BAHAGIAN 4

Ketika Aki mengambil alih tugas sebagai Tuai di rumah panjang mereka, Aki merasakan suatu bebanan yang amat sangat. Di fikirannya cuma satu. Bagaimana untuk menghentikan perjanjian berdarah ini.

Sebelum ayah Aki iaitu Dana telah meninggal dunia, Dana telah menyerahkan segalanya kepada anaknya iaitu Aki untuk menyelesaikan masalah ini. Banyak perkara yang perlu Aki selesaikan.

Selang beberapa tahun Aki memimpin penghuni rumah panjang mereka. Peristiwa ngeri yang berlaku di rumah panjang mereka itu bagaikan bayangan hitam yang sentiasa mengekori dari arah belakang.

Setelah meninggalnya Sani akibat disambar oleh buaya gergasi penjaga Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda ini, maka pada ketika itu telah terputuslah sudah keturunan Manang di rumah panjang mereka.

Sedangkan Aki tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan ini nanti sekiranya berlaku sesuatu suatu hari nanti.

Suatu ketika Aki pergi berjumpa dengan seorang Manang dari rumah panjang berdekatan. Menurut Manang tersebut sumpah ini tidak dapat diputuskan.

Keturunan Aki yang akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan sendiri permasalahan ini. Salah satunya adalah dengan cara memperbaharui perjanjian ini dengan perempuan penjaga keturunan mereka.

Tetapi Aki menolak kerana menurut Aki ianya tetap tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi bahkan masalah ini semakin rumit kerana di dalam perjanjian nanti tetap akan ada perjanjian lain yang tidak diungkapkan oleh perempuan penjaga keturunan mereka itu nanti.

Aki masih lagi teringat lagi akan perbincangannya bersama Manang kampung berdekatan tersebut.

“Beginilah. Bukan aku tidak dapat membantu kamu tetapi sepertinya masalah ini cuma dapat diselesaikan oleh kamu sendiri.”

“Ya, tapi bagaimana caranya? Masalah ini perlu diselesaikan oleh orang luar. Bukan keturunan kamu dan juga bukan aku. Kita terikat dengan Keling dalam banyak perkara. Biarkan kali ini kita minta bantuan ‘Orang Laut’ (Orang Melayu atau Melanau Islam) di Bintulu. Aku kenal mereka. Aku juga pernah membawa penduduk rumah panjang kami untuk membuang hantu di dalam badan mereka.”

“Apakah kamu percaya pada orang laut ini Manang?”

“Ya. Aku memang percaya kerana mereka tidak pernah untuk meminta kita percaya kepada agama mereka. Mereka cuma membantu anak buah aku dulu ketika aku sendiri tidak dapat mengubat mereka. Sedangkan ‘miring’ juga telah aku lakukan untuk membantu anak buah aku. Ternyata belum berhasil. Kerana ini bukan masalah pada ‘miring’nya Tuai tetapi masalah ini kita perlu meminta bantuan pada mereka.“

“Kenapa dengan anak buah kamu?”

“Dia pernah mencuri tengkorak hasil ‘ngayau’ moyang kami dulu untuk dibuat ibu duit. Selepas itu roh nenek moyang kita mengamuk dan menjadikannya gila. Aku telah berusaha untuk merawat dia tetapi tidak berjaya. Akhirnya kami membawa dia pergi berjumpa dengan ‘Orang Laut’ di Bintulu.”

“Orang di sana memanggil mereka ustaz. Adik beradik. Selepas dirawat lalu dia sembuh. Dia mengaku yang dia mencuri tengkorak ngayau kami. Sekarang dia kembali sihat seperti biasa. Dia telah berkeluarga dan bekerja menjadi pemandu lori sebuah syarikat di Tanjung Batu dan menjalani kehidupannya seperti biasa.”

“Kadang-kadang tuai, dalam urusan kehidupan mistik bangsa Iban kita, kita terpaksa meminta bantuan saudara ‘Orang Laut’ kita. Bukan kita tidak dapat selesaikan masalah ini. Tetapi itulah. Kita terikat pada ‘Petara’ (Tuhan) dan peraturan alam. Jadi ada baiknya masalah ini kita minta bantuan mereka. Aku yakin semua ini tidak akan mengurangkan maruah dan harga diri bangsa kita.”

“Mereka juga akan berbangga kerana dapat membantu saudara mereka sendiri iaitu kita. Kalau ikutkan kata nenek moyang kita dulu, kita membesar dengan rumpun yang sama dengan mereka. Darah mereka adalah darah kita dan darah kita adalah darah mereka. Itu sudah cukup untuk aku menyayangi mereka bahkan sebagai saudara sendiri.”

“Cuma sekarang aku lihat anak cucu kita. Sudah tidak seperti dulu lagi. Aku rindu saat-saat suatu ketika dulu. Kadang-kadang aku tinggal di kampung mereka ketika kami menziarahi mereka. Ayah ibuku membawa beras padi huma sebagai hadiah buat mereka dan mereka membalas dengan memberi kain batik, garam, gula dan rempah. Itu sudah cukup nikmat Tuai. Bukan kerana kami bertukar-tukar barang tetapi rasa kecintaan terhadap mereka sungguh menebal. Kerana bagi aku merekalah keluarga aku. Malahan sudah dari dulu.”

“Baiklah. Nanti aku bincang dulu kepada anak buah aku. Terima kasih Manang. Aku sangat menghargai bantuan engkau.”

“Sama-sama. Aku cuma ingin kamu ingat satu perkara. Keturunan di rumah panjang kamu itu bukan keturunan sembarangan. Cuma penduduk di rumah panjang kamu sahaja yang memiliki tiga buah tajau lagenda ini Tuai. Keturunan kamu menyimpan Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda. Semua penghuni rumah panjang yang menyusur sungai kita ini hingga beratus kilometer dari hulu ke hilir tahu akan sejarah ini.”

“Kerana buka sahaja keturunanmu memiliki ketiga-tiga tajau ini, bahkan keturunanmu juga mengikat perjanjian persaudaraan dengan keturunan buaya gergasi. Aku juga turut bangga dengan kisah keturunanmu ini Tuai. Bukan senang untuk memiliki semua ini. Sebab itulah keturunan kamu ini terkenal hingga ke Kapuas. Keturunan kamu adalah kebanggaan keturunan Iban asal di Kapuas dan juga di tempat kita ini.”

“Selain itu dengan adanya moyang kamu membuka tempat inilah kami dari rumah panjang lain berani untuk berpindah ke sini. Berdekatan dengan rumah panjang kamu. Agar kami boleh menumpang rasa selamat kerana Kelinglah yang meminta moyang kamu untuk membuka perkampungan baru di sini. Maksudnya ada kebaikan dan kelebihan untuk kami tinggal berjiran dengan kamu.”

Aki teringat akan setiap patah kata dari Manang dari kampung sebelah. Menurut Aki tidak salah untuk mencuba dan meminta bantuan dari ‘Orang Laut’ ini. Walaupun berbeza agama.

