BAHAGIAN 1

Suatu hari pada hari Jumaat, saya sudah lupa tahun berapa. Kami di Pusat Rawatan Ruqyah Syar’iyyah Bintulu iaitu di Bangunan Martabat telah menerima beberapa orang tetamu untuk mendapatkan rawatan.

Pada ketika itu kami sedang sibuk merawat pesakit yang kebanyakan datang dari luar kawasan Bintulu.

Rawatan kami di Bangunan Martabat biasanya adalah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Pada hari Jumaat biasanya kami menerima tetamu dari luar kawasan Bintulu. Ada yang datang dari Miri, Sibu dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Ketika sibuk merawat pesakit, kami didatangi oleh beberapa tetamu dari sebuah rumah panjang di sekitar Jalan Bintulu-Sibu. Jumlah mereka adalah seramai 12 orang.

Kesemuanya lelaki. Mereka menanti di sekitar hadapan pintu masuk pusat rawatan kami.

Lebih kurang satu jam kemudian saya telah selesai melakukan rawatan. Cuma ada dua sahaja lagi pesakit yang tinggal yang memerlukan rawatan susulan.

Saya serahkan kepada kawan-kawan saya untuk meneruskan rawatan kepada dua orang pesakit tadi manakala saya pergi berjumpa dengan tetamu dari rumah panjang tadi untuk berkenal-kenalan dan bertanyakan tentang permasalahan mereka.

Dari kejauhan kelihatan seorang lelaki yang agak berusia terus memandang saya sambil tersenyum. Berkaca mata. Kulitnya kelihatan kendur dan badannya sedikit bongkok.

Rambut putihnya tidak menampakkan bahawa dia seorang yang lemah kerana usianya. Saya anggarkan usianya adalah dalam sekitar 70 tahun.

“Assalamualaikum Pakcik.”

“Selamat sejahtera ustaz. Minta maaf nak ‘Aki’ tak dapat nak jawab salam ustaz. Aki bukan beragama Islam.”

“Oh..Iya pakcik. Saya minta maaf. Selamat sejahtera Pakcik. Pakcik apa khabar?

“Aki sihat nak.”

Pakcik tadi membahasakan dirinya sebagai Aki. Aki disebut dengan sebutan ‘Akik’ dan kaedah menyebutnya juga berbeza kerana ada alunan tertentu ketika menyebut Akik ini. Aki di dalam Bahasa Iban ini bermaksud datuk.

“Ada benda yang Aki nak mintak tolong. Sebelum tu ustaz boleh panggil pakcik ‘Aki’ saja.

“Baiklah Aki.”

Aki ni adalah seorang ‘tuai rumah’ di sebuah rumah panjang di Jalan Bintulu-Miri. Tetapi dari simpang jalan pula perlu masuk dan meredah hutan dan sungai untuk sampai. ‘Tuai rumah’ ini bermaksud ketua kampung walaupun dari segi konsepnya ada sedikit perbezaan.

Saya kemudiannya menjemput Aki dan yang lain untuk masuk dan duduk di dalam pusat rawatan kami. Aki saya lihat sangat berminat melihat rakan-rakan saya sedang merawat dua orang pesakit yang masih lagi memerlukan rawatan. Setelah itu Aki memandang saya sambil tersenyum.

“Ustaz, boleh tak saya minta ustaz untuk selesaikan masalah kampung kami. Baru-baru ni permasalahan kami semakin teruk.”

“Baiklah Aki. Insya-Allah nanti kami tolong.”

Saya tersenyum sambil berjanji kepada Aki untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Begini ustaz. Kami nak mintak tolong ustaz dan kawan-kawan untuk memusnahkan sebuah ‘tajau’ milik moyang kami (tajau ini adalah tempayan atau tembikar). Tajau ni dah lama usianya ustaz. Mungkin dalam 500 tahun.”

“Sayang kalau kita musnahkan tajau tu Aki. Tu barang peninggalan keluarga Aki. Khazanah keluarga Aki. Aki boleh serahkan kepada keluarga Aki yang lain untuk menyimpannya. Kalau tidak pun Aki boleh serah kat muzium sebagai suatu khazanah yang mesti dipelihara.”

Aki merenung saya. Sedikit kerisauan muncul pada wajah Aki. Kemudian Aki menoleh ke belakang dan berbincang dengan seseorang. Badannya agak tinggi dan berbadan besar. Saya cuma perhatikan tingkah laku mereka sambil menunggu.

Aki kemudian memandang kami. Setelah beberapa ketika Aki meneruskan kata-katanya.

“Ustaz, kami dah ambil keputusan untuk musnahkan juga tajau tu. Walau apa-apa halangan yang datang sekalipun. Kalau ustaz tak dapat nak tolong nanti Aki minta tolong orang lain saja.”

“Baiklah Aki. Kami takde masalah nak tolong Aki musnahkan tajau itu. Tapi boleh tak Aki cerita sedikit tentang tajau dan masalah yang Aki dan anak buah Aki hadapi?”

“Begini ustaz. Dalam beberapa ratus tahun dulu, moyang Aki berasal dari Kapuas Kalimantan Indonesia. Dulu selalu berlaku peperangan di antara moyang kami dan suku kaum bangsa yang lain untuk merebut dan mempertahankan tanah masing-masing. Ada kalanya kami menang dan ada kalanya kami kalah.“

Berjumpa ‘Manang’

“Moyang Aki selaku tuai rumah ketika itu merasakan perlunya untuk mereka berpindah ke suatu tempat yang lebih jauh. Agar hidup mereka lebih aman dan tenteram serta hidup seperti orang lain. Mempunyai tanah dan kebun sendiri yang dibina dengan kudrat serta titik peluh sendiri.”

“Di kalangan pengikut moyang Aki ada seorang ‘Manang’ (bomoh) iaitu tempat mereka merujuk untuk berbincang sebelum memutuskan sesuatu perkara terutamanya berkaitan dengan masa hadapan.”

Aki bercerita dengan penuh semangat. Saya mendengar dengan tekun kerana pengalaman seperti ini jarang diceritakan kembali oleh ‘orang-orang lama’ dalam masyarakat Iban.

Suatu ketika dulu ramai masyarakat Iban yang pagan mengamalkan kepercayaan animisma dalam kehidupan sosial mereka.

Ini termasuklah tata cara kehidupan, adat resam kehidupan mereka serta kepercayaan-kepercayaan tertentu untuk melaksanakan sesuatu upacara.

Dan sekarang ramai yang sudah mengamalkan kepercayaan beragama. Kebanyakannya beragama Kristian, ada juga sebahagian kecil dari mereka memeluk agama Islam, Buddha dan ada yang tetap mengamalkan kepercayaan-kepercayaan mistik mereka hingga ke hari ini.

Kemudian Aki meneruskan ceritanya.

“Moyang Aki telah mengadakan perbincangan dengan Manang untuk menilik adakah sesuai bagi mereka berpindah dan memulakan hidup yang baru di suatu tempat.”

