Beliaulah Sentuh Hidup Saya

Terlintas di newsfeed satu soalan dari group Kami Guru Malaysia. Beratus komen, rasa esok mungkin jadi beribu.

Enam patah perkataan sahaja soalannya.

“Siapa idola anda semasa di sekolah?”

Terimbau kenangan zaman persekolahan menengah. Sehingga saya pernah berkata kepada anak-anak Tahun 6,

“Jika ada mesin masa, cikgu nak kembali pada zaman sek men!”

“Kenapa cikgu???” Serius mereka bertanya, lantas menghilangkan riak kerisauan sebelum ini tentang alam sekolah menengah yang menakutkan kerana bercampur remaja lain yang lebih besar.

“Panjang nak cerita seronoknya zaman sek men, tapi antara sebabnya ialah..zaman tu ada seorang idola yang cikgu nak jadi sepertinya”

Haaa...Macam ada masa malam ini, serba sedikit bayangan muda-muda terawang-awangan dalam fikiran.

Post ini mungkin panjang. Boleh berhenti baca jika rasa tak nak kenal siapa idola tu. Dialah yang buat saya rasa mahu berjuang, walaupun sentiasa merasakan tiada sekeliling sayang saya kerana zaman remaja saya agak mencabar bermain emosi kesan arwah ibu pergi saat betul-betul saya perlukannya, beliaulah guru yang ambil kisah tentang saya.

Namanya Cikgu Kassim.

Masih bertugas di SMK Sri Gading, Batu Pahat. Sekolah yang seakan universiti kehidupan untuk saya. Seorang guru disiplin, guru Biology (dulu belajar dalam BI, itu yang eja Biology,ceh..hehe), suaranya sampai sekarang terngiang. Nada suara jantan! Hehe.. Bunyi tapak kakinya sahaja buat semua senyap, janggutnya separas dada sebagai identiti.

Rotannya tak singgah di punggung itu satu kerugian bergelar pelajar #SEGA. Saya yang dulu Ketua Pengawas pun merasa jamahan rotannya! Sebab apa? Rahsia.hehe.. Jurulatih ragbi saya, walaupun bukanlah pandai main, kononnya budak Sains 1 budak belajar, tapi beliau tetap cabar saya masuk tim ragbinya. Hari pertama muntah tepi padang lepas latihannya. Beliau juga membawa saya bersama pelajar yang berjaya harungi pemilihannya setiap tahun menjelajah dengan basikal seluruh Malaysia.

Budak 15 tahun Jelajah Malaysia dengan basikal. Masa itu saya pakai basikal mountain bike je. Cabut pasang semula basikal sambil pejam pun jadi, cari dana sendiri, masuk syarikat korporat acah pandai bercakap bawa ‘paperwork’ nak jelajah Malaysia, sekali digelakkan.

Semangat tak luntur, kami sepasukan menjual keychain buat sendiri guna kotak Kodak, kulit siput, kerang, kayu pokok dikeringkan, ambil upah basuh kereta habis sekolah dan latihan fitness berbasikal. Kiranya setahun cari dana untuk realisasikan Kelab Basikal sekolah kami. #KEMBARA.

Sehinggalah hari pertama ekspedisi, kayuhan awal dilepaskan di sekolah dengan semua pelajar dan guru beratur sepanjang jalan mengiringi. Ini menaip sambil tersenyum membayangkan syoknya waktu itu!

Sepanjang ekspedisi tak cukup ruang ni nak cerita, dengan solat yang ditekankan walaupun kaki dah lembik mengayuh lebih 500km sehari, masak sendiri dan berkhemah tepi laut ketika sampai pesisir pantai Terengganu, menziarahi tokoh-tokoh sepanjang perjalanan antaranya ke rumah Allahyarham TG Nik Aziz apabila sampai Kelantan, berjumpa orang asli di Banjaran Titiwangsa, siap berhenti basikal cuba sumpit mereka, bersorak memotivasikan rakan apabila melalui jalan berbukit-bukit, menikmati hidup siang dan malam tanpa mengadu ibu bapa, bayangkan Cikgu Kassim kot berani nak patah balik? Hehe.. dan banyak lagi tak termampu menaip.

Bergelar ahli #KEMBARA saya tak malu ke sekolah berbasikal sehingga Tingkatan 5 (zaman tu semua dah dengan moto beb, malah pelajar ke sek bawa kereta pun ada!)

Pejam celik, pejam celik dah lebih 10 tahun berlalu. Kenangan itu jadi bahan cerita kepada anak-anak murid sekarang yang bersilih ganti, terutamanya Tahun 6.

Bagaimana beliau boleh jadi idola?

Rupanya setelah saya menjadi guru baru saya sedar

“Seorang guru itu harus sentiasa menyentuh jiwa anak didiknya, kata-kata biar meninggalkan kesan, (Cikgu Kassim pakej tinggalkan kesan dengan rotan,hehe) halus menyantuni orang lain itulah anak murid akan ikut (saya pelajari adab ini sepanjang XPDC kerana ramai kami temui) dan guru tidak sesekali tunjuk simpati sahaja tapi tunjuk jalan bahawa hidup ini milik pejuang. Apa yang buat kau sedih dan terasing hari ini sebenarnya buat kau kuat jadi seperti kau inginkan hari esok”

Terima kasih Cikgu Kassim.

Saya bukan pelajar terpandai dalam kelas Biology cikgu, bukan pemain ragbi yang baik, bukan juga ahli Kembara yang bertenaga atlet.

Saya hanya salah seorang daripada ribuan anak murid cikgu yang terkesan dengan apa yang telah cikgu lakukan di sekolah.

Cikgu Kassim (berbaju putih) bersama peserta kembara.

 

#DiariCikguAidilSahipaludin

Nah saya belanja foto-foto Kodak yang discan.

Lagi menarik, setiap kali raya saya menziarahi Cikgu Kassim, topik Ekspedisi-Ekspedisi KEMBARA tak akan lupa jadi bahan gelak tawa kami. Rupanya, beliau masih simpan dan melihat foto-foto ini sehingga hari ini.

Sumber: Facebook Aidil Sahipaludin