Sudah beberapa hari umat Islam berpuasa, namun hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan anak yatim ini setelah kehilangan ayah yang kembali ke Rahmatullah 6 Januari lalu, kerana kanser tiroid.

“Kali ini ayah hadir ketika saya mendapat Anugerah Modal Insan Terbilang tahun 2017” - Muhammad Hailfie

Lebih menyedihkan, pelajar cemerlang SMK Forest Height, Senawang 3 ini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan juga ayah kepada empat orang adiknya, Muhammad Hailzrul, 15, Normia Zahrah, 12, Muhammad Hailrun, 18, dan Normi Azrina, 16.

“Hadiah ini ayah simpan baik, ayah suka tengok dan buat hatinya gembira”

Muhammad Hailfie Jasni, 19, yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini terpaksa bekerja sambil belajar di sebuah restoran makanan segera, selepas kematian bapa, manakala ibunya meninggalkan mereka, setelah berpisah pada tahun 2016.  

“Arwah ayah adalah idola kami, walaupun arwah sakit ketika itu, ayah tetap memikirkan masa depan kami adik beradik. Kini, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami menanggung rindu setelah kehilangan ayah.

“Bila masuk bulan Ramadan, rindu dan duka itu bertambahlah lagi. Masih terbayang kenangan berbuka dengan arwah ayah. Arwah ayah suka makan asam pedas ikan pari, itu yang membuatkan kami lima beradik bertambah sedih dan rasai kekurangannya,”ujarnya sebak.

Katanya, gaji sebanyak RM500 tidak cukup untuk menampung perbelanjaan mereka lima beradik, ditambah dengan sewa rumah sebanyak RM400 sebulan.

Namun dengan bantuan dari Baitumal sebanyak RM300 dan Kebajikan, RM250 yang diberikan setiap bulan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebannya sekeluarga.

Ayah bersama anak-anak dan sanak saudara

“Setakat ini saya dan adik-adik dapat menyesuaikan diri dan membahagikan masa dengan baik. Malah, kami juga telahpun membuat perancangan awal dan masing-masing sudah diberikan tugas. Alhamdulillah setakat ni semuanya teratur.

“Saya juga tidak rasa terbeban, apabila terpaksa membahagikan masa antara sekolah dan bekerja. Kebiasaannya saya akan bangun seawal jam 4 pagi, untuk mengulang kaji pelajaran sehingga jam 6 pagi. Selepas itu, saya akan terus ke dapur untuk menyiapkan sarapan, sebelum menghantar mereka  ke sekolah dengan motosikal arwah bapa.

“Cuma bila bulan Ramadan ni, saya akan bangun jam 4 pagi, terus siapkan makanan untuk bersahur. Selepas itu kami akan solat Subuh berjemaah dan membaca Surah Alwaqiah, seperti yang diajar oleh arwah ayah,”katanya.

Pelajar cemerlang yang pernah mencatat keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ini, mengganggap adik-adiknya adalah nyawa dan harta yang berharga.

Marhaban pada hari raya pertama di kampung

Malah, katanya lagi, masih terngiang di telinga, amanat terakhir arwah ayah agar menjaga adik-adiknya dengan baik dan jangan sesekali mereka berpisah.

“Walau seberat manapun ujian yang terpaksa ditempuh, tanggungjawab sebagai abang sulung, akan saya cuba galas dengan baik. Amanat ayah itulah yang menjadi kekuatan buat saya, demi adik-adik,”katanya.

Orang ramai yang sudi menyumbang boleh terus ke akaun CIMB Muhammad Hailfie iaitu 7623759441 atau menghubungi 011-21098195.

 

Baca Artikel lain:

Persembahan memukau Cikgu Donze hingga muncul Johan Kategori Nyanyian Solo

Ramai kagum, baru 13 tahun dah jadi imam solat terawih… tahniah buat ibu dan ayahnya

Kenyataan sebenar mengenai keperluan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris ambil MUET

Ibu terpaksa tipu guru anak tak sekolah sebab sakit sebenarnya tak mampu isi minyak motor