“Pada malam itu, Manang telah mengadakan suatu upacara ‘miring’ bertujuan memanggil ‘roh’ untuk meminta keputusan, pendapat dan kebenaran agar mereka boleh berpindah ke tempat baru. Malam yang sangat sesuai. Kerana bulan terang, udara bergerak perlahan dan tiada tanda-tanda akan hujan.”

“Manang meminta kepada kami semua apa-apa pun terjadi pada malam itu jangan ada yang turun ke tanah, menjerit dan sebagainya. Apa yang boleh mereka lakukan adalah cuma memerhatikan sahaja apa yang berlaku dari dalam rumah panjang mereka.”

“Sebelum upacara dijalankan, Manang telah menyediakan ayam hitam yang telah disembelih, rokok daun, pulut di dalam bekas dan air tuak (minuman khas orang Iban). Semua ini untuk dipuja kepada dewa-dewa mereka dan diletak di dalam dulang di halaman rumah.”

“Ketika Manang sedang membaca jampi-jampi dan mentera-mentera, rumah panjang moyang Aki seperti bergoyang.”

“Rumah panjang mereka ketika itu seperti dilanggar oleh bah yang besar. Sedangkan kedudukan rumah panjang mereka adalah jauh di atas bukit dan pasti tidak akan mengalami banjir. Sebelum itu juga tiada hujan dan ribut yang melanda.”

“Selepas itu Manang tadi pergi ke tengah halaman rumah panjang mereka. Ketika itu bulan sedang mengambang penuh. Gelap malam yang pekat. Bunyi cengkerik bersahutan.”

“Kedengaran bunyi suara perempuan menyanyikan lagu. Diiringi dengan bunyi tangisan. Semua itu tidak mengganggu perhatian Manang tadi.“

“Manang kemudian menari dan mempersembahkan salah satu dari tarian ngajat iaitu ‘Ngajat Ngallu Temuai’ iaitu tarian ngajat menyambut tetamu khas yang datang.”

Pada masa sekarang biasanya tarian ini dipersembahkan ketika upacara perasmian atau pembukaan sesuatu majlis rasmi yang di hadiri oleh banyak tetamu-tetamu terhormat dan orang ramai sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu yang hadir ke rumah panjang semasa perayaan Hari Gawai atau perayaan-perayaan yang lain.

Tiba-tiba dari tengah hutan di kegelapan malam terdengar seperti paluan ‘tawak’ (gong besar) dan paluan ‘bebendai’ (gong sederhana), gendang perang, gong kecil ‘engkurumong’ dan petikan ‘Sape’ (sebuah peralatan muzik seperti gitar) yang sangat-sangat menyatu dengan alam pada ketika itu.

Alunan muzik ini seolah-olah dimainkan oleh puluhan orang tetapi langsung tiada kelibat manusia ketika itu.

“Selepas beberapa ketika, dari kejauhan hutan terdengar bunyi sesuatu menuju ke arah rumah panjang mereka. Terdengar juga dengan jelas bunyi pokok-pokok balak dan pokok-pokok liar tumbang bagai dirempuh oleh sesuatu yang besar.”

“Manang sempat meminta kepada penduduk rumah panjang tersebut untuk jangan turun ke halaman rumah. Supaya proses ritual tadi tidak terganggu. Kemudian Manang terus berdiri kaku sambil memandang tepat ke arah bunyi di dalam hutan tersebut sambil mulutnya terkumat-kamit membaca mentera-mentera di dalam Bahasa Sastera Iban klasik.”

“Kemudian bunyi alunan muzik tadi semakin kuat. Semakin lama semakin kuat. Entah dari mana datangnya bunyi tersebut tiada yang peduli. Kerana masing-masing sedang memerhati dan menunggu dengan sabar. Bunyi rempuhan itu juga semakin lama semakin dekat.”

Anjing Hitam Dan ‘Keling’

“Akhirnya bunyi rempuhan tersebut mula perlahan dan betul-betul berhenti di penghujung celahan hutan di hadapan rumah panjang mereka. Tiba-tiba dari celah-celah hutan tersebut muncullah seekor anjing yang berwarna hitam. Matanya kehijauan. Taringnya pula tersembul keluar. Manakala badan anjing tersebut setinggi lelaki dewasa. Sangat besar.”

Saya terus memerhati dengan minat cerita dari Aki tadi. Kerana menurut saya ini melibatkan sejarah atau suatu mitos klasik yang tidak pernah dibukukan sebelumnya yang boleh dijadikan simpanan sebuah khazanah masyarakat Iban yang misteri sehingga kini.

Kemudian Aki meneruskan ceritanya.

“Anjing itu perlahan-lahan keluar dari hutan dan memerhatikan apa sahaja yang ada di sekelilingnya sambil menunjukkan giginya yang tajam kepada Manang dan penduduk rumah panjang tersebut. Anjing itu kemudian melolong dengan suara yang panjang dan garau.”

“Sesekali dengan suara seperti merintih kesedihan. Seperti suara perempuan yang nangis kehibaan. Sayu dan sangat-sangat menyeramkan. Kemudian anjing itu pergi ke tempat dulang tadi dan duduk di sebelahnya sambil menjilat-jilat hujung kakinya yang melunjur lurus ke depan.“

Suasana hutan yang pada mulanya kembali sunyi selepas kehadiran anjing tersebut, mula kembali meriah dengan alunan-alunan muzik Iban. Tapi tetap tidak diketahui dari mana munculnya bunyi irama tersebut.

Tidak lama kemudian dari tengah-tengah hutan di hadapan mereka muncul lembaga seperti suatu kabus yang saiznya agak besar. Setinggi pokok kelapa muda.

Bunyi gendang perang kedengaran di sekitar kawasan tersebut. Di sekitar halaman rumah panjang tersebut menjadi riuh rendah dan meriah.

Yang peliknya bunyi gendang perang yang kedengaran pada waktu tersebut muncul dari dalam tanah. Sehingga rumah panjang dan kawasan sekitar mereka bergegar.

Anjing tadi juga berdiri semula dan memandang ke arah kabus tersebut sambil melolong kehibaan dengan bunyi yang sangat menakutkan.

Manang meneruskan bacaan menteranya sambil berpeluk tubuh. Menunggu kehadiran lembaga berbentuk kabus tersebut berjalan mendekatinya.

Setelah beberapa ketika, lembaga berbentuk kabus tersebut berhenti betul-betul di hadapan Manang.

Manang cuma tunduk sambil memberikan hormat dan kemudiannya mula mengatur langkah untuk membuat tarian nyajat ‘Bebunoh’ iaitu sebuah tarian ngajat yang persembahkan oleh kaum lelaki dari masyarakat Iban kebiasaannya.

Tarian ini merupakan sebuah tarian yang ditarikan semula sebagaimana mereka lakukan semasa menghadapi musuh-musuh ketika mereka mengadakan aktiviti harian seperti memburu dan sebagainya.