Kerana masalah ini melibatkan nyawa sebagai cagarannya. Dan entah berapa lagi nyawa akan melayang selepas ini walaupun tekanan di rumah panjang mereka semakin reda.

Aki sudah lupa berapa lama Tajau Pereni tidak diberi makan darah segar. Bukan tidak mahu tetapi tiada lagi keturunan Manang yang wujud di rumah panjang mereka.

Ketika moyang Aki masih hidup dulu, moyang Aki ditemani oleh Manang yang meminta pertolongan dengan Keling. Kemudian diwarisi oleh Raja dan kemudiannya Sani. Selepas itu tiada lagi.

Suatu hari semasa Hari Gawai. Sekitar tahun 2015. Rumah panjang Aki sangat meriah. Kesemua anak cucu serta cicit dari keturunan rumah panjang Aki balik ke rumah panjang mereka untuk menyambut Hari Gawai bersama-sama.

Gelak ketawa dan gurau senda menghiasi hari-hari mereka. Ingatan serta pengalaman yang menakutkan suatu ketika dahulu telah hampir hilang di benak fikiran anak cucu mereka. Cuma Aki dan anak buahnya yang sebaya umurnya sahaja yang masih tidak dapat melupakan apa yang terjadi.

Pertemuan Bersama Penduduk Kampung

Aki mengambil kesempatan untuk mengumpul dan berucap di hadapan mereka semua.

“Anak buah aku semua. Kepada yang tinggal di sini, yang lahir di sini, yang membesar di sini serta yang pernah mengalami susah senang dan segalanya. Terima kasih atas kehadiran kamu semua. Ada perkara yang perlu untuk kita bincangkan bersama. Aku memerlukan pendapat serta kata putus dari kamu semua. Kerana ini melihatkan masa depan keturunan kita.”

“Begini. Suatu ketika dulu kita berasal dari Kapuas. Moyang kita datang merantau dengan meredah hutan tebal selama lebih kurang seratus hari perjalanan. Ketika itu keturunan kita dilindungi oleh Keling. Keling meminta kita untuk menjaga Tajau Pereni di rumah panjang kita ini sebagai tanda persetujuan yang kita akan dijaga oleh seorang perempuan.”

“Manang-manang kita dulu memberi makan Tajau Pereni kita ini dengan darah segar mereka sendiri. Menurut Manang kita dahulu, kalau Tajau Pereni ini tidak diberi makan, maka perempuan ini akan mengamuk dan mengganggu kita. Sudah berapa lama kita tidak memberi Tajau Pereni kita ini makan. Aku risau kalau tidak hari ini, maka suatu hari nanti perempuan ini pasti akan mengamuk dan menuntut darah dari kita. Bagaimana kalau kiranya kita mulakan dengan kembali memberi makan pada Tajau Pereni ini?”

Selepas itu tiba-tiba ada seorang pemuda mencelah. Usianya lebih kurang dalam 30 tahun lebih.

“Tuai, aku rasa begini. Bukan aku tidak mempercayai kata-katamu dan sejarah nenek moyang kita dahulu. Sekarang kita perlu memandang ke hadapan. Tiada lagi kepentingan untuk kita memberi makan kesemua tajau ini. Lagipun ramai penduduk rumah panjang kita telah memilih untuk memeluk agama lain sebagai kepercayaan mereka. Di rumah panjang kita ini ramai yang telah memeluk agama Kristian. Ada juga beragama Islam.”

“Aku setuju dengan kamu. Tapi bagaimana kalau suatu hari nanti Tajau Pereni ini akan menuntut darah juga. Apa yang perlu kita buat?”

Kemudian ada seorang wanita yang mencelah;

Beginilah Tuai. Kita hentikan saja memberi makan tajau ini. Sudah berapa lama tajau ini tidak diberi makan tetapi kita tetap seperti ini. Bahagia dan kita tetap jalani kehidupan seperti biasa. Kisah lama dulu biarkan menjadi kenangan untuk kita Tuai. Walau bagaimanapun saya tetap percaya dan bersama dengan Tuai.”

“Aku harap begitulah. Tetapi perasaan aku selalu dihantui oleh rasa bersalah ini. Segala kisah berkenaan dengan keturunan kita dulu telah diwariskan oleh orang tua-tua dulu kepada aku. Sebab itulah aku rasa aku lebih dekat dengan mereka dalam soal ini.”

“Kalau begitu kita biarkan saja tuai. Tak perlu rasanya untuk kita teruskan tradisi memberi makan ini. Sekaranglah masanya untuk kita meninggalkan kepercayaan karut moyang kita dahulu kala. Buktinya sudah lama kita tidak memberi makan tajau ini tetapi setakat ini tiada seorang pun keturunan kita yang mati kerana menjadi mangsa.”

Aki memandang kesemua wajah penduduk rumah panjang. Mereka terdiam. Tidak seperti tadi. Riuh rendah di ruai. Kemudian Aki memandang ke bawah lantai. Jiwanya diragut rasa bersalah.

Walaupun sudah lama tajau itu tidak disajikan dengan darah tetapi Aki sedar bahawa suatu hari nanti Tajau Pereni ini pasti akan menuntut bukan sekadar darah, tetapi juga nyawa.

“Baiklah kalau begitu. Aku ikut sahaja apa pendapat kamu semua. Aku bangkitkan kembali permasalahan ini kerana aku tidak mahu mengambil keputusan tanpa ada perbincangan dari kamu semua. Cuma aku minta untuk tetaplah bersamaku suatu hari nanti apabila Tajau Pereni ini kembali mengganas.”

Aki merasa sedikit kesal kerana penduduk muda di rumah panjang mereka mengambil ringan permasalahan ini. Aki tau semuanya akan bergantung dengannya nanti.

Walaupun keturunan Manang sudah lama tiada, tetapi Akilah yang akan menerus dan menetapkan segalanya nanti.

Beberapa hari kemudian, penduduk rumah panjang Aki mula pulang ke rumah masing-masing. Setelah menghabiskan masa cuti mereka menyambut Hari Gawai bersama penduduk rumah panjang.

Pada malam tersebut Aki dan beberapa orang tua duduk di ruai. Mereka bercerita berkenaan dengan kisah-kisah lama dan lucu. Mereka bercerita hingga ke larut malam.

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi perempuan menangis dan ketawa dari arah bilik hujung sekali. Mereka semua terdiam apabila mengetahui bahawa bunyi itu datangnya dari bilik Tajau Pereni.

Mereka memandang antara satu sama lain. Aki mengajak mereka untuk sama-sama mencari dari manakah arah bunyi tersebut tetapi semuanya menolak.

“Mari ikut aku pergi ke bilik tajau. Aku dengar suaranya timbul dari arah bilik tajau tersebut.”

“Enggai tuai. Parai kita lagik. Laban dibunuh nggau antu induk nyak. (Tak nak tuai. Mati kita nanti kerana dibunuh oleh hantu perempuan tu).”

Aki cuma tersenyum ambil menggeleng-geleng kepala. Tiada di antara mereka yang berani untuk melihat apa yang berlalu di bilik tajau tersebut. Aki mengambil keputusan untuk pergi sendiri dan melihat apa yang berlaku.

Aki melangkah perlahan-lahan ke arah bilik tersebut. Sempat juga Aki menoleh ke belakang. Dari jumlah tujuh orang anak buahnya yang bersamanya tadi kini cuma tinggal seorang.

Dia cuma melambai-lambai tangannya ke arah Aki. Aki cuma tersenyum.

Aki memberanikan dirinya untuk pergi ke bilik tajau. Bagi Aki keselamatan penghuni rumah panjang adalah tanggungjawabnya. Oleh itu Aki sanggup mengambil risiko untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Ketika Aki telah sampai ke muka bilik tajau tersebut, tajau itu tetap kaku sahaja seperti kebiasaannya. Aki melangkah ke dalam lalu memeriksa satu persatu tajau tersebut. Tiada yang menarik pada pandangan Aki.

Bilik tajau tersebut sunyi dan menyeramkan. Ketika Aki menilik-nilik Tajau Pereni tersebut Aki merasakan seperti ada seseorang yang berdiri di belakangnya. Aki tidak berani untuk menoleh ke belakang dulu.

Tetapi Aki rasakan langkah orang tersebut semakin dekat sehingga cuma setengah langkah sahaja dari belakang Aki. Aki memberanikan diri untuk menoleh ke belakang tetapi ternyata tiada sesiapa pun di belakangnya.

Ketika Aki kembali ke arah Tajau Pereni, Aki terkejut dan hampir terjatuh ke belakang. Di atas Tajau Pereni itu muncul sebuah kepala seorang perempuan yang sangat menakutkan.

Rambutnya panjang hingga ke lantai. Di sebalik rambutnya yang panjang kelihatan wajahnya yang hodoh dan menakutkan. Matanya juga merah dan hampir tersembur keluar.

“Hahaha..Kau datang juga akhirnya Tuai.”

Aki ternyata terkejut lalu mencari dari manakan arah bunyi tersebut. Setelah diamati ternyata bunyi suara tersebut datang dari dalam Tajau Pereni.

“Kau siapa? Kenapa ganggu kami?”

“Aku tidak pernah mengganggu kalian semua. Kerana aku diamanahkan oleh Keling untuk menjaga penduduk rumah panjang ini.”

“Kalau kau menjaga kami kenapa mesti kau rentap juga nyawa-nyawa orang yang memberi kau makan. Aku tidak percaya padamu. Malahan kepercayaan ini sudah lama hilang dari hatiku. Akulah penjaga mereka kerana aku adalah tuai rumah ini dan bukannya kamu. Sedangkan kamulah yang memporak perandakan penghuni rumah panjang kami selama ini.”

“Hahaha..Kenapa begitu sekali bencimu terhadapku Tuai. Apakah tidak cukup untuk aku buktikan kepadamu melalui orang tua-tua dahulu?” Saban tahun aku memberi perlindungan kepada mereka sedangkan aku cuma perlukan darah untuk dipersembahkan kepadaku setiap tahun. Itu saja. Mudah bukan?”

“Tidak. Aku tidak percaya. Kerana ada saja susur galur dari keturunan Manang yang mati keranamu sedangkan mereka berjuang dengan darah dan air mata untuk menyelamatkan kami. Akhirnya nyawa mereka kamu ambil untuk kepuasan kamu sendiri.”

“Bukan begitu. Kamu juga tahu yang aku adalah menjaga keturunanmu bukan? Aku tiada mempunyai kepentingan lain selain dari itu. Percayalah padaku.”

“Tidak. Kalau keturunan Manang dan keturunan aku yang dulu mungkin boleh kau permainkan. Tapi bukan aku. Aku banyak belajar dari sejarah hitam keturunan nenek moyang kami yang lepas. Kamulah punca segala mala petaka di rumah panjang ini.”

“Kalau dengan memusnahkan Tajau Pereni ini akan memutuskan perjanjian kita, sehingga kami bebas dari ikatan kekejaman kamu, maka pasti akan aku laksanakan juga nanti. Kamu tunggulah saatnya. Untuk sementara kamu bergembiralah dulu sehingga aku akan berjumpa jalan keluarnya nanti.”

“Kalau kau berani memutuskan perjanjian ini maka kamu mengundang kemarahan Keling kerana Kelinglah yang mengutuskan aku untuk menjaga kalian semua.”

“Aku tidak peduli. Kalaulah Keling tahu apa yang kau lakukan kepada kami nescaya sudah pasti Kelinglah yang akan menghancur lumatkan dirimu nanti. Selagi tidak melanggar adat kepercayaan kita, nanti aku akan meminta ‘Orang Laut’ untuk memusnahkan perjanjian kita ini.”

Musnahnya Tajau Pereni

“Kau tahu tidak berapa lama sudah aku tidak diberi makan darah? Dan kau yang sepatutnya melakukan amanah itu. Tetapi tidak kau lakukan. Sudah beberapa tahun aku sabar menanti. Kenapa kau tidak melaksanakannya. Itu tanggungjawab kamu.”

“Tidak. Selepas apa yang kau lakukan pada keturunan Manang dan penghuni rumah panjang ini, aku telah mengambil keputusan untuk memutuskan perjanjian ini. Aku akan cari orang boleh memutuskan perjanjian kita. Aku sudah tidak tahan lagi.”

“Hahaha..Kalau begitu baiklah. Terserah kamu. Kamu lihatlah nanti apa yang akan aku lakukan kepada keluargamu.”

Oleh kerana Aki tidak dapat menahan marah, lalu Aki menendang tajau tersebut dengan sepenuh kekuatannya dan akhirnya Tajau Pereni itu pecah berderai. Aki terkejut dengan kekuatan tendangannya sendiri.

Masakan tidak. Aki telah berusia 70 tahun lebih dan kekuatannya sudah susut tetapi masih boleh lagi memecahkan tajau yang lebih tinggi dari badannya sendiri.

Kepala perempuan yang menyeramkan itu sudah tidak ada lagi. Aki juga tidak tahu ke mana menghilangkan kepala perempuan tersebut.

Tidak lama kemudian datang beberapa orang penduduk rumah panjang ke arah bilik Tajau Pereni. Mereka ingin mengetahui apa yang berlaku. Ketika mereka memandang ke arah Tajau Pereni tersebut, mereka terkejut kerana tajau tersebut telah jatuh berkecai.

Kelihatan wajah kepuasan terpancar pada wajah Aki. Aki tersenyum memandang mereka. Mereka langsung tidak berkata apa-apa. Cuma menunggu lafaz yang terkeluar dari mulut Aki.

“Ini adalah tanggungjawab aku. Sudah lama aku menaruh syak dan kemarahan pada penunggu Tajau Pereni kita ini. Mungkin sekaranglah masanya yang sesuai untuk memutuskan perjanjian kita bersama penunggu Tajau Pereni ini. Apa-apa pun yang berlaku aku yang akan bertanggungjawab.”

“Kami faham Tuai. Apa saja yang kamu rasakan baik kami akan ikut saja Tuai.”

“Ya. Terima kasih. Sudah lama aku pendam. Mungkin bara kemarahan ini adalah kerana dendam kesumat keturunan Manang dan keturunan aku. Untuk sementara ini jiwaku agak tenang. Aku rasa puas. Tapi aku pasti perempuan itu tidak akan berdiam diri. Kerana selagi aku dan keturunan aku belum mati maka dia tidak akan merasa puas.”

“Tapi Tuai. Tuai sudah memecahkan Tajau Pereni ini? Adakah gangguan perempuan itu masih ada?”

“Ya. Bahkan dia akan mengamuk. Lagipun yang pecah cuma Tajau Pereni ini saja dan bukannya perjanjian dia bersama nenek moyang kita. Aku taat pada Petara kita. Aku juga hormat akan Keling. Tapi aku yakin aku berada di pihak yang benar. Kalian baliklah ke bilik masing-masing.”

“Baiklah Tuai. Hati-hati.”

Aki melemparkan senyuman pada anak buahnya. Fikiran dan jiwa Aki mula sedikit lapang. Selepas itu Aki kembali ke biliknya lalu menuju ke arah katil.

Dia merebahkan badannya pada katil kayu yang diperbuat dari kayu belian. Masih utuh lagi. Selepas itu Aki melabuhkan kain kelambu putih yang diikat di tepi tiangnya. Biar tidur Aki nyenyak tanpa ada gigitan dari nyamuk.

Aki meletakkan lengan kirinya di dahi. Dia memikirkan kembali peristiwa yang berlaku tadi. Tajau Pereni yang berusia ratusan tahun hancur akibat ditendang olehnya. Aki mengharapkan agar perempuan penjaga keturunan mereka akan hilang buat selama-lamanya.

Aki teringat akan adik-beradiknya yang tinggal di Bandar Bintulu. Aki mempunyai dua orang adik. Kedua-dua orang adiknya adalah perempuan dan mereka pernah meminta Aki untuk menyerahkan Tajau itu kepada mereka untuk dihantar ke Muzium Negeri Sarawak.

Sebagai suatu khazanah yang mesti dipelihara. Apa lagi Tajau Pereni ini cuma tinggal beberapa buah sahaja di Tanah Sarawak.

Aki pernah bergaduh dengan kedua orang adiknya apabila Aki menolak permintaan mereka. Kedua-dua adik Aki bukan tidak mempercayai Aki dan sejarah keturunan mereka.

Tetapi oleh kerana kedua adik Aki dilahirkan jauh lebih muda dari Aki, jadi nilai sensitiviti mereka berkenaan dengan kisah lagenda ini tidak seperti Aki.

Kerana ketika kejadian Sani dibaham buaya, Aki dan ayahnya Dana adalah saksi dan mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri. Sehinggakan peristiwa ini menjadi sapaan trauma dalam hidup Aki.

Tetapi Aki keberatan. Bukan tidak mahu, tetapi mengenangkan darah manusia akan menjadi taruhan, lalu Aki membatalkan niatnya. Aki tahu kuat sungguh niat adiknya untuk mengambil Tajau Pereni ini.

Tetapi Aki telah mengambil keputusan. Apa saja yang berlaku tajau itu tetap akan dimusnahkan. Biar nyawa Aki menjadi pertukaran sekalipun.

Tanpa Aki sedari Aki telah tertidur. Mungkin terlalu penat memikirkan apa yang terjadi dan apa yang perlu tanggung oleh penduduk rumah panjangnya. Ketika Aki tertidur Aki bermimpi. Suasana ketika itu terlalu gelap.

Dia berada di bawah sebuah pohon Ara besar. Pohon ara yang menjadi saksi akan sejarah kedatangan mereka ke tempat baru dulu.

Tempat berlaku segala-galanya permasalahan di rumah panjang mereka. Kelihatan di bawah pokok ara tersebut ada tiga buah tajau. Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda.

Ketiga-tiga tajau itu berada di hadapan Aki. Sedangkan perempuan penjaga tajau dan keturunan mereka itu pula duduk bertinggung di atas lantai sambil menjilat-jilat sesuatu yang penuh dengan ulat-ulat sampah.

Perempuan itu beberapa kali memandang Aki dengan wajahnya yang bengis. Kemudian perempuan itu kembali menjilat-jilat di atas tanah. Aki memerhati dengan tekun apa yang dilakukan oleh perempuan itu.

Ternyata perempuan tersebut sedang menjilat-jilat dan melahap empat kepala manusia yang sudah terputus dari badan. Wajah keempat-empat mereka sudah tidak kelihatan lagi kerana kulit wajah mereka telah disiat-siat dengan kukunya yang tajam.

Yang tinggal cumalah bebola mata mereka yang terbujur keluar dan dipenuhi dengan ulat-ulat yang rakus memakan daging.

Mimpi Berjumpa Ayah

Tiba-tiba Aki terkejut apabila mendengar suara lelaki yang menyapanya dari belakang. Aki menoleh ke belakang dan di belakangnya kelihatan tiga orang pemuda. Aki tersenyum lebar. Kerana Aki kenal benar dengan mereka.

Moyang Aki, Bani (datuk Aki) dan Dana (ayah Aki) juga tersenyum memandang Aki. Dana, ayah kepada Aki menepuk bahu Aki sambil bertanya;

“Kamu apa khabar? Sudah lama ayah tidak melihat kamu.”

“Khabar baik ayah. Ayah bagaimana?”

“Sihat nak. Ada sesuatu yang ayah ingin beritahu kamu.”

“Ada apa ayah?”

“Begini nak. Kamu lihat tak perempuan itu? Dia itulah menjaga keturunan kita. Tapi dia sungguh licik. Kerana dialah moyang kamu, datuk dan ayah serta keturunan Manang kecundang akibat dari olahan dia. Sekarang dia ingin memusnahkan kamu pula. Cuma setakat ini dia belum berjaya lagi. Kamu lihat tak keempat-empat kepala yang menakutkan itu?”

“Ya. Ada ayah.”

“Kamu hati-hatilah dan carilah penyelesaian seberapa segera. Kerana itulah jumlah anak buah kamu yang akan mati di tangannya selepas ini.”

“Kenapa begitu ayah?”

“Kerana itulah perjanjian berdarah yang tidak pernah diungkapkan oleh dia. Dia berdendam dengan kamu. Tetapi dia tidak dapat memusnahkan kamu buat masa sekarang. Jadi sebagai gantinya, empat orang anak buah kamu di rumah panjang kita nanti akan menjadi mangsa. Sebelum kematian mereka, mereka akan mula berubah menjadi pendiam, menyendiri dan sentiasa memandang ke atas. Esok, lusa dan hari seterusnya engkau akan tahu siapa mereka.”

“Bagaimana untuk saya atasi masalah ini ayah?”

“Bukan kamu yang selesaikannya. Kerana kita terikat dengan perjanjian bersama Keling. Mintalah pada pertolongan ‘Orang Laut’. Merekalah yang akan membantu kamu nanti. Sebab kalau kamu yang cuba menyelesaikannya, kamu tetap tidak akan berjaya.”

“Keterikatan kita kepada Petara (Tuhan) dan Keling sebagai penghalang. Kamu putuskan perjanjian kita ini. ‘Orang Laut’ nanti akan membantu kamu. Perjanjian ini akan terputus apabila ketiga-tiga Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda dimusnahkan sekali. ‘Orang Laut’ itu tahu bagaimana untuk menghancurkan dan memusnahkannya.”

“Baiklah ayah. Nanti saya akan usahakan untuk mencari ‘Orang Laut’ ini. Tetapi bagaimana untuk menjumpai Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda ini? Bukankah Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda itu ada di dasar sungai ini dan ada buaya gergasi yang menjaganya? Dan Tajau Pereni pula telah pecah?”

“Tidak semudah itu untuk memecahkan Tajau Pereni itu nak.”

“Apa maksud ayah?”

“Nantilah kau akan tahu sendiri. Apabila kamu bangun nanti pecahan dari Tajau Pereni sudah tidak ada lagi di dalam biliknya. Untuk Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda pula. Kamu jangan risau. Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda sudah tiada di dasar sungai ini. Ianya ada di darat. Keturunan buaya gergasi yang memindahkannya ke darat.”

“Mereka juga sudah tidak mahu mengikut kata-kata perempuan tersebut. Kau tidak perlu tahu bagaimana kerana dikhuatiri akan diketahui oleh perempuan itu nanti akan kedudukannya. Cuma urusan kamu adalah cari di mana letaknya ketiga-tiga tajau tersebut. Minta tolong pada ‘Orang Laut’ tersebut nak. Cuma mereka yang tahu untuk mencarinya. Nanti kau bantulah mereka. Beri apa saja pertolongan yang mereka perlukan.”

“Baiklah ayah. Nanti saya akan cari di mana mereka.”

“Ada apa-apa lagi yang kau perlukan nak?”

“Tiada ayah.”

“Terima kasih nak. Aku bangga mempunyai anak seperti kamu. Kekuatan dan kesetiaan moyang kamu, datuk dan ayah akan menyatu dalam diri kamu. Mungkin suatu ketika dulu kami pernah berbangga kerana kitalah antara keturunan yang pernah memiliki ketiga-tiga tajau lagenda ini.”

“Orang tua-tua di rumah panjang lain juga tahu akan siapa keturunan kita. Kitalah pewaris ketiga-tiga tajau yang hebat ini. Tapi selepas ini semuanya hanyalah bualan mulut sahaja. Lama kelamaan ianya akan terbang dibawa angin. Tinggalkan kita sebagai lagenda yang tidak pernah ditulis oleh sejarah. Tetapi kisah ini akan selamanya tersemat selagi bumi belum bergoncang.”

“Nak, kami pergi dulu. Cukup setakat ini pertemuan kita. Selepas ini moyang, datuk dan ayah tidak akan ada lagi dalam mimpi kamu. Untuk selamanya. Jagalah anak-anak buah kamu nak. Jangan putuskan persaudaraan ini. Kerana kesemua ini kita bina dengan cinta dan air mata. Janganlah bersedih nak. Kami sayang kamu. Berjuanglah. Kami menanti kamu untuk menceritakan tentang sejarah perjuangan keturunan kita pada generasi akan datang. Kami pergi dulu ya..”

“Ayah tunggu. Saya perlukan kamu semua.”

Dana, ayah kepada Aki dan juga moyang dan datuknya Bani tersenyum memandang Aki. Mereka mula memusing badan mereka sambil membelakangi Aki. Aki cuba mengejar mereka tetapi kakinya seperti ditahan oleh sesuatu.

Mereka bertiga kemudiannya menoleh ke belakang. Memandang Aki dengan senyuman pengharapan dan kasih sayang dan melambaikan tangan mereka kepada Aki. Buat kali yang terakhir.

“Ayah..Tunggu..Ayah..”

Aki tiba-tiba tersedar dari mimpinya. Dia menggosok-gosok matanya beberapa kali. Aki kemudian menangis semahu-mahunya.

Kerinduan Aki pada ayahnya tidak dapat ditenangkan dengan basah air matanya. Ingin rasanya Aki untuk terus bermimpi. Agar Aki dapat menghilangkan kerinduan pada ayahnya, datuk dan moyangnya.

Kerana bagi Aki, Aki tidak akan dapat menyatukan lagi ketiga-tiganya dalam mimpi dan realiti. Tetapi cuma melalui ingatannya saja. Lama juga Aki menangis. Sehingga kering air mata dan kerinduan pada mereka.

Malam Yang Panjang

Saya memandang jam di dinding. Waktu telah menunjukkan tepat pada pukul 2.30 pagi. Aki masih lagi bersemangat untuk bercerita. Kisah perjalanan hidup keturunan Aki benar-benar meninggalkan kesan pada diri saya.

Saya tidak akan pernah untuk mendapat peluang dengan mendengar sendiri kisah seperti ini lagi pada masa akan datang melalui saksi kisah sejarah penceritaan ini.

Saya merenung ke luar Bangunan Martabat. Jalan raya kelihatan agak sunyi. Cuma sesekali bunyi kereta dan motosikal bergerak perlahan memecah kesunyian malam. Juga sinar neon kelihatan agak malap kerana diselubungi embun pagi.

Kisah Aki dan keluarga benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa saya. Apa yang diceritakan oleh Aki, saya dengan sedaya upaya berusaha untuk mengingatinya kembali.

Agar jalan penceritaannya tidak bercanggah ketika saya berusaha untuk menukil kembali kisah ini dalam lembaran kertas.

Lamunan saya tersentak apabila Aki memegang tangan saya. Kerut pada dahi Aki kelihatan jelas. Wajah Aki saya lihat sama seperti Allahyarham Abdul Wahab bin Sulaiman. Iaitu ayah saya. Badannya kecil. Rambut beruban dan berkaca mata. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Kenapa nak?”

“Tidak ada apa-apa Aki. Saya terbayang akan kisah sejarah keturunan Aki. Saya sangat-sangat terkesan Aki. Saya tidak sangka kisah seperti ini masih tersimpan rapi dalam ingatan Aki. Aki…”

“Ya nak?”

“Selepas itu apa yang terjadi?”

“Begini nak.”

“Selepas seminggu, kampung kami dikejutkan dengan kematian salah seorang penduduk kampung rumah panjang kami. Seminggu sebelum dia meninggal dunia dia mula berubah. Sama seperti apa yang Aki mimpi ketika berjumpa dengan ayah Aki dulu. Dia mula menjadi pendiam, menyendiri dan sentiasa memandang ke atas. Selepas seminggu dia berkelakuan begitu, dia meninggal dunia. Darah keluar dari mata, telinga, mulut dan hidungnya.”

“Selang dua minggu kemudian, seorang lagi anak buah Aki meninggal. Keadaannya juga sama seperti kematian penduduk rumah panjang kami seminggu sebelum itu. Kami mengadakan mesyuarat tergempar di rumah panjang kami. Ritual ‘miring’ juga kami laksanakan agar peristiwa seperti ini tidak berulang lagi.”

“Tetapi ketika kami sedang bersedih meratapi kematian dua orang penduduk rumah panjang kami, sekali lagi kami dikejutkan dengan kematian mangsa yang ketiga. Sama sahaja keadaannya jika dibandingkan dengan kedua-dua mangsa sebelum ini. Darah pekat mengalir keluar dari dari mata, telinga, mulut dan hidung mereka.”

“Penduduk di rumah panjang kami menjadi huru-hara. Ada yang tetap bertahan untuk tinggal di rumah panjang kami dan ada yang meninggalkan kampung untuk mengelakkan dari menjadi mangsa. Mereka juga tidak mahu menghadapi mala petaka ini dan cuba untuk membina hidup baru.”

Aki kemudiannya memandang saya. Matanya seolah-olah berkaca. Saya tahu Aki sedang menahan kesedihannya. Tetapi saya tidak tahu kenapa?”

“Aki. Aki kenapa?”

“Tidak apa-apa nak. Aki cuma ingatkan sesuatu.”

“Apa dia Aki?”

“Sudah tiga orang anak buah Aki telah menjadi mangsa. Kalau ikutkan apa yang Aki mimpi ketika berjumpa dengan ayah Aki, maksudnya ada seorang lagi yang akan menjadi mangsa.”

“Kalau begitu kita perlu bertindak cepat Aki.”

“Ya nak. Kerana kemungkinan mangsa yang terakhir adalah anak perempuan Aki sendiri. Dia ada di rumah. Sudah dua hari dia menjadi sedikit pendiam, menyendiri dan mula memandang ke atas. Keadaan anak Aki ini sama dengan tiga orang mangsa sebelum ini. Nak, tolong Aki. Aki tidak mahu perkara ini berulang lagi. Cukup-cukuplah penderitaan keturunan Aki selama ini.”

“Untuk pengetahuan kamu nak, ketika Manang di sebelah rumah panjang kami dan juga ketika Aki bermimpi berjumpa dengan ayah Aki, mereka ada menyebut supaya Aki meminta pertolongan dari ‘Orang Laut’ iaitu keturunan kamu Orang Melayu (Melayu dan Melanau Islam). Aki cuba meminta pertolongan dari anak buah Aki yang tinggal di Sungai Plan Kidurong untuk mencari siapa yang boleh membantu kami.”

“Kebetulan pula anak buah Aki itu pernah membawa anaknya berubat dengan Anak dan kawan-kawan. Lalu dialah yang membawa Aki ke sini malam ini untuk berjumpa dengan Anak. Anak saja yang boleh membantu Aki. Aki sudah tak tahu macam mana caranya untuk meminta bantuan dalam menyelesaikan masalah kami ini. Ini kerana anak Aki juga sudah mula sakit dan kami tiada banyak masa untuk menyelesaikan masalah ini.”

“Baiklah Aki. Ada tiga perkara yang perlu kita lakukan. Pertama, kita putuskan perjanjian bersama dengan penunggu tajau ini. Kedua. Kita berusaha untuk membantu anak Aki dan yang ketiga, kita akan musnahkan tajau-tajau milik keluarga Aki.”

“Baiklah..Baiklah..Terima kasih nak. Terima kasih..”

Aki menggenggam tangan saya dengan kuat sambil menggoyang-goyangkan lengan saya secara perlahan. Wajah Aki mula ceria.

Tidak seperti kali pertama saya melihatnya tadi. Mata Aki kelihatan berair dan hidung Aki kemerahan. Aki sedaya upaya untuk menahan kesedihan.

“Baiklah Aki. Kami akan tolong semampu kami. Tetapi kami tidak berani untuk menjanjikan yang masalah Aki akan selesai. Ini semua bergantung sejauh mana Allah membantu kami dalam membantu Aki nanti.”

“Ya nak. Aki faham. Cuma kita ada sedikit masalah nak.”

“Masalah apa Aki?”

“Begini. Sekarang Aki tidak tahu di mana kedudukan Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda itu. Tajau Pereni pula sudah tidak ada lagi di dalam bilik dan kali terakhir Aki lihat adalah selepas Aki memecahkannya di rumah panjang kami. Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda pula menurut ayah sudah tiada di dasar sungai ini. Ianya ada di darat. Keturunan buaya gergasi yang memindahkannya ke darat. Itu sahaja yang ayah Aki bagitau. Aki tak tahu macam mana untuk mencarinya.”

“Baiklah. Beginilah Aki. Lepas ini Aki balik dulu. Malam esok Aki datang balik dan bawa anak Aki yang sakit tu ke sini. Untuk tajau tu Insya-Allah nanti Allah akan ilhamkan kepada kita di mana kedudukannya. Selebihnya serah kepada kami.”

“Baiklah nak. Malam esok Aki akan bawa anak Aki ke sini ya. Aki berharap dengan anak dan kawan-kawan. Mungkin ini ikhtiar Aki. Kalau tetap tiada jalan penyelesaiannya maka Aki akan berserah kepada takdir dan menerima apa-apa sahaja ketentuan.”

“Aki jangan menyerah dulu. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Saya berjanji kami akan membantu Aki menyelesaikan masalah ini.”

“Ya nak. Aki balik dulu ya.”

“Silakan Aki.”

Kemudian saya mengiringi Aki dan anak-anak buahnya ke pintu keluar Bangunan Martabat. Wajah mereka kelihatan ceria. Mungkin sinar pengharapan tetap ada di penghujung pencarian.

Saya terpegun melihat Aki. Aki menaiki kereta Ford Ranger berwarna hitam di sebelah tempat duduk penumpang. Aki melambai-lambai tangan ke arah kami dan kami membalas balik lambaian dari Aki.

Kereta Ford Ranger Aki meninggalkan perkarangan Bangunan Martabat. Diikuti oleh kereta Toyota Alphard putih dan kerta Honda Accord putih.

Mungkin penduduk di rumah panjang Aki rata-rata dari golongan kaya dan berkemampuan. Begitu juga di rumah-rumah panjang yang lain.

Akhirnya ketiga-tiga kereta tersebut meninggalkan kami dan bergerak ke arah ‘Jalan Bukit Orang’ dan hilang di celah kabus malam.

Selepas itu kami balik ke rumah. Jam menunjukkan pada pukul 3.30 pagi. Saya mengambil keputusan untuk solat sunat dua rakaat sebelum tidur sebentar sementara untuk menunggu azan subuh.

Petunjuk Dari Allah

Selepas solat sunat dua rakaat, saya pun merebahkan diri di atas katil. Saya mula mengingat kembali cerita tentang pengalaman Aki.

Cerita Aki sangat menarik perhatian saya sehinggakan ketika Aki bercerita, Aki seolah-olah membawa saya untuk sama-sama masuk di dalam pengembaraan masa.

Mata saya mula terasa sangat berat. Sebelum terlelap saya sempat untuk membaca doa tidur, Surah Al-Fatihah, Kursi dan tiga Qul. Selepas itu saya tidak sedar apa yang terjadi. Saya tertidur.

Tiba-tiba saya bermimpi. Saya berada di rumah panjang Aki. Rumah panjang Aki ketika itu sangat sunyi tetapi semua penghuni rumah Aki keluar dari bilik dan berdiri lurus sambil kepala mereka menegak ke atas dan pandang mata mereka juga ke atas. Darah keluar dari mata, telinga, mulut dan hidung mereka.

Saya berjalan dari hujung rumah panjang dari sebelah tempat saya berdiri menuju ke penghujung iaitu bilik tempat meletakkan Tajau Pereni suatu ketika dahulu. Semasa saya berjalan ke hadapan saya perhatikan wajah mereka satu persatu.

 

Ada beberapa wajah yang saya cam iaitu empat orang lelaki yang berbeza usia di mana mereka semua memegang parang ilang Langgai Tinggang.

 

Seorang dari mereka adalah Aki dan tiga orang lagi bersamanya adalah kemungkinan Moyang Aki dan Bani iaitu datuk Aki dan Dana iaitu ayah Aki.

Selain itu saya melihat tiga orang lelaki dengan ikatan kain berwarna merah di kepala mereka. Mungkin juga mereka inilah keturunan Manang. Iaitu Manang sendiri, Raja dan Sani.

Kesemua keturunan Aki dan Manang tidak bergerak. Mereka memandang ke atas sambil telinga, mata, hidung dan mulut mereka berdarah.

Saya meneruskan perjalanan saya hingga ke hujung bilik yang menempatkan Tajau Pereni suatu ketika dahulu. Bilik itu di sebelah kanan saya.

Ketika saya sampai di pintu bilik tersebut, saya cuma memerhati apa yang ada di dalamnya. Ternyata gelap. Cuma saya perasan seperti ada sepasang mata yang memerhati setiap inci pergerakan saya.

Saya menjadi tidak selesa. Saya melangkah terus ke hadapan. Saya kembali memerhatikan apa yang ada. Sepertinya ada sesosok tubuh wanita di dalamnya. Pandangan saya tidak jelas.

Cuma saya dapat melihat tubuh badan seorang perempuan. Tetapi seperti asap. Wajahnya bengis dan menakutkan. Kulitnya pucat, lidahnya panjang menyentuh lantai dan mata bulatnya memandang saya.

 

Saya bacakan Surah An Nisa: 56

 

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Bijaksana.”

 

Selepas itu saya terdengar seperti suatu perempuan menjerit. Diikuti dengan suara perempuan mengilai, ketawa dan menangis. Kemudian hilang secara perlahan-lahan.

Saya tidak mempedulikan apa yang berlaku pada perempuan tersebut. Saya mula melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Keadaannya sangat-sangat gelap. Seperti berada di dalam keranda yang berada jauh di dalam tanah.

Saya juga cuba untuk meraba apa sahaja yang berada di hadapan saya. Langkah saya terhenti apabila saya mendengar seperti ada bunyi kayu lantai yang mula retak. Saya cuba untuk berundur ke belakang tetapi tidak berjaya.

Akhirnya saya terjatuh ke bawah tanah. Saya terkejut kerana ketiga-tiga Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda ada di hadapan saya. Sedangkan buaya gergasi itu juga ada dan sedang tidur nyenyak.

Saya kemudiannya terkejut dan terjaga dari tidur. Dari kejauhan azan subuh mula berkumandang. Saya bingkas bangun melakukan sujud syukur. Saya tersenyum sendirian kerana Allah telah berikan petunjuknya kepada saya.

Sepertinya masalah Aki ini akan selesai. Inilah yang saya rasakan. Saya perlu untuk berjumpa dengan Aki. Paling tidak pun menelefon Aki untuk menyampaikan cadangan saya berkenaan dengan cara untuk mencari tajau-tajau ini.

Panggilan Telefon

Alhamdulillah. Sebaik-baik perancangan manusia, perancangan Allah lebih besar dari segalanya. Secara kebetulan pada malam tadi Aki ada memberikan nombor telefon bimbitnya kepada saya untuk saya hubungi sekiranya ada apa-apa yang saya perlukan.

Selepas itu saya mandi dan solat Subuh lalu berangkat ke SK Kampung Jepak untuk bertugas seperti biasa. Lebih kurang jam 10 pagi saya cuba untuk menelefon Aki. Saya rasakan jam 10 pagi adalah masa yang sesuai untuk menelefon Aki.

“Selamat pagi Aki. Aki apa khabar?”

“Khabar baik. Ini siapa ya?”

“Ini saya Aki. Malik. Yang menemani Aki malam tadi.”

“Oh..ya..Malam ini Aki akan bawa anak Aki pergi ke Bangunan Martabat. Jam 8 malam. Minta maaf nak sebab tidak sempat untuk menelefon. Anak Aki semakin teruk nak. Sekarang dia berdiri sahaja di biliknya sambil memandang ke siling. Risau Aki nak.”

“Ye ke Aki? Tak apalah Aki. Malam ni Aki bawa anak Aki ke tempat malam tadi ok.”

“Baiklah nak.”

“Aki, saya nak minta tolong Aki boleh tak?”

“Boleh nak. Boleh. Anak nak minta tolong apa?”

"Begini Aki. Saya nak mintak tolong Aki pergi ke tempat Tajau Pereni itu. Bawa empat ke lima orang untuk menemani Aki.”

“Baiklah nak. Tapi Tajau Pereni itu sudah tiada di sana. Akipun tak tahu di mana Tajau Pereni itu sekarang. Sisa-sisa pecahan Tajau Pereni itu pun Aki tidak tahu di mana.”

“Tak apa Aki. Kita bukan nak cari sisa pecahan Tajau Pereni tersebut. Apa yang perlu Aki buat adalah Aki mintak tolong anak buah Aki untuk mencangkul tanah betul-betul di bawah bilik tempat Tajau Pereni itu diletakkan sebelum ini.”

“Untuk apa tu nak?”

“Saya pun tak tahu. Tapi percayalah Aki. Aki mintaklah mereka cangkulkan dulu sedalam dua tiga meter dan selebar dua meter. Mungkin petunjuknya ada di situ.”

“Baiklah nak. Tak rugi kalau kita mencuba nak. Aki percaya pada anak. Aki pun tak tahu kenapa Aki merasa sedemikian. Baiklah nak. Nanti kalau ada apa-apa Aki akan hubungi anak ya.”

“Baiklah Aki. Terima kasih.”

“Sama-sama nak.”

Selepas itu saya matikan telefon. Saya pun tidak tahu kenapa jiwa saya menjadi sedikit tenang dari sebelum ini. Mungkin rahmat dan petunjuk Allah telah hadir. Saya mengucapkan syukur kepada Allah.

Walau apa pun hasil dari pencarian mereka nanti saya tetap memanjatkan rasa syukur saya kepada Allah. Itu janji saya. Selepas itu saya bertugas seperti biasa.

Pada tengah hari tersebut, ketika saya sedang mengemas-ngemas barang untuk balik, tiba-tiba hp saya berdering. Pada skrin hp saya tertera nama Aki. Saya segera menjawab panggilan Aki.

“Hello nak. Ni Aki ni. Terima kasih nak. Terima kasih banyak-banyak.”

“Terima kasih untuk apa Aki?”

“Begini nak. Selepas anak telefon tadi Aki terus mengarahkan beberapa orang anak buah Aki untuk mencangkul tanah di di bawah bilik Tajau Pereni.”

“Lepas tu Aki?”

“Setelah kami mencangkul dalam-dalam ternyata Tajau Pereni itu ada di dalam tanah tersebut.”

“Betul ke Aki?”

“Ya nak. Yang paling Aki terkejut adalah di dalamnya bukan Tajau Pereni itu sahaja yang ada bahkan ada dua lagi tajau. Menurut firasat Aki kedua-dua tajau itu adalah Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda. Tapi Aki tak tahu betul atau tidak sebab Aki juga tidak pernah melihat Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda. Sepanjang hidup Aki inilah kali pertama Aki melihatnya. Tajau Singaraja ini mungkin betul-betul Tajau Singaraja. Tetapi Tajau Kelawah Indu Benda ini Aki tak pasti sebab ini adalah tajau lagenda kami masyarakat Iban.”

“Baiklah Aki. Kalau Aki nak simpan Aki simpanlah dan kalau Aki nak musnahkan tajau tersebut Insya-Allah nanti saya akan bantu Aki.”

“Terima kasih nak. Memang itulah hajat kami. Kami minta anak dan kawan-kawan tolong musnahkannya malam nanti. Di hadapan mata dan kepala kami sendiri. Aki juga akan bawa anak Aki untuk datang berubat malam ini.”

“Baiklah Aki. Nanti kita jumpa malam ini ok.”

Selepas itu saya matikan hp saya. Saya bersandar ke kerusi saya di bilik guru. Sepertinya masalah ini akan selesai. Itulah harapan saya. Setidak-tidaknya meringankan sedikit permasalahan ini.

Pada malam tersebut, setelah makan dan solat Isyak saya bergegas pergi ke Bangunan Martabat. Ingin sekali saya melihat bagaimana rupanya Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda ini. Adakah sama dengan tajau-tajau lain yang pernah kami musnahkan sebelum ini.

Pada jam 9 malam kami mulakan rawatan seperti biasa. Pesakit pada malam itu agak ramai. Dalam 15 ke 20 orang.

Ada yang menangis, ada yang ketawa, menjerit, melolong seperti anjing dan ada yang silat serta mengamuk. Alhamdulillah dengan izin Allah satu-persatu pesakit sembuh.

Rawatan kami hampir tamat pada pukul 11 malam. Ketika itu cuma tinggal dua orang pesakit sahaja lagi yang masih mendapatkan rawatan.

Tidak lama kemudian Aki muncul di depan pintu bilik pusat rawatan kami. Aki kelihatan sedang memimpin tangan anaknya. Anak perempuan Aki tersebut saling tak tumpah sama seperti wajah Aki.

Saya menjemput Aki dan anaknya untuk masuk.

“Aki, jemput masuk. Silakan duduk.”

“Baik nak. Terima kasih.”

Saya memerhati dengan tekun setiap pergerakan anak Aki. Kepalanya mendongak ke atas sahaja. Tanpa berkata sepatah perkataan sekalipun. Saya meminta Aki untuk memujuk anaknya supaya duduk.

Aki mengambil masa yang agak lama juga untuk meminta supaya anaknya untuk duduk walaupun selepas itu keadaan duduknya itu tidaklah sempurna.

Saya kemudiannya mengambil sedikit masa untuk berbual-bual dengan Aki.

“Beginilah keadaan anak Aki sekarang nak. Tidak makan dan minum. Sudah beberapa hari. Asyik berdiri dan memandang ke atas. Aki harap ustaz akan dapat membantu Aki menyelesaikan masalah anak Aki ini.”

“Insya-Allah Aki. Nanti kita usahakan semampu yang kita boleh Aki.”

“Baiklah nak.”

“Aki, boleh saya tahu tajau tu di mana sekarang?”

“Masih di dalam perjalanan nak. Anak buah Aki membawa tajau itu menggunakan lori.”

Ketika saya menyebut perkataan tajau saya perhatikan anak Aki seperti sedikit gelisah. Saya rasa mungkin gangguan pada anak Aki ada berkaitan dengan tajau tersebut. Jadi urusan kami akan menjadi lebih mudah.

Selepas itu saya sengaja menyebut nama Tajau Pereni, Tajau Singaraja dan Tajau Kelawah Indu Benda berulang-ulang kali dan saya kuatkan suara saya agar jin di dalam badan anak Aki mendengar dengan jelas.

“Aki, sekiranya ketiga-tiga tajau itu sampai nanti kita akan hancurkan terus penjaga di dalamnya. Biar mereka rasa bagaimana sakitnya apabila kehilangan keluarga tersayang. Biar mereka rasa Aki. Biar mereka tersiksa.”

Dengan tiba-tiba anak Aki berdiri lalu menyerang saya. Anak Aki lalu menolak saya dan cuba untuk mencekik dengan menggunakan kedua belah tangannya.

Saya terjatuh ke belakang. Sempat juga anak Aki mencakar lengan saya sehingga lengan saya luka sebelum Aki memeluk anaknya dari belakang dan akhirnya anak Aki terduduk juga di atas lantai.

Darah mula terkeluar dari kulit lengan saya. Saya mengelap lengan saya dengan menggunakan tisu. Sambil itu saya tersenyum memandang anak Aki. Manakala anak Aki memandang saya dengan wajah yang menyeramkan.

Aki memandang saya tanpa berkelip. Kemudian saya mulakan rawatan saya.

BAHAGIAN 1

Tajau usia 500 tahun perlu dimusnahkan..Ustaz Malik mahu Aki jujur bercerita dan ini yang berlaku

BAHAGIAN 2

Dikongsi 3,000 warganet, ini bahagian kedua kisah tajau berusia 500 tahun

BAHAGIAN 3

Netizen tak sabar nak tahu kesudahan..ini bahagian ketiga 'tajau' seperti diceritakan Ustaz Malik

BAHAGIAN 5

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak

 

SUMBER: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak