HENDAK sesuaikan diri dengan normal baharu persekitaran di sekolah bagi budak-budak sangatlah mencabar minda para guru. Dulu mereka boleh buat apa sahaja dari mula-mula masuk ke pintu pagar sekolah lagi. Tidak terikat dengan peraturan. Tetapi kini tidak lagi.

“Cikgulah yang memainkan peranan besar. Langkah pencegahan mengikut garis panduan mesti dipatuhi. Maklum sahajalah, kita bertugas ni selagi murid berada di sekolah selagi itulah rasa kebimbangan itu ada," kata Cikgu Masnita Mohd Yusof selaku guru prasekolah Sekolah Kebangsaan Kenering, Hulu Perak.

Kini, guru adalah petugas barisan hadapan. Menjaga murid prasekolah amat memerlukan pantau selia sepanjang masa kerana dikhuatiri mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Cabaran utama adalah tentang penjarakan fizikal. Maklum sahajalah murid prasekolah adalah murid yang paling muda dan memerlukan perhatian yang lebih. Kita tidak mahu sesuatu yang menimpa ke atas wajah-wajah comel ini.

Cikgu Masnita sedar dan teringat akan kata-kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin. Pergerakan murid di bawah usia tujuh tahun amat sukar dikawal. Oleh sebab itu jugalah, kehadiran murid prasekolah bergantung kepada kesediaan ibu bapa atau penjaga. Jika tidak mahu hadir, mereka boleh memaklumkan kepada pentadbir.

“Aktiviti luar hanya boleh dilaksanakan di dalam kelas dengan mengamalkan penjarakan fizikal. Budak-budak biasalah sangat leka jika terlampau seronok dengan apa yang kita ajar. Lebih-lebih lagi tentang perkara baru. Sepanjang masa murid ini akan diingatkan tentang kepatuhan SOP," ujarnya.

Apa pun, pihak sekolah telah pun membuat persediaan awal sebelum menerima kehadiran murid-murid bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin. Dalam keadaan ketidaktentuan ini soal nyawa adalah perkara paling utama sekali. Oleh sebab itu jugalah pembelajaran dan prasarana juga perlu disesuaikan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Setakat hari ini, murid masih lagi mematuhi tanda lantai yang dibuat menggunakan pita pelekat bagi memastikan penjarakan sosial. Murid prasekolah akan patuh semasa berada di dalam kelas, tandas dan kantin. Bahkan turut patuh dengan SOP setiap kali datang dan pulang dari sekolah.

“Namun begitu, siapalah kita sebagai seorang guru. Pergaulan antara mereka ini sangat mencabar minda. Untuk mengawal terlalu ketat tidak boleh juga. Untuk terlalu berlembut pula akan membahayakan diri. Mereka ingin berkawan, berborak sehingga terleka akan penjarakan ini," ujar Cikgu Masnita yang menganggap isu penjarakan ini membuatkan dia mempelajari sesuatu serta bersedia dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Akhir sekali, Cikgu Masnita mengharapkan ibu bapa di rumah turut menjaga peraturan ini. Bukan harapkan sekolah semata-mata. Turut mengambil cakna akan kesihatan anak-anak dalam memastikan negara kita bebas dari peningkatan gejala Covid-19 suatu hari nanti.

Sebagai guru juga, kita pahatkan dalam diri sentiasa. Suatu bangsa tidak akan maju sebelum ada di antara bangsa itu segolongan guru yang sanggup berkorban untuk keperluan bangsanya.