Selepas itu lembaga tadi bertukar secara perlahan-lahan dan mewujudkan bentuk tiga orang lelaki yang tinggi dan sangat perkasa dari paras rupa mereka.

Berambut panjang hingga ke paras pinggang dan menggunakan pakaian tradisional pahlawan terbilang orang Iban. Lalu ketiga-tiga lelaki tersebut memerhatikan Manang dengan muka yang bengis dan menakutkan.

Mereka menggunakan ‘ketapu’ (Sebuah topi yang dipakai di atas kepala, selalunya dipakai oleh kaum Iban lelaki sahaja. Diperbuat dari rotan dan dianyam menjadi bentuk topi dan dicat dengan warna-warna tertentu sebelum memasang bulu burung Kenyalang atasnya)

Mereka juga menggunakan baju ‘Gagong’ iaitu sejenis baju burung yang tebal dan keras yang diperbuat dari kulit beruang, manakala pada hujung baju tersebut tidak dijahit.

Baju Burung adalah pakaian tradisional lelaki suku kaum Iban yang mana ianya digunakan oleh lelaki Iban yang kuat dan berani sahaja jika mengikut kepercayaan tradisi masyarakat Iban.

Lelaki yang menggunakan pakaian ini biasanya dipanggil ‘Keling’ dan Keling ini adalah lambang khas kepada kaum Iban yang membawa maksud seorang lelaki yang kuat, berani, gagah dan kacak.

Manang kemudiannya lalu berdiri dan mengambil kesempatan untuk membawa hidangan yang diletakkannya di atas tanah tadi untuk dipersembahkan di hadapan tiga-tiga orang lelaki tersebut.

Ketiga-tiga lelaki tersebut kemudiannya duduk bersila sambil berhadapan dengan Manang. Walaupun mereka duduk bersila, tetapi Manang masih lagi rendah. Lebih kurang setinggi dada Keling ketika duduk tersebut walaupun Manang dalam keadaan berdiri.

Ketika memperkemaskan duduk, Keling tadi mengeluarkan dua bilah pedangnya yang disisip di tepi pinggang dan disusun satu persatu. Bermula dari parang ‘ilang’ yang berulukan tulang dalam bentuk kepala burung. Kemudian diikuti dengan pedang dari besi tanpa ulunya.

Pedang seperti ini pernah sekali saya melihatnya sewaktu berada di penempatan baru saudara baru di perkampungan Bidayuh di kawasan ‘Bau’ Kuching pada tahun 1998.

Ketika itu saya menuntut di Madrasah al-Quran, Bintulu Sarawak dan sedang menjalani program praktikal di kampung saudara baru tersebut bersama beberapa orang rakan saya.

Manang memerhatikan dengan tekun tiga-tiga lelaki tadi. Jelas kelihatan pada atas dada sebelah kanan dan kiri mereka beberapa buah ‘tatu bunga terung’.

Bagi masyarakat Iban tatu ini menunjukkan bahawa mereka pernah terlibat dalam peperangan dan banyak pengalaman.

Juga menunjukkan bahawa mereka pernah memenggal kepala musuh dan di bawa balik ke rumah panjang daripada aktiviti ‘ngayau’ (memburu) atau berperang.

Manang kemudian membaca sebuah mentera di dalam Bahasa Iban lama sambil diiringi dengan nyanyian.

“Ngangau Bujang “berani”

“Remba se remba, Ndae nda nyinonya meda tuboh besae penerebae. Uji gak kita menyade nege sekekiah engae baek aku makae dedingae. Ngejaga beram bisa sebedau tuboh imun aku ngeleka ngigak baka kenak nyimpan tubuh leka. Kita bujang berani, aku nesau aku ngangau aku tabe datai ba bukit semilu kinabalu bujang senang.”

“Aku akak nebah ke kita sangga lidah bunyi sambung nyawa ante nyema iya nyelae anag menyae lempang leme semadi meh tua besae aku nunang singae. Laban tua mekang sengenang ukae pureh semembang. Uji ketua akak kenesa utae kelama sepa jaga dini ndak tusah ati ruri keling berani aku deka puale kenegeri ae rupa ndak lepag beperan.”

“Anang sekale takut nyelam lubuk kemenyan tali tembaga ya ke lelisa ngentak kemata kenak reraya dinga kekita bujang berani ke nankin takin duko ilang dua gembar mere pambar batang lupar munuh saka ualar nyengkar ba batu ampar. Ante nylam alam ae ngalah kerene raja baya tama alam tanah.”

"Ante nike pucuk kayo ndae beguyu nadae beranyang pucuk tapang. Ante nesau bunjang pangau kunci ati bini remaung kesal ati nadae pulai laki. Keselalu matak teropong sulah tembaga ari ribut puput. Remba – remba aku ngangau aku nesau datai meh kita bujang berani baka besi tiang langit ke cecegi..”

Selepas habis membaca mentera tersebut, salah seorang dari Keling berkenaan yang duduk di tengah-tengah bertanya kepada Manang;

“Apa hajat kamu memanggil kami?”

“Aku memanggil raja pahlawan Iban. Dewa langit dan bumi. Penguasa hutan belantara ini.”

“Beritahu Aku apa hajat kamu.”

“Aku Manang di rumah panjang ini. Kami ingin pindah dari sini. Pergi ke suatu tempat di mana kaki berhenti melangkah. Di mana hati bertaut, di mana padi menyubur, di mana pahlawan dilahirkan, di mana mayat pendekar disemadikan di dalam tajau, di mana gendang perang dimainkan, di mana Kumang (gadis jelita) menari mengikut muzik dan di mana hidangan akan dipersembahkan kepada ‘Petara’. Membina hidup dan keturunan Iban yang baru. Pimpinlah kami wahai dewa.”

“Baiklah. Pergilah kamu. Jalan menyusur sungai, meredah hutan, memanjat bukit, menutup mata bila malam, melangkah biar gagah, langkah jangan menoleh, jatuh jangan terlentang, mulut jangan menghina dan langkah pula akan terhenti pada tebingan sungai. Bila bertemu dengan dua sungai yang menyatu di hilirnya, maka di situlah rumah kamu.”

Rambut Pemberian Keling

Manang mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham sambil kepalanya tetap memandang ke tanah. Sebagai tanda hormat dan taat kepada Keling tadi.

Keling kemudiannya menggenggam pada hujung rambutnya yang panjang di sebelah bahagian kiri dan memotongnya sedikit dengan menggunakan parang berulukan besi tadi lalu mengambil tiga bentuk cincin yang diperbuat daripada buluh berwarna kuning yang terletak pada jari tengah, jari, manis dan jari kelingkingnya.

Juga dari bahagian tangan kirinya. Ketika mencabut potongan buluh tersebut jelas kelihatan pada jari-jari Keling tadi tatu yang tidak jelas bentuk dan rupanya.

Saya pernah bertanya kepada kawan saya berkenaan dengan tatu yang ada pada jadi orang-orang lama masyarakat Iban.

