“Murid-murid memang teruja dengan irama syair yang mereka jarang dengar ni. Menariknya, mereka cepat faham dan mudah menghayati rangkap syair yang dilagukan,”jelas guru SK Dato’ Idris, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Cikgu Nor Azizah Abd Aziz.

Video yang dimuat naik beliau di facebooknya baru-baru ini tular di media sosial. Rakaman video syair bertajuk Malaysia Tercinta ketika sesi pengajaran di dalam kelas telah meraih lebih 416,000 tontonan, 3,700 tanda suka dan dikongsi 4,900 kali oleh warganet setakat ini.

Berdasarkan video itu, guru subjek bahasa Melayu dan Pendidikan Muzik, yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Gja ini berkata, syair irama hiasan yang diajar dalam kelas tahun empat itu adalah untuk subjek Bahasa Melayu.

Malah, rakaman tersebut itu juga dibuat menggunakan telefon milik beliau yang diletakkan di atas meja guru.

“Objektif utama pdp saya pada hari itu adalah untuk memperkenalkan murid dengan irama syair yang tidak biasa mereka dengar, di samping menanamkan semangat patriotik dalam diri mereka melalui seni kata syair. Saya gemar menggunakan didik hibur dalam pdp, sebab saya rasa, murid akan lebih seronok dan teruja.

“Penggunaan mikrofon dan pembesar suara tu pun adalah bertujuan untuk membantu murid menjadi lebih fokus. Tapi,  saya tidaklah menggunakannya pada setiap masa.

“Biasanya saya gunakan ia jika sesuatu pembelajaran itu mempunyai lagu atau memerlukan murid membentangkan hasil perbincangan dalam kumpulan, ”katanya kepada GPS Bestari.

Tambahnya, sejak 2010 lagi, beliau telah menggunakan pendekatan tersebut dalam pembelajaran dan pengajaran. Hasilnya, murid mampu untuk menyampaikan syair dengan baik.

Menyentuh tentang keistimewaan sesebuah syair itu, ia bukan hanya terletak pada suara yang melagukan, tetapi juga kepelbagaian irama yang didendangkan.

Guru asal Batu Pahat ini bukan sahaja boleh bersyair menggunakan irama selendang delima, malah beliau juga berkebolehan mendendangkan syair dalam beberapa irama lain.  

“Sekarang, saya rasa saya boleh bersyair menggunakan irama selendang delima, irama hiasan, irama dodoi dan irama dandan setia.

“Sebelum yakin untuk menyampaikannya kepada murid, saya  belajar memahami dan mendengar irama-irama syair tersebut melalui Youtube dan video-video,”ujar guru asal Batu Pahat ini.

Ujar beliau, minatnya bercambah sejak berada di sekolah rendah lagi. Selain aktif terlibat dalam persembahan kesenian, Cikgu Gja juga pernah terlibat dengan nasyid dan deklamasi puisi.

“Semasa di IPG Kampus Bahasa Melayu, saya pernah menyertai program pertukaran budaya di Singapura dan membuat persembahan gurindam di sana,”katanya.

Artikel Menarik:

Berkat kegigihan tiga guru ini, pasukan bola dari sekolah di tengah belantara muncul juara MSSD

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini

'Canteknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

Cikgu K A Razhiyah terima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019