"GAMBAR ini cukup bermakna buat saya kerana ada memori yang sukar dilupakan di sebalik pelukan itu.

Demikian kata guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi), Cikgu Koreayati Bujang kepada GPS Bestari.

Menurutnya, pelajar yang dipeluk itu bernama Nurul Syafiqah Amsahril.

"Nurul Syafiqah merupakan pelajar Tingkatan Lima sekolah kami. Saya sudah mengenalinya ketika dia di Tingkatan Satu lagi. Dia pelajar biasa sahaja, cuma kenangan bersama dengan pelajar ini, cukup bermakna," ujarnya.

Mari ikuti perkongsian Cikgu Koreayati mengenai anak didiknya ini.

**********

Pelajar tersebut namanya Syafiqah. Tiada istimewa tentang dia. Apa yang dilihat dalam gambar di atas, cuma mungkin luahan kekesalan seorang guru. Bukan kesal kerana mengajar dia. Kesal kerana tidak memberi lebih dari apa yang sepatutnya.

2015 merupakan tahun pertama mereka mendaftar di SMKAMi. Tahun itu juga, saya ditugaskan menjadi guru kelas mereka. Dalam ramai-ramai pelajar perempuan, Syafiqah sedikit berbeza. Mukanya ketat sentiasa. Susah sangat hendak senyum. Senyum pun nanti, sekejap saja. Kemudian ketat kembali. Dalam hati saya, dia pelajar yang sombong.

Namun, jauh dari lubuk hati saya, mesti ada sesuatu di sebalik wajah yang ketat itu. Mungkinkah dia menyimpan kisah yang pahit? Di usia 13 tahun, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Di dalam kelas, beliau seorang yang pendiam. Susah betul hendak mendengar suaranya.

Tahun itu, saya dan seorang guru lagi, Cikgu Sayid, mencari pemain untuk pasukan bola baling. Dia pelajar harian. Dan boleh pula dia tunggu untuk sesi pemilihan. Hari demi hari berlalu, saya lihat lincah betul langkah beliau dalam permainan. Permainannya kasar pun ada.

Tiba hari pertandingan, seperti pertandingan-pertandingan lain, ada kalah dan ada menang. Tatkala kami menang, bersorak riang. Bukan menang johan, tapi menang dalam kumpulan.

Bila kalah, lain pula ceritanya. Masing-masing diam, menangis. Itulah dunia anak-anak. Hanya guru sahaja tahu, betapa dalam kekecewaan mereka.

Sekali lagi, tiupan semangat dari kami berdua diberikan. Syafiqah dan kawan-kawan bangkit. Cuma masih juga tidak dapat mengalahkan pihak lawan. Syafiqah agak tegang. Kadang-kadang digantung dua minit permainan, kerana permainan kasar.

Nampaknya, tidak berjaya kami maju ke pusingan seterusnya. Tidak mengapa. Saya masih positif lagi. Mereka masih Tingkatan Satu.

Tahun berikutnya, Syafiqah orang pertama berjumpa saya. Kata Syafiqah, dia sudah ada pasukan. Dia mahu berlatih awal. Disiplin beliau sangat tinggi dalam pasukan. Beliau berani marah pemain lain, jika tidak puas hati. Cuma satu kelemahan beliau, dalam permainan tidak boleh bermain sendiri. Kita perlukan kawan. “Kita perlu minta bola, bukan menunggu bola datang sahaja. Mesti MINTA!” Itulah yang membuatkan Syafiqah menarik muka masam dengan saya.

Saya terangkan kepada setiap pemain, bola itu adalah PERHATIAN. Semua kita memerhati bola itu. Maka, sebutlah nama kawan, dan mintalah bola. Bila kita meminta, sesiapa pun akan mahu memberi. Jangan malu untuk meminta.

Gelanggang bola baling kami tinggalkan sekali lagi dengan kekecewaan. Tahun berikutnya, Syafiqah datang lagi. Syafiqah kata mereka mahu mencuba lagi. Saya pula? Saya tanya dia dengan sinis sekali, boleh menang tak kali ni? Atau menangis lagi? Tidak payah kita hantar. Lagipun, tahun ni kamu Tingkatan Tiga. Baik tidak payah.

Saya tutupkan perbualan itu dengan senyum sinis saya. Syafiqah dan pemain-pemain bola baling saya, nampak kesal dengan tindakan saya. Habis di Tingkatan Tiga, mereka menyambung ke Tingkatan Empat. Kali ini, bukan Syafiqah yang datang kepada saya. Sahabat dari pasukan itu juga. Jawapan saya? Tidak hantar, saya perlukan pemain-pemain yang betul-betul kuat emosi. Tidak kalah pada keadaan. Bekerja dalam pasukan, meminta bila rasa perlu. Bukan berdiam diri dan mengharapkan orang lain memahami apa yang kamu inginkan. Macam mana orang luar tahu apa yang kita rancang, jika kita tidak memberitahu. Saya didik mereka cukup-cukup. Itulah kekuatan sukan. Di situlah mereka dididik, dibasuh.

Selesai Tingkatan Empat, dan sekarang mereka di Tingkatan Lima. Tiada lagi mereka bertanya tentang menyertai pertandingan bola baling. Mungkin menyedari yang mereka akan berentap dalam pertandingan yang lebih hebat.

Di hari terakhir persekolahan, seusai majlis perhimpunan, saya melangkah keluar. Seorang demi seorang pemain bola baling ini menghampiri saya.

Melihat wajah mereka, saya teringat kisah dulu. Aduh. Hati ini mula kesal. Aku bukan guru yang baik! Kalaulah dapat diulang masa, pasti aku ingin kembali melatih mereka. Ya, itulah sifar manusia. Menyesal tidak pernah datang awal. Saya peluk cium setiap seorang. Masing-masing ingin merakam gambar bersama saya. Dalam kekalutan itu, terdengar sayup suara kecil.

"Madam..." Saya menoleh.

Rakan-rakan lain pun menoleh. Tiba-tiba kawanan yg berkumpul itu, ke tepi semua. Seolah memberi laluan.

Dia, Syafiqah.

"Madam, saya pun mahu peluk madam..." Allahu. Ketika itu tidak dapat aku tahan air mata. Aku ingatkan Syafiqah benci kerana sikapku selama ini. Mungkin lima tahun dia menyimpan perasaan. Saya peluk dia dan saya cakap..."ampunkan madam"

Artikel Menarik:

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal

13 aktiviti yang perlu ibu bapa buat untuk anak lepasan SPM, STPM 2019 - Nombor 13 ramai mengelak

'Keputusan peperiksaan sangat memberangsangkan, keduanya jadi pengawas' - Cikgu Mohd Fadli

Hasil bimbingan guru ini, murid sekolah luar bandar dipilih bentang Projek Save the Earth di Itali