"LIMA tahun saya di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sepiling...mana mungkin saya mampu lupakan segala kenangan manis dalam sekelip mata.

Demikian kata Cikgu Muhammad Saffuan Jaffar kepada GPS Bestari.

Dalam nada sedih, Cikgu Muhammad Saffuan mengakui yang warga sekolah itu bagaikan keluarga yang paling terindah pernah muncul dalam hidupnya.

"Ini sekolah pertama saya.

"Segala-galanya cukup indah buat saya. Maaf kak, saya emosi sikit," katanya.  

Beliau yang baru sahaja melaporkan diri di SK Dato Sharif Hamid di Marudi berkongsi detik-detik kejayaan sekolah lamanya.

"Kami pernah wakil Malaysia ke Tokyo pada tahun 2017. Sekolah pedalaman ini menang anugerah best storytelling untuk Kid Witness News (KWN).

"Tahun 2018 pula, kami explore robotik dan SK Long Sepiling adalah sekolah pertama dari pedalaman Baram yang ada Kelab Robotik. Ini merupakan pencapaian terbaik kami kerana berjaya ke peringkat Kebangsaan," ujarnya.

Ikuti luahan hati guru muda ini apabila beliau ditukarkan dari SK Long Sepiling ke SK Dato Sharif Hamid di Marudi.

Semoga terus berjaya di tempat baru Cikgu Muhammad Saffuan. Terima kasih atas kenangan terindah bersama kami.  

**********

Letih dan sedih

Angkat barang dari rumah ke jeti sekolah

Jeti sekolah ke ekspress

Ekspress ke wharf

Wharf ke kereta

Kereta ke depan rumah

Depan rumah ke atas rumah

Terima kasih tak terhingga kepada yang membantu. Aku tak mampu nak buat semua ini seorang diri.

Hari ini hari yang amat menyedihkan. Sampai aku tak mampu nak mengalirkan air mata. Hari perpisahan dengan sekolah pertama aku jejakkan kaki, sekolah pertama aku bergelar seorang guru.

Lebih sedih lagi, meninggalkan anak-anak murid yang sekian lama membesar di depan mata aku. Dari belum mengenal A, B, C dan 1,2,3 sampai dah pandai sifir dan membaca. Inilah kegembiraan seorang guru.

Ada anak-anak murid di sini menumpang kasih sayang guru-guru mereka, guru-guru ibarat ibu dan ayah. Betapa guru-guru di SK Long Sepiling sayangkan anak-anak murid mereka. Aku pun begitu, suka menyakat anak-anak di Sepiling. Ada sahaja aku suka kenakan anak-anak ini.

Kalau pergi mana-mana mesti teringat nak beli cenderamata. Duit raya pun asing siap-siap untuk anak-anak murid di Long Sepiling walaupun mereka tak menyambut Hari Raya. Cikgu nak bagi feel sambutan Hari Raya dengan siap bawa kuih raya lagi dari kampung

Semalam aku berpeluang memberikan sepatah dua kata terakhir sebelum pergi.

“Inilah guru-guru yang tinggal, hormat mereka, jangan lawan cakap guru, guru-guru kamu ini semuanya berpisah dengan keluarga sebab nak didik kamu semua”

Seronok dapat hadiah dari Guru Besar

Dapat surat dari anak murid

Rasa sangat dihargai

Waktu itu, terlintas di fikirkan aku, kenangan manis kami bersama-sama. Kebanyakannya kenangan manis bersama-sama anak murid. Sama-sama naik kapal terbang, Sama-sama kita berjalan, malah sama-sama kita mencipta kejayaan.

Terima kasih kerana hadir dalam hidup aku. Lima tahun masa di Sepiling hanyalah pinjaman. Aku lebih ingatkan kenangan manis dari yang pahit terpaksa aku tempuhi. Akhirnya hari ini segala-galanya berakhir. Tapi kenangan di sana akan tetap segar dalam ingatan.

Jangan sedih, dalam hidup ia sudah menjadi adat. Ada pertemuan dan ada perpisahan. Bagi aku, aku kena cepat untuk move on, beradaptasi dengan suasana baru. Ada ramai anak-anak murid di sini dan aku ingin mencurahkan ilmu selagi hayat di kandung badan.

Semoga “keluarga” baru di Marudi, menerima kehadiran anak perantauan yang kerdil ini. Semoga kita dapat cipta kenangan manis di sini Insya-Allah.

Sumber: Facebook Muhammad Saffuan

Artikel Menarik:

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan