GURUKU ADIWIRAKU

Guruku terbilang kurasakan nikmat

Ajar didikmu penuh hikmat

Sopan tuturmu sebagai azimat

Akan kupegang sampailah kiamat.

 

Tuturmu lembut indah sekali

Umpama sejuknya air di kali

Guruku hebat semenjak azali

Jadikan pedoman kan kuamali.

 

Sementelah guru bijak bestari

Isi nasihatmu kan kudengari

Tersemat kukuh di sanubari

Agar muridmu kuat jati diri.

 

Telah kedengar tegas suara

Guruku itu bijak bicara

Gerak-gerinya laksana perwira

Dialah guru pengubat lara.

 

Pabila tiada amatlah terasa

Guruku manis sejuta perisa

Aku bersyukur pada yang Esa

Beliaulah guru luar biasa.

 

Penuh bergaya suaranya merdu

Kadang gemeresik terkadang syahdu

Manis hujahnya seakan madu

Dialah guru yang kami rindu.

 

Pekerti mulia ajaran agama

Guruku ustazku orang yang sama

walaupun ilmu sebesar hama

Kusanjung tinggi selama-lama.

 

Di saat daku tersasar jauh

Guruku hadir sebagai pengayuh`

Bakar semangatku terus berkayuh

Bangunkan daku berdirilah ayuh.

 

Membentuk diri akhlak terpuji

Guruku cekal walaupun dikeji

Sering dihalang sentiasa diuji

Amanah terpikul sebagai janji.

 

Guruku ini seorang penyayang

Penghibur kami hati pun girang

Kami muridmu menjadi sayang

Sekelas kami belajar pun riang.

 

Membimbing kami perihal duniawi

Tidak terlupa soal Surgawi

Guruku obor sinari pertiwi

Beliaulah ilmuan kalam hakiki.

 

Sedarlah rakan sedar sahabatku

Tanpa guru siapalah daku

Mengajar mendidik anak bangsaku

Dialah guru dialah adiwiraku.

 

ZAIRI SHAH , Kuala Krai

Artikel menarik:

Jangkitan Influenza B: KPM arah SK Taman Pantai Sepang Putra tangguh perhimpunan, pakai 'nasal mask'

KPM lulus peruntukan RM2.6 juta SJKT Klebang untuk pembinaan bangunan baharu

SK Sungai Kepar, laksana misi gempur denggi

Penyerahan laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan

Karnival Jom Ceria SK Panggong meriah, murid seronok sertai aktiviti