Sebelum ini, video seorang guru lelaki yang menari di hadapan muridnya yang sedang membuat pertandingan di Karnival Kesenian Pendidikan Khas Batu Pahat (KARSEH2019) telah tular di media sosial. Tanpa menghiraukan puluhan mata yang memandang, guru tersebut mengetepikan rasa malu demi anak istimewanya ini.

Guru yang dimaksudkan adalah Guru Pendidikan Khas untuk Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan Bandar Batu Pahat Johor, Ustaz Mohd Ridzuan Bahrudin.

Berkongsi kisah itu bersama GPSBestari, guru asal Teluk Intan Perak ini menyifatkan, usahanya itu berbaloi apabila murid istimewanya, Suaibatul Aslamiah Rokasyah berjaya meraih tempat pertama untuk kategori terbuka Sindrom Down Junior.

“Perasaan? Mula-mula memanglah malu..tapi bila kita anggap diri kita ini adalah ayah kepada mereka dan cuba memahami keinginan mereka nak menang dan berjaya, terus saya jadi berani. Saya buang jauh-jauh perasaan malu tu. Cuma bila jika diminta untuk mempersembahkannya semula selepas diumumkan sebagai pemenang, memang susah… terus jadi malu,”terangnya.

Selain itu, guru ini juga turut berkongsi, setiap guru Pendidikan Khas itu perlu utamakan kesabaran. Biarpun diberikan pelbagai cabaran ketika mendidik, guru perlu sabar dan kuat, demi anak-anak istimewa ini.

“Tekadkan dalam hati nakkan mereka berdikari, bila kita dah tak ada nanti. Itu yang paling utama. Jadi, apapun mereka lakukan kita sebagai guru perlu sabar. Pengalaman pertama masa baru berkhidmat dulu adalah  ditumbuk dan dicakar oleh murid lelaki autisma yang tantrum atau mengamuk. Memang seram, dan habis luka-luka badan saya.

“Dapat pula murid tu besar lagi daripada saya. Salah satu cara yang saya buat masa tu, adalah tenangkan dia dengan cara memeluknya erat. Tak kisahlah saya mengalami luka kerana dicakar, asalkan murid tersebut dapat ditenangkan. Itu pun, jika murid tersebut lelakilah. Walaupun mereka ini anak-anak istimewa, saya masih menjaga batas-batas yang sepatutnya.

“Lepas kejadian tu baru faham kesukaran mendidik murid berkeperluan khas (MBK). Dalam hati terfikir juga, bagaimanalah ibu bapa mereka setiap masa berhadapan dengan anak-anak istimewa ini,”katanya.

Katanya lagi, kenangan paling manis apabila murid-murid pendidikan khas ini mula memahami erti kasih sayang dan mampu menzahirkan perasaannya.

“Pada satu pagi di sekolah, saya terkejut… ibu Suaiba panggil saya masa saya tengah siapkan setting meja pameran. Ibu Suaiba bagi tahu, anaknya, Suaiba doakan saya sihat. Dia juga gembira bila lihat saya datang ke sekolah, sebab hari sebelumnya itu saya cuti sakit.Selain itu, Suaiba juga doakan saya masuk syurga… itu yang buat saya betul-betul sebak.

“Saya tidak minta lebih, asalkan mereka menyayangi saya dan mengganggap saya ini seperti ayah mereka. Malah, sebagai guru Pendidikan Khas, saya harapkan doa dan bantuan dari anak-anak ini bantu kami di akhirat nanti…”ujarnya sebak.

Bercakap mengenai video tersebut, Cikgu Ridzuan tidak mengenali individu yang merakam aksi menarinya. Beliau hanya mengetahu setelah video tersebut tular di media sosial.

Artikel Menarik:

Berkat kegigihan tiga guru ini, pasukan bola dari sekolah di tengah belantara muncul juara MSSD

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini

'Cantiknya' - Enam pelajar ini terkejut dapat pujian daripada Raja Permaisuri Agong

Cikgu K A Razhiyah terima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019