya lihat ada beberapa buah kereta yang di parkir tidak jauh dari muara sungai.

Kelihatan juga beberapa orang lelaki yang sedang membawa peralatan memancing mereka. Mungkin mereka ingin memancing udang di tepian sungai Kuala Tatau ini.

Di Kuala Tatau ini juga adalah salah satu destinasi yang terkenal di kalangan para pemancing udang dari sekitar bandar Bintulu selain dari Sungai Labang, Pulau Binai, Sungai Sebauh dan Sungai Tatau.

Selepas itu saya mengeluarkan telefon saya lalu mendail nombor Abang Lan untuk memberitahu yang saya sudah berada di Kuala Tatau.

“Assalamualaikum Abang Lan. Saya dah sampai di Kuala Tatau.”

“Waalaikumsalam cikgu. Ingatkan cikgu tak jadi datang.”

“Kalau dah berjanji saya tetap akan datang bang.”

“Owh...Kan tadi cikgu telefon bagitau yang cikgu tak jadi datang. Lepas tu suara cikgu macam marah-marah saja dan menyalahkan saya sebab mengganggu cikgu.

“Tak adapun saya telefon abang tadi. Yang ‘last’ kita berbual masa siang tadi. Yang abang mintak tolong saya datang. Lepas tu tak ada lagi saya telefon abang.

“Pelik. Tadi memang cikgu yang telefon. Memang nombor hp cikgu yang keluar dari ‘screen’ hp saya.

“Hahaha...Takdelah bang. Saya memang dah janji nak datang.

“Baiklah cikgu. Nanti saya ke san. Cikgu pakai kereta apa?

“Almera kelabu bang. Saya parkir dekat kawasan orang letak kereta banyak-banyak tu.

“Owh...Ok cikgu. Kejap lagi saya sampai. Assalamualaikum...

“Waalaikumsalam bang.

Selepas itu saya matikan panggilan tadi lalu memandang ke arah hp saya.

Beberapa kali juga saya periksa balik panggilan keluar dan tiada panggilan ke nombor Abang Lan melainkan nombor panggilan dari Abang yang masuk ke hp saya pada siang tadi.

Saya merasa hairan. Bagaimana syaitan boleh juga memanfaatkan keadaan seperti ini untuk menghalang saya dari datang ke rumah Abang Lan.

Sebelum ini ada beberapa kali juga saya mengalami keadaan seperti ini.

Setelah itu saya letakkan hp saya di sebelah tempat duduk penumpang di sebelah kiri. Lalu saya buka radio rancangan kegemaran saya iaitu Radio Klasik.

Kebetulan pada ketika itu terdengar suara dari penyanyi kesukaan saya iaitu Azlina Aziz sedang mendendangkan lagu ‘Mencari Mimpi’. Salah satu lagu 80an yang saya minati sekian lama.

 

Lingkungan warna-warna indah biar seketika

Pelangi di langit yang muram mengasyikkan...

Sejenak kubiarkan diri melayani hati

Mencari mimpi-mimpi indah sia-sia

Seumpama...

Pengembara...

Terpedaya...

Kerana mimpi...hanya mimpi..

 

Sambil menunggu Abang Lan, saya terpengaruh juga untuk menyanyikan sama-sama lagu ini untuk menghiburkan hati saya sambil menunggu Abang Lan dan untuk melupakan sejenak apa yang terjadi di sepanjang perjalanan ke sini tadi.

Diganggu bunyi suara dengusan manusia dan desiran ular

Selepas mendengar lagu nyanyian dari Azlina Aziz tadi mata saya mula mengantuk. Saya tidak dapat menahan rasa mengantuk ini.

Entah kenapa saya juga tidak tahu. Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

Tiba-tiba saya terdengar bunyi sesuatu dari arah tempat duduk di bahagian belakang kereta saya. Bunyinya seperti dengusan manusia dan kadang-kadang seperti bunyi desiran ular.

Cuma bunyi desiran itu diselang seli dengan suara ketawa kecil perempuan.

Tanpa membuang masa saya terus memandang ke arah belakang sambil mencari-cari kalau-kalau ada sesuatu yang bersembunyi di sebalik belakang tempat duduk penumpang dan ternyata tidak ada.

Tetapi suara desiran itu tetap ada. Juga suara perempuan yang kembali menaikkan bulu roma saya.

Selepas itu saya kembali memandang ke hadapan sambil berusaha untuk membaca ayat al Quran.

Sedang saya ingin memulakan bacaan saya tiba-tiba sekali lagi saya terdengar suara perempuan tersebut dari arah belakang. Malah kali ini semakin jelas kedengaran.

"Hehehehe...Jadi kamu tetap mahu membantu lelaki bodoh itu. Hehehe...

Dalam keadaan ketakutan seperti itu saya mengambil keputusan untuk tidak mahu menoleh ke belakang kerana saya belum bersedia. Saya cuma menutup mata sambil fikiran saya terus mengingati Allah.

"Jadi kamulah yang cuba mengganggu aku ya?

"Tidak. Aku tidak mengganggu kamu. Kamu yang mengganggu orang lain.

"Kenapa mesti aku? Dia yang memulakan segalanya. Apa perlu aku berpeluk tubuh saja sedangkan dia yang mengganggu aku.

"Itu aku tidak tahu. Aku cuma dipanggil untuk datang ke sini.

"Kamu pulanglah. Aku janji tidak akan mengganggu kamu. Tetapi kalau kau berkeras, kau sendiri juga tahu aku siapakan?

"Tidak. Aku tidak tahu.

"Apa kau juga mahu tahu aku siapa? Hehehe...Lihat saja ke sini. Tolehlah ke belakang ini. Aku juga ingin melihat diri kamu bagaimana.

"Tidak aku tidak mahu. Aku tidak ada urusan dengan kamu.

“Kalau begitu mari aku tunjukkan siapa aku. Supaya kita boleh saling mengenal. Hehehe...

"Tidak. Aku tidak mahu. Berambuslah kau syaitan.

"Hehehe...Kamu tunggu ya. Biar aku saja ke hadapan. Kamu tak perlu untuk memandang ke belakang.

"Tidak aku tidak mahu. Pergi. Pergi kau dari sini. Semoga Allah akan melaknat engkau selamanya.

Tidak lama kemudian bunyi dengusan tadi hilang. Suasana bertukar menjadi hening dan menyeramkan. Saya mula membuka mata memandang ke arah sekeliling.

Malam sepertinya sangat kelam dan gelap seolah-olah saya sedang berada di sebuah dunia yang lain.

"Hehehe...Aku masih di sini. Di belakang kamu. Apa kamu juga ingin menatap diri aku? Seperti mana aku menatap engkau dari arah belakang.

Allahu rabbi. Betapa takutnya saya pada ketika itu sehinggakan ingin sahaja saya berlari keluar dari kereta dan menjerit sekuat mungkin. Agar semua penduduk Kuala Tatau bangun dan membantu saya.

Tetapi silap hari bulan saya pula yang ditangkap nanti dan dihumban ke sungai kerana dituduh gila dan cuba mengganggu penduduk di situ.

"Kamu tunggu ya. Hehehe...

"Jangan. Aku tidak mahu. Kalau kau berkeras aku jua akan berkeras nanti...

"Hehehe...Itulah yang aku mahu darimu.

Tiba-tiba saya rasakan seperti ada sepasang tangan sedang memegang bahu saya dan merayap hingga ke bahagian muka saya.

Rasanya sangat dingin tetapi agak tajam. Lalu secara perlahan saya cuba untuk memandang kedua belah tangan tadi.

Saya merasa terkejut yang teramat sangat kerana tangan yang cuba menyentuh saya bentuknya seperti tangan mayat, berkuku panjang kehitaman tetapi tangannya penuh dengan sisik seperti sisik ular.

Tidak pernah lagi selama ini saya melihat tangan sebegitu rupa. Tangan manusia yang bersisik seolah-olah seperti bentuk ular.

Oleh kerana terlalu takut dan terkejut dan juga untuk menyelamatkan diri, saya terfikir juga untuk menghulurkan penumbuk saya pada wajah perempuan tersebut sekiranya perlu.

Biar hidungnya berdarah. Biar perempuan itu tahu bagaimana rasanya mengganggu orang yang sedang ketakutan.

Selepas itu dengan semua kekuatan dari ketakutan yang menyelubungi saya, saya mula menoleh ke belakang lalu melepaskan beberapa penumbuk saya tanpa arah. Tetapi ternyata perempuan itu tidak ada di belakang.

Lalu saya beristighfar beberapa kali. Mungkin saya terlalu melayani perasaan takut. Jadi macam-macam boleh berlaku.

Setelah puas saya memeriksa keadaan di bahagian tempat duduk belakang lalu saya kembali memandang ke arah hadapan sambil mengurut dada beberapa kali.

Dan sekali lagi saya terkejut kerana tiba-tiba saya terpandang ada seorang perempuan sedang duduk di bahagian bawah lantai kereta tempat saya meletakkan kaki saya.

Lalu perempuan itu tersenyum dan ketawa dan sekali mengeluarkan desiran seperti bunyi ular.

Wajahnya sangat pelik dan mengerikan. Seluruh wajahnya kehitaman dan dipenuhi dengan sisik seperti sisik ular.

Kedua matanya terbujur keluar sambil tersenyum selebar yang mungkin. Giginya yang panjang berkilat juga jelas di sebelah kanan dan kiri.

"Hahaha...Sekarang kamu rasakan. Inilah akibatnya kalau kamu cuba mengganggu aku. Hahaha..."

"Tidak, aku tidak mengganggu kamu. Pergilah kamu..."

"Hahaha...Sekarang cuma ada kita berdua. Cuma kau dan aku. Hahaha..."

Bersambung

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak

Artikel Menarik:

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan

Jauhi aura negatif di tempat kerja, guru ini dedah tiga tip yang boleh anda cuba...

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

150 guru terpilih Program Duta Guru - Selepas ini bahan PdPC lebih menariklah