Sebab saya pernah melihat sendiri beberapa orang tua di sebuah perkampungan rumah panjang di Jalan Kuching-Sri Aman pada tahun 1999 dulu sewaktu mengikuti Program Praktikal Dakwah semasa menuntut di Pusat Latihan Dakwah Hikmah, Kuching Sarawak.

Menurut mereka, orang yang ada tatu di jari ini juga orang yang pernah membunuh dan memenggal kepala musuh sewaktu berperang ketika muda dulu.

Ini pendapat yang saya dengar dari orang-orang tua lama masyarakat Iban. Saya tidak tahu benar atau tidak. Mungkin rakan-rakan berbangsa Iban saya boleh membantu.

Rambut yang sepanjang dua meter itu kemudiannya dimasukkan ke dalam tiga bentuk cincin milik Keling dari buluh kuning tadi.

Sebentuk cincin tersebut diletakkan di bahagian tengah manakala dua lagi diletakkan di bahagian tepi sebelah kanan dan kiri potongan rambut Keling tadi.

Potongan rambut itu juga betul-betul muat semasa dimasukkan ke dalam cincin tersebut. Kemudian Keling menyerahkannya kepada Manang.

Menang yang memerhatikan sahaja perbuatan Keling tersebut dan menyambutnya dengan cara menadah tinggi kedua belah tangannya.

Rambut Keling di tangannya itu juga kelihatannya agak kasar dan tebal dan kelihatan agak berat. Kemudian Manang menggolong-golongkan rambut tersebut dalam bentuk bulatan dan diletakkan di atas dulang tadi.

“Kamu bawalah rambut ini. Gantung di tengah alang rumah panjang yang kamu tinggal sekarang pada keesokan hari dan jangan diusik. Biarkan saja di situ. Tinggalkan sahaja di situ semasa kamu semua hendak berangkat pindah.”

“Selepas digantung maka perjanjian kita akan bermula. Aku akan menghantar seorang perempuan untuk menemani penghuni rumah panjang kamu di sepanjang perjalanan nanti dan dia akan melindungi kamu semua dari sebarang bentuk musibah.”

“Tapi ada sesuatu yang perlu kamu lakukan. Selepas perjanjian ini sudah terikat, korbankanlah darah manusia sebagai tanda taat kamu semua kepada perjanjian ini. Bermula dari darah kamu sendiri dulu.”

“Hirislah tapak tangan sebelah kiri kamu dan dan biarlah darah mengalir jatuh pada rambut ini dan kemudian perempuan ini nanti akan menuntut dari keturunan penghuni rumah panjang ini darah yang segar pada setiap tahun.“

“Baiklah. Segala perintahmu akan kami ikuti.”

“Tetapi kalau keturunanmu melanggar titah ini, maka nyawa penghuni rumah panjang ini dan keturunanmu akan menjadi gantinya nanti. Perempuan ini nanti juga akan menghantui hidup kamu semua.”

“Tidak kira ketika sedar atau tidur, dia akan menuntut darah segar sehingga kamu penuhi permintaannya ini atau taruhan nyawamu dan keturunan penghuni rumah panjang ini menjadi ganti.”

“Saya faham. Kami akan menjaga amanah ini.”

Manang kemudiannya mengambil parang ilang yang terselit di pinggangnya dan mengeluarkannya dari sarung. Kemudian dengan perlahan-lahan Manang menghiris tapak tangannya kirinya mengarahkan tangannya ke atas dulang tadi.

Setelah beberapa titik darah terjatuh menyentuh rambut tadi, Keling bersama dua orang pengikutnya itu secara perlahan-lahan berdiri sambil berpusing ke belakang. Lalu diikuti oleh anjing besar tadi.

Bunyi alunan muzik seram kembali menjelma semula. Bunyinya bermula dari bawah tanah tempat tapak rumah panjang mereka lalu bunyi tersebut naik ke atas dan bergema menguasai segenap hutan belantara dan mereka mula berjalan meninggalkan halaman rumah panjang tersebut.

Bunyi iringan muzik semakin rancak. Susunan muziknya sangat membingitkan telinga. Kesemua penghuni rumah panjang tersebut menutup telinga mereka kerana bunyi bingit yang menguasai sunyinya malam ketika itu.

Keling bersama dua orang pengikutnya serta anjing putih tersebut mula meninggalkan perkarangan rumah panjang moyang Aki tadi.”

“Secara perlahan-lahan mereka melangkah meninggalkan kawasan tersebut. Pokok-pokok balak dan tumbuhan hijau di hadapan mereka tumbang satu-persatu kerana dilanggar oleh Keling dan dua orang pengikutnya.

Lama kelamaan mereka bertukar semula menjadi kabus. Bunyi muzik perang yang pada asalnya membingitkan telinga tadi juga berubah menjadi perlahan dan akhirnya kembali meresap ke dalam bumi.

Suasana kembali tenang seperti biasa. Hutan kembali diliputi kegelapan dan kesunyian malam. Embun dingin mula berjatuhan dari daun-daun yang menghijau.

Angin sepoi-sepoi bahasa menyentuh kulit. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan dan kedengaran bunyi ranting-ranting pohon bersentuhan sesama sendiri.

Manang mula mengelap tangannya yang dihiris tadi. Darahnya masih lagi bercucuran keluar. Dia memandang ke atas dalam beberapa ketika. Sebelum kembali melihat persekitaran hutan di sekeliling mereka.

Tetapi itu tidak menghalangnya dari terus tersenyum gembira. Manang memanggil moyang Aki untuk turun ke halaman rumah. Moyang Aki turun dan diikuti oleh penduduk rumah panjang yang lain. Manang memanggil moyang Aki sambil berkata;

 

“Kita sudah mendapat persetujuan dari Keling untuk pindah dari sini. Keturunan kita nanti akan dijaga oleh seorang perempuan cantik. Aku sempat melihatnya tadi. Memerhati dari sebalik pokok. Terbang lalu hinggap di dahan besar. Memerhati apa yang berlaku. Dialah yang akan menemani kita.”

“Cuma aku risau satu perkara. Ketika perempuan itu terbang dan hilang di sebalik hutan tebal, dia mula bertukar menjadi hodoh. Rambutnya mengerbang. Kulitnya pucat dan berlubang-lubang. Matanya merah menyala serta taringnya yang tajam terkeluar dari celah-celah bibir. Senyum memandang kita. Seolah-olah memberikan amaran akan bahaya yang menimpa sekiranya kita tidak melakukan apa yang diminta oleh Keling tadi.”

“Baiklah kalau begitu Manang. Nanti kita maklumkan kepada penduduk rumah panjang kita akan perjanjian kita bersama Keling ini tadi. Bila rasanya kita boleh berpindah dan memulakan hidup baru kita Manang?”

“Esok kita akan uruskan dulu rambut pemberian Keling ini tadi. Kita akan gantungkannya di alang pintu rumah panjang kita sekarang. Selepas itu kita minta penduduk rumah panjang kita untuk membuat persiapan.”

“Membawa apa saja bekal yang patut dan meninggalkan apa sahaja yang tidak perlu. Lebihkan membawa makanan dan alas untuk tidur serta lebihan pakaian serta kain. Agar tidak kesejukan ketika tidur pada malam hari.”

“Ya. Aku setuju. Nanti aku maklumkan kepada semua penghuni rumah panjang kita. Esok kita akan bawa beberapa orang pemuda untuk mengantung rambut Keling ini pada alang rumah panjang kita.”

“Penghuni lelaki lain akan turun ke kebun untuk memilih bekal di perjalanan serta mencari bekalan daging rusa babi, ayam serta itik untuk dimakan agar cukup bekalan memanaskan badan. Yang perempuan pula akan memilih pakaian dan barang-barang keperluan yang lain. Serta mengurus anak-anak untuk dibawa sekali.”

“Baiklah kalau begitu. Aku serahkan kepada kamu selaku tuai rumah kita ini untuk maklumkan kepada anak-anak buah kita. Sementara aku pula akan menyiapkan dan menyelesaikan ‘miring’ kita ini dulu.”

“Baiklah kalau begitu Manang. Aku kumpulkan dulu penghuni rumah panjang kita sekarang. Kau selesaikan dulu tugasmu.”

“Silakan Tuai.”

“Terima kasih Manang atas bantuan kamu.”

“Sama-sama. Semua ini untuk kebaikan anak-ana, cucu cicit dan keturunan kita.”

Manang kemudiannya menghulurkan salam kepada moyang Aki lalu mereka berpelukan. Selepas itu moyang saya memanggil kesemua penghuni rumah panjang itu untuk diberikan taklimat.

Mereka diminta untuk berkumpul di ‘ruai’ (sebuah tempat untuk berkumpul, beristirahat dan berbincang di rumah panjang).

Selepas Moyang Aki yakin semuanya sudah kembali seperti biasa, barulah moyang Aki meminta anak buahnya untuk turun ke bawah untuk mendengar apa yang ingin disampaikan olehnya.

Anak-anak buah masih teringat-ingat lagi akan peristiwa yang dialami dan disaksikan sendiri oleh mereka sebentar tadi.

Sesungguhnya kejadian tadi benar-benar meninggalkan rasa takut yang mendalam pada diri mereka.

Moyang Aki cuba untuk memujuk mereka turun dan cuba meyakini hati mereka bahawa ini adalah untuk kebaikan masa depan mereka. Lagipun Keling tadi telah pun hilang di dalam kegelapan malam.

Moyang Aki cuba untuk meminta pandangan anak buahnya tentang rancangan mereka untuk berpindah. Hampir kesemuanya setuju.

Cuma seorang dua sahaja yang masih agak ragu-ragu kerana masih memikirkan risiko semasa di dalam perjalanan ke tapak rumah panjang yang baru.

Setelah Manang dan moyang Aki memberi jaminan bahawa perjalanan mereka akan selamat, barulah mereka mula menunjukkan wajah sedikit yakin.

Akhirnya mereka bersetuju. Kalau tidak setuju sekalipun, sanggupkan mereka tinggal di tengah-tengah hutan belantara tempat rumah panjang mereka yang mana mungkin mereka akan didatangi lagi tetamu seperti Keling dan pengikutnya, anjing besar dan perempuan cantik yang terbang di tengah malam.

Kalau tidak pun mereka akan diserang oleh penduduk-penduduk kampung lain yang ingin merebut tinggalan rumah panjang mereka.

Persediaan

Setelah mencapai kata persetujuan akhirnya moyang Aki meminta mereka untuk membuat persiapan pada esok hari.

Penduduk lelaki dewasa akan pergi ke kebun untuk membawa bekalan sayuran atau beras padi huma atau padi bukit dan mencari haiwan-haiwan seperti rusa, babi, ayam dan itik untuk dijadikan bekal makanan di pertengahan jalan.

Sedangkan penghuni dari golongan wanita pula akan memilih pakaian dan barang-barang keperluan yang lain. Serta mengurus anak-anak mereka dan kelengkapan untuk dibawa sekali dalam pengembaraan mereka mencari tapak baru.

Pada keesokan harinya masing-masing menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Suasana rumah panjang moyang Aki ketika itu agak riuh rendah. Masing-masing sibuk untuk menguruskan keperluan keluarga masing-masing.

Penghuni lelakinya sibuk di luar dan penghuni perempuan pula sibuk di dalam rumah panjang mereka. Cuma Manang, moyang Aki dan beberapa orang lelaki menumpukan perhatian mereka pada alang tengah rumah panjang mereka.

Moyang Aki sedang memegang rambut pemberian Keling tadi. Manakala Manang pula memulakan proses ‘miring’ dan merenjis darah ayam hitam yang disembelih sebelum itu di tiang alang rumah panjang mereka sebagai proses ritual meminta diberkati perjalanan mereka kepada dewa-dewa.

Selepas itu Manang meminta beberapa orang lelaki tadi untuk memegang tiang alang agar tidak patang, beralih dan sebagainya. Sedangkan tiang itu adalah tiang kayu belian sebesar dua kali pemeluk lelaki dewasa. Pasti tidak akan patah. Mungkin untuk sekadar berhati-hati.

Manang kemudiannya memanjat tiang alang dari kayu belian tadi secara perlahan-lahan. Sesampainya di penghujung pada bahagian atas atap, Manang telah meletakkan rambut Keling tadi dengan cara menyelitkannya di antara daun-daun nipah yang kering dan mengingatkannya dengan menggunakan tali dari akar batang kayu kecil.

Setelah memeriksa beberapa kali, Manang berpuas hati dan mula turun dari puncak tiang tadi serta turun secara perlahan-lahan. Kemudian Manang memandang wajah Aki saya lalu tersenyum sambil berkata;

“Tuai, esok kita akan pindah dari sini. Segala ritual telah Aku laksanakan. Tinggal untuk kita berpindah sahaja lagi esok.”

“Baiklah kalau begitu. Persiapan telah hampir selesai. Penghuni dari kaum lelaki kita juga telah mengumpul bekalan yang cukup untuk kita. Makanan, sayuran dan haiwan ternakan. Juga kaum wanita yang telah menyediakan bekalan pakaian untuk dibawa bersama.”

“Baiklah tuai. Sekarang kita istirahat awal. Esok perjalanan kita akan bermula.”

“Baiklah.”

Pada malam tersebut setelah selesai menyiapkan tugas yang diberikan, penduduk rumah panjang tersebut beristirahat lebih awal dari kebiasaannya.

Cuma beberapa orang lelaki dewasa yang masih menyiapkan beberapa tugas yang perlu diselesaikan sebelum berangkat keesokan harinya.

Perjalanan Bermula

Keesokan harinya lebih kurang dalam pukul empat pagi, penghuni rumah panjang tersebut mula bangun dari tidur.

Menyiapkan bekal dan memberi mandi-anak-anak mereka di sungai. Juga membungkus beberapa barang keperluan untuk dibawa bersama dan dipikul sepanjang perjalanan nanti.

Hari masih gelap. Kelihatan anak-anak kecil mengigil kesejukan dan bermain dengan gembira bersama rakan-rakan mereka semasa mandi di sungai.

Mereka tidak tahu bahawa perjalanan selepas ini akan sangat-sangat memenatkan kerana penghujung perjalanan mereka ternoktah entah di mana.

Kaum ayah dan lelaki dewasa yang lain juga sibuk untuk memeriksa kembali peralatan seperti parang dan cangkul agar tidak tertinggal.

Segala ayam, itik, rusa, babi juga dibawa bersama. Tidak ketinggalan juga sayur-sayuran. Sebagai lauk makanan barangkali.

Kaum wanita pula menyiapkan bekal makanan dan minuman. Juga pakaian sebagai alas tidur di tengah hutan belantara ketika malam dan ketika hujan.

Setelah semuanya selesai, Manang dan Moyang Aki memanggil semua anak buahnya untuk berkumpul di halaman bawah rumah panjang mereka. Setelah semuanya berkumpul, Moyang Aki pun berkata;

“Untuk semua penghuni rumah panjang. Pagi ini adalah hari terakhir kita di sini dan kita akan pindah ke suatu tempat baru nanti. Kita telah mendapat petunjuk dari Petara dan dewa-dewa kita melalui Keling yang kita panggil. Jadi perjalanan kita nanti akan dijaga oleh seorang wanita.”

“Cuma pesan Aku, apa pun perjanjian kita bersama Keling ini, jangan diputuskan, kerana masa depan anak cucu kita nanti akan menjadi taruhan. Nanti perempuan penjaga kita akan marah. Aku tahu kerana dia ada memberi petunjuk kepadaku pada malam Keling datang ke rumah panjang kita.”

Penduduk rumah panjang moyang Aki cuma mengangguk-angguk sahaja. Ada yang menangis, ada yang tunduk memandang ke bawah dan ada yang memandang buat kali terakhir rumah panjang mereka dan sebagainya.

Kerana itulah kali terakhir mereka akan melihatnya. Tempat mereka bersama susah dan senang. Membesar dari kecil hinggalah beranak pinak dan bercucu cicit.

Rumah panjang ini bukan sekadar sejarah hidup bagi mereka tetapi tempat meluahkan rasa cinta dan air mata.

Setelah itu Manang mengambil tempat moyang Aki. Manang mula membaca beberapa mentera. Sedangkan yang lain cuma memerhati saja dari kejauhan. Jiwa mereka berbelah bagi sama ada untuk pergi atau tinggal sahaja.

Tetapi demi untuk kebaikan semua mereka sanggup berkorban untuk sama-sama menempuh pengalaman baru dan perjalanan yang belum ada penamatnya.

Langkah mereka bermula dengan meredah hutan belantara yang tebal. Menyusur sungai yang besar. Bertarung dengan segala haiwan yang ganas dan menakutkan serta haiwan berbisa lainnya.

Ketika malam kaum wanita dan anak-anak tidur sedangkan kaum lelaki ada yang bergiliran berjaga dan ada yang tidur untuk sama-sama memastikan keselamatan semua dan bertukar-tukar masa pada masa yang telah ditetapkan.

Pada suatu malam setelah perjalanan mereka lalui selama tiga bulan, mereka mengambil keputusan untuk beristirehat di tepi sungai kecil sebelum meneruskan perjalanan mereka keesokan harinya.

Manang ketika itu sedang duduk tidak jauh dari Moyang Aki. Manang cuma memandang ke arah pohon-pohon besar serta akar-akarnya yang berjuntai dan ranting-rantingnya bergerak ditiup angin. Bergerak seperti alunan tarian gemalai. Moyang Aki memandang Manang lalu bertanya kepadanya;

“Manang, apa yang kau fikirkan? Adakah kau masih lagi memikirkan tentang perempuan yang akan menjaga kita nanti?”

Didatangi Perempuan Cantik Yang Hodoh

“Ya. Aku bukan sekadar memikirkan tentang dirinya tetapi lebih dari itu. Aku merasakan pada setiap langkah kita berjalan dia ada bersama kita. Memerhati dari atas pohon dan berterbangan. Sudah beberapa kali aku bersua dengannya.”

“Dia memerhati aku dan aku juga memerhatikan dia. Wajahnya cantik. Kerana itulah kita rasakan bahawa urusan kita mudah setelah selama lebih kurang 90 hari kita berjalan mencari tapak baru rumah kita.”

“Sedangkan pada waktu-waktu tertentu dia juga memandang aku dan aku juga memandang dia. Tetapi wajahnya menjadi lebih hodoh dan menakutkan. Rambutnya mengerbang seperti ditiup angin. Mukanya pucat seperti mayat yang mati lemas. Kukunya panjang dan giginya tajam.”

“Manang. Aku bukan tidak percaya. Bahkan selama ini semua keputusan aku serahkan kepada kamu untuk memutuskannya. Jikalau betul dia ada, tunjukkan saja padaku. Bukan tidak percaya kepadamu, tetapi sekadar untuk menyenangkan hatiku. Kalau tidak mahu tidak mengapa Manang. Aku bahkan tetap percaya kepadamu sampai bila-bila.”

“Apakah kau benar-benar ingin melihatnya?”

“Ya. Agar aku lebih percaya perjalanan kita ini ada penjaganya.”

“Baiklah kalau begitu. Kamu tunggu sekejap. Aku mahu mengambil ayam hitam peliharaan aku. Untuk kita sajikan kepada penjaga kita.”

“Baiklah..”

Manang dengan agak bersemangat kembali ke tempat berkumpulnya penduduk-penduduk rumah panjang yang lain. Kebanyakan mereka sudah tertidur. Cuma ada sekitar empat orang sahaja yang masih bangun untuk menjaga persekitaran dari gangguan haiwan ganas, penceroboh dan sebagainya.

Tidak lama selepas itu, Manang datang kembali. Membawa seekor ayam hitam di tangan kirinya. Sedangkan di tangan kanannya memegang parang ‘ilang’.

Manang kemudian mengajak moyang Aki pergi ke arah suatu tempat yang lebih dalam. Masuk ke dalam hutan. Agak sedikit jauh dari penghuni yang lain. Agar mereka tidak perasan apa yang moyang Aki dan Manang lakukan.

Selepas itu Manang menyembelih ayam hitam tersebut lalu meletakkannya ke tanah. Manang mula membaca beberapa mentera dan membiarkan ayam tersebut bergolek-golek dan berkokok lemah menahan kesakitan.

Manang dan moyang Aki duduk bersebelahan sambil memandang ke arah ayam hitam tersebut. Tidak beberapa lama kemudian Manang menghentikan bacaan menteranya dan memandang kepada moyang Aki.

“Dia sudah ada di sini. Apa-apa pun berlaku kamu diam sahaja. Biar aku sahaja yang bercakap.”

“Baiklah. Aku paham.”

Manang kemudiannya memejamkan matanya. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Moyang Aki memandang sekelilingnya. Agak gelap gelita.

Tiada apa yang dapat dilihat kecuali melalui sinar rembulan yang sedikit sebanyak membantu moyang Aki memerhati dengan lebih baik apa yang ada di hadapannya.

Keadaan ketika itu sangat menakutkan. Entah mengapa moyang Aki mula merasa tidak tenteram. Dia merasakan seperti ada orang memerhatinya tapi dia tidak tahu dari mana arahnya.

Pada mulanya Moyang Aki mendengar seperti ada sesuatu yang berterbangan di atas pokok. Daun-daun dan ranting kecil mula berjatuhan dari atas pokok dan menyenyuh baju mereka.

Dari kejauhan terdengar seperti bunyi suara perempuan menangis, menggilai dan ketawa. Semuanya menjadi satu. Manang masih lagi memejam matanya. Tidak mempedulikan apa yang berlaku.

Moyang Aki mula merasa tidak keruan. Keringat dinginnya mengalir. Moyang Aki memandang ke atas. Sepertinya tiada lagi benda yang berterbangan di atas pokok. Daun dan ranting sudah tidak berjatuhan lagi.

Tiba-tiba Moyang Aki terdengar seperti bunyi perempuan sedang ketawa kecil. Betul-betul dari arah belakang mereka. Perempuan itu berjalan perlahan-lahan sambil menyanyikan lagu dalam Bahasa Iban yang moyang Aki sendiri pun tidak faham maksudnya.

Kedengaran juga bunyi daun-daun bergerak dan berbunyi seperti dipijak atau disapu oleh kain yang panjang. Tapi tiada pula bunyi tapak kaki melangkah. Moyang Aki mula merasa risau.

Kalau bukan disebabkan Manang ada di sebelahnya nescaya moyang Aki akan lari sekuat-kuatnya. Tiba-tiba bau bangkai mula menusuk masuk ke lubang hidung mereka.

Moyang Aki mula memuntahkan apa sahaja dari perutnya kerana tidak dapat menahan rasa mual di kerongkongnya.

“Hehehe..Kenapa kamu muntah? Apakah engkau tidak suka kepadaku? Aku juga tidak suka kepadamu. Tapi ingin juga untuk aku mencuba untuk merasakan darahmu yang segar. Apa boleh untuk aku rasakan sedikit? Aku sudah lama tidak minum darah manusia yang segar. Hahaha..”

Moyang Aki ketakutan separuh mati. Manakan tidak. Suara perempuan itu jelas sekali bunyinya. Cuma tidak tahu dari mana arahnya.

Ketawa perempuan itu semakin lama semakin dekat. Sedangkan moyang Aki tidak dapat melihat apa yang ada di sekeliling. Cahaya bulan juga tidak membantu.

Ketika mata Moyang Aki meliar mencari suara tersebut, tiba-tiba sahaja seorang perempuan hodoh muncul dari belakang mereka berjalan melintasi di antara moyang Aki dan Manang duduk.

Perempuan itu betul-betul berhenti di sebelah bahagian tengah mereka berdua.

Perempuan itu menundukkan badannya ke hadapan sedikit dan memandang ke arah Manang sambil berkata;

“Kenapa memanggil aku? Aku cuma menjaga perjalanan kalian sahaja. Aku menjaga kalian hingga ke anak cucu. Apakah itu tidak cukup? Mahu juga untuk melihat aku ini seperti apa. Kamu lihatlah sekarang aku ini seperti apa. Hahaha..Cantik bukan? Hahaha…”

Moyang aku tidak berani untuk menoleh. Cukuplah sekadar menjeling melalui anak matanya. Melihat bagaimanakah gerangan perempuan tersebut.

Dari pandangan moyang Aki, perempuan itu hodoh seperti hantu pontianak. Rambutnya kering dan mengerbang, kukunya panjang.

Kemerah-merahan dan berdarah serta cebisan daging-daging yang kemerahan masih lagi melekat pada kukunya.

Matanya merah menyala dan hampir tersembur keluar. Bibirnya tebal dan giginya juga tajam serta lidahnya panjang serta berlubang-lubang seperti kudis. Bajunya agak lusuh dan ratusan ulat-ulat bangkai berjatuhan dari bawah kangkangnya.

Ketika moyang Aki sedang memerhatikan rupa perempuan tadi, tiba tiba perempuan itu ketawa dan menoleh kepada moyang Aki.

“Kamu siapa? Adakah kamu yang muntah tadi? Kenapa geli padaku? Hahaha..Atau benci padaku? Padaku cuma satu. Aku ingin menghirup darah segarmu. Mungkin masih panas. Apa lagi darah yang mengalir dari tengkuk atau perutmu. Aku ingin mencubanya. Hahaha..”

Perempuan itu kemudiannya mengangkat tangan kirinya lalu meletakkan pada bahu moyang Aki. Perempuan berwajah hodoh itu kemudian menyandarkan hidungnya yang kasar pada tengkuk moyang Aki.

Terasa sejuk hidung perempuan tersebut. Perempuan itu kemudian menjilat-jilat wajah moyang Aki dengan lidahnya yang kasar dan penuh dengan lubang kudis yang bernanah.

Sekali lagi moyang Aki merasa loya dan mual tetapi moyang Aki cuma untuk menutup mulutnya dengan sekuat hati agar tidak kembali muntah seperti tadi.

Dengan tidak semena-mena, perempuan tadi mula merasa marah. Perempuan itu cuba mencekik leher moyang Aki dengan kedua tangannya.

Moyang Aki cuba untuk menjerit sekuat-kuat hatinya tetapi tidak berdaya dan oleh kerana terlalu takut moyang Aki terkencing di dalam seluarnya.

Tetapi dengan secara tiba-tiba Manang mula bersuara;

“Wahai penjaga keluarga kami. Kami taat kepadamu. Kamu taat kepada Keling dan Petara. Kami tidak mengganggu kamu. Bahkan ini santapan istimewa buatmu.”

Perempuan itu lalu menoleh ke arah Manang. Manang ketika itu sedang berdiri dan memegang ayam hitam yang disembelih olehnya tadi.

Moyang Akipun tidak perasan bila masanya Manang berdiri, mengambil ayam hitam tadi dan lalu berdiri di hadapan perempuan tersebut.

Apabila melihat ayam hitam tersebut, perempuan itu mula bertukar menjadi perempuan yang sangat cantik. Lalu bergerak perlahan menuju ke arah Manang.

“Nah..Ambillah..Makanlah sepuas-puas hatimu. Jangan kamu ganggu kami dan keluarga kami. Kami akan memberimu makan setiap tahun. Dan tugas kamu adalah menjaga keluarga kami.”

Perempuan yang tadinya hodoh kini bertukar menjadi cantik. Dia tidak mengendahkan pada Manang yang sedang bercerita kepadanya.

Kemudian Manang dan moyang Aki cuma memandang sahaja apa yang dilakukan oleh perempuan tersebut.

Perempuan itu mencarik-carik perut bangkai ayam tersebut dengan kukunya dan memakan isi perut ayam tersebut dengan lahap sekali.

Perempuan itu kemudian mengunyah dan menyedut masuk ke dalam mulutnya saki baki isi perut ayam yang berjuntai keluar.

Selepas itu perempuan itu mula mengunyah kepala ayam, sayap, kaki badan dan kesemua anggota badan termasuk bulu-bulunya sekali. Sehingga tidak meninggal sebarang bekas sekalipun.

Habis seekor ayam hitam itu dimakannya. Tanpa meninggalkan sebarang tulang, darah, bulu dan apa sahaja dari anggota badan ayam tersebut.

“Aku mahu lagi. Berilah aku makan.”

“Baiklah tapi bukan sekarang. Cukup setahun nanti apabila kami sudah berpindah ke rumah panjang kami yang baru. Kami akan sajikan kepadamu ayam hitam kegemaranmu.”

“Baiklah. Berjanjilah padaku. Setiap tahun sajikan aku darah ayam hitam sebagai syarat perjanjian untuk aku menjaga keluarga besar kamu di rumah panjang baru nanti.”

“Ya. Kami berjanji. Dan itu juga janji kami kepada tuanmu Keling.”

“Ya..Ya..Aku paham itu. Dia ada memberitahu aku sebelum aku dihantar untuk tinggal bersama dan menjaga keturunan kamu.”

“Kalau begitu perjanjian kita sudah bermulakan?”

“Ya. Pada ketika Keling menyeruku, pada ketika itulah sebenarnya perjanjian kita telah bermula. Cuma satu pintaku. Sekiranya kamu dan keturunanmu tidak memberi aku makan darah ayam hitam nescaya nyawa mereka akan menjadi taruhannya.”

“Baik. Aku faham. Lepas ini kau pergilah. Bantu kami untuk segera sampai ke tapak rumah panjang baru.”

“Ya. Kamu sudah hampir sampai. Tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ingat kata-kata Keling dulu. Jalan menyusur sungai, meredah hutan, memanjat bukit, menutup mata bila malam, melangkah biar gagah, langkah jangan menoleh, jatuh jangan terlentang, mulut jangan menghina dan langkah pula akan terhenti pada tebingan sungai. Bila bertemu dengan dua sungai yang menyatu di hilirnya, maka di situlah rumah kamu.”

“Sekarang kamu semua telah berada di tepian sungai. Semakin lama semakin lebar jarak sungainya. Tidak lama lagi, dalam beberapa hari kamu akan bertemu dengan sebuah lagi sungai. Maka tinggallah di situ. Di situlah tapak baru untuk kamu.”

“Aku mengerti. Terima kasih atas petunjukmu. Kamu boleh pergi sekarang.”

Tajau Lama

“Baiklah. Tapi jangan lupa pada janji kita. Setahun lagi aku akan tuntut darah darimu. Darah itu nanti kamu siramkan pada ‘tajau’ (tempayan) lama milik keturunan kamu. Hahaha..”

“Di mana tajau itu? Kami tidak membawa tajau yang besar untuk dibawa ke tempat baru. Cuma tajau-tajau kecil sahaja untuk menadah air.”

“Begini. Apabila kamu berhenti pada tebingan sungai dan bertemu dengan dua sungai yang menyatu di hilirnya nanti, carilah pohon ara yang akarnya berjuntai hingga ke dasar tasik. Berenang dan menyelamlah dan ikutilah di mana penghujung akarnya yang menjalar hingga ke hujungnya dan juga menyelamlah pada dasar tasik, maka carilah tajau itu. Ia ada di situ.”

“Baiklah. Cuma sebelum itu aku ingin tahu. Tajau itu sebenarnya milik siapa?”

“Ianya milik keturunan kamu. Ada tertanam di rumah panjang kamu sebelum ini. Kemudian dibawa dan dipindahkan oleh Keling selepas kamu memuja dan memanggil dia untuk memintanya merestui perjalanan kamu pada malam itu. Tajau itu sudah lama tertanam di situ. Tiada seorang pun tahu kecuali seorang dua sahaja.”

“Selepas diambil oleh Keling, dia meletakkannya di hilir sungai tempat kamu semua akan memulakan hidup baru nanti. Kerana dia tahu di situlah tempat yang paling sesuai untuk kamu semua. Sewaktu kamu mengambilnya di dasar sungai, tajau itu ada tiga kesemuanya. Ambil satu sahaja. Yang mula-mula sekali yang tercapai oleh tanganmu nanti.”

“Baiklah kalau begitu. aku sudah faham. Kau pergilah..”

Selepas itu, perempuan itu pun tersenyum dan kemudian terbang dan menyusup masuk ke tengah-tengah hutan belantara dan meninggalkan mereka berdua.

Moyang Aki masih lagi terkejut. Sepertinya moyang Aki masih lagi seperti di awang-awangan. Kemudian Manang pergi ke arah moyang Aki lalu membaca beberapa mentera untuk menyedarkannya.

Selepas membaca beberapa mentera, Manang segera meniup ke wajah moyang Aki dan moyang Aki seolah-olah terkejut dan seperti baru bangun dari tidur.

“Kamu sedar apa yang berlaku tadi?”

“Ya Manang. Cuma aku tidak boleh menggerakkan tubuh badanku seperti biasa. Aku juga seperti di dalam mimpi.”

“Baiklah kalau begitu. Pagi esok kita akan maklumkan kepada penduduk rumah panjang kita bahawa tidak lama lagi kita akan sampai ke tujuan. Maka akan berakhirlah perjalanan jauh kita selama lebih 90 hari ini Tuai.”

Moyang Aki cuma tersenyum. Di fikirannya masih lagi memikirkan tentang apa sebenarnya yang berlaku. Manang memerhatikan sahaja gelagat Moyang Aki sambil tersenyum.

Kemudian Manang kembali memandang ke arah hutan tebal di hadapan mereka di tengah kepekatan malam.

Jiwanya mula risau. Bukan kerana perjalanan mereka masih belum sampai ke penghujung. Tetapi memikirkan bencana yang akan menimpa penduduk rumah panjang mereka.

Cuma menunggu masa sahaja untuk berlaku. Dan pasti akan berlaku.

BAHAGIAN 2

Dikongsi 3,000 warganet, ini bahagian kedua kisah tajau berusia 500 tahun

BAHAGIAN 3

Netizen tak sabar nak tahu kesudahan..ini bahagian ketiga 'tajau' seperti diceritakan Ustaz Malik

BAHAGIAN 4

Tajau mengamuk kerana tidak diberi makan darah..Ustaz Malik kongsi bahagian 4 yang makin menakutkan

BAHAGIAN 5

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak

 

Sumber: Facebook Kisah Pengalaman Hidup Kami

- Ustaz Malik atau nama sebenarnya Malik Faisal Abdul Wahab merupakan seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling di SK Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak