SEBUT pasal duit saku anak-anak ke sekolah, bagaimana anda sebagai ibu bapa menentukan jumlah yang patut diberi untuk mereka?

Ada ibu bapa yang bekalkan anak dengan makanan dari rumah dan mengurangkan duit saku, mungkin cukup untuk anak berbelanja.

Namun bagi murid yang tidak membawa bekal, agaknya cukupkah duit saku yang diberi oleh ibu bapa itu?

Mari kita ikuti perkongsian Guru Bimbingan & Kaunseling SK Putrajaya Presint 8(2), Cikgu Hussin Ismail ini berkaitan duit saku hasil tinjauan beliau di kantin sekolahnya.

+++

Jalan-jalan pusing kantin tinjau anak murid makan pada waktu rehat, terserempak seorang murid perempuan TahunTiga sedang makan bihun sup dengan berselera sekali.

Seorang lagi di sebelahnya tidak makan cuma minum sahaja.

Bila ditanya yang tidak makan, katanya makanan yang kawan sebelah sedang makan itu adalah miliknya.

Dia beri sebab tidak mahu makan kerana sudah kenyang. Allahu baiknya hati anak ini.

Begitulah uniknya dapatan saya kali ini apabila turun ke lapangan memerhatikan murid.

Kebiasaannya hanya terserempak dengan murid tercicir atau terlupa membawa wang saku hingga tidak dapat membeli makanan. Tetapi kini lain pula yang ditemui.

Bila ditanya murid yang sedang makan tesebut berapakah jumlah duit belanja yang dibawa, dia memaklumkan hanya RM2.

Duit itulah yang digunakan sampai waktu KAFA petang.

Kalau tanya saya sebagai guru pula, memang wang sebanyak itu tidak mencukupi.

Ibu ayah sekalian, untuk keselesaan anak kalau dia bersekolah pagi dan KAFA hingga petang, RM3 adalah memadai.

Itu pun mereka perlu membawa bekas minuman sendiri dan mengisi air dari rumah atau air coway yang ada di sekolah.

Pagi beli sarapan RM1 dan air minuman sendiri. Tengah hari pula beli nasi berlauk RM2 dengan air sendiri.

Kalau pagi RM1 petang RM1 memang anak tidak akan dapat makan nasi berlauk pada waktu tengah hari jawabnya.

Kalau tidak membawa bekal air pula, RM3 pun belum mencukupi jika sampai petang kerana anak perlu membeli air minuman di samping membeli makanan.

Susah juga hendak cakap. Mungkin ibu ayah merasakan RM2 itu memadai bagi si anak hingga petang.

Alangkah bagusnya kalau ibu ayah sendiri datang ke kantin sekolah meninjau harga dan lihat sendiri apa yang anak makan.

Bila kita tengok maka kita boleh mengagak berapakah nilai yang sepatutnya diberi kepada anak.

Zaman sekarang tidak macam zaman kita dahulu. Kalau kurang berkemampuan saya faham dan akan cuba bantu.

Tetapi kalau terlepas pandang tentang harga makanan di kantin sekolah, maka dengarlah kata saya.

Berikan anak wang secukupnya atau ibu ayah tolong sediakan makanan dari rumah supaya anak dapat makan bersama kawannya.

Membeli makanan di kantin juga adalah proses pembelajaran. Saya maklum sini kerana saya pernah jumpa anak bawa hanya RM1 ke sekolah. Sedih!

Sebelum berpisah tadi, saya ada berikan sedikit wang saku untuknya berbelanja pada waktu tengah hari.

Tersenyum dia apabila menerimanya mungkin tidak menyangka ada rezeki yang cikgu kongsi.

Rasanya dengan dapatan kali ini, saya perlu lebih agresif mengumpul maklumat dan data. Sudah perlu bertindak pantas untuk membantu mana terdaya. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Bila ibu ayah beri duit atau sediakan makanan mencukupi, maka akan kurang berlaku kes minta duit kawan, berhutang, makan makanan kawan, mencuri dan paling tidak patut apabila ibu bapa murid lain terpaksa pula setiap hari lebihkan bekal makanan anaknya dengan tujuan supaya dapat berkongsi dengan kawan yang tidak membawa duit secukupnya.

Sekali sekala tidak mengapa tetapi kalau sudah setiap hari begitu, dari ikhlas lain pula jadinya.

#coretancikguhussayn

#cikgupapamenulis

Artikel menarik:

'Ayah meninggal kat rumah pengasuh...' - jawapan murid Tahun Satu buat cikgu pening

Ulang alik 340 km sehari, pernah bertembung haiwan liar namun demi anak bangsa, guru ini cekal

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020